Kembara Mengimbau Tragedi Tsunami Acheh

0
1278
views

Kembara saya kali ini ke Bumi Serambi Mekah, Aceh ditemani sahabat-sahabat sepengajian ketika di universiti dahulu. Kembali kali ini seperti trip reunion, dimana kami bertemu semula di bumi bersejarah Aceh Darussalam, yang kaya dengan tradisi islam dan nusantara, keramahan dan kejujuran warganya serta keindahan alam yang mempesona.

Aceh bukanlah asing bagi masyarakat Malaysia, wilyah ini merupakan salah satu wilayah istimewa dalam negara Indonesia dan terletak di utara kepulauan sumatera. Banda utama bagi provinsi Aceh ialah Banda Aceh. Selain itu, Aceh juga berdekatan dengan pulau-pulau Andaman dan Nicobar, India dimana ianya hanya dipisahkan oleh Laut Andaman. Terdapat 10 kumpulan etnik di wilayah ini di mana suku Aceh mewakili 80 hingga 90% daripada jumlah populasi.

Aceh dikenali umum sebagai wilayah yang mana bermulanya penyebaran Islam di Indonesia dan telah memainkan peranan penting sebagai pusat penyebaran agama Islam di Asia Tenggara. Dipercayai, agama islam telah tiba di Aceh sekitar tahun 1250 masihi dan pada awal tahun 1700, Kerajaan Aceh tersohor sebagai kerajaan yang kaya, berkuasa dan berdaulat di sekitar Selat Melaka.

Hari Pertama

Perjalanan kami ke Banda Aceh bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan telah mengambil masa selama 1 jam 40 minit. Alhamdulilah, kami selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh pada pukul 8.25 pagi, waktu tempatan. Senibina lapangan terbang ini mempunyai kubah, memaparkan pengaruh Islam yang tebal dalam masyarakat Aceh.

Lapangan Terbang Aceh\

Sepanjang di Banda Aceh, kami telah menyewa sebuah kereta Avanza beserta dengan supir (pemandu) untuk membawa kami mengelilingi Banda Aceh. Agenda pertama kami di bumi Aceh ialah menikmati sarapan pagi dan makanan pertama yang masuk perut kami adalah nasi lemak Aceh. Nasi lemak Aceh berbeza dengan nasi lemak di Malaysia. Jangan terkejut ye. Kalau nak rasa, boleh lah berpetualang ke Aceh. Selepas menikmati makan pagi, kami memulakan kembara kami mengimbau tragedi tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004.

Tempat pertama kami yang kami lawati ialah Kuburan Masal Siron yang mana merupakan salah satu monumen tsunami yang telah diwartakan oleh kerajaan Indonesia sebagai memperingati kejadian tsunami yang telah melanda Aceh kira kira 12 tahun yang lepas. Di kawasan perkuburan ini sahaja, seramai 46, 718 mangsa korban Tsunami telah dikebumikan. Kawasan perkuburan ini sangat luas dan tidak mempunyai batu nisan. Disebabkan jumlah kematian yang tinggi dan mayat yang semakin membusuk, kerajaan membuat keputusan untuk mengebumikan mereka di dalam liang-liang lahad yang besar. Al-fatihah untuk semua mangsa korban tsunami Aceh.

Bergambar di hadapan Kuburan Masal Siron

Selepas itu, kami berkunjung pula ke Muzium Tsunami. Apabila kami masuk ke muzium ini, kami berasa sebak, seakan-seakan mengajak kami mengimbau kejadian tsunami yang telah meragut hampir 200 ribu orang, iaitu di Aceh sahaja. Pelbagai lukisan dan grafik yang memaparkan detik-detik cemas ketika berlakunya tsunami.

Di dalam satu bilik, terdapat senarai nama mangsa yang terkorban yang diletakkan di dinding dan di bahagian atas sekali, tertera kalimah Allah, yang membawa makna semua manusia akhirnya kembali kepada pencipta mereka. Selain itu, terdapat pameran yang menunjukkan bantuan-bantuan kemanusiaan yang diterima oleh Indonesia daripada negara-negara luar.

Yang pastinya, Malaysia selaku jiran tetangga terdekat dengan Aceh, Indonesia merupakan antara negara-negara awal yang telah menghantar bantuan kecemasan bagi membantu mangsa disini selain terlibat aktif dengan pembinaan semula Aceh pasca tsunami. Kebetulan kami datang pada hari sabtu, oleh itu ramai rakyat tempatan yang datang melawat termasuk kumpulan-kumpulan kecil dari Malaysia.

Muzium Tsunami Acheh

Kemudian, kami berkunjung pula Kapal PLTD Apung, iaitu sebuah kapal generator eletrik yang terdampar dibawa arus tsunami sejauh dari 2.5 km dari lokasi asal iaitu di Pelabuhan Ulee Lheuh. Kapal ini ketika ini merupakan “objek hidup” tanda keganasan tsunami yang telah membadai rumah-rumah, kapal-kapal hingga hancur dan lebur.

Bergambar di hadapan Kapal PLTD Apung

Kami juga melawat Kapal Di Atas Rumah, Lampulo. Sebelum kejadian tsunami, kapal ini berada di limbungan Lampulo, namun disebabkan ombak besar tsunami, kapal ini telah diseret oleh arus deras dan terdampar di atas rumah milik keluarga Misbah. Hikmahnya, seramai 56 orang telah terselamat kerana sempat menyelamatkan diri di atas bot ketika kejadian tsunami.

Di hadapan Kapal Di Atas Rumah, Lampulo\

Kami menuju lokasi seterusnya iaitu Masjid Rahmatullah, yang terletak di Lampuuk iaitu kira-kira 40 minit dari Banda Aceh. Masjid ini terletak kira kira 400 meter daripada kawasan pantai tetapi terselamat ketika badai tsunami menerpa 12 tahun yang lepas. Masjid ini hanya satu-satunya bangunan yang berdiri kukuh, saat semua rumah-rumah, bangunan kedai dan lain-lain hancur musnah sekelip mata dibawa arus. Kuasa Allah membuktikan segala-galanya.

Masjid Rahmatullah ketika bencana tsunami (Sumber: Google)

Selepas menunaikan solat Zuhur, kami disapa oleh seorang warga tempatan iaitu Bapak Sulaiman, yang merupakan imam Masjid Rahmatullah yang terselamat semasa kejadian tsunami. Beliau telah menawarkan diri untuk berkongsi pengalaman tentang kejadian tsunami yang menimpa penduduk kampung di situ. Menurut beliau, ketika kejadian tsunami, ombak tsunami sangat tinggi hingga hampir-hampir melepasi kubah masjid. Beliau sendiri telah di bawa arus deras tsunami bersama-sama dengan ratusan mayat manusia, haiwan serta sampah sarap seperti kayu dan banyak lagi.

Setelah berjam-jam di dalam air, beliau terselamat setelah berpaut pada kayu yang besar dan diselamatkan oleh pasukan penyelamat kemudiannya. Perasaan sedikit sebak apabila Imam Sulaiman memberitahu kami yang anak perempuan serta isterinya tidak dijumpai dan hilang hingga ke hari ini. Masjid Rahmatullah ini juga mengalami kerosakan kecil dan telah dibaiki dan di baik pulih dengan bantuan kerajaan Turki.

Bersama Imam Sulaiman
Gambar Masjid Rahmatullah (Kini)

Lawatan kami di sekitar Banda Acheh berakhir pada pukul 3.30 petang. Kami singgah sebentar di warung makanan di tepi jalan untuk menikmati Mee Aceh. Mee Aceh merupakan antara menu terkenal disini, agak sedap rasanya dan sekiranya saudara-saudari bertandang ke sini, jangan melepaskan peluang merasa Mee Aceh ye.

Di Pelabuhan Ulee Lheuh

Kemudian kami menuju ke Pelabuhan Ulee Lheuh untuk perjalanan ke Pulau Sabang pada pukul 4.00 petang.  Apabila sampai di Pelabuhan Bulohan (Pulau Sabang), kami disambut pemilik hotel tempat kami menginap selama 2 hari disini. Kami menaiki kereta beliau untuk ke Iboih, iaitu lokasi pelancongan utama di Pulau Sabang, dimana perjalanan kami mengambil masa selama 45 minit. Sepanjang perjalanan, beliau bercerita mengenai Pulau Sabang yang merupakan kawasan paling utara di negara Indonesia.

Hari Ke-2

Untuk hari kedua ini, kami mahu menjelajah keindahan Pulau Sabang, yang juga dikenali dengan nama Pulau Weh. Oleh itu, kami ber snorkelling di Pulau Rubiah yang terletak hanya 300-400 m dari Pantai Iboih. Keindahan Pulau Sabang ini masih terpelihara dan kebetulan ketika kami membuat aktiviti snorkelling cuaca disini mendung, memang sesuai untuk melihat keindahan alam bawah air Pulau Rubiah ini. Kami berpendapat, setelah beberapa kali ke pulau-pulau lain di Malaysia, Thailand dan Indonesia, Pulau Rubiah ini merupakan antara lokasi snorkelling dan diving yang tidak akan menghampakan anda. Tak percaya? boleh datang ke sini nanti. Sekiranya bernasib baik, dolphin akan turun bermain-main di sekitar pulau menurut penduduk tempatan.

Selepas aktiviti snorkelling, kami menyewa motorsikal untuk menjelajah Pulau Sabang. Ada beberapa tempat yang kami sempat lawati memandangkan hari sudah petang. Kami menuju ke Kilometer Nol (Nol bermaksud kosong), yang terletak 8km dari Iboih. Jalan menuju ke Kilometer Nol ketika ini sedang dilebarkan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung memandangkan jumlah pelancong yang datang ke sini semakin meningkat. Kilometer Nol juga sangat signifikan kerana disini merupakan permulaan kilometer bagi negara Indonesia dan terletak berdekatan dengan laut Andaman.

Kilometer Nol Indonesia

Kemudian, kami menuju pula ke lokasi wisata alam, Gua Sarang yang terletak di pinggir laut.  Untuk ke Gua Sarang, kami meneruni cerun bukit untuk sampai ke kawasan pintu gua yang terletak di tepi laut. Keindahan kawasan sekitar Gua Sarang memang menakjubkan dengan air laut yang kehijauan. SubhanaAllah. Agak semput dan gigih juga untuk kami naik semula ke atas bukit. Selain itu, di Pulau Sabang juga terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang lain, namun tidak sempat kami lawati kerana kesuntukan masa. Kami menamatkan hari ke-2 dengan menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Pasir Putih.

Pemandangan di kawasan Gua Sarang
Sunset di Pantai Pasir Putih

Hari Ke-3

Hari ke-3, pagi-pagi lagi kami sudah bersarapan dan berjalan kaki di sekitar Iboih memandangkan pukul 12.30 tengahari nanti kami perlu ke Pelabuhan Balohan untuk pulang semula ke Banda Aceh dengan kapal cepat (feri ekspres).

Kami tiba di Banda Aceh pada pukul 4.00 petang. Pak supir mejemput kami untuk di hantar ke sebuah hotel, dimana kami menginap semalaman sebelum pulang ke tanah air esok. Kami memilih hotel ini kerana terletak di tengah-tengah kawasan bandar, berdekatan dengan Pasar Aceh dan juga Masjid Baiturrahman. Disebabkan kelaparan, kami mencari kedai makan yang berdekatan dengan masjid dan terus menunaikan solat d selepas itu. Masjid Raya Baiturrahman merupakan masjid utama di provinsi Aceh.

Mengikut sejarah, masjid ini telah dibina pada tahun 1612 oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang merupakan antara sultan agong dalam sejarah Aceh. Ketika ini, kawasan masjid Baiturrahman sedang dalam pembinaan untuk pembesaran kawasan masjid dan dimana akan diletakkan payung besar seperti di Masjid Nabawi, Madinah. Kebetulan semasa kami solat, masjid dipenuhi oleh kumpulan kecil kanak-kanak seperti sedang mengikuti kelas KAFA.

Selesai solat, kami berjalan kaki sekitar Pasar Aceh unrtuk mencari sedikit ole-ole untuk dibawa pulang ke tanah air. Antara cenderahati yang wajib di beli apabila ke Banda Aceh ialah kopi kerana dikatakan antara yang terkenal di dunia.

Hari ke 4

Hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Aceh ini. 4 hari di bumi Aceh, banyak yang kami pelajari. Kejadian tsunami besar 12 tahun yang lepas bukan hanya meninggalkan parut dalam pada warga Aceh, juga membawa sedikit rahmat setelah keamanan dicapai antara kerajaan pusat Indonesia dengan Gerakan Aceh Medeka (GAM). Kesempatan bertemu dengan warga juga memberi kesempatan kepada kami mendengar cerita-cerita kebesaran Tuhan selain melawat Pulau Sabang yang masih terpelihara keindahan alamnya.

Selain itu, kami juga berbual mesra bersama warga tempatan disini dan kami dapati bahasa pertuturan mereka seperti bahasa melayu Malaysia, jadi mudah untuk difahami, malah warga nya sangat mesra. Antara perkara menarik yang saya dapati juga, ialah banyak sekali masjid yang dibina dengan kubah-kubah yang besar dan cantik, melambangkan pengaruh islam yang kuat berakar dalam warga tempatan. Sebagaimana yang diketahui, Aceh juga merupakan satu-satunya wilayah/negeri di Indonesia yang mempraktikkan hukuk-hukum syariah dalam kalangan warganya.

Pengembaraan kami kali ini bukan seperti kembara yang lepas, ada sedikit hikmah dan tauladan yang kami bawa bersama, ada memori yang kami rakam.

Selamat tinggal bumi Aceh. Inshaa Allah, bisa ketemu lagi!

Nota: Gambar semua, hak milik saya

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here