Penaklukan Pahang: 200 Buah Kapal Melaka Menawan Pahang

0
3711
views

Sultan Mansur Syah adalah layak digelar sebagai seorang penakluk hebat dalam sejarah Melayu. Ketika zaman pemerintahannya nama-nama pahlawan hebat seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan para sahabat menjadi sangat masyur. Salah satu kisah kejayaan penaklukan Sultan Mansur Syah adalah merampas Pahang daripada kekuasaan Siam. Kalau ketika era pemerintahan Sultan Muzaffar Syah yang memerintah sebelum baginda, Melaka hanya berjaya mempertahankan diri daripada Siam. Tetapi kekuatan Melaka bertambah lebih gagah apabila akhirnya berjaya menakluk Inderapura, yang ketika itu dibawah pemerintahan Maharaja Dewasura. Peristiwa hebat ini berlaku ketika 1454 Masihi. Inderapura untuk rekod, merupakan negeri naungan kepada kerajaan Ligor ketika itu.

Dalam misi penaklukan ini, Melaka dibawah Sultan Mansur Syah telah menghantar 200 buah kapal perang, bersama dengan 20 orang hulubalang yang dinamakan seperti berikut Tun Pikrama, Tun Wijaya Maha Menteri, Seri Bija Diraja, Seri Bija Pikrama, Tun Sura Diraja, Tun Amar Diraja, Tun Bija Diraja, Seri Bija Pikrama, Tun Bija Setia, Sang Bija Rana, Tun Rakna, Seri Setia, Sang Naya, Sang Guna, Sang Jaya Pikrama, Sang Aria, Sang Rakna Sura, Sang Sura Pahlawan, dan Tun Bija Pikrama yang diketuai oleh Bendahara sendiri. Hulubalang ini boleh ditafsirkan sebagai jeneral perang bagi organisasi militari Melaka itu sendiri.

Berdasarkan kiraan yang dibuat oleh rakan saya, Tuan Nabil, beliau meramalkan sekurang-kurangnya hulubalang akan memimpin 1000 angkatan tentera bersama dengan mereka. Dalam hal ini, kita boleh meramalkan bahawa kemungkinan tentera yang dibawa oleh Melaka boleh mencecah sehingga 20, 000 buah ketumbukan dengan anggaran sebuah kapal mungkin membawa dalam 100 orang prajuit. Apa-apa pun angka ini sekadar hipotesis berdasarkan catatan dalam sulalatus salatin dan anggaran.

Dicatatkan dalam perang ini di mana akhirnya Inderapura terpaksa mengalah dengan kepungan yang dibuat oleh tentera Melaka. Ada yang lari daripada tenetra Melaka termasuklah pemerintah Inderapura ketika itu, Maharaja Dewa Sura. Ada pula yang tertawan termasuklah puteri kepada Maharaja Dewa Sura iaitu Puteri Onang Sari yang dikatakan cantik rupa parasnya. Maharaja Dewa Sura pun melarikan diri dalam sebuah perahu bersama dengan para loyalisnya sehingga jauh daripada bala tentera Melaka sehingga ke sebuah jeram yang berada di pendalaman Pahang.

Ketika perahu tersebut sedang memasuki kawasan jeram, dia mengarahkan para loyalisnya yang sedang mengayuh perahu tersebut supaya memperlahankan perahu tersebut dalam bahasa Siam yang berbunyi Kwai. Maka sejak hari itu, jeram tersebut dikenali sebagai Jeram Kwai. Hari ini, lokasinya terletak di Jeram Koi, Ulu Tembeling. Inderapura pula dikenali sebagai Pekan.

Disangkanya bahawa tentera Melaka sudah kehilangan jejaknya. Namun sebaliknya berlaku apabila tentera Melaka masih gigih mengejarnya. Maka terpaksalah Maharaja Dewa Sura meninggalkan perahunya dan melarikan diri ke darat. Dikatakan bahawa perjalanannya meredah kawasan hutan mengambil tempoh 3 hari 3 malam.

Lagipun Bendahara sudah mengarahkan segala hulubalang Melaka mengejar Maharaja Sura. Dalam banyak-banyak hulubalang yang begitu gigih mengejar Maharaja Sura, Sri Bija Diraja pula kelihatan seperti bermain-main dan tidak bersungguh.

Acapkali kapal atau perahu yang dinaikinya terlihat akan daratan yang menarik, tentu dia akan berhenti dan melakukan aktiviti lain seperti yang digambarkan dalam Sejarah Melayu sebagai “berburu kerbau jalang dan menikam seladang, dan memikat berkik.” Ini ditegur oleh anak buahnya. Tercatat seperti berikut dalam Sejarah Melayu:

“Bagaimana tunku, ini bukan pekerjaan kita disuruh Datuk Bendahara bermain; disuruhkan mengikut Maharaja Sura. Orang lain sungguh-sungguh ia mengikut; kita raga-raga dengan bermain. Jika orang kelak bertemu dengan dia, oranglah yang beroleh jasa; kita satu pun tiada perolehan. “

Maka kata Seri Bija Diraja, “Di mana kamu semua orang muda-muda tahu, kerana Maharaja Sura itu kukirakan nama¬nya di bawah namaku, harinya di bawah hariku, ketikanya di bawah ketikaku; di mana ia akan Iepas daripada tanganku?”

Dipendekkan cerita, ketika itu pula Maharaja Dewa Sura terpaksa melarikan diri melalui jalan darat sehinggalah bertemu dengan sebuah rumah milik seorang wanita tua. Lalu Maharaja Dewa Sura pun meminta nasi kepada wanita itu. Dia hanya membalas:

“Tuanku, di manakah Hambamu beroleh nasi, kerana Hambamu orang miskin, nantilah Hambamu randaukan dahulu dengan daun-daun kayu sayur-mayur, Iagi menangkap anak-anak ikan.”

Namun, ketika si wanita tua itu pergi ke tepi pantai menangkap ikan, dia tertangkap pula dek Seri Bija Diraja yang sedang bersuka-suka dikawasan hilir, tatkala semua hulubalang lain pergi kawasan hulu. Maka Seri Bija Diraja pun mengarahkan agar seluruh anak buahnya menangkap wanita itu. Sejarah Melayu mencatatkan seperti berikut:

“Di mana Maharaja Dewa Sura? Jikalau tidak kamu katakan, sekarang aku suruh apit.” Maka kata si tua itu, “Jangan Hamba diapit, akan Maharaja Dewa Sura duduk di rumah Hambamu.” Maka oleh Seri Bija Diraja disuruhnya segala orangnya naik mengepung Maharaja Dewa Sura; maka Maharaja Dewa Sura pun ditangkap oranglah.

Maka Seri Bija Diraja pun mengepung rumah wanita tua itu bersama dengan anak-anak buahnya. Akhirnya tertangkaplah Maharaja Dewa Sura. Dan yang lebih menariknya, ketika berdekatan dengan rumah wanita tua terdapat sebuah Pokok Mahang. Lalu negeri Inderapura yang luas itu pun dinamakan sebagai Pahang dan sungai yang mengairinya sebagai Sungai Batang Pahang sehinggalah kini.

Seri Bija Diraja kemudiannya menjadi gabenor yang dilantik oleh sultan Melaka untuk mentadbir Pahang manakala Puteri Onang Sari dikahwinkan dengan baginda Sultan Mansur Shah sendiri. Seri Bija Diraja kekal sebagai gabenor Melaka di Pahang sehinggalah pada tahun 1470, apabila Raja Muhammad ibni Sultan Mansur Shah putera kepada Sultan Mansur Shah melalui perkahwinannya dengan Puteri Onang Sari ditabalkan menjadi sultan pertama di Pahang, dengan gelaran Sultan Muhammad Shah.

Rujukan:

1. Sulalatus Salatin versi A Samad Ahmad

2. Linehan, William (1973), History of Pahang, Malaysian Branch Of The Royal Asiatic Society, Kuala Lumpur p 2-13

Comments

comments

Previous articleNovel Terawal Bahasa Melayu Diterbitkan Di Sarawak
Next articleSultan Suleiman The Magnificent: Penakluk Eropah Timur
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here