Ninja Terakhir Ialah Seorang Jurutera

1
6307
views

Wajahnya mungkin tidak sesuai dengan gambaran seorang pembunuh berpakaian serba hitam dengan senjata membunuh & berkemampuan menghilangkan diri dengan bom asap. Ninja, atau lebih dikenali sebagai shinobi di Nippon (baca : Jepun) merupakan tentera upahan yang mahir dalam kerja risikan, sabotaj & membunuh secara senyap.

Namun merujuk kepada rekod Muzium Ninja Igaryu, orang terakhir yang mewarisi ilmu ninjutsu yang asli secara turun-temurun merupakan seorang bekas jurutera berusia 67 tahun (pada 2016) bernama Kawakami Jinichi.

Beliau merupakan ‘Ban-gumi no soke’ atau Ketua Keluarga (baca: klan/clan) Ban. Mempraktikkan ilmu ninjutsu aliran Koga & Iga, sejarah penglibatan Ban-gumi dalam ninjutsu dapat ditelusuri sejak 500 tahun yang lampau. Dengan kedudukan & kelebihan yang diwarisi, bekas jurutera ini dilantik sebagai ‘Banke Shinobinoden no soke’ (Pengetua Sekolah Shinobi Banke). Banke Shinobinoden mula popular sejak penubuhan Muzium Ninja Igaryu pada tahun 1964.

Kawakami-soke mendakwa bahawa beliau adalah satu-satunya pewaris ilmu ninjutsu asli yang masih hidup hingga kini. Menurut Japan Times “Kawakami-soke mempunyai sesuatu yang kebanyakan (proclaimed) shinobi tiada, iaitu sifat rendah diri & pelajaran yang sebenar. Termasuk juga skil pertahanan diri yang tinggi.

Kawakami-soke sendiri bukanlah mewarisi darah keluarga ninja, akan tetapi mewarisi ilmu tersebut sejak berusia tujuh daripada Ishida Masazo, yang merupakan biksu Buddha & pembuat ubatan herba. Menurut Kawakami-soke, lelaki tersebut mendakwa bahawa beliau merupakan salah seorang pengamal ilmu ninjutsu yang asli yang masih wujud.

Sebelum dia berusia 19 tahun, Kawakami-soke sudah mewarisi gelaran sensei (guru) & mewarisi skrol-skrol rahsia ninjutsu.

“Untuk melatih konsentrasi, saya perlu merenung api lilin hingga saya merasa diri saya benar-benar berada di dalam api tersebut. Saya juga berlatih mendengar bunyi jarum yang jatuh di lantai bilik sebelah” kata Kawakami-soke. Dia juga berlatih memanjat dinding, melompat dari tempat tinggi & belajar bagaimana mencampur bahan kimia untuk menciptakan bahan letupan & bom asap.

“Saya juga dilatih untuk menahan panas & dingin serta rasa sakit & kelaparan. Semua latihan itu sangat rahsia & menyakitkan, tapi saya tidak pernah terfikir mengapa saya melakukan semua ini. Latihan-latihan tersebut telah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya sambil menunjukkan beberapa alat dan teknik yang digunakan dalam tugas risikan & sabotaj pada masa lalu.

“Seni ninjitsu terletak pada pergerakan yang tidak disedari oleh musuh, bukan pada kekejaman.”

Pelajar terbaik Kawakami-soke,Kiyomoto Yasushi, merupakan satu-satunya yang menjadi gurulatih bertauliah dari Banke Shinobinoden. Kiyomoto-sensei menubuhkan sebuah dojo in Sagamihara-shi, Kanagawa, namun kini sudah tidak mengambil pelajar baru.

Pada 2003 pula Jose Defez & beberapa rakan bela diri dari Sepanyol memulakan latihan di Jepun mempelajari Shinobijutsu Koka daripada keluarga Ban. Pada Oktober 2010, Kawakami-soke dan Kiyomoto-sensei mengiktiraf Jose Defez sebagai satu-satunya sensei di luar Jepun, yang berpusat di Valencia.

(Sumber : http://www.bankeshinobi-spain.com/introduction.html )

Namun begitu, pada tahun 2012, Kawakami-soke memutuskan tidak akan mewariskan kedudukan soke kepada sesiapa lagi. Beliau meluahkan bahawa ilmu tersebut akan mati bersamanya kerana ianya tidak sesuai dengan zaman moden. Tambah beliau “Di zaman perang saudara ataupun zaman Edo, kebolehan ninja untuk merisik & membunuh mahupun menghasilkan ubat amatlah berguna. Tetapi sekarang sudah ada pistol, internet & ubatan yang lebih baik, jadi seni ninjutsu sudah tiada tempat di zaman moden”

-Kai-

Comments

comments

1 COMMENT

  1. nampaknya ilmu silat milik bangsa melayu jugalah yang akan terus bertahan dan kekal relevan sampai ke akhir masa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here