Ulasan Passengers: Titanic Versi Angkasa Lepas

1
1738
views

Sebuah lagi filem sains-fiksyen. Latar filem ini memang sains-fiksyen, tapi dasar ceritanya menjurus pada drama. Kalau kau orang tonton filem ini, konsep sains-fiksyen itu tak ditekankan sangat. Cuma sekadar latar, tapi akan fokus pada hubungan antara dua manusia yang akan menghabiskan hidup mereka di kapal angkasa.

Sebelum aku selesai menonton filem ini, cikgu dah bagi ulasan dia pada aku. Jadi, ulasan yang aku buat ini adalah daripada idea dia, aku cuma panjangkan dan buat penambahan.

 

1. Gesaan Stephen Hawking Untuk Membina Penempatan Baru.

Hawking pernah menggesa umat manusia untuk berpindah ke angkasa dalam tempoh 100 tahun. Gesaan ini disebabkan oleh banyak faktor seperti bencana, peningkatan populasi manusia yang mendadak, pencemaran global.

Hawking lebih menumpukan pada keadaan Bumi yang tidak mampu lagi menampu manusia kerana telah ‘sakit’ dan ‘tenat’, lalu mengakibatkan manusia menghadapi bahaya.

Filem ini merealisasikan visi Hawking untuk memindahkan manusia keluar daripada Bumi. Dalam filem ini, terdapat penempatan baru untuk manusia yang bernama ‘Homestead II’.

Perjalanan yang mengambil masa 120 tahun dengan kelajuan 50% daripada kelajuan cahaya. Manusia telah ditidurkan selama 120 tahun dalam sebuah kapal bernama Avalon.

Yang menjadikan filem ini bermula apabila seorang mekanik, Jim Preston dikejutkan 90 tahun awal kerana disebabkan pelanggaran kapal oleh asteroid, lalu mengakibatkan pod hibernasi Jim terganggu.

Idea Hawking ini, bila dilihat dalam skop realiti, Elon Musk telah memulakan langkah tersebut dengan projek permulaan untuk mendirikan penempatan di Marikh.

Tak mustahil, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, manusia akan mula menduduki Marikh.

 

2. Hierarki Keperluan (Hierarchy of Needs)

Dalam filem ini, Jim dibangunkan lebih awal. Yang menarik tentang kapal Avalon, ia memenuhi seluruh keperluan asas manusia seperti tempat tinggal, keselamatan dan makanan.

Dalam Hierarki Keperluan yang diasaskan oleh diasaskan oleh Abraham Maslow, seorang ahli psikologi, manusia ini mempunyai tingkatan keperluan.

Hal pertama yang sangat dipelrukan oleh manusia adalah keperluan fizikal iaitu makanan, tempat tinggal, keselesaan, dan sama waktu dengannya.

Kemudian, keperluan keselamatan. Ketiga, kasih sayang dan tempat bergantung. Keempat, keperluan dihormati dan rasa diperlukan. Dan yang terakhir, kejayaan dalam memenuhi sesuatu.

Menarik sebenarnya filem ini betul-betul menuruti ‘Hierarki Keperluan’ yang disarankan oleh Maslow. Cikgu yang terangkan kepada aku pasal idea ini. Aku tak terfikir pula.

Kalau kau orang tonton filem ini, kau orang akan lihat Jim dapat hidup seorang diri selama setahun dengan keperluan tahap pertama dan tahap keduanya telah tertunai.

Sampailah dia rasa perlukan keperluan lain, iaitu keperluan tahap ketiga.

Bila sampai tahap ketiga, Jim terus jadi sedih dan kemurungan kerana keperluan ketiganya tak tertunai iaitu tempat mengadu dan kasih sayang. Yelah, sebab hidup seorang. Arthur sebagai peneman tak mencukupi sebab Arthur adalah seorang robot yang tak ada emosi.

Masa inilah, dia cuba bangunkan Aurora Lane untuk memenuhi keperluannya.

Bila cerita berjalan, kita akan nampak keperluan tahap keempat pun tertunai dengan kerosakan kapal Avalon yang perlu dibaiki. Kemudian, tahap kelima tertunai dengan pembinaan penempatan mereka sendiri di dalam Avalon.

 

3. Pelakuran Nuklear Sebagai Sumber Tenaga

Kali ini aku nak sembang pasal sedikit aplikasi yang digunakan dalam filem ini. Dalam filem ini, kapal Avalon tidak bergerak menggunakan minyak, tetapi menggunakan tenaga nuklear.

Tenaga nuklear, selain dapat menjadi bahan memusnahkan umat, ia juga dapat menjadi proses yang dapat membantu umat manusia. Proses pelakuran nuklear ini adalah proses yang sangat susah nak dibuat kerana manusia masih belum mampu mengawalnya.

Tapi, kalau manusia dapat mengawal, ia dapat menjadi sumber tenaga yang sangat bagus dan dapat menggantikan gas dan petroleum.

Matahari adalah contoh pelakuran nuklear. Tenaga matahari dihasilkan oleh proses pelakuran nuklear. Jadi, kapal Avalon bergerak berasaskan hasil daripada tenaga yang lebih kurang setanding dengan tenaga matahari.

Setakat ini, manusia sedang mencipta sebuah peralatan yang dipanggil ‘tokamak’ untuk menghasilkan proses pelakuran nuklear melalui proses elektromagnetik.

 

4. Kapal Avalon dan Kapal Titanik

Konsepnya lebih kurang sama. Cinta antara dua darjat dan kedua-dua kapal mengalami kerosakan akibat pelanggaran.

Dalam Titanik, cinta melibatkan seorang anak yatim miskin dan seorang wanita daripada kelas atasan. Avalon pula percintaan antara seorang mekanik kelas bawahan dan jurnalis daripada kelas atas.

Kapal Titanik dilanngar oleh batu ais gergasi dan kapal Avalon dilanggar oleh asteroid gergasi.

Yang berbezanya, kapal Titanik tak selamat dan kapal Avalon selamat. Dan dalam Passengers tak ada ‘You jump, I jump‘.

 

5. Aplikasi Graviti

Kalau kau orang perasan, tempat tidur, tempat makan, ataupun senang cerita tempat-tempat yang dapat dilalui oleh manusia dalam kapal tersebut sebenarnya sedang berpusing.

Tapi Jim dan Aurora tak rasa diri mereka berpusing dan terumbang-ambing. Sebabnya pusingan kapal Avalon itu yang menyebabkan adanya ‘graviti’.

Graviti ini cumanya rekaan. Ia tak sama dengan maksud graviti yang sebenarnya. Graviti rekaan adalah pemahaman ke atas konsep ‘manusia yang tidak terapung’.

 

6. Perlindungan Berasaskan Medan Magnet.

Ingat tak masa awal-awal, kapal Avalon ini mempunyai perlindungan daripada sebarang bahaya seperti sisa-sisa angkasa macam batu meteor dan asteroid.

Sebenarnya, kapal ini menghidupkan medan magnet sama seperti Bumi. Konsepnya sama, medan magnet Bumi juga turut memberikan perlindungan kepada Bumi daripada angin solar Matahari.

Akibat pelanggaran ini, terhasillah aurora yang selalu kita nampak di Bumi.

Kapal Avalon ini aplikasi hal yang sama iaitu medan magnet sebagai bentuk perlidungan. Tap Bumi hasilkan medan magent secara semula jadi dan Avalon pula hasilkan medan magnet berasaskan sumber tenaga nuklear.

 

7. Takdir Jim

Cerita ini banyak sembang pasal takdir. Ada sebab kenapa ditakdirkan Jim hidup lebih awal. Sebelum malapetaka ke atas Avalon berlaku, Jim telah usik-usik sebahagian besar sistem kapal dan faham sistemna.

Yelah, dia seorang mekanik. Pada waktu kerosakan Avalon semakin serius, Jim dapat memainkan peranannya sebagai seorang mekanik untuk menyelamatkan kapal dan 5000 manusia lain yang sedang tidur.

Kita pun macam itulah. Bila kita ditakdirkan sesuatu, awalnya memang kita tak nampak. Tapi lama-lama kita akan sedar kenapa kita berada di situ pada peringkat awalnya.

Kredit kepada Asilah Jamil untuk perkongsian info. 

Comments

comments

Previous articleDari Mana Datangnya Nama Malaysia?
Next articleNinja Terakhir Ialah Seorang Jurutera
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here