Lawang Sewu, Tugu Muda dan Kisah Pertempuran Lima Hari Semarang

0
1141
views

Petang itu, Ali dan Zaini ke Kota Lama Semarang, aku pula masih di bilik hotel, bergelut dengan masalah sakit perut yang kronik. Namun, aku terpaksa gagahkan juga untuk ke Lawang Sewu kerana petang itu adalah peluang terakhir aku berputaran di Kota Semarang. Bukan selalu diri ini ke Semarang, aku bisikkan ke hati yang agak sedikit gusar itu.

Maka, ke Lawang Sewulah aku…

Jika anda ke Semarang, tidak lengkap jika tidak ke Lawang Sewu. Ianya adalah mercu tanda yang paling terkenal di bandar ini.

Lawang Sewu asalnya adalah bangunan yang didirikan oleh penjajah Belanda pada tahun 1904. Ia merupakan pejabat Nederlands-Indische Spoorweg Maatschappij (NIS), sebuah syarikat persendirian yang mengendalikan keretapi di antara Jawa Tengah dan Yogyakarta.

Lawang Sewu dari luar

Lawang Sewu bermaksud ‘Pintu Seribu‘ kerana kelihatan seperti banyak pintunya tetapi tidaklah sampai seribu. Namun, pintunya memang banyak ditambah pula rekabentuk jendela yang agak panjang mungkin nampak seperti pintu dari kejauhan.

Foto Stasiun Kereta Api Tawang, Semarang di Lawang Sewu. Stesen kereta api pertama di Indonesia

Pada masa pendudukan Jepun di Semarang, Lawang Sewu ini telah menyaksikan berlakunya pertempuran hebat di antara ahli Angkatan Muda Kereta Api (AMKA) menentang Kidobutai dan Kempetai, iaitu cabang polis tentera Jepun yang sebenarnya lebih mirip kepada unit risikan.

Bahagian dalam Lawang Sewu

Pertempuran yang dikenali sebagai Pertempuran Lima Hari ini berlaku dengan sengitnya di Lawang Sewu. Agak panjang lebar jikalau hendak diceritakan akan kejadian pertempuran ini namun disingkatkan, ianya terjadi apabila tentera Jepun yang baru menyerah kalah telah melarikan diri dan berkubu di suatu tempat bernama Jatingaleh. Sepatutnya mereka ini ditahan di Bulu, Jawa Tengah.

Lukisan Pasar Senen di Lawang Sewu

Perkhabaran kemudiannya bertebaran mengatakan tentera Jepun meracun sumber air kegunaan harian penduduk Kota Semarang (Jalan Wungkal) menyebabkan seorang doktor yang prihatin bernama Dr. Kariadi telah ke sana untuk menjalankan ujian. Malangnya, beliau dibunuh kejam oleh tentera Jepun.

Maka, berlakulah penentangan tindak balas oleh penduduk tempatan bagi menuntut kematian Dr. Kariadi dan juga lapan orang anggota polis yang disiksa dan dibunuh kejam di Reservoir Siranda tersebut.

Pintu Seribu’ di Lawang Sewu

Menurut Rosihan Anwar, wartawan dari Jakarta yang tiba di Semarang pada 7 Januari 1946, beliau menyatakan kira-kira 2,000 orang terkorban dalam pertempuran di antara tentera Jepun yang diketuai oleh Mejar Kido dan pemuda Semarang itu. Lima hari tersebut merupakan peristiwa pahit lagi perit yang tidak pernah dilupakan oleh masyarakat Semarang.

Kini sebuah tugu telah dibina di sana yang dinamakan Tugu Muda.

Tugu Muda yang dibangunkan pada tahun 1952 bersebelahan dengan Lawang Sewu merupakan tanda peringatan di atas jasa dan pengorbanan mereka yang terlibat dalam pertempuran ini. Ianya dirasmikan pleh Presiden Soekarno pada 20 Mei 1953.

Sebuah hospital dinamakan sempena Dr. Kariadi yang tewas demi memastikan kesejahteraan penduduk Semarang.

Antara urban legend yang terkenal di Semarang ialah penampakan hantu tentera Jepun dan Belanda yang berkeliaran di Lawang Sewu pada waktu malam. Ceritanya seperti hantu Jepun di Malaysia juga.

Begitulah sedikit kisah Lawang Sewu dan Tugu Muda yang berkait rapat dengan sejarah Belanda dan penentangan terhadap Jepun.

Aku tutup kisah Lawang Sewu, Tugu Muda dan Pertempuran Lima Hari Semarang ini dengan sebuah laungan semangat yang menjadi bait-bait suci para pemuda Mranggen sebelum mengangkat senjata menentang kolonial Jepun hingga tertitisnya darah merah sang patriot-patriot megah ini.

Gempur, Semarang rebut kembali
Itu janji kita setiap hari
Janganlah mundur setapak kaki
Sampai kita bekerja kembali
Garis depan dan belakang pun eratkanlah tali
Ingatlah berjuang jangan saling sakiti
Tunjukkan suatu bukti
Tanda pengorbanan yang suci
Gempur, rebut terus, maju
Kita harus bersatu padu
Gempur, rebut terus, maju
Kita harus bersatu

Rujukan: Sejarah Pertempuran Lima Hari; Panitia Penyusunan Sejarah Lima Hari Di Semarang (Keputusan Walikotamadya Semarang No. 1682/WK/’74); 1977; Suara Merdeka Semarang

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here