Pertempuran Mutah: Khalid Al-Walid Menyelamatkan Tentera Islam

0
3169
views

Tentu ramai antara kita yang tertanya-tanya tentang bagaimana gelaran Pedang ALLAH berjaya dimiliki oleh Khalid Al-Walid sendiri. Semuanya berpunca daripada Pertempuran Mutah itu sendiri di mana Khalid Al-Walid berjaya muncul sebagai seorang penyelamat yang menyelamatkan tentera muslim diambang kekalahan total.

Semuanya bermula ketika Rasulullah menghantar utusan ke Bani Ghassan, menjemput Al-Haarith ibn Umayr, yang merupakan pemimpinnya untuk memeluk Islam. Namun, Bani Ghassan membalas jemputan Rasulullah dengan pembunuhan utusan tersebut. Mahu menuntutbela dan menghukum Bani Ghassan ke atas onar yang ditaburkan, maka Rasulullah menghantar 3, 000 orang tentera yang diketuai oleh Zaid bin Harithah. Sempat lagi Rasullulah berpesan sekiranya Zaid syahid, maka Jaafar bin Abi Talib akan mengambil alih tanggungjawab sebagai komander. Sekiranya Jaafar turut syahid, maka Abdullah bin Rawahah akan mengambil tanggungjawab. Sekiranya nasib yang sama turut menimpa Abdullah, maka terpulang pada tentera Islam untuk memilih pengganti.

Ketika mara untuk menuntut bela, Byzantine telah membantu sekutu Arab mereka dengan menghantar dalam 100, 000 ribu orang tentera. Namun, banyak sejarawan meragui angka 100, 000 hingga 200, 000 ribu orang yang dicatatkan ini kerana ketika itu Byzantine baru sahaja pulih daripada perang yang panjang lagi memenatkan melawan Parsi. Banyak tentera mereka yang terkorban dalam perang panjang ini. Tambahan pula, dalam perang panjang ini mencatatkan bahawa jumlah tentera yang dikerahkan oleh Byzantine sekitar 60, 000 orang. Bahkan kalau dihimpunkan seluruh tentera dari seluruh Empayar Byzantine, jumlah tentera Byzantine belum tentu mencecah angka 200 ribu orang. Maka, untuk berlaku adil dalam ini, saya katakan bahawa angka yang dimiliki oleh tentera Byzantine ialah sekitar 10, 000 orang atau mungkin juga kurang. Apa-apa pun. Jumlah tentera yang dimiliki oleh Byzantine masih mengatasi jumlah tentera Islam.

Setiba sahaja di Maan yang terletak di wilayah Syam, dikatakan bahawa tentera Islam bermesyuarah terlebih dahulu memandangkan terdapat khabar tentera kekuatan yang dimiliki oleh Byzantine menandingi kekuatan yang dimiliki oleh tentera Islam. Selepas bermesyuarah, ada sahabat yang mencadangkan agar dikirimkan surat kepada Rasulullah agar dikirimkan tentera tambahan buat mengiringi mereka, dalam masa yang sama, Abdullah bin Rawah dicatatkan telah berucap seperti berikut.

“Wahai kalian! Demi ALLAH, sesungguhnya apa yang kalian takutkan kerana inilah masa untuk memburu syahid. Kita tidak memerangi manusia kerana banyaknya kekutatan tentera dan senjata, tetapi kerana agama yang telah memuliakan kita. Bangkitlah kalian memerangi musuhmu kerana sesungguhnya, tidak lain bagi kita melainkan salah satu daripada dua kebaikan, iaitu menang perang atau syahid!”

Pertempuran antara dua pihak pun bertembung dengan sangat dasyat. Akhirnya, Zaid bin Harithsa menemui syahid lalu Jaafar bin Abi Talib seperti mana yang diamanahkan oleh Rasulullah, telah mengambil alih peranan sebagai komander perang. Begitu hebatnya perjuangan Jaafar sehinggakan tangan kanannya putus, lalu dia memegang bendera tentera Islam dengan tangan kiri, namun tetap putus juga ditebas musuh lalu dia cuba memegang bendera dengan dadanya sehinggalah dia juga syahid. Dikatakan ketika ditemukan tubuh Jaafar, terdapat 90 luka yang berpunca daripada pedang, busur dan tombak. Meski kedua-dua tangannya hilang, ALLAH telah menjanjikan Jaafar di syurga nanti akan memiliki sayap dan mampu terbang ke mana sahaja di dalam syurga kelak.

Abdullah bin Rawahah ialah komander ketiga tentera Islam dicatatkan mengangkat bendera yang gugur dari tangan Jaafar bin Abi Talib. Namun, beliau turut dijemput oleh ALLAH untuk menghadapnya. Maka ketika itulah para tentera muslim sepakat memilih Khalid Al-Walid sebagai penjulang panji tentera Islam yang seterusnya. Disinilah bakat Khalid Al-Walid sebagai seorang jeneral dan komander tentera yang hebat terbukti. Benaknya terbukti melahirkan akal-akal yang genius. Maka, tanggungjawab untuk menyelamatkan tentera Islam terletak di atas bahu Khalid Al-Walid. Tetapi bagaimana Khalid Al-Walid memastikan bahawa tentera Islam mampu pulang hidup-hidup memandangkan kekuatan tentera Byzantine benar-benar menafikan kemenangan berpihak kepada mereka?

Khalid Al-Walid telah menukarkan formasi tenteranya sekerap mungkin. Pasukan hadapan akan ditukarkan ke belakang, dan pasukan belakang ke berubah ke posisi hadapan. Begitu juga dengan sayap kanan dan kiri bertukar tempat silih berganti. Ini dilakukan demi menunjukkan gambaran kepada pasukan Byzantine kononnya terdapat bantuan ketenteraan dari Madinah. Dalam masa yang sama juga, dicatatkan bahawa Khalid Al-Walid telah mengerahkan beberapa orang tentera muslim agar berjalan dari arah kejauhan sambal menarik pelepah-pelepah pokok agar nanti dengan helah itu, akan menimbulkan efek debu yang berterbangan di maat tentera musuh, menyakinkan tentera Byzantine bahawa tentera Islam sedang menerima bantuan.

Dicatatkan selepas itu, Khalid memaksa tentera Islam berundur ke Mekah, namun ketika pengunduran itu, tentera Byzantine tidak menyertai pertempuran kerana takutkan perangkap yang akan menanti mereka, dalam masa yang sama, mereka menjadi gerun dengan helah Khalid Al-Walid yang membuatkan tentera Islam baru sahaja menambah ketumbukan tentera dan ketumbukan tentera yang baru dan segar akan menjadi mimpi ngeri buat mereka sekiranya berperang di bentuk muka bumi yang asing seperti di padang pasir Tanah Arab.

Comments

comments

Previous articleSimbolisme Tembok Ratapan Yahudi
Next articleMari Menafsir Lagu “Tanya Sama Itu Hud Hud” – M Nasir
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here