Ong Sum Pin – Berdarah Cina Menjadi Raja Di Kerajaan Melayu?

0
2655
views

MENGUAK pintu sejarah zaman ketahtaan Negara Brunei yang bermula daripada pemerintah pertama iaitu Sultan Muhammad Shah akan terselit beberapa nama ikon hebat yang menampilkan betapa besarnya pengaruh Kerajaan Brunei dan Negara Tembok Besar China dahulukala.  Ong Sum Ping atau Huang Senping atau turut dikenali dengan nama Pengiran Maharaja Lela dari Brunei merupakan ikon yang mempunyai perkaitan langsung apabila berbicara mengenai keakraban hubungan diplomatik ini.

Gah namanya Ong Sum Ping ini turut menghiasi cerita legenda pelbagai versi di kalangan masyarakat Brunei yang mana kegagahannya diceritakan di dalam legenda si naga kemala sakti di Gunung Kinabalu iaitu puncak tertinggi di Malaysia sekarang.  Bukan itu sahaja cerita Ong Sum Ping ini juga turut dicatitkan dengan pelbagai di dalam manuskrip sejarah Brunei itu sendiri.

Menteri, pemerintah tentera dan juga Sultan kedua Negara Brunei Darussalam merupakan antara yang mewarnai ceritera Ong Sum Ping ini.  Berketurunan Cina dan asalnya dari Negara Tembok Besar China yang akhirnya memainkan signifikasinya tersendiri di dalam sejarah Brunei suatu waktu dahulu sememangnya amat menarik untuk kita ketahui.

Ong Sum Ping Di Dalam Cerita Legenda Masyarakat Brunei

Menurut cerita legenda yang diperturunkan secara lisan di kalangan masyarakat Brunei, ikon Ong Sum Ping ini mempunyai pelbagai versi penceritaannya.  Dan sejajar dengan waktu juga setiap cerita lisan mengenai Ong Sum Ping turut didokumenkan  bagi memastikan ianya tidak hilang dimamah waktu.

Versi Karangan Pehin Sri Orang Kaya DiGadong

Diceritakan bahawa Ong Sum Ping merupakan seorang berpangkat Menteri kepada Maharaja Cina dari Dinasti Ming.  Beliau telah diutuskan oleh Maharaja China untuk mengambil sebuah kemala naga yang diatas satu bukit yang bernama China Balu.  Bersama dengan beliau adalah seorang lagi Menteri yang bernama Ong Bong Kong.  Dek kerana naga yang hendak didepani merupakan seekor naga yang ganas maka terpaksalah Ong Sum Ping menggunakan tipu muslihat untuk mendapatkannya.

Maka disinilah timbulnya idea untuk mencipta sebuah peti kaca dan didalam peti kaca tersebut akan disimpan sebatang lilin besar yang apabila dibakar akan menampakkan satu peti kaca yang bercahaya yang juga seolah-olah kemala naga itu sendiri.  Oleh kerana kediaman naga itu terletak di puncak yang tinggi maka Ong Sum Ping telah menggunakan layang-layang besar untuk membawa peti kaca tersebut ke gua naga di puncak bukit China Balu.

Setelah sampai ke gua naga kebetulan si naga sedang tidur nyenyak.  Maka dengan secara senyap-senyap, Ong Sum Ping telah mengambil kemala tersebut lalu meletakkan peti kaca yang sudah dibakar lilinnya agar naga itu beranggapan kemalanya masih padanya.  Usai mengambil kemala maka dengan cepatnya Ong Sum Ping dan Ong Bong Kong beredar ke bahtera mereka yang siaga menunggu di kaki bukit China Balu.

Tersedar dari lenanya, barulah si naga mendapat tahu bahawa kemalanya telah hilang dan digantikan dengan kemala palsu (peti kaca).  Maka bermulalah episod si naga mengejar kedua-dua menteri dari China ini sehingga ke bahtera mereka.  Sekali lagi dengan kepintaran Ong Sum Ping pula telah membakar beberapa biji besi seakan-akan peluru lalu dimasukkan ke dalam mulut naga yang telah siaga memuntahkan laharnya.  Dan kerana kepanasan lahar bercampur dengan peluru besi maka ianya meletup sendiri di dalam badan naga lalu menyebabkan naga itu mati di kaki Bukit China.

Sementara itu lain pula ceritanya usai beradu kekuatan dan kepintaran dengan si naga, Ong Bong Kong pula ingin menjadi hero sendiri.  Diketika inilah Ong Bong Kong telah mengugut Ong Sum Ping untuk menyerahkan kemala itu kepadanya atau bahtera mereka akan dirosakkan oleh beliau dan tentera yang menyokongnya pada ketika itu.

Dek kerana tidak mahu berbalah ditambahlagi kemala itu adalah permintaan daripada Maharaja China maka Ong Sum Ping telah menyerahkannya kepada Ong Bong Kong untuk membawanya kembali ke China dan mendapat nama.  Kerana terlalu kecewa dengan permainan rakan menterinya maka dikatakan beliau telah membawa diri ke Brunei dan seterusnya berkhidmat dengan Sultan Muhammad Shah.  Bertemu jodohnya dengan Puteri Ratna Dewi, puteri Sultan Muhammad Shah dan dikurniakan dengan seorang puteri.  Seterusnya beliau menggantikan ayahanda mertuanya selepas kemangkatannya dengan menggunakan gelaran Sultan Ahmad, pemerintah Brunei yang kedua.

Selain versi dari Pehin Orangkaya Digadong, versi Pengiran Kamaluddin Sabtu pula tidak jauh berbeza. Cuma dua individu yang disebutkan adalah Ong Sum Ping dan Ong Kang. Dan caranya pada mulanya memberi makan si naga sampai kekenyangan dengan membawa lembu dan kerbau yang banyak. Tapi sayangnya taktik itu tidak berjaya kerana si naga tidak pernah kenyang pula. Lalu tanglung dibuat dan dibawa ke gua si naga dan langsung tidak menyebut Ong Sum Ping yang membawanya sebaliknya hanya seorang tentera.

Versi Pengiran Kamaluddin Sabtu ini juga menyebut bahawa Ong Sum Ping memujuk Ong Kang untuk pergi mengembara di Borneo tetapi ditolak oleh Ong Kang hingga membuatnya merajuk. Dalam perjalanan itulah dikatakan beliau tersesat sehingga menyangka Gunung Mulu itu adalah Bukit China.  Akhirnya beliau menetap di Brunei dan akhirnya mengahwini seorang puteri Sultan lalu diangkatnya menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahanda mertuanya.

Terdapat juga versi Ong Sum Ping ditukar namanya menjadi Awang Santing.  Dan akhirannya tidak menyebut Awang Santing sebagai pemerintah Brunei selepas itu.  Manakala untuk versi Ong Sum Ping ditampilkan dengan nama Wang Sunting pula, jalan cerita yang sama mengenai cara untuk mengambil kemala sakti daripada si naga Cuma berbeza dengan pengakhirannya iaitu Wang Sunting berkahwin dengan puteri Sultan Muhammad Shah tetapi hanya diberi gelaran sebagai Pengiran Maharaja Lela tetapi bukan menjadi sultan kedua Brunei Darussalam.

Lain pula yang berlaku kepada cerita legenda Ong Sum Ping versi Datu Imam Yaakub dan Khatif Haji Abdul Latif.  Walaupun jalan ceritanya hampir sama dengan apa yang pada versi satu Pehin Sri Orangkaya DiGadong tetapi tidak menampilkan Ong Sum Ping sebagai pemerintah Brunei.  Diceritakan yang diangkat menjadi Sultan Ahmad adalah saudara kepada Sultan Muhammad Shah iaitu Pateh Berbai sebagai penggantinya.

Ong Sum Ping Di Dalam Bukti Manuskrip Sejarah

Untuk bukti-bukti sahih berdasarkan rujukan manuskrip kuno dan tinggalan sejarah pula, perkaitan Ong Sam Ping banyak didominasi dengan namanya dicatatkan sebagai Huang Senping iaitu nama asalnya sebelum ditukar ke Ong Sam Ping mengikut sebutan Hokien.  Ini dapat diperjelaskan di dalam Pensejarahan Brunei di dalam bab Sejarah Dinasti Ming yang memperkatakan siapakah Huang Senping.

Ianya menyebut Huang Senping berkunjung ke Brunei pada tahun 1375 sebagai salah seorang pemimpin tentera di dalam rombongan Maharaja China yang dikuasai oleh Dinasti Ming pada waktu itu.  Disebutkan bahawa Huang Senping berasal daripada wilayah Fujian, China dan mengahwini seorang golongan bangsawan Brunei lalu diberikan nama Pengiran Maharaja Lela.  Kemudian Huang Senping diangkat pula menjadi pemimpin di Kinabatangan lalu memperturunkan generasi kaum Cina yang ada di Kinabatangan sekarang.

Dan hal ini dibuktikan lagi bagaimana di ketika Perang Saudara Brunei yang berlaku pada tahun 1661 sehingga 1673 juga ada pernah menyebut bagaimana Sultan Abdul Hakkul Mubin telah berjanji memberikan wilayah utara Borneo termasuk Kinabatangan kepada Sultan Sulu.  Wilayah ini diberikan sebagai galang ganti kepada Sultan Sulu yang membantunya di dalam perang saudara tersebut sehingga beroleh kemenangan.

Selain itu di dalam manuskrip yang ditulis oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612 iaitu Sejarah Melayu turut pernah menyebut mengenai Huang Senping.  Dicatitkan bahawa Huang Senping telah menggantikan ayahanda mertuanya untuk menjadi sultan kedua Brunei Darussalam dengan menggunakan gelaran Sultan Ahmad.  Dan ini sejajar dengan apa yang didapati di dalam manuskrip “Salasilah Raja-raja Barunei” yang mula ditulis di ketika pemerintahan Sultan Muhammad Hassan.  Baginda memerintah dari tahun 1582 hingga 1598 Negara Brunei Darussalam.

Namun begitu ini amat berlainan jika kita merujuk ke “Batu Tarsilah Brunei” yang menjadi rujukan sejarah Brunei sehingga sekarang. Ianya ditemui pada tahun 1807 di Brunei.  Tiada petunjuk yang mengatakan bahawa Huang Senping itu adalah pemerintah Brunei. Sebaliknya yang ditampilkan saudara pengasas pertama Brunei Darussalam sebagai pemerintah seterusnya yang bergelar Sultan Ahmad.

Melalui jurnal pengembaraan pula, sekitar awal kurun ke 20 masihi, pernah ada seorang saudagar dari Tembok Besar China iaitu yang bernama Huang Zhuoru mencatatkan bahawa beliau menemui satu makam besar yang lokasinya terletak hampir dengan ibu negeri Brunei pada masa itu.  Menurut catatannya menyatakan makam tersebut mempunyai ukiran tulisan China yang tertulis “Makam Komander Huang”.

Kemudian seorang saudagar China dari Guangzhou bernama Huang Qhuo Qi pada tahun 1942 turut menceritakan yang sama iaitu telah menjumpai makam Huang Senping.  Cuma masalahnya walaupun tercatit pada jurnal pengembaraan namun sehingga sekarang ianya tidak pernah ditemui dimanakah lokasinya yang sebenar-benarnya.

Begitulah alkisahnya Ong Sum Ping yang masih kekal menjadi misteri di dalam kita cuba untuk mengenali ikon bersejarah Brunei ini. Ramai yang mempercayai bahawa beliau hanya dongengan semata-mata dan tidak kurang yang berkata bahawa beliau yang berdarah Cina pernah menjadi “Raja” di sebuah kerajaan Melayu.

Keunikan cerita sejarah Ong Sum Ping dilestarikan dengan nama Jalan Ong Sum Ping yang merupakan satu-satunya nama jalan berasaskan nama Cina di Brunei sehingga sekarang.  Manakala untuk Negara kelahirannya pula, satu terumbu karang di Laut China Selatan dinamakan “Senping Reef” bagi memberi penghormatan atas peranan Ong Sum Ping di dalam merealisasikan hubungan diplomatik China dan Brunei yang berlangsung berabad lamanya.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

Tarsilah Brunei – Sejarah Awal dan Perkembangan Islam. – Muhammad Jamil Al-Sufri (1990)

Civil War Wrecks Chaous In The Country – Brunei Times by Rozan Yunos (2008)

Golden Dragon and Purple Phoenix: The Chinese And Their Multi-Ethnic Descendants in Southeast Asia – Lee Khoon Choy (2013)

Sejarah Pengasasan Dan Asal Usul Kerajaan Brunei Berdasarkan Sumber Lisan – Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here