Apakah Yang Menjadikan Superman Manusia Biasa?

0
1799
views

Aku sudah tonton filem ‘Superman V Batman: Dawn of Justice’. Macam biasa, nak tahu cerita, pergi tonton filem itu sendiri. Dalam filem ini ada suatu babak di mana perbincangan mengenai ethics (falsafah moral) dapat dibincangkan dengan lebih jauh.

Dalam filem itu, ada babak di mana Superman menghadapi dilema sama ada untuk selamatkan ibunya ataupun membiarkan Batman hidup. Kalau Superman tidak membunuh Batman, Lex Luthor akan membunuh ibunya. Dalam kebanyakan filem, babak ini akan menjadikan kedua-duanya selamat. Tetapi dalam kehidupan dan situasi sebenar, dilema sebegini memang selalunya tidak menjanjikan kita mampu puaskan kedua-duanya.

Etika mempunyai tiga aliran utama iaitu utilitarian, deontologi, dan etika kemurnian (virtue ethics). Secara ringkas, justifikasi utilitarian melihat kebaikan berdasarkan akibat. Deontologi melihat pada perlakuan sama ada betul ataupun salah. Beza antara dua etika ini adalah utilitarian lebih pada ‘good‘, ‘happines‘ dan ‘pleasure‘. Deontologi pula lebih pada ‘right‘ atau ‘wrong‘ suatu tindakan itu. Etika kemurnian pula tindakan atau pendekatan yang sederhana (golden mean) daripada dua pendekatan ekstrem.

Dengan memahami definisi ringkas ketiga-tiga aliran tersebut, kita dah boleh nampak keputusan Superman terhadap situasinya tadi. Anda boleh menilainya sendiri. Pandangan awal saya, kalau utilitarian, mungkin Superman akan memilih untuk selamatkan Batman sebab hidupnya Batman boleh selamatkan lebih ramai orang. Jadi, akibatnya lebih baik. Tetapi dalam aliran deontologi dan etika kemurnian, ia akan menjadi konflik. Membiarkan kedua-duanya terbunuh adalah salah. Malah, membiarkan salah seorang terbunuh pun salah.

Apa yang menjadi kelemahan ketiga-tiga teori moral ini adalah mereka dapat menentukan tindakan apa yang betul dan salah. Tetapi mereka lemah dalam membandingkan tindakan apa yang betul. Di sinilah munculah teori pertimbangan (Judgement theory) yang pernah diusulkan oleh Immanuel Kant.

Teori ini menyatakan, Superman perlu membuat pertimbangan tanpa melihat sebarang bentuk piawan dalam ketiga-tiga aliran tersebut. Teori-teori moral tadi mempunyai ‘formula’nya tersendiri dalam mengambil tindakan. Teori pertimbangan ini meminta Superman untuk keluar daripada ‘formula’ tersebut dan membuat keputusannya berdasarkan kompas moralnya sendiri. Ia agak ironi apabila datang daripada Kant yang merupakan seorang deontologis.

Selepas teori ini, Superman akan menghadapi satu perkara lagi iatu Dilema Tragik (tragic dilemma). Katakanlah, Superman membuat keputusan untuk menyelamatkan ibunya, dan Batman pun mati. Ataupun sebaliknya. Yang penting salah seorang akan mati. Dilema tragik ini memberitahu Superman tidak akan keluar daripada situasi itu dengan ‘tangan yang bersih’ (clean hand) walaupun menurut moral kompasnya, tindakan yang diambil itu tetap terbaik. Senang cerita ada pro dan kontranya dalam keputusan yang diambil.

Kalau Batman mati, jenayah di Gotham mungkin semakin meningkat. Kalau ibunya mati, mungkin dia akan dibenci oleh orang di kampung halamannya, orang yang terdekat dengannya. Mungkin ibunya mempunyai fungsi yang besar di Smallvile lalu menjadikan fungsi itu tertutup apabila ibunya mati. Ini salah satu situasi. Lalu, mana-mana keputusan yang diambil oleh Superman, ia akan membuatkan Superman menyesal dan rasa bersalah.

Ada lagi situasi yang menarik dihadapi oleh Superman dalam komiknya. Superman pernah bergaduh dengan Lois dalam suatu situasi mengenai penutupan kilang bahan kimia. Menurut moral kompas Superman, dia tak mahu kilang itu ditutup sebab ia akan menyebabkan orang yang bekerja di situ akan kehilangan pekerjaan mereka. Mereka pula orang yang susah, ada keluarga untuk disara.

Tetapi moral kompas Lois adalah mendedahkan kebenaran tanpa mengira apa pun akibatnya. Sebab Lois adalah jurnalis yang mempunyai moral mendedahkan kebenaran adalah prioriti tertinggi. Kilang tersebut telah mencemarkan alam sekitar, jadi Lois mahu mendedahkan kepada media supaya kilang itu ditutup. Di sinilah berlakunya konflik kompas moral antara Lois dan Superman.

Berbalik pada soalan di atas, apakah yang membuatkan Superman itu manusia? Apabila Superman menghadapi masalah, mungkin dia lebih mudah menyelesaikan masalahnya kerana kuasa yang dimiliki jauh lebih berkuasa berbanding manusia. Tetapi berkuasa macam mana pun Superman, dia tetap akan menghadapi dilema moral sama seperti manusia. Dilema moral dan konflik yang dia sendiri tak mampu hadapi dengan mudah walaupun mempunyai kuasa supermower.

Sumber: The Blackwell Philosophy & Pop Culture Series

Comments

comments

Previous articleDonald Of Arabia
Next articleApakah Yang Anda Lakukan Kalau Burung Berhenti Bernyanyi?
Zamir Mohyedin sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang fizik. Telah menerbitkan karya-karya fizik, sejarah dan falsafah. Selain dalam penyelidikan, beliau juga terlibat dalam penulisan, penterjemahan dan penyuntingan manuskrip. Berminat dalam bidang sains, falsafah, sejarah dan psikologi.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here