Rene Descartes: Falsafah Skeptisme

0
927
views

Anda sedang bersiar-siar di taman, cuba mencari ketenangan di sebalik hiruk pikuk bandar metropolitan. Tiba-tiba, seorang pemuda datang kepada anda dan meletupkan dirinya. Kesemua manusia yang berdekatan, termasuk anda, menjadi mangsa letupan tersebut. Anda dapat merasakan bahang api membakar kulit anda sehingga hangus, serpihan besi membenam jauh ke dalam daging dan organ-organ mencair tak berupa.

Tak lama selepas itu, anda kembali sedar dan perasan, anda hanya bermimpi. Mujur semua itu hanyalah mimpi. Anda bingkas bangun daripada tidur dan bersiap untuk kerja. Namun, kemalangan berlaku dan anda menjadi mangsanya. Sekali lagi, rupa-rupanya, anda hanyalah bermimpi. Anda bersyukur itu hanyalah mimpi.Walau bagaimanapun, satu soalan menerpa minda anda. Macam mana kalau realiti yang sekarang ini, yang sebenar-benarnya, ya, realiti di mana anda sedang membaca artikel ini, juga ialah mimpi?

Selamat datang ke pengenalan falsafah Skeptisisme! Sekitar penghujung Zaman Renaissance Eropah, seorang polimath agung Perancis telah menulis karya agungnya yang bertajuk ‘The  Discourse on the Method’ yang memperkenalkan konsep rasionalisme dalam pengkajian. Nama tokoh tersebut ialah Rene Descartes. Mungkin anda tak kenal dengan beliau, tapi kalau saya sebut ‘Cartesian Plane’ atau satah Cartesan, pasti semua orang akan kenal. Terutamanya bagi sesiapa yang tak suka matematik. Ya, beliaulah pencipta satah berkenaan.

Gambar 1: Satah Cartesian yang sangat berguna dalam dunia koordinat

Saya sambung kembali tentang falsafah skeptisisme. Dalam buku Discourse, Descartes membentangkan ideanya tentang semua idea sepatutnya dipersoalkan. Seperti analogi yang saya ceritakan di atas, macam mana kalau realiti yang anda rasa sekarang, hanyalah mimpi? Sebagai contoh lain, cuba anda imbas kembali tentang filem ‘The Matrix”. Pada mulanya, Neo berasa sangsi tentang dunia, seperti ada yang tak kena. Kelak, Neo mendapat tahu bahawa realiti yang dirasakan oleh Neo, rupa-rupanya ialah palsu dan realiti sebenarnya ialah dia merupakan bahan api bagi robot kecerdasan buatan (A.I)!

Gambar 2: Neo bangkit dari tidurnya yang lama dalam bahan jana kuasa, hanya untuk menyedari realitinya selama ini adalah palsu! (The Matrix, 1999)

Jadi, saya tanya balik, adakah realiti sekarang yang anda tengah rasakan, betul-betul realiti? Barangkali realiti yang sebenarnya ialah anda hanyalah otak di dalam balang. Mungkin akan ada segelintir pihak yang mengatakan ini benda karut. Hal ini kerana deria anda dapat menangkap stimulus, anda mampu merasakan sakit, panas, masam dan bau busuk. Maknanya, realiti yang membolehkan anda merasai benda-benda ini ialah realiti sebenar. Walau bagaimanapun, anda tak boleh menolak realiti yang anda tengah rasa ini hanyalah simulasi. Dalam contoh yang lebih senang, saya yakin semua orang pernah bermimpi terjatuh bangunan. Bukankah mimpi tersebut sangat realistik? Deria anda bagaikan berfungsi ketika bermimpi berkenaan.

Descartes ada perkenalkan satu permasalahan bernama Permasalahan Lilin. Lilin secara umumnya ialah objek pejal berdasarkan deria anda. Namun, apabila lilin dicairkan, ia akan berubah bentuk menjadi cecair. Ini mencetuskan persoalan. Sebelum ini, deria anda mengatakan lilin ialah objek pejal, sekarang sudah menjadi cecair! Jadi, yang mana satu yang benar-benar betul? Oleh disebabkan begitu, Descartes sendiri bersikap skeptik dengan deria kerana tak konsisten. Jadi sekarang, apa benda yang dianggap sebagai benar-benar realiti?

Sebelum saya menyentuh jawapan Descartes berkenaan hal ini, izinkan saya untuk menyentuh persoalan sama yang telah dikeluarkan oleh ilmuwan Islam agung bernama Ibn Sina. Ibn Sina ada menulis tentang eksperimen pemikiran di mana seorang manusia yang terjatuh di ruang yang kelam dan luas. Di ruang ini, segala benda yang mampu merangsang deria seperti bunyi, tak wujud. Oleh sebab derianya tak mampu merasakan persekitaran luar, manusia ini menyoal sama ada dia ni benar-benar sedar atau tidak. Oleh kerana dia mampu menyoal soalan tersebut, maka dia sedar kerana hanya benda sedar sahaja yang boleh berfikir.

Descartes terus membuang semua benda yang diraguinya sampailah beliau bertemu dengan noktah persoalannya. Beliau perasan, ada tiga benda yang sememangnya tak boleh diragukan. Pertama ialah Tuhan dan kedua ialah matematik. Hal ini demikian kerana entiti dan objek berkenaan ialah mutlak, takkan mampu dipersoalkan. Benda terakhir yang tak boleh diragukan ialah kewujudan manusia. Nampak macam pelik, kenapa nak persoalkan kewujudan manusia? Izinkan saya untuk ceritakan kenapa ianya kompleks.

Semasa Descartes meragui dan menyoal kesemua objek di realiti sekarang, beliau mendapati bahawa beliau tak mampu meragui pemikirannya sendiri. Mana mungkin soalan itu wujud tanpa minda yang berfikir? Beliau juga mendapati, segala konsep pandangan alam dan paradigma wujud melalui minda. Oleh itu, minda ialah realiti. Oleh sebab itu, Descartes wujud. Cogito, Ergo Sum. Aku berfikir, maka aku wujud. Descartes bertemu noktah yang sama dengan Ibn Sina.

Signifikan bagi falsafah ini ialah rasionalisme dan bagi saya, falsafah ini sangat perlu disuburkan di Malaysia demi mentong-sampahkan fahaman pseudo-sejarah, pseudo-sains dan juga juak bebalisme tahi politik paleolitik. Orang kita kuat bercakap tentang mahukan Malaysia yang maju, tapi tiada tak ramai yang mahu berfikir dengan rasional tentang isu-isu semasa, seterusnya menjadi mangsa benda khurafat dan politik. Pada masa yang sama, kita mempunyai ramai pelajar dan graduan universiti yang belajar semata-mata untuk benda lain seperti kerja. Sepatutnya, ilmu ditimba kerana ilmu! Contohnya, semua orang tahu tentang Pi dalam matematik, tapi tak ramai tahu daripada mana datangnya rumus berkenaan Pi. Semua orang tahu cahaya ialah benda terpantas di dunia, tapi kenapa terpantas? Inilah signifikan rasionalisme.

-A. Akmal

 

Comments

comments

Previous articleMembongkar Mitos Hang Tuah Itu Cina?
Next articleJom Kenali Lohong Hitam
Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here