Soyuz – Legenda Angkasa Perang Dingin

3
1864
views

Bilamana Amerika Syarikat berjaya mendaratkan angkasawan ke Bulan melalui program Apollo, Russia pada masa sama turut membangunkan program Luna dalam misi menjadi kuasa pertama yang menghantar manusia ke jiran samawi kita.

Dalam program Luna, tumpuan diberikan kepada dua segmen kapal angkasa yang asalnya akan menghantar kosmonaut ke Bulan.

Ini merupakan titik permulaan lahirnya kapal angkasa Soyuz yang kini memasuki generasi kelima.

Bermula sebagai kapal angkasa yang ditakdirkan untuk menghantar kosmonaut ke Bulan, Soyuz dibina dengan 3 modul utama yang bercantum antara satu sama lain, yakni modul orbital, modul servis dan modul kemasukan semula. Ia asalnya akan digandingkan dengan modul Luna Koralb yang merupakan modul pendarat Lunar dimana kedua-duanya dilancarkan dengan dua roket yang berbeza dan bergabung di orbit sebelum meneruskan perjalanan ke Bulan.

Rekabentuk yang diusulkan saintis roket Sergei Pavlovich Korolev

Ini mengambil asas dari modul Vostok yang juga hasil idea beliau, dengan gandingan roket Soyuz sebagai pemacu utama modul tersebut. Modul circumlunar Soyuz 7K adalah kapal angkasa bagi ekspedisi ke Bulan yang mampu menampung dua orang krew dalam satu satu misi.

Ia berevolusi menjadi Soyuz 7K-L1 yang memperlihatkan banyak kelemahan dan kegagalan bagi generasi asal Soyuz ini.

Disebabkan terbatalnya program Luna dan bermulanya program stesen angkasa Salyut, perubahan dan naiktaraf dibuat dan menghasilkan generasi pertama Soyuz 7K-OKS. Siri Soyuz ini terlibat dengan pengoperasian bersama stesen angkasa Salyut dan stesen angkasa tentera Almaz sehingga tamatnya program stesen angkasa tersebut.Dalam fasa ini, naiktaraf sistem tujahan, ruang krew yang dapat menempatkan 3 orang kosmonaut serta penambahbaikan dari segi sistem komputer mewujudkan Soyuz-T yang merupakan generasi ke empat, diikuti Soyuz-TM, Soyuz-TMA dan varian terkini Soyuz TMA-M.

Kesemua kapal angkasa Soyuz dari generasi pertama hingga yang terkini dilengkapi panel suria, sesuatu yang agak janggal pada kapal angkasa ketika eranya (Apollo dan Gemini tidak mempunyai panel suria untuk membekalkan kuasa) yang mana panel suria ini memberikan Soyuz kelebihan dari segi penjanaan kuasa elektrik dan tidak memerlukan saiz yang besar bagi menempatkan bahan api atau sumber kuasa seperti mana yang terdapat pada kapal angkasa lain.

Soyuz telah mengalami banyak modifikasi dan naiktaraf sepanjang ia mula digunakan sejak era 60an lagi.

Walaupun Soyuz sangat boleh diharap, ia tidak bermakna tiada langsung insiden kemalangan berlaku kepada kapal angkasa tersebut serta kosmonaut yang terlibat.

Pada 24 April 1967, Vladimir Komarov, kosmonaut KSSR sewaktu program Voshkod tewas setelah modul kemasukan semula yang beliau pandu mengalami kegagalan ketika pembukaan payung terjun, menyebabkan modul beliau menghentam permukaan Bumi pada kelajuan 80 kilometer persaat. Ia adalah kemalangan pertama Soyuz yang melibatkan kematian angkasawan.

Kemalangan kedua turut melibatkan fasa kemasukan semula ke atmosfera dimana, kompartmen krew mengalami nyah mampatan tekanan udara secara tiba-tiba, mengakibatkan 3 orang kosmonaut tewas. Ia merupakan kematian kosmonaut pertama yang berlaku di garisan Karmann, dan kesemua kosmonaut ditemui dalam keadaan tidak bernafas semasa modul mereka mendarat dengan selamat dan ditemui pasukan pencarian.

Walaupun adanya insiden, purata misi pelancaran dan misi pendaratan Soyuz dikira lebih banyak yang berjaya, hasil dari pengajaran yang dipelajari dari insiden-insiden serta kemalangan yang berlaku. Program naik taraf yang dibuat sebilang masa juga menjadikan kapal angkasa ini sangat digemari angkasawan dan para jurutera kerana ia ringkas dan boleh diharap.

Dari modul misi ke Bulan, kepada kapal angkasa ulang alik bagi menghantar kosmonaut ke beberapa siri stesen angkasa Salyut dan kemudian Mir, kepada modul tanpa manusia seperti Zond yang digunakan untuk tujuan pencerapan dan ekspedisi inter planetari, modul kargo Progress yang di pandu secara autonomi tanpa kawalan manusia, sehinggalah pada hari ini, generasi terkini Soyuz TMA-M yang menjadi tenaga kerja utama Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) yang bertindak sebagai kapal angkasa yang membawa angkasawan, kargo dan juga sebagai modul penyelamat stesen tersebut.

Soyuz TMA adalah kapal angkasa yang digunakan untuk membawa angkasawan negara kita Dr Sheikh Muzaphar Shukor pada 10 Oktober 2007 ke Stesen Angkasalepas Antarabangsa.

Mempunyai ruang untuk 3 orang kosmonaut serta jangka hayat sehingga 6 bulan diangkasa lepas jika disandarkan kepada Stesen Angkasalepas Antarabangsa, Soyuz menyediakan alternatif penghantaran pergi dan pulang angkasawan di stesen angkasa.

Tugasan yang dipikul sejak program stesen angkasa Salyut dan Almaz kemudian diikuti oleh Mir dan akhirnya ISS, Soyuz tanpa gagal menjadi komuter angkasa lepas ke pos-pos orbital ini sehingga hari ini.

Modul orbital Soyuz serta saudara robotiknya Progress mampu menyediakan perkhidmatan kepada agensi angkasalepas seperti NASA, ESA dan JAXA dari segi penghantaran angkasawan dan kargo.

Terus gagah meneroka angkasa lepas dengan bantuan roket Soyuz yang merupakan sistem utama penghantaran modul kapal angkasa tersebut, Soyuz memperlihatkan rukun rekabentuk jurutera dan saintis Russia yang mudah dan sangat boleh diharap selain ia juga mempunyai ciri-ciri modular yang membolehkan naik taraf, pengubahsuaian serta penambahbaikan dibuat tanpa menjejaskan modul asal.

Selama hampir 50 tahun, Soyuz kekal bertahan. Ia menjadi platform persahabatan angkasa lepas yang memperlihatkan usahasama Amerika dan Russia untuk bersama-sama membangunkan teknologi angkasa lepas melalui program Apollo Soyuz.

Silih berganti Apollo telah pun tamat pengoperasiannya, diikuti Shuttle yang menjadi kebanggaan Amerika yang terus berkhidmat membawa pergi dan pulang para angkasawan sehingga tamat pengoperasiannya pada tahun 2011, kapal angkasa Soyuz masih lagi terbang dan masih lagi digunakan sehingga artikel ini ditulis.

Selain Soyuz, Progress yang juga dibina berasaskan modul Soyuz tetapi bersifat autonomi sepenuhnya serta khusus sebagai pengangkut kargo serta trak sampah bagi ISS, juga banyak memberikan kemudahan kepada ISS serta krewnya.

Era Soyuz juga semakin menghampiri penghujungnya, dengan kewujudan kapal angkasa yang sama sepertinya dari segi rukun guna semula dan keringkasan rekabentuk.

Dimasa akan datang, generasi terkemudian akan mendengar perkataan seperti Orion, Cygnus dan Dragon, serta nama-nama seperti ATV dan HTV sebagai galang ganti legasi Soyuz dan Shuttle.

FJ

Comments

comments

3 COMMENTS

  1. dulu si Adi Putra genius math cakap dia nak cipta satelit suatu hari nanti…sekarang dia dah besar..agak agaknya jadi ke idea dia tu ???

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here