Apa Akan Jadi Pada Satelit Bila Dah Rosak Atau Tua?

0
5870
views

Istilah ‘dunia tanpa sempadan’ merujuk kepada era globalisasi atau arus kemodenan teknologi sekarang yang semakin berkembang dengan pesat. Tak dapat dinafikan, teknologi seperti telefon bimbit pintar dan kemudahan capaian internet antara bukti manusia sekarang semakin maju. Begitu mudah untuk seseorang menghubungi rakan atau sanak-saudara yang berada nun jauh di benua Eropah dengan bantuan teknologi kini.

Pernah tak pembaca terfikir macam mana telefon bimbit pintar berfungsi? Macam mana internet boleh digunakan secara meluas? Dan macam mana Waze dan Google Maps berfungsi? Ini semua terjadi kerana satelit yang telah dihantar ke luar Bumi. Bagi yang meminati rancangan dokumentari seperti National Geographic dan History mungkin tahu bagaimana satelit berfungsi.

Bagi yang bakal tahu, satelit terbahagi kepada tiga iaitu Satelit Komunikasi, Satelit Cuaca dan Satelit Eksplorasi.

Satelit Komunikasi berfungsi sebagai alat yang menghantar isyarat ke penerima (receiver) di Bumi. Satelit Komunikasi mengawal isyarat telefon, komunikasi mobile, komunikasi kapal ke daratan dan isyarat radio serta televisyen.

Satelit Cuaca bertindak menghantar dan melaporkan data kepada Pakar Meteorologi. Maklumat seperti suhu, taburan hujan, kelajuan angin dan corak awan dihantar bagi membantu mereka meramal keadaan cuaca.

Akhir sekali ialah Satelit Ekplorasi. Ia berfungsi untuk meng-explore Bumi dan planet lain di angkasa. Buat pengetahuan pembaca, gambar-gambar permukaan Bumi dan planet lain seperti Bulan dan Marikh semuanya ditangkap oleh satelit ini. Satelit Ekplorasi ini sebenarnya memudahkan kerja para astronomi untuk membuat kajian terhadap bintang-bintang dan angkasa raya.

Sekarang pembaca mesti sudah tahu bagaimana satelit berfungsi bukan? Walaupun satelit ini merupakan teknologi canggih namun setiap ciptaan manusia itu ada tempoh hayatnya tersendiri. Manusia pun jatuh sakit inikan pula mesin buatan manusia.

Satelit juga akan rosak seperti mana mesin basuh dan TV lama di rumah kita rosak. Satelit yang rosak atau ‘terlalu tua’ akan dilupuskan dengan dua cara iaitu biarkan satelit jatuh ke Bumi dan terbakar dengan sendiri atau menghantar satelit lebih jauh dari orbit Bumi.

Tanah Perkuburan Angkasa Lepas

Satelit yang berdekatan Bumi akan diperlahankan dan dibiarkan satelit itu jatuh ke Bumi. Ia akan terbakar apabila memasuki atmosfera Bumi kerana berlaku pergeseran. Satelit bersaiz kecil akan terbakar sepenuhnya sehingga tinggal abu sahaja tapi stesen angkasa yang bersaiz besar tidak akan terbakar sepenuhnya. Sebab itu, mereka telah pilih satu tempat untuk jadikan tempat ‘persemadian’ satelit lama dan stesen angkasa.

Jauh dari luar pantai timur New Zealand, kira-kira 3300 kilometer di dalam Lautan Pasifik terdapat satu tempat yang dinamakan Point Nemo yang bermaksud ‘tiada sesiapa’ dalam bahasa Latin. Idea pemilihan tempat untuk pelupusan satelit adalah mesti jauh dari penempatan manusia dan sebolehnya tak ganggu juga hidupan marin. Point Nemo dipilih kerana kedudukannya strategik iaitu jauh dari mana-mana hidupan.

Kedudukan Point Nemo/ Perkuburan Stesen Angkasa. Imej dari Amusing Planet

Walaupun kedudukan Point Nemo di lautan tetapi fenomena Southern Pacific Gyre yang merupakan arus pusaran lautan terbesar menghalang nutrien dari persisiran pantai dari sampai ke Point Nemo. Jadinya, tiada nutrien atau zooplankton/phytoplankton untuk hidupan marin makan di situ. Tiada makanan, maka tiadalah ikan-ikan di situ. Point Nemo boleh dikatakan tempat terasing tanpa ada hidupan.

Antara tahun 1971 sehingga 2016, lebih dari 263 ‘tinggalan’ telah disemadikan di Point Nemo. Pada 23 Mac 2001, telah berlaku ‘pengebumian’ terbesar dalam sejarah. Stesen angkasa Rusia seberat 135 ton bernama Mir telah dijatuhkan selepas 15 tahun berkhidmat. Ketika stesen angkasa itu terurai kepada serpihan-serpihan kecil, pembakaran sepanas plasma dapat dilihat dari langit Fiji. Hanya 20 hingga 25 ton dari serpihan-serpihan Mir yang tinggal ketika terhempas dalam lautan.

Stesen Angkasa Mir buatan Rusia. Imej dari Amusing Planet

Tanah Perkuburan Orbit

Cara kedua dalam melupuskan satelit lama pula ialah dengan menghantar satelit-satelit lama jauh dari orbit Bumi yang aktif. Orbit ini hampir sejauh 200 batu jauhnya dari satelit aktif dan sejauh 22 400 batu jauh dari Bumi.

Satelit Cuaca yang diberi nama Meteosat-7 akan ditamatkan perkhidmatannya selepas 20 tahun berkhidmat. Meteosat-7 akan dihantar ke Tanah Perkuburan Orbit untuk dilupuskan. Sebab kenapa Meteosat-7 tidak dibiarkan saja jatuh ke Bumi dan terbakar dengan sendirinya, kerana kedudukan Meteosat-7 yang jauh dari orbit Bumi. Untuk menjimatkan kos, lebih baik hantar Meteosat-7 ke Tanah Perkuburan Orbit.

Meteosat-7. Imej dari EUMETSAT

Pemilihan untuk menghantar Meteosat-7 ke Tanah Perkuburan Orbit juga ditentukan oleh Pertubuhan Pengstandardan Antarabangsa atau International Organization for Standardization (ISO). Kata Klinc yang merupakan Jurutera Penerbangan Dinamik di Agensi Operasi Global Satelit (EUMETSAT), “Meteosat-7 mungkin mencecah 500km hingga 600km atas kawasan orbit yang dilindungi.”

Kemudian, satelit ini akan membuang sebanyak mungkin sisa propellant, mencabut bateri, melepaskan muatan dan mematikan peralatannya dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan Orbit yang jauh dari orbit aktif.

Kata Klinc lagi, Tanah Perkuburan Orbit bukanlah orbit tunggal tapi lebih kepada sebuah kawasan. Tempat itu juga bukan tempat ‘persemadian’ satelit lama yang kekal. Kita mungkin akan mengutip dan mengumpul semua satelit lama suatu hari nanti kerana kawasan tersebut sudah dipenuhi dengan sisa satelit dan stesen angkasa.

RUJUKAN

https://spaceplace.nasa.gov/spacecraft-graveyard/en/

http://www.amusingplanet.com/2017/02/point-nemo-spacecraft-cemetery.html

http://www.space.com/36358-old-satellite-destined-for-graveyard-orbit.html

 

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here