Ada Apa Pada Huruf R Sebutan Orang Melayu?

0
3676
views

Baru selesai mengumpul data sebutan pelakon dari filem Antara Dua Darjat (1960) dan dari beberapa episod drama Love You Mr. Arrogant.

Kenapa filem dan drama ini terpilih? Sebab pembolehubah tidak bersandar dalam kajian saya adalah status sosioekonomi. Kedua-dua karya mempunyai konflik utama berkisarkan darjat dan status.

Apa tajuk kajian saya? Belum sempurna tetapi berkisarkan sebutan [r] dalam Bahasa Melayu.

Pada asalnya hipotesis saya adalah ‘Variasi sebutan [r] dalam Bahasa Melayu dalam kalangan orang Melayu Malaysia mempunyai hubungkait dengan status sosioekonomi mereka’. Teorinya adalah wanita yang datang dari latar belakang sosioekomi yang lebih tinggi cenderung untuk menggantikan sebutan [r] dengan [ɹ] kecuali pada kedudukan [r] di akhir perkataan kerana bunyi [r] itu lumrahnya digugurkan oleh kebanyakan penutur (untuk perbezaan bunyi [r] dan [ɹ] boleh rujuk carta IPA). Cuma secara mudah, bunyi [ɹ] ni adalah bunyi [r] yang asing bagi Bahasa Melayu, ala-ala loghat BI Amerika, lidah bergulung, mulut muncung.

Pada asalnya saya hanya ingin membandingkan cara sebutan antara watak kelas atasan dan kelas bawahan dalam drama LYMA tapi pensyarah menyarankan saya membandingkan evolusi Bahasa Melayu berdasarkan zaman. Maka saya baru mula mengumpul data dan menonton filem ADD buat kali pertama semalam.

Analisis belum dibuat tetapi pemerhatian awal sudah timbul dalam fikiran dan hipotesis sememangnya perlu diubah seiring dengan perubahan fokus kajian.

Antara dapatan awal:

1) Sebutan BM setakat zaman 60an amat mirip dengan sebutan orang tua-tua dari Singapura pada hari ini.

2) Semua huruf dalam BM setakat sekitar tahun 60an disebut sebutir-sebutir sepertimana ia dieja WALAU dalam bahasa perbualan biasa. Huruf [r] di hujung perkataan masih disebut contohnya “campur”, “fikir”, “keluar”, “kotor” yang mana dalam sebutan BM perbualan hari ini:

campur > campo
fikir > fike
keluar > kelua/ keluo
kotor > koto

3) Dialek BM Singapura dan Indonesia pada hari ini masih banyak mirip BM terdahulu dari segi fonologi. BM Malaysia sudah sangat banyak berubah dalam jangka masa serupa, menjauhi sistem ejaannya sendiri.

4) Huruf [r] BM Malaysia hari ini seakan dipengaruhi oleh sebutan BI Amerika dalam kes [r] > [ɹ] . Keaslian sebutan [r] pudar.

5) Sebutan [r] dalam semua konteks (di awal perkataan, di hujung suku kata, di akhir perkataan dan lain-lain) mempunyai sebutan yang stabil setakat sekitar 60an. Kesemua [r] dibunyikan secara konsisten dan tiada varian lain. Sebutan [r] BM hari ini mempunyai beberapa variasi seperti [ɣ] (bunyi -gh- dalam maghrib) maka kita dapati sebutan [rumah] mungkin menjadi [ghumah] dan satu lagi variasi semestinya varian asal saya, [ɹ] iaitu seperti yang anda kerap dengar di corong radio dan kaca televisyen apabila selebriti terutamanya seakan pelat [r] dan bunyi ‘mat saleh’.

6) Sedikit tersasar daripada topik [r] tetapi penting untuk diketengahkan, semua vokal /a/ dalam BM setakat 60an masih kekal /a/ dan tidak menjadi /ə/ contohnya: [kata] tidak menjadi [katə].

Nota: Kenyataan di atas adalah berkenaan Bahasa Melayu piawai, tidak melibatkan dialek setempat/daerah seperti Perak, Kelantan, Melaka dan lain-lain. Bahasa Melayu piawai di Malaysia adalah Bahasa Melayu Johor-Riau menurut buku-buku kajian bahasa dan linguistik (masih terbuka untuk perdebatan).

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here