Siri Bedah Konspirasi: Perang Dunia – Konspirasi Freemason/Illuminati?

0
4351
views

Bagi peminat Teori Konspirasi, segala peperangan dan kekacauan di dunia adalah angkara Freemason dan Illuminati, termasuk Perang Dunia Pertama (WW1) dan Perang Dunia Kedua (WW2). Peperangan dicetuskan untuk membina New World Order.

Antara bukti yang digunakan ialah satu ‘meme’ di Internet yang menunjukkan seorang Freemason bernama Albert Pike telah meramalkan tiga perang dunia dalam sepucuk surat bertarikh 15 Ogos 1871. Menurut petikan kata-kata Pike, WW1 adalah rancangan Illuminati untuk memusnahkan Jerman agar Zionis dapat berkuasa; WW2 pula merupakan rancangan untuk memusnahkan Fasis yang menentang Zionis; dan WW3 adalah rancangan untuk menghasut Zionis dan umat Islam berperang agar kedua-duanya musnah dan Lucifer (Iblis) akan menjadi pemenang terakhir.

Meme Albert Pike

Sehingga hari ini, tiada sesiapa pernah menjumpai surat tersebut yang asal. Kandungan surat tersebut hanya dapat dibaca dalam buku ‘Pawns in the Game’ nukilan William Guy Carr, seorang penulis teori konspirasi berbangsa Amerika pada tahun 1956. WW1 (1914-1918) dan WW2 (1939-1945) telah berlaku sebelum itu, jadi nak berteori macam mana pun boleh. Zionis pun telah berperang dua kali dengan orang Arab (tahun 1948 dan 1956). Jadi dakwaan Carr bukanlah ramalan pun.

Yang jadi persoalan ialah mengapa Freemason dan Illuminati perlu bersusah payah mengorbankan berpuluh juta manusia untuk mencapai New World Order, sedangkan mereka boleh sahaja memilih jalan yang lebih mudah seperti kawalan minda? Kalau cuaca pun mereka mampu memanipulasi (mengikut teori HAARP), ini pula minda manusia. Adakah Freemason mempunyai terlalu banyak masa lapang? Dan untuk mencetus perang bukan semudah andaian teori konspirasi. Perang selalu berlaku akibat kesalahan perhitungan dan di luar jangkaan manusia.

Ada cara yang lebih logik untuk memahami punca perang dunia dan meramal sama ada akan berlakunya Perang Dunia Ketiga (WW3), iaitu geopolitik (geopolitics) dan imbangan kuasa (balance of power) dalam hubungan antarabangsa.

Walaupun WW1 selalu dilihat sebagai pertembungan di antara Britain dan Jerman yang masing-masing mengetuai pakatan Allied Powers (Britain, Perancis, Rusia, Itali, Amerika) dan pakatan Central Powers (Jerman, Austria-Hungary, Turki Uthmaniyyah), Britain tidak mencetuskan perang tersebut secara langsung. Yang menjadi punca peperangan ialah permusuhan antara Jerman dan Rusia. [1]

Kedudukan geografi Jerman di antara Perancis dan Rusia menyebabkan ia mempunyai risiko dikepung oleh Perancis dan Rusia sekiranya perang berlaku. Perancis memusuhi Jerman sejak tahun 1871 setelah kekalahan dalam Franco-Prussia War. Perdana menteri Jerman, Otto von Bismarck cuba mengekalkan hubungan baik dengan Rusia untuk mengimbangi Perancis. Namun selepas Bismarck meletak jawatan, pewarisnya gagal meneruskan dasar Bismarck dan membuka ruang kepada pembentukan pakatan Perancis-Rusia pada tahun 1894.

Pada 28 Jun 1914, berlaku peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand, putera mahkota (Archduke) Empayar Austria-Hungary di Sarajevo, Bosnia. Pembunuh adalah seorang nasionalis Serbia yang menuntut kemerdekaan Bosnia daripada pemerintahan Austria-Hungary. Austria-Hungary mengisytiharkan perang ke atas Serbia. Atas hubungan Jerman dan Austria-Hungary sebagai sekutu, Jerman juga mengisytiharkan perang ke atas Serbia. Pengisytiharan perang tersebut mengundang campur tangan Rusia yang melihat diri sebagai penaung kepada rumpun etnik Slav, termasuk orang Serbia. Rusia mengisytiharkan perang ke atas Jerman, diikuti oleh Perancis.

Pada mula-mulanya Britain masih belum masuk gelanggang. Hanya selepas Jerman menyerang Perancis melalui Belgium pada 4 Ogos 1914, baru Britain menyertai pakatan Perancis-Rusia, kerana Britain melihat mana-mana negara yang menguasai Belgium akan mampu mengancamnya. Amerika pula hanya menyertai WW1 pada tahun 1917, selepas terdedahnya rancangan Jerman untuk menubuhkan pakatan dengan Mexico kerana sebuah pakatan Jerman-Mexico akan mengancam keselamatan Amerika secara langsung.

Eropah semasa WW1

WW1 tamat dengan kekalahan Central Powers. Persidangan Keamanan Paris diadakan pada tahun 1919 untuk ‘menghukum’ negara-negara yang kalah. Wilayah Jerman, Austria dan Turki Uthmaniyyah dipecahkan kepada negara-negara kecil sebagai negara penyangga (buffer states) di antara Jerman dan Rusia. Perjanjian Versailles menuntut Jerman untuk membayar pampasan perang yang tinggi dan itu telah menanam dendam orang Jerman terhadap orde dunia pasca-WW1.

Eropah pasca WW2

Hitler diangkat sebagai pemimpin Jerman kerana dia berjanji untuk mengoyak Perjanjian Versailles. Percubaan Hitler untuk merampas kembali tanah-tanah Jerman yang hilang selepas WW1 menimbulkan kebimbangan di kalangan kuasa-kuasa besar. Britain dan Perancis memberi jaminan kepada Poland bahawa mereka akan mengisytiharkan perang ke atas Jerman sekiranya berlaku konflik antara Poland, maka WW2 tercetus pada 1 September 1939. Amerika hanya menyertai perang selepas kejadian Pearl Harbor pada 7 Disember 1941 setelah diserang oleh Jepun, sekutu Jerman di Asia.

Eropah menjelang WW2

Selepas WW2 tamat, Britain dan Perancis tidak mampu lagi menerajui orde dunia akibat kekuatan ketenteraan dan ekonomi mereka telah dihabiskan oleh dua perang dunia. Amerika dan Rusia (Soviet) muncul sebagai adikuasa baru dalam dunia. Amerika dan Soivet bermusuhan bukan sahaja atas faktor ideologi (Amerika kapitalis, Soviet komunis) tetapi juga atas faktor geopolitik. Amerika dan Soviet masing-masing membina blok atau lingkup pengaruh dan bersaing untuk menguasai negara-negara di antara dua blok.

Namun WW3 ditangguhkan kerana adanya senjata nuklear. Potensi kemusnahan akibat perang nuklear menyebabkan kedua-dua adikuasa tidak berani untuk berperang secara langsung. Keadaan ini dinamakan sebagai Perang Dingin (Cold War). Jadi, Amerika dan Soviet hanya berperang melalui proksi, seperti dalam Perang Korea antara Korea Utara (pro-Soviet) dan Korea Selatan (pro-Amerika) dan dalam Perang Vietnam antara Vietnam Utara (pro-Soviet) dan Vietnam Selatan (pro-Amerika). Walaupun Perang Dingin tamat pada tahun 1991, persaingan antara Amerika dan Rusia masih berterusan, seperti yang dilihat di Ukraine dan di Syria. Namun faktor nuklear masih menjadi penghalang kepada WW3.

Pembahagian dunia semasa Perang Dingin: biru – blok Amerika, merah – blok Soviet, hijau – blok berkecuali

Sebenarnya kita tidak perlu teori konspirasi untuk memahami perkembangan politik dunia. Apa yang menggerakan politik antarabangsa ialah kepentingan geopolitik kuasa-kuasa besar yang berpautan dengan soal keselamatan negara. Negara umpama organisma yang sentiasa berkembang untuk memaksimakan pengaruh dan keselamatan, sehingga pertumbuhannya terbantut dengan halangan luar atau mencapai keselamatan optima. [2]

Begitu juga dengan Amerika. Amerika tidak berperang demi Freemason, tetapi atas kepentingan geopolitik Amerika. Malah Amerika telah memulakan proses perluasan pengaruh geopolitik sejak akhir abad ke-19, bermula dengan penaklukan ke atas Hawaii pada tahun 1893 dan Filipina pada tahun 1898. [3]

Penaklukan Amerika ke atas Hawaii dan Filipina

Sebelum WW2, orang Amerika walhal elit politik sekali pun tidak memiliki kesedaran geopolitik, mereka beranggapan Amerika sudah selamat dengan dilindungi dua lautan besar iaitu Lautan Pasifik dan Lautan Atlantik. Namun peristiwa Pearl Harbor mengubah fikiran elit, maka berlaku anjakan paradigma dari isolasionis ke arah internasionalis. Golongan konservatif yang tidak senang dengan perubahan ini mula mencipta pelbagai teori konspirasi untuk menentang campur tangan Amerika dalam hal ehwal global.

Majoriti rakyat tidak akan faham geopolitik, namun majoriti rakyat akan mengambil berat tentang poket masing-masing. Maka timbullah teori Federal Reserve yang mengatakan Federal Reserve, bank pusat Amerika adalah dikuasai oleh Banker Yahudi yang merancang peperangan di merata dunia supaya kerajaan berhutang untuk membiayai kos peperangan. Dan untuk membayar balik hutang, kerajaan perlu mengenakan cukai ke atas rakyat. Parti-parti sayap kanan yang anti-cukai seperti Tea Party telah menggunakan teori konspirasi sebagai senjata untuk menentang dasar percukaian, mengaitkan cukai dengan rancangan jahat Banker dan kerajaan untuk menakluk dunia. [4]

Selain itu, juga timbul teori bendera palsu (false flag) yang mengatakan pelbagai tragedi yang telah membawa kepada peperangan merupakan kerja dalaman (inside job). Pendukung teori ini percaya bahawa serangan ke atas Pearl Harbor dan Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center) adalah dirancang untuk mencipta sentimen pro-perang. Walaupun teori bendera palsu bersifat spekulasi, namun ia tidaklah sekarut teori Freemason dan Illuminati dan titik tolaknya adalah geopolitik. Peristiwa 11 September membolehkan Amerika bertapak di Afghanistan, satu tempat yang sangat strategik kerana kedudukannya yang berdekatan dengan China, Asia Tengah (pintu belakang Rusia) dan Iran yang telah dikenalpasti sebagai ancaman Amerika sejak 1990-an.

Apa-apa pun, politik antarabangsa harus dinilai melalui kerangka yang lebih besar iaitu geopolitik. Teori konspirasi yang melihat kuasa-kuasa besar hanya boneka sebilangan manusia berketurunan Anunnaki adalah terlalu sempit dan tersasar dari realiti. Ada yang melihat Amerika sekadar boneka Israel. Namun ada saat-saatnya Amerika tidak pro-Israel, misalnya semasa pemerintahan George H.W. Bush (1989-1992), dan sikap Bush telah menyebabkannya kalah dalam pilihanraya kerana majoriti orang Yahudi tidak mengundi dia. Amerika memerlukan Israel untuk memenuhi percaturan geopolitk Amerika di Timur Tengah, dan Amerika adalah penting bagi keselamatan Israel. [5] Atas itu hubungan mereka dibina. Maka tidak hairanlah Israel mula berbaik-baik dengan Rusia setelah melihat pengaruh Amerika di Timur Tengah semakin merosot di bawah pemerintahan Obama.

Dalam pergelutan geopolitik dunia sejak WW1, umat Islam kelihatan seolah-olah hanya mampu memainkan watak sampingan dan watak mangsa. Umat Islam pernah menjadi kuasa geopolitik yang hebat suatu ketika dahulu, pernah ‘mengetuk pintu’ Eropah semasa Uthmaniyyah, apakah yang menyebabkan kuasa umat Islam merosot? Konspirasi?

Nantikan artikel seterusnya.

Sumber: 

[1] Dale Copeland, Origins of Major War (2001).

[2] Ola Tunander, Swedish-German Geoplitics for a New Century – Rudolf Kjellen’s ‘The State as a Living Organism’ (2001).

[3] Colin Gray & Geoffrey Sloan, Geopolitics, Geography and Strategy (1999).

[4] Kathryn S. Olmstead, Real Enemies: Conspiracy Theories and American Democracy, World War I to 9/11 (2011).

[5] Gabriel Sheffer, Dynamics of Dependence: U.S.-Israeli Relations (1987)

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here