Ahmad Boestaman: Jalan Radikal Menentang Penjajah Inggeris

0
1967
views

Darah rakyat masih berjalan
Menderita sakit dan miskin
Bila datangnya pembalasan
Rakyat menjadilah hakim
Rakyat menjadilah hakim
Ayuh! Ayuh!
Merah panji-panji kita
Merah warna darah rakyat
Merah warna darah rakyat

Agak janggal dan aneh buat kita untuk menyanyikan lagu di atas dalam keadaan hidup yang penuh keselesaan sekarang. Namun lagu inilah yang dinyanyikan oleh Ahmad Boestamam dan anak-anak buahnya ketika berada dalam perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API). Lagu ini merupakan lagu Pemuda Sosialis di Indonesia, dan sebahagian pendapat mengatakan bahawa ini adalah lagu komunis di Indonesia sewaktu revolusi 1946. Betapa kuatnya darah radikalisme yang mengalir dalam denyut nadi Boestamam dalam pendekatannya melawan penjajahan.

Namun, musuh politik Boestamam sering menuduhnya sebagai seorang komunis. Sebenarnya, beliau bukanlah seorang komunis. Bahkan beliau secara bersungguh-sungguh menafikan hal tersebut sehingga menulis sebuah artikel bertajuk “Kenapa Saya Dituduh Komunis” dalam akhbar Fikiran Rakyat. Sebenarnya beliau lebih terpengaruh dengan gerakan Bung Tomo, seorang pemimpin revolusiner Indonesia. Serta pengaruh seorang pemimpin Tentera Nasional India, Subhas Chandra Bose antara paling kuat memandu pemikiran politik Boestamam, terutama pada karangannya dalam Testament Politik API.

Perbezaan Boestamam dan Burhanuddin Helmy

Tidak lengkap rasanya jika tidak menyentuh batang tubuh Dr Burhanuddin Al-Helmy jika mahu mengimbau gerakan dan pemikiran radikalisme Melayu. Ramai orang suka menyamakan Boestamam dengan Burhanuddin. Seolah-olah Burhanuddin itu Boestamam, Boestamam itu Burhanuddin. Sedangkan ideologi dan pemikiran politik mereka jauh berbeza sama sekali walaupun duduk bawah satu bumbung Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Walaupun pada mulanya kedua-dua mereka ini cuba untuk saling memahami atas asas Melayu Raya atau Nusa Melayu yang diperjuangkan bersama. Akan tetapi, sampai suatu masa Boestamam tidak boleh tahan lagi untuk bersama dengan Burhanuddin. Bahkan Boestamam pernah berusaha menyingkirkan Burhanuddin daripada jawatan Yang Dipertua Agung PKMM. Boestamam memberikan alasan menolak kepimpinan Burhanuddin yang ditulis di dalam Merintis Puncak;

“Setelah menimbangkan dalam-dalam kami memutuskan bahawa pimpinan PKMM harus ditukar baru. Kami tidak mengatakan Dr. Burhanuddin, sebagai pemimpin tidak baik, tetapi kami merasa dia lemah sedikit dan kurang revolusiner.”

Bagi Boestamam pendekatan politik Burhanuddin tidak sesuai dengan dasar PKMM. Burhanuddin terlalu bersangka baik dengan orang. Ini signifikan dengan latar belakang Burhanuddin yang berorientasikan Islam dan lemah lembut serta penyayang.

Sehinggakan ada dalam kalangan bekas.anggota PKMM yang masuk parti lawan, iaitu United Malay National Organizatian (UMNO) yang cuba memberitahu Burhanuddin yang mereka tetap dengan perjuangan kiri. Munurut Boestamam, Burhanuddin menyangka semua orang sebaik dan sejujur dirinya, walaupun orang itu terang-terang sudah berpaling tadah kepada perjuangan PKMM dan memasuki parti lawan. Tegas Boestamam;

“Dr. Burhanuddin percaya saja akan kata-kata mereka ini dan memanggil mereka ‘orang kita’. Tidak sekadar itu saja bahkan dia mahu kami pun menerima hakikat itu. Pada mulanya kami tahankan saja tetapi apabila penyakit ‘orang kita’ ini semakin menular kami sudah tidak tahan lagi. Akhirnya perkataan ‘orang kita’ itu sudah menjadi bahan ejekan pula kepada kami.”

Boestamam berusaha mempengaruhi ahli-ahli PKMM untuk menggantikan Burhanuddin dengan Ishak Haji Muhammad dalam kongres PKMM yang ketiga di Singapura. Namun, kredibiliti Burhanuddin dalam PKMM bukanlah sesuatu yang mudah dicabar. Burhanuddin tetap menang pemilihan Yang Dipertua Agung, tetapi dengan majoriti undi yang sedikit berbanding kongres sebelumnya. Boestamam berbangga dengan pencapaiannya dalam melenyapkan kefanatikan ahli PKMM terhadap Burhanuddin.

Usaha Boestamam untuk menyingkirkan Burhanuddin tidak terhenti di situ, tatkala ada seorang ahli PKMM telah bangun untuk mencadangkan jawatan Penasihat Agung diwujudkan. Maka, Boestamam mencuba jalan lain dengan memujuk Burhanuddin agar menerima jawatan tersebut, dan Burhanuddin menerimanya serta merta. Jawatan Yang Dipertua Agung PKMM digantikan oleh Ishak Haji Muhammad.

Menolak Tawaran Lumayan Menjadi Ejen Inggeris

Satu peristiwa yang benar-benar mencabar jiwa radikal Boestamam ialah ketika beliau ditawarkan menjadi British Agent. Peristiwa ini berlaku selepas API diharamkan oleh British pada 17 Julai 1947 dalam Warta Kerajaan Malaya Union. Boestamam terpaksa pulang ke kampung halamannya di Behrang Ulu, kira-kira 8 batu ke utara Tanjung Malim, Perak. Dengan keadaan kehidupannya tidak terurus dan tidak boleh lagi bergiat aktif dalam bidang politik. Seorang pegawai British yang bekerja di Balai Polis Tanjung Malim telah mengambil kesempatan dalam keadaan Boestamam yang begitu untuk memujuknya menjadi mata-mata British.

Boestamam ditawarkan sebanyak $1,000.00 dengan wang tunai atau cek dua kali seminggu. Dengan syarat Boestamam mesti melaporkan aktiviti musuh British ketika itu, termasuklah kegiatan rakan-rakan seperjuangannya dalam PKMM, seperti Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad. Berkenaan apa sahaja maklumat tentang mereka seperti pembiayaan dan hubungan mereka dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Bukan itu sahaja, Boestamam juga dibekalkan dengan senjata, kereta dan sebuah rumah di Kuala Lumpur.

Sudah tentu segala tawaran itu mengiurkan Boestamam. Dengan keadaan yang serba kekurangan dan tekanan yang dihadapinya sangat mencabar integritinya sebagai seorang pejuang radikal. Namun, Boestamam terbayang wajah-wajah rakan-rakan seperjuangannya, katanya;

“Tiba-tiba wajah kedua-dua kawan seperjuangan saya ini terbayang di ruangan mata saya. Tidak, saya tidak sanggup hendak mengkhianati kawan-kawan seperjuangan saya.”

Setelah fikir sedalam-dalamnya, Boestamam menolak tawaran itu. Bahkan langsung tidak memberikan apa-apa jawapan kepada pegawai Inggeris itu. Boestamam terus meninggalkan kampung untuk meneruskan perjuangannya. Ternyata, perjuangan radikalnya bukan calang-calang dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ramai kawan-kawannya yang telah beralih arah menjadi tali barut British kerana dambakan wang dan keselesaan hidup.

Keras Lawan Keras, Senjata Lawan Senjata

Jalan radikal Boestamam terserlah apabila beliau menulis satu buku yang bertajuk Testament Politik API yang siap ditulis pada 21 Disember 1946. Tulisan ini bertujuan menaikkan semangat pemuda-pemuda ketika itu menentang penjajahan melalui jalan radikal dan memberi panduan kepada mereka tentang apa yang perlu dilakukan. Dalam tulisan ini juga diterangkan tentang ideologi API dan senarai orang yang bertanggungjawab di bawahnya. Disini kita boleh lihat pengaruh perjuangan pembebasan penjajahan di Indonesia. Perjuangan pemuda-pemuda Indonesia dalam mempertahankan kemerdekaannya diinspirasikan oleh Boestamam dalam tulisannya. Kata Boestamam;

“Kita tidak usah pergi jaoh-jaoh untuk menchari bokti-nya. Lihat sahaja-lah di-Indonesia sekarang. Bukankah pemuda-pemuda Indonesia yang berdiri di-belakang Negara Republic Indonesia, mempertahankan kemerdekaan itu? Ya! Pemuda-pemuda Indonesia-lah yang berjuang kerana melaherkan kemerdekaan Indonesia.”

“Kita menghadapi penjajahan dengan revolutie. Kita tidak segan membasahi bumi ini dengan darah. Pemuda biar hanchor, asal tanah air menjadi lohor.”

Statement Politik API ini juga terkenal dengan slogan Boestamam yang menggambarkan jalan radikal yang harus dilalui oleh pemuda-pemuda API. Ini juga turut menaikkan semangat pemuda-pemuda untuk berkeras menentang penjajahan.”

“Merdeka pasti Merdeka Merdeka dengan Darah”.

Jalan Radikal Menentang Penjajahan

Boestamam telah melakukan satu usaha menentang penjajahan melalui perspektifnya sendiri. Setiap aliran sebelum merdeka, sama ada golongan yang dilabel sebagai radikal(kiri), kanan, golongan ulama dan sebaegainya. Mereka telah menghabiskan waktu hidup mereka untuk menentang penjajahan. Walaupun dari sudut yang lain kita boleh untuk mempertikaikan cara dan pendekatannya.

Akan tetapi, mereka telah melakukan suatu usaha yang ada nilai perjuangannya yang tersendiri. Boestamam telah melakukan apa yang beliau mampu. Kita mungkin tidak berstuju dengan jalan radikalnya, tetapi hakikatnya dia telahpun berjuang.

RUJUKAN

Ahmad Boestamam, 2004. Lambaian Dari Puncak dalam Memoir Ahmad Boestamam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Ahmad Boestamam, 2004. Merintis Jalan ke Puncak dalam Memoir Ahmad Boestamam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

Ishak Saat, 2015. Radikalisme Melayu Perak 1945-1970. Pulau Pinang: Universiti Kebangsaan Malaysia

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here