Otak Einstein Pernah Dicuri Ketika Kematiannya

0
6268
views

Pada 17 April tahun 1955, Einstein telah dihantar ke hospital di Princeton kerana mengadu sakit dada. Keesokan harinya pada pukul 1 pagi, Einstein dilaporkan meninggal dunia kerana saluran aorta pada jantungnya yang pecah.

Einstein meninggal pada usia 76 tahun. Ketika beliau meninggal, otaknya telah dicuri dan hilang selama 50 tahun. Orang yang melakukan perkara tersebut ialah Dr. Thomas Stolz Harvey kerana beliaulah yang ditugaskan mengkaji punca kematian Einstein setelah Einstein meninggal dunia.

7 jam selepas mengenal pasti punca kematian Enstein, Thomas Stolz telah melakukan autopsi pula ke atas otak Einstein. Namun, apa yang memeranjatkan, Stolz sebenarnya bukanlah seorang pakar bedah otak ataupun pakar otak sekalipun.
Stolz mendakwa dia mendapat kebenaran untuk melakukan autopsi tersebut. Namun, sehingga ke hari ini, surat kebenaran yang didakwa langsung tidak dijumpai.

Ketika melakukan autopsi, Stolz telah mengeluarkan otak Einstein dari kepala, mengukur, menimbang berat dan mengambil gambar-gambar otak Einstein.

Selepas itu, beliau merendamnya di dalam cecair formaldehyde. Tidak cukup dengan itu, Stolz turut mengeluarkan biji mata Einstein dan kemudian diserahkan kepada doktor mata Einstein bernama Henry Adam. Selebihnya, barulah Stolz menyerahkan jasad Einstein bagi tujuan pengebumian (dibakar).

Apa yang dilakukan oleh Stolz benar-benar bertentangan dengan apa yang diwasiatkan oleh Einstein. Sebelum meninggal, Einstein telah memesan agar tubuhnya dibakar bersama-sama dengan otaknya sekali.

Peristiwa ini menyebabkan Stolz hampir dibuang kerja dari Hospital Princeton. Namun beliau berjaya menyelamatkan kerjayanya apabila mendakwa hal autopsi tersebut mendapat kebenaran ( retroactive permission ) daripada anak lelaki Albert Einstein iaitu Hans Einstein.

Namun, apabila pihak hospital meminta otak Einstein dari Stolz, beliau enggan menyerahkannya sebaliknya beliau telah lari dari Hospital Princeton.

Selepas dunia mengetahui otak Einstein dimiliki oleh Stolz, ramai penyelidik telah meminta sebahagian daripadanya bagi tujuan penyelidikan. Antara orang yang memintanya termasuklah Dr. Zimmermann dari New York.

Zimmermann merupakan mentor kepada Stolz dan dalam masa yang sama merupakan doktor peribadi Einstein semasa beliau masih hidup. Namun, Stolz langsung tidak menyerahkannya kepada Zimmermann.

Ramai penyelidik ingin mengkaji otak Einstein bagi mengetahui rahsia kepintaran luar biasa yang dimiliki oleh manusia seperti Einstein. Adakah kecerdasan, kepintaran dan kepandaian lahir di sebabkan oleh genetik atau semata-mata usaha berterusan dari individu itu sendiri? Saintis berharap persoalan ini dapat dirungkaikan apabila mereka membedah dan menyelidiki otak Einstein kelak.

Setelah itu, Stolz telah pergi ke Universiti Pennsylvania di mana dia telah mengerat otak Einstein kepada 240 bahagian. Sebahagiannya diserahkan kepada Zimmerman (sebanyak 6 bahagian) dan sebahagian lagi turut di hantar kepada saintis yang lain.

Ada satu ketika, Stolz telah menghantar sebahagian otak Einstein kepada seorang saintis di Barkeley dengan menggunakan bekas mayonis! Manakala selebihnya disimpan ke dalam 2 bikar yang dipenuhi dengan formalin.

Terdapat beberapa kemungkinan mengapa Stolz melakukan autopsi tersebut. Antaranya kerana beliau telah dipesan oleh Harry Zimmermann sendiri. Namun dakwaan ini ditolak oleh Zimmermann sendiri.

Selepas 40 tahun otak Einstein berada dalam simpanan Stolz, tidak ada satu pun kertas penyelidikan yang dikeluarkan olehnya. Kesudahannya, setelah 40 tahun kemudian Stolz telah membawa otak Einstein di dalam bekas tupperware untuk dipulangkan kepada cucu Einstein bernama Evelyn.

Namun, Evelyn tidak mahu menerimanya. Evelyn juga turut memarahi Stolz apabila beliau secara tidak sengaja tertinggal tupperware otak Einstein di rumahnya. Setelah Stolz meninggal dunia pada tahun 2007, otak Einstein telah disimpan oleh warisnya supaya diserahkan bagi penyelidikan sains.

Pada tahun 2010, pewaris kepada Stolz telah menyerahkan otak Einstein kepada National Museum of Health & Medicine di Washington. Selain dari National Museum of Health & Medicine, serpihan otak Einstein juga boleh dilawati di Mutter Museum, Philadelphia.

Apakah hubungan antara otak dan kepintaran?

Selama 40 tahun otak Einstein disimpan oleh Stolz, tidak ada satu pun hasil penyelidikan dapat dikongsi oleh dunia daripada beliau. Ini bukan suatu benda yang pelik kerana Stolz bukan pakar otak.

Namun, hasil penyelidikan otak Einstein telah berjaya dikeluarkan oleh orang lain bernama Marian Diamond dari UCLA. Marian mengeluarkan hasil kajiannya selepas mendapat 4 bahagian otak Einstein dari Stolz.

Marian mendakwa, otak Einstein mengandungi lebih banyak sel glial atau neuroglia berbanding otak manusia biasa. Neuroglia adalah sel yang memberikan perlindungan kepada sel neuron di otak. Dengan meningkatnya bilangan neuroglia ia menunjukkan kuasa otak seseorang adalah lebih tinggi.

Tetapi kajian ini telah disanggah oleh seorang penyelidik yang lain bernama Dr. Terence Hines. Dr Hines mendakwa kajian yang dilakukan Marian Diamond mengandungi banyak kecacatannya.

Selain dari lebihan neuroglia, terdapat juga dakwaan iaitu saiz otak yang lebih besar adalah petunjuk tahap kepintaran manusia. Namun perkara ini didapati tidak benar juga. Bahkan apa yang berlaku sebenarnya otak Einstein bukan lebih besar sebaliknya lebih kecil sedikit berbanding otak manusia normal.

Namun, perbezaan ini bukanlah sesuatu yang ketara. Secara keseluruhan, otak Einstein sama sahaja dengan manusia yang lain. Jika saintis diberi banyak sampel otak di hadapan mereka, pasti mereka tidak dapat membezakan di antara otak milik Einstein dan otak manusia yang lain. Perbezaannya tidaklah begitu ketara.

Antara bahagian yang berbeza seperti angular gyri iaitu bahagian inferior pariental nya yang lebih besar sebanyak 15% berbanding otak manusia lain. Angular gyri adalah tempat di mana pemikiran abstrak, dan pusat kepada simbol-simbol seperti matematik dan penulisan berada.

Tetapi secara keseluruhannya, otak Einstein tetap kelihatan seperti otak manusia biasa. Tiada yang luar biasa berkenaannya. Jadi, persoalan dari manakah kepintaran Einstein berasal masih menjadi persoalan. Adakah ia disebabkan oleh struktur otaknya yang berbeza – seolahnya tidak, atau kerana faktor Einstein sendiri.

Hal ini pun telah menjadi bukti minda dan jasad adalah dua perkara yang terpisah. Seterusnya, membawa kepada perbincangan falsafah.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here