Siri Bedah Konspirasi: Teori Konspirasi Ialah Israeliyyat Moden?

0
3492
views

Konspirasi bukannya tidak wujud. Asal usul istilah ‘konspirasi’ ialah ‘conspirare’ yang membawa maksud komplot. [1] Pembunuhan Julius Caesar oleh Liberatores adalah konspirasi. Pelan penaklukan Zionis ke atas Palestin adalah konspirasi. Itu semua adalah fakta.

Yang dimaksudkan sebagai ‘Teori Konspirasi’ ialah kepercayaan yang mengaitkan kesemua fenomena akhir zaman dengan Freemason, Illuminati, Rothschild dan New World Order. Dalam artikel pertama hingga ketiga, penulis telah menunjukkan bahawa bagaimana Teori Konspirasi adalah terpaut dengan politik dan digunakan untuk mengkambinghitamkan kelompok-kelompok yang tertentu.

Malah, dakwaan yang diresapi unsur-unsur mistik lagilah jauh tersasar dari realiti. Untuk menjayakan dakyah mereka, mubaligh evangelis seperti Pat Robertson telah mengaitkan New World Order dengan ramalan Jesus (Nabi Isa) tentang akhir zaman.

Orang Islam yang tidak cukup berhati-hati akan tersilap menerima maklumat. Perlu diingatkan bahawa dalam kitab Torah Yahudi dan kitab Bible Kristian juga boleh ditemui kisah-kisah yang hampir dengan kisah-kisah dalam Al-Quran. Riwayat yang bukan berasal daripada Al-Quran ini dikenali sebagai ‘Israiliyyat’ (إسرائيليا). [2]

Contoh Israiliyyat adalah seperti kisah cinta Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis dan Nabi Yusuf dan Zulaikha. Walaupun kedengaran seperti kisah Al-Quran, ia sebenarnya adalah riwayat Israiliyyat yang diterjemah daripada kisah ‘Solomon and the Queen of Sheba’ dan ‘Joseph and Potiphar’s Wife’ yang menyimpang daripada kisah-kisah nabi yang diwahyukan.

Maka dengan itu, jangan hanya disebabkan ada cerita yang menggunakan istilah ‘Firaun’, ‘Namrud’, dan ‘Haikal Sulaiman’, maka kita terus menganggap ia sebagai ‘sumber Islam’. Kebanyakan kisah mengenai Firaun, Namrud dan Haikal Sulaiman yang menjadi zikir harian para pendukung Teori Konspirasi hanyalah cerita yang diterjemahkan dari cerita-cerita Pharaoh, Nimrod dan Solomon’s Temple dalam sumber Kristian. [4]

Teori ‘Namrud (Nimrod) dan Illuminati’ yang melambak di Internet

Kisah Firaun dan Namrud dalam Al-Quran adalah peringatan kepada manusia mengenai keingkaran dan kesombongan mereka terhadap Allah. Akibat takabur, Mereka telah dilenyapkan seperti umat-umat terdahulu seperti kaum Ad dan Thamud. Kisah mereka tidak mengandungi ‘rahsia’ akhir zaman. Kisah mereka tiada kena-mengena dengan Dajjal Al-Masih. Kisah-kisah ini adalah sebagai pengajaran dan pengiktibaran untuk meningkatkan ketakwaan, bukannya ‘ilmu fitan’ atau ‘eskatologi’ untuk mengkafirkan sesiapa yang kelihatan ada kaitan dengan Freemason.

Peninggalan di Bukit Namrud (Nemrut Dag), Turki

Obsesi dengan Firaun dan Namrud tidak datang daripada tradisi orang Islam tetapi daripada Mat Saleh. Di kalangan Mat Saleh ini sebenarnya terdapat golongan yang mengamalkan kepercayaan ‘New Age’ dan ‘Occult’ yang menjadikan dewa-dewi Mesir dan Mesopotamia (Babylon) purba sebagai pujaan. Lama-kelamaan, cerita-cerita mengenai dewa-dewi ini telah dimasukkan ke dalam sastera popular dan menjadi fiksyen konspirasi (conspiracy fiction). [5]

Antara fiksyen konspirasi yang terlaris ialah novel trilogi ‘Illuminatus!’ yang ditulis oleh Robert Shea dan Robert Anton Wilson semasa 1970-an. Kejayaan mereka menjadi sumber inspirasi dan Mat Saleh di Amerika mula berlumba-lumba untuk mencipta fiksyen-fiksyen yang lebih gempak berbanding cerita-cerita Freemason, Illuminati dan Rothschild pada abad ke-19. [6]

Trilogi Illuminatus!

Antaranya seperti David Icke yang menulis The Biggest Secret (1999) yang mendakwa Firaun, Ratu Elizabeth, presiden-presiden Amerika, Rockefeller dan Rothschild sebagai keturunan dewa-dewi Babylon yang dikenali sebagai Annunaki. Fritz Springmeier juga menulis pasal 13 Bloodlines of Illuminati (1998) yang mendakwa elit-elit global termasuk Rockefeller dan Rothschild sebagai zuriat Namrud (Nimrod).

David Icke
Teori 13 Blooodlines Springmeier

Cerita-cerita ini hanyalah imaginasi semata-mata. Namun manusia memerlukan hiburan, maka fiksyen konspirasi mempunyai pasaran yang luas, malah tidak kurang juga penulis fiksyen konspirasi yang berkualiti seperti Dan Brown yang menulis tentang Templars dalam The Da Vinci Code dan Illuminati dalam Angels and Demons. Namun, fiksyen tetap fiksyen. Akidah dan kepercayaan orang Islam tidak boleh disandarkan kepada fiksyen.

Penulis agak tertarik dengan istilah ‘Israiliyyat moden’ yang diguna oleh Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi. Istilah tersebut digunakan oleh Dr. Solah untuk merujuk kepada ‘khurafat, pembohongan, penipuan, propaganda, khabar angin dan riwayat-riwayat yang tidak sah tarafnya’. [7] Jika diteliti siapakah pencipta pelbagai teori konspirasi, maka tidak keterlaluan untuk menyifatkan cerita-cerita tentang New World Order ini sebagai Israiliyyat moden. Agak sedih apabila terdapat ramai orang Islam yang menganggap cerita main-main dalam fiksyen konspirasi sebagai ‘ilmu’, malah menjadi obses dengan simbol-simbol ‘occultist’ seperti piramid dan Anubis. Malah ada yang terikut-ikut dengan Mat Saleh memanggil Iblis dengan nama ‘Lucifer’. Kesan Teori Konspirasi terhadap orang Islam buat penulis tertanya-tanya: adakah fiksyen konspirasi ini sebenarnya sejenis ‘Israiliyyat moden’ yakni jarum harus orang Yahudi dan Kristian untuk mengelirukan fikrah umat Islam?

‘Tapi, tuan hanya fokus kepada kritikan sumber (source criticism), tapi tidakkah apa yang berlaku di dunia ini nampak seolah-olah ada konspirasi oleh tangan tersembunyi (hidden hand)?’

Tunggu artikel yang seterusnya.

Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Peter Knight, Conspiracy Theories in American History: An Encyclopedia (ABC-CLIO, 2003).

[2] Mohd Nazri Ahmad & Muhd Najib Abdul Kadir, Israiliyyat: Pengaruh Dalam Kitab Tafsir (Utusan Publications, 2004)

[3] Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, Isra’iliyyat Dan Hadith Palsu Dalam Kitab-Kitab Tafsir (JAKIM, 2006).

[4] Michael Barkun, A Culture of Conspiracy: Apocalyptic Visions in Contemporary America (University of California Press, 2013).

[5] Emma A. Jane & Chris Fleming, Modern Conspiracy: The Importance of Being Paranoid (Bloomsbury, 2014).

[6] Carole M. Cusack, Invented Religions: Imagination, Fiction and Faith (Routledge, 2016).

[7] Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, Israiliyyat Moden (Jundi Resources, 2012).

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here