Badiuzzaman Said Nursi: Ulama Pejuang Islam Turki

0
2963
views

Bismillahi al-Rahman al-Rahim

Alhamdulillah diucapkan kerana saya berpeluang untuk mengenali Imam Badiuzzaman Said Nursi dengan lebih mendalam melalui latihan industri di Hayrat International Student Association, Hayrat Foundation, Istanbul, Turki. Selama saya berada di Turki dalam tempoh latihan industri ini, saya telah banyak didedahkan dengan tokoh pejuang Islam yang amat terkenal dan disegani iaitu Imam Badiuzzaman Said Nursi melalui sebuah organisasi yang sememangnya diasaskan oleh anak-anak murid beliau sendiri.

Nama Badiuzzaman Said Nursi bukanlah nama tokoh Islam yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini kerana rakyat Malaysia lebih berkiblatkan ulama-ulama dari Mesir, Syria, Sudan dan negara-negara Arab yang lain. Faktor ini sedikit sebanyak menghalang penuntut ilmu agama Malaysia untuk mengenali Badiuzzaman Said Nursi, perjuangannya dan penulisannya.

Sekiranya ditanya rakyat Malaysia tentang apa yang mereka tahu tentang zaman kejatuhan empayar Khilafah Utsmaniyyah, pasti mereka akan terus menyebut nama Bapa Sekular Turki, Mustafa Kamal Ataturk. Tetapi mereka tidak pula menyebut nama ulama yang menentang Kamal Ataturk iaitu Imam Badiuzzaman Said Nursi. Hal ini sangat menyedihkan kerana mereka tahu siapa yang menjadikan Turki sebagai sebuah negara yang sekular tetapi tidak tahu siapa yang berusaha dan berjuang untuk menjaga agama Islam di sebuah negara yang dahulunya gemilang dengan nama Islam.

Beliau diabadikan dalam karya Abdul Latip Talib terbitan PTS.

Imam Badiuzzaman Said Nursi, pada pandangan saya, memiliki peribadi yang gah dan hebat, sangat berwibawa dalam usaha-usaha dakwah, tidak pernah gentar menghadapi musuh-musuh, seorang yang sangat amanah dalam tugas, keupayaan mindanya yang sangat luarbiasa, petah berbicara lincah dalam berhujah melawan ideologi yang tidak sesuai dengan Islam, sangat merendah diri, serius dalam perjuangan dan sanggup menghabiskan seluruh hidupnya menentang penyelewengan dan menegakkan keimanan.

Kebijaksanaan beliau yang luar biasa yang dipamerkan ketika usia beliau masih remaja menandakan beliau sememangnya telah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi seorang penentang kezaliman dan penegak keimanan melalui penulisan Rasail Nur. Kebolehan beliau dalam menguasai ilmu-ilmu agama dalam masa yang sangat singkat dan juga kehebatan beliau dalam ilmu-ilmu moden telah menjadikan beliau seorang yang tidak boleh dikalahkan dalam apa jua perbahasan dan perdebatan.

Oleh sebab itulah beliau menggunakan seluruh aset kepakaran yang beliau ada untuk berdakwah dan mengajar samada kepada orang awam, remaja, wanita, pembesar-pembesar kerajaan di kawasan-kawasan timur Turki. Keilmuan beliau sangat dihargai oleh penduduk dan ulama-ulama timur Turki. Beliau berfikiran, sekiranya beliau dapat mengumpulkan 50 orang pemuda yang hebat dan bijak, kemudian beliau sendiri akan melatih mereka untuk menguasai ilmu agama dan ilmu moden, pasti sejarah kegemilangan Islam akan berulang semula. Namun usaha beliau tidak berhasil akibat kesan Peperangan Dunia Pertama yang menghancurkan batu asas Madrasah al-Zahra’ (Universiti al-Zahra’ yang beliau ingin bina sebagai adik perempuan kepada Universiti al-Azhar, Mesir) dan telah mengorbankan hampir kesemua anak-anak muridnya yang ikut serta dalam peperangan tersebut dalam menentang Rusia.

Gambar Badiuzzaman setelah melarikan diri dari Rusia selepas menjadi tawanan selama dua tahun.

Cita-cita beliau untuk membangunkan Madrasah al-Zahra’ iaitu sebuah institusi yang akan menggabungkan ilmu agama dan ilmu moden, telah digantikan dengan ribuan madrasah-madrasah di seluruh pelosok Turki dan juga di beberapa buah negara lain termasuk Malaysia untuk mengembangkan dakwah Risalah Nur. Penggantian yang telah Allah aturkan ini sangat bermanfaat dan memberi lebih banyak kesan terhadap pembangunan keimanan rakyat Turki khususnya dan kepada seluruh dunia Islam amnya.

Bermula sahaja dakwah beliau dalam menegakkan keimanan dalam era sekular, pelbagai dugaan dan cabaran yang sukar untuk saya hadam dan terima kerana musibah sekular yang terlalu dahsyat. Beliau dipenjara, dibuang negeri, dituduh atas tuduhan yang tidak masuk akal, keluar masuk mahkamah yang sudah menjadi darah daging beliau, dilarang untuk berinteraksi dengan orang lain, diracun sebanyak 23 kali tetapi masih hidup.

Antara kisah hidup beliau yang menakjubkan saya, Imam Badiuzzaman Said Nursi pernah dipenjarakan di sebuah penjara yang hanya dihuni oleh penjenayah-penjenayah berat dari seluruh pelosok Turki. Pada suatu masa di dalam penjara tersebut, pegawai penjara terdengar suatu suara yang beralun serentak dari penghuni penjara tersebut. Setelah didekati, semua penghuni penjara itu berzikir ‘La ilaha illa Allah’ secara serentak. Bayangkan, pada mulanya penjara itu dihuni penjenayah-penjenayah berat, tapi setelah kemasukan Badiuzzaman ke dalamnya telah merubah seluruh penghuni kepada manusia yang beriman kepada Allah.

Ketika beliau dibuang negeri di satu kampung bernama Barla yang terletak di negeri Isparta, beliau telah menulis tiga perempat Risalah Nur. Di Barla pada ketika itu, apa yang ada hanyalah tasik yang luas dan bukit-bukau. Tiada jalanraya. Beliau dibawa oleh seorang petugas dengan menaiki sampan melalui jalan tasik. Petugas itu disuruh untuk membuang beliau di tengah-tengah tasik, tetapi beliau mengetahui rancangan ini melalui firasatnya. Badiuzzaman berkata kepada petugas itu agar tidak membunuh beliau kerana sekiranya petugas itu melaksanakan tugasnya, dia tetap tidak akan dapat upah seperti yang dijanjikan.

Gambar menunjukkan Barla pada masa kini.

Ketibaan beliau di Barla sampai ke telinga penduduk kampung berdekatan. Beberapa orang penduduk berusaha untuk bertemu beliau di kawasan bukit Barla tersebut dengan harapan dapat belajar risalah keimanan daripada beliau. Maka dari ini, bermulalah penulisan Risalah Nur yang berlangsung selama lapan tahun di Barla. Penduduk yang datang ke Barla boleh dikatakan bertugas sebagai posmen, mengambil penulisan Badiuzzaman untuk dibawa ke kampung Sav dan kampung Kuleonu untuk disalin semula dan diedarkan ke seluruh pelosok Turki.

Beliau wafat pada jam 3 pagi tanggal 23 Mac 1960M bersamaan 25 Ramadhan 1379H dan dikebumikan di Urfa. Punca kewafatan beliau ialah keuzuran kerana umurnya yang telah mencecah 83 tahun dan juga kesan daripada seksaan dan racun oleh kerajaan sekular Kamal Ataturk. Perkara yang menyedihkan lagi, pada 12 Julai 1960, kubur beliau telah dibongkar semula atas perintah kerajaan. Mereka yang sekular ini langsung tidak memberi beliau peluang hatta selepas beliau wafat akibat kejahatan dan ketakutan terhadap beliau. Jenazah beliau dibongkar dan dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui sehingga sekarang.

Wallahua’lam

Rujukan:

  1. Said Nursi (2013), Kulliyyat Rasail al-Nur – Sirah Zatiyyah, Sozler Publications.
  2. Badiuzzaman dan Dakwah Risalah An-Nur (2012), disusun oleh Biro Kajian Altinbasak, Penerbit Altinbasak.
  3. http://abdullatip.blogspot.com.tr/2011/10/gelaran-badiuzzaman.html

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here