Jalaluddin Rumi: Tokoh Sufi Sepanjang Zaman

0
3712
views

“Ketika gelap menyerkap, kekasih semakin ghairah. Setiap mata tertidur, melainkan aku yang menyerahkan hati kepada-Mu, tak bisa lelap seperti mereka. Sepanjang malam mataku memandang angkasa, menghitung bintang. Cinta-Nya begitu nyata mencuri tidurku dan kutidak pasti apakah lelap mampu bertandang lagi.” –Rumi

Konstantinopel tidak ditakluki dengan bedilan meriam semata-mata, namun dengan mujahadah bangun malam, lantera kebangkitan jiwa.

Hampa menjerut jiwa. Serangan bertali arus dari laskar Janissari sia-sia semata. Darah parajurit Islam membenangi bumi Konstantinople. Seorang demi seorang gugur. Jeritan ngeri sabung menyabung. Manakan tidak, acap kali mereka menghampiri benteng, pasti dihujani panah-panah dan tembakan Meriam dari pertahanan Rom Byzantin.

Melihatkan kegagalan serangan dan ramai yang terkorban, terdetik di fikiran Sultan mahu berundur.

Seterusnya Sultan Muhammad al-Fath balik ke kem untuk membahaskan bersama murabbinya berkenaan penarikan tentera dari ekspedisi penaklukan yang telah cuba disempurnakan oleh Umat Islam selama 150 tahun ini, masih tidak berjaya.

Sebaik tiba di muka khemah, dia melihat gurunya, Syeikh Syamsuddin al-Wali sedang lagi bersujud. Dia menunggu sabar. Lama sekali. Sering terdengar desahan tasbih. Dia menyedari sesuatu. Mungkinkah sujud yang panjang ini petanda kemenangan Islam sudah hampir?

Sultan itu yang lahir ketika ayahnya Sultan Murad menamatkan bacaan Surah Muhammad dan mula memasuki Surah al-Fath ini telah ditarbiyah kuat bertasawuf. Beliau bertarekat Naqsyaband hasil didikan syeikhnya itu. Pasukan elit Janissari rata-rata bertarekat Bektasiyah. Manakala mujahid-mujahid lain ada bertarekat Maulawiyah, Qodiriyah dan lain-lain. Setiap mereka telah diisi jiwa dengan cahaya rohani.

Sultan Muhammad al-Fath percaya sujud munajat yang panjang dari gurunya itu petanda nama Allah al-Fath akan menjelma. Kemenangan akan menyinga. Justeru serbuan diteruskan. Tiada lagi berpaling ke belakang. Perancangan diperkemaskan. Meriam ciptaan Orban disenjatai. Kapal berlayar di daratan.

Dan pembukaan Konstantinopel telah berjaya dirai akhirnya pada 29 Mei 1453 masihi. Kota itu diubah nama kepada Islambol (Kota Islam), kini digelar Istanbul.

Sepanjang lakaran sejarah, Khilafah Uthmaniah gemilang bersama kekuatan Islam dan hikmah peradaban. Mereka menjaga warisan Nabi di Mekah Madinah, mengadakan mawlid besar-besaran, membudayakan al-Quran dan menerapkan dakwah ke setiap wilayah non-muslim yang baru dibuka sehinggakan negara balkan Albania dan Bosnia menikmati islamisasi. Mereka memayungi Umat Islam sedunia.

Sultan Beyazid II (anak al-Fateh) menyelamatkan pelarian muslim dan yahudi Granada, Andalusia daripada kekejaman Sepanyol melalui akta Liempera De Sangre. Sultan Sulayman Qanuni mengirimkan armada tentera ke Nusantara bagi menentang Portugis yang menjarah Melaka dan Acheh.

Malangnya, apabila sekularisasi (pemisahan agama dari kehidupan) semakin menggigit, merayap dalam sistem kewangan, kehakiman dan ketenteraannya, Khilafah menjadi semakin lemah sehinggakan digelar ‘sick man of europe’. Ditambah dengan pemborosan pimpinan generasi terkemudian, pemberontakan negeri-negeri Arab (kecuali Libya) dan kekalahannya dalam Perang Dunia pertama, Turki akhirnya hanya tinggal nama sebuah negeri tanpa khalifah. Semuanya kerana pemisahan dari Islam. Tanpa agama, hilanglah esensi kegemilangannya.

Menyorot kembali kemegahan Khilafah Turki Uthmaniah, Sultannya tidak berpisah daripada didikan guru rohani. Malahan pendirinya iaitu Osman Ghazi telah mendapat bimbingan rohani daripada Syeikh Adabali. Sebelum tertubuh khilafah, kekuatannya bermula dari pemerintahan Bani Seljuk yang berpusat di Anatolia. Di sinilah inspirasi rohani Turki Uthmaniah bermula iaitu seawal era Sultan Alauddin Kaykobad. Beliau hidup sezaman dengan guru sufi Syeikh Bahauddin Valad dan anaknya Mawlana Jalaluddin Rumi. Sultan ini menguatkan tradisi mendampingi ulama’ serta menjadikan mereka paksi rujukan.

Dari kerajaan Bani Seljuk sehinggalah khilafah Turki Uthmaniah, ia tidak terpisah daripada Rumi. Bahkan serban sultan-sultan Uthmaniah diinspirasikan daripada serban Rumi. Syeikh yang mengajar di Yenikapı Mevlevihane (zawiyah Mawlana Rumi) biasanya mengajar Sultan-sultan Uthmaniah di Istana Topkapi.

Menurut ulama’ Istanbul, terdapat tiga kitab rujukan agama yang paling penting:

Pertama, Sahih Bukhari oleh Imam Bukhari.

Kedua, al-Syifa bi Ta’rif Huquqil Mushtafa oleh Qadhi Iyadh.

Ketiga, Mathnawi oleh Mawlana Jalaluddin Rumi.

Mengenal Rumi, adalah mengenal cinta sejati sebagai kekuatan Ummah agar gagah berdiri.

—————————————————————————————————————–

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Al-Baqarah: 186)

Beliau dari jalur keturunan Abu Bakar al-Sidq. Gelaran ‘Rumi’ merujuk kepada Anatolia, tempat dia bermukim yang dianggap sebagai tanah Rom. Seorang faqih mazhab Hanafi. Rumi mendapat didikan daripada ayahnya Syeikh Bahauddin Valad yang bertarekat Kubrawiyah. Kebanyakan darwisy tarekat ini bersama Majdudin Kubrawi telah syahid ketika berjihad melawan penyerbuan Mongol.

Rumi sempat bertemu Fariduddin Attar di Nishapur ketika kecil serta dihadiahi oleh penulis Mantiqu’t-Thair ini dengan buku puisi berjudul Iibtidaname. Bilang Attar kepada ayahnya:

“Diharapkan anakmu kelak menyalakan api di hati yang dibakar cinta ilahi.”

Melalui didikan Sayyid Burhanuddin Tarmidhi, Rumi menjadi seorang syeikh di madrasah.
Menjelang 1244 masihi, Rumi bertemu Shams Tabrizi, seorang darwisy pengembara. Puisi-puisi esetorik meletus. Sebahagiannya terhimpun dalam Divan Shams Tabriz. Mereka bersohbat untuk beberapa purnama sehinggalah berpisah buat selamanya. Shams, teman rohaninya menghilangkan diri pada suatu ketika. Sehinggakan Rumi bermadah; “Engkau telah pergi meninggalkanku, engkau pergi membawa sama mataku, sekarang bagaimana patutnya aku menangisimu?”

Kesedihan Rumi tiada tara. Dari inilah jiwa kehambaan terbuka. Lara yang mendidik jiwa.
“Shams Tabrizi hanyalah prakata” luah Rumi pada suatu bait syair.

Bagi Mawlana Jalaluddin Rumi, kebahagiaan hidup berdansa bersama mengasihi ilahi. Cinta kepada Allah dan Rasul-Nya ialah esensi terpenting seorang Muslim. Menyayangi makhluk dengan luhur akan menyampaikan kepada Khalik (pencipta). Mencintai Allah, darinya berbagi kasih-sayang kepada sesama ciptaan-Nya pula. Dengan berbagi cinta, manusia menggapai sempurna (insan kamil).

“Ibu kami ialah cinta, ayah kami ialah cinta!
Kami lahir dari cinta! Kami ialah cinta!
Seluruh cinta menegakkan jambatan menuju cinta Rabbani
Mencintai manusia bererti mencintai Tuhan.” –Rumi-

Mawlana Jalaluddin Rumi sering diundang sultan dan bangsawan bagi memberikan pesanan. Meskipun demikian, hati Rumi lebih dekat kepada rakyat jelata dan orang biasa. Suatu masa, menteri Pervane mengadakan majlis zikir di istananya. Pembesar ini menjemput Rumi dan anak muridnya hadir. Rumi tiba awal di majlis tersebut, namun tidak terus masuk. Dia menunggu sehingga semua anak muridnya yang ramai terdiri daripada tukang jahit, penjual di pasar dan orang fakir miskin masuk ke istana tersebut terlebih dahulu. Setelah itu, barulah dia menyertai majlis. Melihat perbuatan ini, Husam al-Din Chelebi, seorang sahabatnya bertanya kepada Rumi.

Jawab Rumi:

“Jikalau kita masuk ke istana ini terlebih dahulu, boleh jadi penjaga pintu tidak akan membenarkan sahabat-sahabat (anak murid) kita yang datang terkemudian masuk. Justeru mereka tidak dapat turut serta. Jikalau kita tidak dapat memastikan sahabat kita menyertai istana menteri di dunia ini, di akhirat nanti, bagaimana kita memastikan mereka memasuki istana akhirat di syurga kelak?”

Rumi kekal menjadi guru kepada sultan dan rakyat jelata Konya, kerajaan Anatolia sehinggalah ke akhir hayat. Mutiara katanya termaktub dalam Mathnawi, Divan Shamsi Tabriz, Fihi Ma Fih, Majalis-I Saba’ dan Maktubat. Anaknya Sultan Valad menyusun tarekat Mawlayiah nisbat kepada Mawlana Rumi. Zawiyah Mawlawiyah didanai besar-besaran pada era Sultan Yildirim Beyazid, Sultan Selim I, Sultan Sulayman Qanuni, Sultan Selim II. Himpunan puisi sufi Mathnawi dibacakan dalam masjid-masjid Uthmaniah. Sehingga kini, Masjid besar Kosovo masih membacakan Mathnawi.

Jika di abad ke-12, puisi Rumi adalah mata air memancurkan harapan, bagaimana pula di abad ke 21 ini?

Muhammad Iqbal, seorang filsufus besar Pakistan begitu mengkagumi Mawlana Rumi.

“Janganlah tinggal mendiam. Mengembaralah dari dirimu kepada dirimu.” –Rumi

Suatu gagasan yang menarik perhatian Iqbal adalah penolakan terhadap Fatalism, iaitu menyerahkan nasib kepada takdir sambil meninggalkan ikhtiar. Ianya mengakibatkan kemalasan dari berusaha yang telah melumpuhkan kaum Muslimin. Rumi menegaskan kita patut berserah sepenuh hati kepada Allah, sedang dalam masa sama berikhtiar sepenuh tenaga. Bertawakkal sesungguh-sungguhnya, bekerja sesungguh-sungguhnya. Iqbal sebagai pemuisi membangunkan jiwa marhean dan kuasawan untuk bangkit memperjuangkan nasib umat. Apa saja permata yang kita cari, wujud dalam diri kita sendiri. Tinggal untuk kita meraihnya.

Dalam karya Rumi, semangat hidup kuat bertiup:

“Bekerja tanpa memperoleh apa-apa adalah lebih baik dari tidur semata-mata.”

“Sekiranya pokok dapat bergerak, sekiranya ia dapat pergi dari satu tempat ke satu tempat dengan pucuk dan akarnya, ia tidak perlu menderitai penyeksaan gergaji dan luka perit kapak.” –Rumi

Berinspirasikan guru spiritualnya ini, Muhammad Iqbal menuliskan sebuah puisi:

“Jangan menoleh ke kiri ke kanan, lihatlah ke dalam dirimu sendiri. Usah bersedih poketmu kosong. Di dalam dadamu sebuah bulan purnama tersembunyi.”

Siapa tahu, komentar Iqbal berkenaan Rumi akhirnya membuahkan hidayah iman.

Eva De Vitray Meyerovitch

Eva seorang pentadbir dan pakar pengkaji di French Scientific Research Center (CNRS), pensyarah jurusan falsafah di Universiti al-Azhar dan beberapa Universiti di mesir. Dia juga mendapat gelar ‘Docteur Honoris Clausa’ dari Seljuk University pada tahun 1987. Dilahirkan di Boulogne, Perancis. Bersekolah dengan latarbelakang Kristian Katolik dan berkahwin dengan seorang Yahudi.

Siapa sangka, ketika dia menelaah di perpustakaan Sorbonne University, sedang mencari-cari penyelesaian tentang krisis nihilism pasca-renaissance dari teks Kristian klasik, dia terjumpa esei tulisan Muhammad Iqbal yang merumuskan aspirasi Rumi. Lalu membacanya sepenuh taakulan. Lantas dia terpesona. Tertanya-tanya, apakah yang sebenarnya Rumi maksudkan. Apakah ia falsafah yunani, atau hakikatnya Rumi sedang mengutarakan kebenaran?! Apa yang Rumi perkatakan menimbulkan kekaguman.
Eva terus mengkaji, meneliti setiap perbahasan Rumi. Kebenaran agama Islam menerpa di hadapannya. Meskipun begitu, tidak mudah baginya menerima. Selama ini Eva hidup dalam lingkungan Kristian Katolik, tiada maklumat yang baik tentang Islam diterima. Dia sangsi, hati berbelah bahagi. Hingga dia pun berdoa:

“Oh tuhanku! Tolonglah ajarkan aku apa yang harus kulakukan. Hantarkan kepadaku tanda!”

Ternyata, Allah memakbulkan doanya. Tanda yang dipinta hadir dalam bentuk mimpi. Eva melihat dirinya di dalam kubur dengan batu nesan bertuliskan kalimat ‘Hawwa’. Dia hairan sekali bagaimana dia dikuburkan sedang masa yang sama melihat keadaan kubur sendiri. Mimpi itu diingat sejelas-jelasnya.

Sebaik bangkit dari tidur, dia berkata: “Baiklah, engkau mahukan tanda bukan. Dan tandanya adalah ini, engkau akan disemadikan sebagai seorang Muslim.” Bisiknya kepada diri sendiri. Seterusnya dia memeluk Islam.

15 tahun kemudian, dia melawat Istanbul buat pertama kali. Seorang darwisy yang dia kenali di UNESCO membawanya ke sebuah Samahana (tempat tarian wherling dervish). Di situ dia terkejut besar. Dia menjumpai kubur seperti yang dilihat dalam mimpinya sebelum ini. Mirip sekali. Eva tergamam, kaku terdiam. Kemudian dia bertanya gerangan kubur siapakah ini. Jawab temannya, ini ialah kubur seorang wanita sufi Mawlawiyah. Peristiwa ini membangunkan hasratnya untuk menyertai Tarekat Mawlawiyah, menjadi pengikut Mawlana Jalaluddin Rumi.

Eva atau nama islamnya; Hawwa telah banyak menghasilkan penyelidikan yang membuka jalan mengenali Islam. Karyanya berjudul ‘Mystique et poesie en Islam’ (Puisi Dan Mistik Islam) serta ‘Djalaluddin Rumi et I’ordre de derviches tourneurs (Mawlana Jalaluddin Rumi Dan Whirling Dervish) pada tahun 1972 telah membuka mata berat terhadap ketakjuban puisi-puisi Rumi serta kesempurnaan Islam sebagai ‘the way of life’. Bahkan dalam bukunya ‘La quete de I’absolu’ (Pencarian Erti Absolute) suatu terjemahan Mathnawi, Eva memaklumkan wujudnya teori nukleur fizik dalam karya Rumi.

Sehingga kini, karya Rumi terus dibaca di seantero dunia, menyuluh makna kehidupan penuh cinta. Amerika menyaksikan puisi-puisi Rumi sebagai bestseller. Eropah semakin memberi perhatian kepada Rumi melalui penyelidikan orientalis seperti Annemarie Schimmel dan AJ Arberry.

Puisi-puisi Rumi semestinya fenomenal dideklamasikan di bawah taburan bintang gemerlapan, sambil menikmati espresso di keheningan oasis berlatarkan melodi ney Konya. Kekal indah juga, bila didiskusikan di dewan seminar dengan huraian sarat jargon-jargon rumit. Atau boleh dilafazkan bersahaja kepada kekasih halal setulus ikhlas. Yang dihasilkan dari hati akan jatuh ke hati.

“Setiap cinta yang bukan kerana Tuhan akan diakhiri kekecewaan.” –Rumi

Khulasohnya, Mawlana Jalaluddin Rumi merupakan suatu figura yang membangunkan jiwa rakyat Bani Seljuk kepada mengingati Allah. Memalingkan wajah dari cinta kepada makhluk, menuju cinta kepada Khalik. Ishq majazi Ishq hakiki; setiap cinta akhirnya menyedarkan kita bahawa yang hakiki hanyalah Allah. Sehinggalah akhirnya tuhan membangkitkan Kabilah Kayi dari Bani Seljuk menerajui Khilafah Turki Uthmaniah hingga memayungi Umat Islam sedunia. Semuanya setelah jiwa dibangkitkan terlebih dahulu.

Betapa bencinya golongan sekular kepada kebangkitan Islam, sampaikan Mustafa Kemal Ataturk mengharamkan semua tekke (zawiyah Tarekat Mawlawiyah) setelah Sultan Abd Hamid II diusir. Aktiviti wherling dervish disekat ketika dasar sekularisasi bermaharajalela. Tentunya kita tidak ingin mengulangi tragedi ini lagi. Islam dan jiwanya harus bangkit bertenaga semula.

Begitu banyak kita dapat belajar dari kebangkitan Islam era awal Khilafah Uthmaniah. Kebangkitan jiwa adalah yang terutama. Untuk kembali kepada Islam, adalah dengan kembali kepada Allah.

“Akulah khadam al-Quran sepanjang hayatku,
Akulah debu di bawah telapak kaki Mummad, utusan Tuhan,
Andaikata sesiapa menafsir perkataanku dengan jalan lain,
Aku menyanggah sosok tersebut dan aku menganggah perkataannya.” –Rumi

Comments

comments

Previous articleRock Melon Tuan Haji Jaafar!
Next articleCerita-Cerita Rakyat Yang Terkenal Dalam Kalangan Orang Melayu
Graduan Darul Quran JAKIM. Ahli grup Pena Ilmiah (sQQr). Pemuisi yang patah hati. Khadam mashayeikh yang gigih bertatih, terjatuh dan bangkit kembali dalam mengenali adab & ilmu. Obses terhadap dunia penulisan, puisi dan sejarah. Believe in love like always do.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here