Rock Melon Tuan Haji Jaafar!

0
1701
views

1. Ini Tuan Haji Jaafar, pengusaha tanaman Rock Melon di Bt. 8 Lekir, Manjung, Perak. Beliau mengusahakan tanaman buah-buahan ini sejak hampir setahun yang lalu, dibantu seluruh keluarganya dan beberapa orang pekerja.

2. Beliau merupakan pengusaha Rock Melon pertama seumpamanya di Perak. Tanaman ini diusahakan menggunakan teknik fertigasi dengan semaian benih hibrid yang diimport khas dari Jepun.

3. Rock Melon adalah buah yang biasa dihidangkan sebagai pencuci mulut atau dihidangkan sebagai buahan pilihan. Ia mengandungi khasiat antioksidan, dikatakan antara elemen mencegah kanser. Rangup dan sedap dihidangkan sejuk!

4. Tuan Haji Jaafar mendapat bantuan Jabatan Pertanian Negeri Perak untuk mengusahakan tanaman ini di atas plot tanah Jabatan Pertanian sendiri. Beliau menyewa dengan Jabatan Pertanian dan memanfaatkan setiap inci plot yang disewa dengan empat rumah hijau, setiap satunya menempatkan sebanyak 1000-1250 pokok Rock Melon.

Sebahagian dari ‘Rumah Hijau’ untuk fertigasi Rock Melon milik Tn. Hj. Jaafar.

5. Sekalipun pendebungaan untuk menghasilkan buah dibuat secara manual, iaitu mengambil polen dari bunga jantan dan dibawa ke bunga betina menggunakan spatula atau apparatus biasa, benih Rock Melon masih perlu diimport dari Jepun dengan harga 35 sen sebiji.

6. Benih Rock Melon yang ditanam akan melalui tempoh semaian sehingga 10 hari sebelum dipindahkan ke rumah hijau untuk membesar dan matang sehingga 65 hari.

7. Pada hari ke-59, iaitu seminggu sebelum buah dipetik pada hari ke-65, pokok akan dibiarkan tertekan dengan dikurangkan air menjadi seliter sehari berbanding dua liter apabila pokok membesar.

8. Ini bertujuan untuk memberi tekanan kepada pokok, yang menjadikan buah Rock Melon lebih manis dan sesuai dipetik pada hari ke-65.

9. Seminggu yang terakhir tersebut, pokok akan menjadi kering akibat kekurangan air (seperti gambar) dan genap 65 hari, buahnya sidah boleh dipetik dan dijual.

Pokok Rock Melon dibiarkan kekurangan air, diberi ‘tekanan’ bagi menghasilkan buah Rock Melon yang lebih manis.

10. Rock Melon ini dijual pada harga ladang RM5 sekilo, di ladang Tuan Haji Jaafar pada Isnin, Selasa dan Jumaat setiap minggu. Hari lain dalam seminggu adalah hari jualan borong dan penghantaran ke premis-premis yang menjual hasil pertanian seumpamanya.

11. Buah dari ladang ini insyaAllah dijamin manis, dan dengan berat sebiji sehingga lebih 1.8kg sebiji. Berat ini menunjukkan bahawa buah dari ladang ini diklasifikasikan sebagai gred A.

12. Kalau kau melalui Mukim Lekir, dalam perjalanan ke Bandar Manjung atau ke Lumut dari arah Teluk Intan, perhatikan di sebelah kiri, Jabatan Pertanian Perak Daerah Manjung yang terletak betul-betul di belakang Klinik Kesihatan Lekir. Nampak banyak rumah hijau dan disitu Rock Melon ini menanti anda

13. Inisiatif yang diusahakan melalui bantuan Jabatan Pertanian sebegini juga terdapat di semua Jabatan Pertanian seluruh negara. Tuan Haji Jaafar tahu dan berani memanfaatkannya dan sehingga kini berjaya mencapai sehingga lebih 400kg dalam sekali tuaian Rock Melon setiap 65 hari kematangan pokok. Terima kasih Jabatan Pertanian dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

14. Dijual segar, terus dari ladang. Kami dah rasa buahnya. Manis!

Tn. Hj Jaafar bersama isteri (kiri sekali) dan anaknya (kanan sekali) bersama pelanggan yang datang membeli terus di lading Rock Melon miliknya.

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here