The Last Samurai In Borneo

0
2871
views

SEKITAR tahun 1941 akhirnya Sarawak Kingdom jatuh juga ke tangan Jepun yang telah menakluki bumi Asia Tenggara melalui kempen Perang Dunia Kedua pada waktu itu. Dan untuk Borneo di ketika pemerintahan Jepun, pada asalnya pemusatan kuasa tentera Jepun adalah di Miri, Sarawak sebelum ditukar ke Kuching sekitar April 1942.

Miri dipilih kerana disinilah Jepun mula bertapak di Sarawak disamping keberadaan mereka pada waktu itu lebih kepada untuk memulihkan kembali infrastruktur minyak dan gas yang hampir musnah di ketika taktik bumi hangus dijalankan oleh Brooke sebelum kalah perang pada waktu itu.

Dan menurut sejarahnya pemerintahan Jepun di Sarawak terdapat dua orang pegawai tertinggi Jepun pernah menjadi orang utama mereka iaitu Jeneral Marquis Toshinari Maeda dan Jeneral Yamawaki Masataka. Kedua-duanya mempunyai cara yang berbeza namun yang dikatakan lebih kejam merupakan Jeneral Maeda. Ini kerana beliaulah pemerintahan tentera Jepun yang pertama berada di Sarawak dan mengatur strategi segalanya sejak Sarawak mahupun Borneo di dalam taklukan Jepun suatu waktu dahulu.

Dilahirkan dengan nama sebenar iaitu Toshinari Maeda pada tanggal 5hb June 1885 merupakan anak kelima kepada keluarga Maeda yang juga merupakan antara keluarga bangsawan Jepun yang terkenal dengan kehebatan “shogun” mereka suatu waktu dahulu. Sekitar awal tahun 1900an, beliau dilantik sebagai “Marquis” atau Ketua keluarga Maeda di wilayah Kozuke, Jepun.

Sebagai seorang yang lahir di kalangan keluarga “shogun” maka adalah tidak menghairankan sekiranya Maeda memilih bidang ketenteraan sebagai kerjayanya walaupun hakikatnya beliau dikelilingi dengan limpahan kemewahan. Menamatkan pendidikan ketenteraannya pada tahun 1911 dengan mendapat penganugerahan “Sword Emperor” atas kecemerlangannya menjadikan beliau antara anggota tentera yang cukup disegani di kalangan orang Jepun pada masa itu.

Sekitar tahun 1913, Maeda merupakan antara anggota tentera Jepun yang telah dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke Eropah iaitu negara German dan seterusnya ke British. Boleh dikatakan beliau merupakan anggota tentera yang mempunyai latar belakang pendidikan dunia ketenteraan Jepun dan Barat. Selepas melalui Perang Pasifik pada tahun 1939, beliau memilih untuk bersara di dalam dunia ketenteraan bagi menumpukan perhatian untuk pembentukan keluarga Maeda yang diketuainya.

Namun apabila kempen Perang Dunia Kedua berlangsung dengan Jepun diarahkan untuk mendominasi Asia Tenggara, sekali lagi perkhidmatannya dituntut oleh Maharaja Jepun pada masa itu. Dikatakan dengan strategi yang dibentuk oleh beliaulah kejayaan penaklukan Miri itu cukup lancar pada masa itu. Dan dari Miri, tentera Jepun telah mula menakluki seluruh Sarawak sehinggalah akhirnya Kuching, ibukota Sarawak Kingdom jatuh ke tangan Jepun beberapa hari selepas itu.

Pada April 1942 iaitu selepas beberapa bulan Sarawak dibawah Jepun, Maeda telah bertindak untuk menukar pusat pentadbiran Jepun di Miri ke Kuching pula. Beliau berpendapat sekiranya di zaman Brooke dahulu, Kuching adalah pusat pemerintahannya maka adalah tidak wajar Miri pula menjadi pusat pemerintahan ketika Jepun memerintah. Lagipun pada masa itu, infrastruktur minyak dan gas di Miri sudahpun hampir pulih sepenuhnya.

Usai Kuching dijadikan pusat pemerintahan Jepun di Borneo maka hal pertama yang dilakukan oleh Maeda adalah untuk memasuki Astana Sarawak yang menjadi tempat kediaman Brooke berabad lamanya. Dan jika kita melihat gambar-gambar vintaj Astana Sarawak sudah semestinya kita akan melihat bagaimana bangunan Astana Sarawak ketika Brooke memerintah dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan menjalar di sekelilingnya.

Dikatakan di ketika Maeda mula memasuki Astana Sarawak itulah beliau telah memerintah agar tentera Jepun mencabut dan membuang kesemua tumbuh-tumbuhan menjalar tersebut. Menurut cerita lisan ada sebabnya mengapa Brooke membiarkan tumbuh-tumbuhan menjalar itu hidup segar di Astana Sarawak kerana dikatakan membawa tuah. Dan sekiranya dibuang maka akan jatuh bala ke atas pembuatnya.

Disepanjang pemerintahan Maeda dikatakan segala tindakan dan hukuman beliau begitu tegas dan keras. Namun pada masa yang sama turut cuba untuk berbaik-baik dengan masyarakat tempatan dengan dikatakan banyak ahli majlis Sarawak pada masa itu masih dipilih dikalangan pemimpin tempatan. Walaupun begitu pemimpin tempatan hanyalah sebagai “patung boneka” sahaja kerana segala hukum mahupun peraturan adalah masih lagi terletak diatas budi bicara pegawai tentera Jepun dan langsung tidak sama di ketika Brooke memerintah suatu waktu dahulu.

Tanggal 5hb September 1942 menjadi saksi bagaimana Maeda telah menjatuhkan hukuman pancung sampai mati ke atas lima orang Sarawak di satu kawasan yang terletak di Padungan, Kuching. Pada ketika itu kesalahannya hanya kerana mencuri minyak diesel tentera Jepun bagi kegunaan pelita di waktu malam masyarakat tempatan yang hidup serba-serbi di dalam kepayahan pada itu. Tidak pernah mahu bertolak ansur sama sekali, Maeda sendiri menyaksikan hukuman tersebut dijalankan.

Dikatakan usai sahaja hukuman pancung itu dijalankan, Maeda dan juruterbangnya telah bergegas ke Lapangan Terbang Kuching untuk menaiki pesawat ke Labuan atas urusan pentadbiran Jepun disana. Bukanlah satu rahsia di dalam dunia ketenteraan bagaimana Maeda sebenarnya juga seorang juruterbang yang bertauliah. Namun pada kali ini pesawat jenis buatan Mitshubishi pada 9 Februari 1942 yang baharu sahaja diterima beliau untuk berkhidmat di Sarawak tidak pernah sampai ke destinasinya.

Menurut sejarah dunia penerbangan pada masa itu, laporan menyatakan bahawa pesawat Maeda telah terhempas di kawasan persisiran Tanjung Batu, Bintulu dengan mengorbankan Maeda dan juruterbangnya. Hanya sebulan selepas itu dikatakan ada puing-puing pesawatnya ditemui terapung di perairan Bintulu namun mayat Maeda dan juruterbangnya sehingga sekarang tidak ditemui dan punca ianya terhempas juga tidak dapat diperjelaskan.

Ada juga cakap-cakap di dalam dunia ketenteraan Perang Dunia Kedua menyatakan usai sahaja perang tamat, puing-puing pesawat Maeda iaitu dibahagian komponen ekornya yang menggunakan siri kod V-110 telah dibawa ke Melbourne, Australia oleh Tentera Australia. Ianya kekal di muzium tentera mereka sebagai salah satu artifak sejarah yang dipamerkan bagi mengenang Perang Dunia Kedua yang berlangsung di Sarawak suatu waktu dahulu.

Di pihak tentera Jepun pula, turut dikatakan bahawa pernah ada satu tiang belian didirikan berdekatan dengan Tanjung Batu di Bintulu bagi mengenang peristiwa terhempasnya pesawat Maeda di lokasi tersebut. Namun usai sahaja perang tamat dikatakan mereka sendiri telah mencabut tiang belian tersebut untuk diserahkan kepada keluarga Maeda di Jepun.

Begitulah pengakhirannya seorang yang turut dikenali sebagai “The Last Samurai In Borneo” yang juga seorang dari keluarga Shogun di Jepun iaitu pemerintah tertinggi tentera Jepun pertama bernama Jeneral Marquis Toshinari Maeda yang berkhidmat Borneo dari tahun 1941 sehingga 5 September 1942. Menurut kepercayaan masyarakat tempatan pada masa itu, kematiannya disebabkan “sumpahan” membuang tumbuhan menjalar yang ada di Astana Sarawak beberapa bulan sebelum tragedi berlaku. Beralaskan bahawa pesawat yang digunakan beliau adalah pesawat yang baharu maka adalah tidak masuk akal ianya rosak dan sebagainya.

Samada ianya satu suratan atau kebetulan hanya Illahi sahaja yang mengetahui kebenarannya. Sehingga sekarang cerita kehilangan dan terhempasnya pesawat yang dinaiki seorang jeneral Jepun yang hebat dengan cerita arahan siksaan tahanan perang di seluruh Borneo ini kekal menjadi satu misteri di dalam sejarah “musim Jepun merentah Sarawak” yang berlangsung dari tahun 1941 sehingga 1945.

-HB-

Rujukan:

1. Toshinari Maeda
http://www.generals.dk/general/Maeda/Toshinari/Japan.html

2.Pacific Wreck
http://www.pacificwrecks.com/aircraft/a6m2/1575.html

3. A Leopard Sings In Sarawak – Paul Leslie Smith

Comments

comments

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here