Pandangan Islam Terhadap Ilmu

0
983
views

Pengetahuan, pada dasarnya bermaksud keyakinan sesuatu hal yang membenarkan realiti. Ia juga boleh difahami sebagai kualiti yang membolehkan seseorang untuk mengetahui sesuatu perkara secara am mahupun secara khusus. Pengetahuan ini boleh dipecahkan menjadi dua iaitu pengetahuan mutlak dan tidak mutlak.

Pengetahuan mutlak menurut hemat saya, secara literalnya ialah ‘tangan’ ataupun kuasa penciptaan Tuhan. Secara analoginya, robot dicipta oleh manusia melalui aktiviti pertukangan dan pemikiran intelektual. Hal ini adalah sama seperti penciptaan dunia. Dunia dicipta melalui pengetahuan mutlak atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘ absolute knowledge’. Pengetahuan tidak mutlak pula ialah pengetahuan yang diperoleh oleh manusia melalui akal dan pemerhatian yang diberi seperti sains biologi.

Gambar 1: Artikel ini diolah semula daripada buku The Concept of Knowledge in Islam and its Implications for Education in a Developing Country oleh Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud.

Karakteristik Pertama: Pengetahuan berasal daripada Tuhan

Segala-gala yang wujud di alam realiti ini bersumberkan Allah, termasuk pengetahuan. Pengetahuan Allah ialah pengetahuan mutlak. Menurut al-Kalanbawi (d. 1790/91 CE), pengetahuan Allah dikenali sebagai ‘pokok pangkal sifat-sifat mutlak’, the mother of Divine attributes. Sebagai contoh, sifat-sifat Allah kebanyakannya dikaitkan dengan pengetahuan seperti Allam al-Ghuyyub (yang Maha Mengetahui akan hal tersembunyi), al-Alim al-Khabir (yang Maha Mengetahui dan Sedar), al-Sami’ al-Basir (yang Maha Mendengar dan Melihat). Dalam ayat al-Quran (96:5) ada diterangkan mengenai sumber pengetahuan manusia adalah berdasarkan Allah.

Karakteristik Kedua: Kebenaran dan Keyakinan

Konsep kebenaran bagi saya tak perlu diulas dengan panjang namun penting untuk dijelaskan bahawa al-Quran dan as-Sunnah ialah kebenaran, kerana kedua-dua sumber tersebut adalah serpihan Kebenaran Mutlak. Keyakinan, menurut Islam dipecahkan menjadi tiga iaitu: Ilm al-Yaqin (keyakinan melalui ilmu), Ain al-Yaqin (keyakinan melalui pemerhatian) dan Haqq al-Yaqin (keyakinan melalui pengalaman mutlak). Secara analoginya, katakanlah anda diberitahu oleh seorang guru tentang adanya air Tropicana Twister perisa oren dibilik sebelah.

Anda percaya dan yakin tentang adanya minuman tersebut kerana kata-kata guru adalah ilmu (Ilm al-Yaqin). Kemudian anda pergi bilik sebelah dan memang ada air tu di situ. Maka anda pun yakin lagi tentang kewujudan air tersebut (Ain al-Yaqin). Anda ambil minuman tersebut, minum dan rasanya seperti oren. Anda dapat pengalaman tu dan terbukti air tu memang Tropicana Twister perisa oren (Haqq al-Yaqin). Analogi ni saya beri untuk memudahkan pemahaman kita semua berkenaan pecahan keyakinan.

Gambar 2: Prof Wan Mohd. Nor Wan Daus bersama sahabat dan rakan sekerjanya semasa di ISTAC, Prof SMN Al-Attas

Antithesis bagi karakteristik ini ialah al-Batil (penipuan), shakk (wasangka) dan al-zann (tekaan). Sekalipun al-zann dikategorikan sebagai negatif, ianya bukan 100% buruk. Memandangkan pengetahuan mutlak ini tak mampu difahami oleh manusia secara keseluruhannya, maka kita terpaksa melalui proses ‘tekaan yang berpanduan’ dalam mencari dan memproses maklumat.

Maksud ‘tekaan berpanduan’ ini ialah usaha pengemblengan tenaga oleh yang berkelayakan dalam memproses ilmu. Ijtihad. Sebab itulah Rasulullah pernah bersabda , “1 ganjaran bagi ijtihad yang salah, 2 bagi yang betul”. Sekiranya penggunaan zann ini tidak berpanduan, maka ianya menjadi persepsi semata-mata (nama pun tekaan). Sebagai contoh, kitabuat perbandingan antara Amir (pakar ekonomi) dan Abu (pejuang papan kekunci). Amir mengatakan negeri Fasola ini ekonominya stabil, tapi Abu cakap ekonominya teruk. Mana yang patut kita percaya? Tentulah Amir, kan? Sebab hujah dan zann beliau berpanduan.

Karakteristik Ketiga: Sifat intergrasi pengetahuan

Pengetahuan bersifat ini adapun bersifat holistik. Maknanya, pengetahuan mampu untuk berintegrasi dengan segala aspek dan macam kehidupan manusia. Al-Ghazali melalui kitabnya ‘Jawahir al-Quran’ menjelaskan ayat al-Quran mengenai bintang waima kesihatan hanya mampu difahami sekiranya dilandaskan dengan pengetahuan seida ada kita berkenaan astronomi dan sains kesihatan, hasil daripada integrasi ilmu. Sifat integrasi ini boleh dilihat melalui 4 subtopik iaitu:

  • Pengetahuan dan pebuatan: orang yang berilmu beramal dengan perbuatan yang baik. Hal ini kerana orang yang bertaqwa didefinisikan melalui perbuatannya, yang semestinya, baik.
  • Pengetahuan dan spiritualiti: pelbagai analogi dan metafora telah digunakan dalam al-Quran. Misalnya, konsep ‘cahaya’ yang digunakan sebagai metafora kepada ilmu. Simbol cahaya juga digunakan dalam agama Abrahamic yang lain sebagai analogi untuk ‘panduan hidup’.
  • Pengetahuan dan etika: Seseorang yang berpengetahuan (‘alim), harus mempunyai adab terhadap ilmu. Perkataan ‘alim mengikut konotasi arab bermaksud ‘seseorang yang bertindak berdasarkan ilmu’, Memandangkan pengetahuan mewujudkan iman, dan iman mewujudkan amal salih, maka pengetahuan juga mewujudkan etika melalui amal salih.
  • Pengetahuan dan hikmah: Seseorang yang berpengetahuan kebanyakannya mempunyai ilmu hikmah yang tinggi. Contohnya ialah golongan rasul. Mereka ini telah diberi ilmu hikmah untuk memudahkan kerja dakwah. Hikmah bermaksud ‘ pengetahuan mengenai kebenaran akan sesuatu, dan perbuatan terhadapnya’. Memandangkan al-Quran ialah kata-kata Allah, maka al-Quran juga ialah buku Hikmah kerana Allah tahu akan kebenaran terhadap semua benda.

Karakteristik Terakhir: Sifat pengetahuan yang infiniti.

Dalam ayat al-Quran (12:76), ada diterangkan bahawasanya bagi setiap orang berpengetahuan, pasti akan ada yang tahu lebih, sebagaimana kisah nabi Musa dan nabi Khidir. Ayat ini secara tak langsung menerangkan tentang kitaran ilmu yang tak berpenghujung (infinite loop) kerana adanya si fulan A yang lagi pandai berbanding si fulan B yang lagi pandai berbanding si fulan C….(dan seterusnya). Adapun dunia ini dicipta melalui pengetahuan mutlak, dan pengetahuan mutlak itu milik Allah, maka pengetahuan itu infiniti kerana Allah tiada permulaan dan pengakhiran.

-A. Akmal

Comments

comments

Previous articleMakhluk-Makhluk Dalam Mitologi Orang Melayu
Next articleNordin Ahmad: Ikon Purbawara Filem Melayu
Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here