Archie Cochrane: Bapa Perubatan Berasaskan Bukti (EBM)

325

Archibald Leman Cochrane atau Archie Cochrane (1909 – 1988) merupakan seorang sosok penting di dalam bidang perubatan. Beliau adalah pelopor kepada kajian sistematik yang dipanggil Perubatan Berasaskan Bukti (Evicence Based Medicine) atau singkatannya EBM. Seruan beliau yang begitu iltizam ke atas keperluan untuk pengumpulan dan analisa ke atas ulasan sistematik telah memberikan ilham kepada pembentukan Cochrane Collaboration, 5 tahun selepas kematian beliau.

Latar belakang Archie Cochrane

Archie Cochrane lahir pada tahun 1909 di Galashiels, Scotland. Kehidupan zaman kanak-kanak beliau tidak begitu baik walaupun beliau dilahirkan di dalam keluarga pengusaha yang agak kaya di Scotland. Ia berikutan kematian awal ayah dan dua abangnya ketika beliau masih kecil lagi. Walau bagaimanapun, beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Kejayaan beliau di dalam pelajaran amat mengagumkan. Beliau menerima begitu banyak biasiswa di peringkat sekolah dan peringkat kolej.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang aktif di dalam ko-kurikulum. Ketika beliau di King’s College, beliau telah berjaya mendapat kepujian kelas pertama di dalam bidang Sains Semula Jadi pada tahun 1930 sebelum melanjutkan pengajian sebagai pelajar penyelidik makmal. Lalu beliau meneruskan fasa hidupnya kemudian sebagai seorang penyelidik sehinggalah beliau merasakan kehidupan sebagai penyelidik ini tidak memuaskan hati beliau.

Beliau mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang perubatan pula di University College Hospital, London. Namun pengajian  beliau terganggu ekoran meletusnya Perang Saudara Sepanyol di mana beliau telah diserap ke dalam unit ambulan bagi memberikan bantuan perubatan. Beliau kembali ke Britain selepas itu untuk meneruskan kembali pengajian yang tergendala sebelum ini.

Kejadian Yang Mengubah Segalanya

Perang Dunia Pertama telah menyebabkan Archie Cochrane direkrut ke dalam Unit Perubatan Tentera Diraja dan beliau telah dilantik menjadi Kapten. Semasa bertugas di Crete, beliau telah ditangkap dan dijadikan tawanan. Namun begitu ekoran kepakaran yang dimilikinya, Archie telah dilantik menjadi pegawai kesihatan di pelbagai penempatan tawanan perang sepanjang tempoh Perang Dunia Pertama.

Saat inilah Archie Cochrane melakukan ujikaji beliau yang pertama. Di dalam penempatan tersebut, Archie mendapati kebanyakan tawanan di situ mengalami bengkak di pergelangan kaki termasuklah Archie sendiri. Archie buntu kerana beliau tidak dapat mengenal pasti punca kepada bengkak kaki tersebut. Bengkak tersebut yang bermula di pergelangan kaki, kini membengkak melebihi paras lutut.

Beliau mempunyai hipotesis kepada punca tersebut. Bagi merealisasikan hipotesis beliau, beliau telah membeli yis dan vitamin C daripada pasar gelap. Seterusnya beliau memilih 20 orang secara rawak daripada jumlah tahanan yang ada di mana pilihan tersebut telah dibahagikan kepada sepuluh orang satu kumpulan.

Satu kumpulan itu diberi yis manakala kumpulan yang kedua telah diberi vitamin C. Daripada situ beliau menilai rawatan mana yang berkesan. Ikhtiar beliau waktu itu dan ikhtiar beliau seterusnya telah membawa kepada pembentukan kajian Perubatan Berasaskan Bukti.

Selepas berakhirnya perang, Cochrane telah meneruskan pengajian beliau di dalam bidang perubatan cegahan di Lodon School of Hygiene And Tropical Medicine di mana beliau mengikuti kursus kesihatan awam. Sejak zaman pengajian beliau lagi, beliau berasa bimbang mengenai kekurangan bukti saintifik yang menyokong sebarang intervensi perubatan.

Beliau bertekad bahawa tiada sebarang intervensi perubatan dilakukan melainkan wujudnya bukti yang mengesahkan kemujaraban intervensi tersebut. Beliau percaya satu cara yang sistematik dan saintifik terhadap amalan klinikal perubatan perlu menjadi sandaran sebarang keputusan klinikal. 

Legasi: Cochrane Collaboration

Cochrane telah meninggalkan legasi beliau melalui penghasilan sebuah buku bertajuk ‘Effectiveness and Efficiency: Random Reflections on Health Services’ pada tahun 1972. Buku ini mendapat sambutan yang tidak dijangkakan. Malah ia telah diterjemahkan kepada bahasa Sepanyol, Perancis, Itali, dan Poland. Melalui buku setebal 93 mukasurat ini, Cochrane telah melakukan revolusi terhadap cara meneliti bukti di dalam perubatan.

Selain itu, Ian Chalmer, pengasas Cochrane Collaboration, masih muda saat beliau mengenali Archie Cochrane. Kekaguman beliau kepada Archie Cochrane telah menyebabkan beliau menubuhkan Cochrane Collaboration bersandarkan prinsip Archie.

Beliau memulakan ulasan sistematik ke atas semua ujian klinikal yang ada. Pada awalnya, tahun 1992, beliau menubuhkan Pusat Cochrane di Oxford, UK dan seterusnya pada tahun 1993, pusat itu telah diubah menjadi Conchrane Collaboration. Setakat ini Cochrane Collaboration telah menyediakan ulasan sistematik sebanyak 5000 ulasan di dalam pangkalan data ulasan sistematik Cochrane.

Sumbangan Cochrane sangat bermakna di dalam bidang perubatan. Kaedah sistematik beliau membantu pengamal perubatan membuat keputusan klinikal yang lebih baik dan lebih berkesan. Kaedah ini mampu menentukan samada penyelesaian yang ditemui itu sememang berkesan ataupun sekadar kebetulan. Ini memberikan kesan prognosis yang lebih baik bagi pesakit. Semangat inkuiri dan ingin menambaik setiap perkara di dalam diri Cochrane wajar dicontohi dan dijadikan iktibar.

RUJUKAN:

  1. Stavrou, A., Challoumas, D., & Dimitrakakis, G. (2014). Archibald Cochrane (1909-1988): The father of evidence-based medicine. Interactive Cardiovascular and Thoracic Surgery, 18(1), 121–124. https://doi.org/10.1093/icvts/ivt451
  2. Twenty years of The Cochrane Collaboration: Looking back on the search for evidence Retrieved: https://www.youtube.com/watch?v=0Ji-wsSfQH0&list=PLUwhnl9ZDRl0X1soeViO8ikaskHKx8b4s&index=25&t=0s
  3. Cochrane Retrieved: https://www.cochrane.org/about-us
  4. Winkelstein  Jr., W. (2009). The remarkable Archie: origins of the Cochrane Collaboration. Epidemiology, 20(5), 779. https://doi.org/10.1097/EDE.0b013e3181aff391\r00001648-200909000-00027[pii]

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.