Api Yunani: Senjata Pemusnah Zaman Purba

0
698
views

Api Yunani merupakan senjata pembakar pertama digunakan oleh Kerajaan Rom Timur (Byzantine) pada pertengahan abad ketujuh Masihi. Ianya buat kali pertama digunakan untuk menangkis cubaan kempen ketenteraan Kerajaan Bani Umayyah yang mahu menawan Constantinople dan merealisasikan ramalan Rasulullah s.a.w semasa Perang Khandak. Dianggap sebagai bom napalm pada zamannya, cecair yang mudah terbakar ini menjadi senjata Byzantine bukan saja dalam mempertahankan ibu kota mereka. Bahkan ia menjadi senjata berkesan semasa kempen ketenteraan mereka. Tetapi apa itu Api Yunani?

Api Yunani merupakan hasil ciptaan seorang arkitek Yunani beragama Kristian bernama Kalinikos (Callinicus) yang berasal dari Heliopolis (Baalbek moden, Lubnan). Ini berdasarkan dakwaan seorang penulis Yunani bernama Theophanes berkenaan Api Yunani dan kesannya kepada pihak musuh. Bagaimanapun, ramai meragui dakwaan beliau yang menyatakan ia ciptaan seorang lelaki. Sebaliknya, para sejarawan berpandangan ia sebenarnya dihasilkan oleh sekumpulan pakar yang diupah kerajaan Byzantine sebagai sebahagian daripada projek persenjataan rahsia mereka.

Jetpack Langkawi

Tidak diketahui apa komponen tepat atau bahan diperlukan untuk menghasilkannya memandangkan Api Yunani dianggap satu rahsia negara yang hanya diketahui oleh maharaja-maharaja Byzantine.  Para saintis moden hari ini masih berdebat berkenaan formula Api Yunani. Antara bahan yang dikemukakan sebagai sebahagian daripada komponen api tersebut ialah potasium nitrat, sulfur, nafta, resin, kapur tohor, bahan letupan dan niter. Apapun, proses pembuatannya amat berbahaya berikutan keadaannya  yang mudah terbakar. Disebabkan rahsia Api Yunani inilah, ia membantu kerajaan Byzantine mengekalkan Constantinople selama tujuh abad. Maharaja Romanos II (959-963 Masihi) tahu nilainya tidak boleh dibeli dengan harta dan dianggap sebahagian daripada tiga perkara yang tidak patut dibenarkan jatuh ke tangan kuasa asing. Selain Api Yunani, dua lagi perkara ialah puteri raja Byzantine dan kapal laut mereka. Justeru tidak hairanlah pada sesetengah masa, kerajaan Byzantine membenarkan pemerintah asing berkahwin dengan kaum kerabat wanita mereka atau menghadiahkan kapal laut kepada rakan sekutu tetapi tidak pernah mendedahkan rahsia Api Yunani kepada sesiapa.

Ciri utama Api Yunani ialah ia boleh membakar pada semua keadaan sama ada di darat atau pada permukaan air. Dan ia merupakan senjata terbaik yang boleh diaplikasikan untuk pertempuran laut. Pihak tentera boleh saja menyembur cecair mudah terbakar ini pada kapal-kapal musuh dengan menggunakan sejenis kapal dipanggil dromon, sebuah kapal laju yang boleh digerakkan dengan ramai pendayung. Rekaan mekanisme alat menembak ini tidak diketahui tetapi tiubnya dibuat daripada gangsa dan mengandungi komponen seperti pam siphon dan muncung berpusing. Alat tersebut dilihat amat rumit kerana ia pernah dirampas dan cuba digunakan oleh angkatan tentera Bulgar tetapi gagal berikutan tidak  tahu bagaimana menggunakannya. Satu ilustrasi alat ini boleh dilihat pada lukisan kapal Maharaja Michael II (820-829 Masihi) yang menembak Api Yunani pada kapal-kapal Thomas Si Slavik yang menyerang dan mengepung Constantinople pada 821-822 Masihi.

Kesan dramatik Api Yunani dan cara penggunaannya sudah cukup membuatkan musuh Byzantine gerun dan berfikir banyak kali sebelum melancarkan kempen ke atas mereka. Mana-mana barang atau individu yang terkena api ini akan terbakar sampai hangus. Dan lebih buruk, tiada cara untuk memadamkan api sebegini termasuk terjun dalam air. Ini kerana ia masih boleh terbakar dengan baik pada permukaan air. Dan itulah apa yang dirasai ekspedisi tentera Bani Umayyah semasa kempen 678 Masihi di mana ramai askar terbunuh dan kapal-kapal mereka terbakar kerana diserang Api Yunani.

Selepas kempen tersebut, Api Yunani digunakan secara meluas bukan saja untuk kempen pertahanan tetapi juga sebagai alat serangan terutama semasa era Romanos I (919-944 Masihi) dan Constantine IX (1042-1055 Masihi). Persamaan kedua-dua maharaja ini ialah kedua-duanya menggunakan Api Yunani ke atas ekspedisi tentera Rusia yang mahu menawan Constantinople. John I Tzimisces (969-976 Masihi) turut menggunakan senjata sama untuk mara ke ibu kota kerajaan Bulgar, Preslav dan mengilhak Bulgaria sebahagian daripada wilayah jajahan Byzantine. Pengganti baginda, Basil II (976-1025 Masihi) pula menggunakan Api Yunani dan tentera upahan Rus yang dihantar oleh abang iparnya, Vladimir I dari Kiev untuk menghancurkan pemberontakan jeneral Byzantine, Bardas Phokas Yang Muda di Abydos. Kejayaan-kejayaan ini memberi impak bukan sedikit kepada kerajaan tersebut dan terus bertahan untuk beberapa abad berikutnya.

Namun senjata ini ada hadnya. Ia hanya boleh disembur dalam jarak terhad dan mana-mana tentera boleh saja mengelak selagi mana berada di luar lingkungan jarak Api Yunani. Dan bagi tentera-tentera Arab, mereka perasan cuka merupakan bahan terbaik untuk menangani senjata itu. Justeru sebelum mereka keluar berperang, mereka akan mencelup kulit binatang dengan cuka sebagai pelindung pada pakaian mereka. Dan memandangkan ia hanya boleh digunakan pada cuaca baik berikutan keadaannya yang mudah terbakar, dalam sesetengah kempen, mereka cuba menyerang Constantinople semasa cuaca buruk.

Semua taktik ini bagaimanapun tidak menghalang pihak Byzantine mengadaptasi senjata tersebut untuk kempen darat. Mereka mencipta pam yang boleh diheret untuk disembur pada kubu pertahanan atau disembur dari kubu. Selain itu, mereka turut menggunakan bekas tanah liat di mana dalamnya ialah kain yang direndam dengan cecair itu. Bekas itu akan dibaling sama ada dengan tangan atau dengan manjenik ke arah kumpulan tentera musuh. Bekas yang mengandungi Api Yunani ini sebenarnya merupakan versi awal bom tangan yang digunakan dalam perang moden hari ini. Bagaimanapun, ia masih lagi berkesan untuk kempen tentera laut di mana ia disembur dari kapal tanpa pemandu ke atas kumpulan kapal musuh semasa kempen pengepungan Constantinople 1204 Masihi.

Tidak diketahui mengapa Api Yunani tidak lagi direkodkan selepas kempen pengepungan Constantinople 1204 Masihi. Ada yang membuat teori individu-individu yang memegang rahsia penghasilan senjata tersebut menjadi mangsa amukan tentera-tentera Salib semasa menjarah Constantinople. Walau apapun teori tentang senjata ini, proses penawanan dan penjarahan yang dilakukan tentera Salib bukan saja menyebabkan rahsia Api Yunani hilang selama-lamanya. Ia juga sebenarnya menandakan proses kemerosotan Byzantine dan akhirnya membawa kepada penaklukan Constantinople oleh Mehmed II pada 1453 Masihi.

SUMBER

  1. Budanovic, Nikola. (2016). War History Online. Greek Fire – The Top Secret Weapon of the Byzantine Empire. https://www.warhistoryonline.com/featured/greek-fire-top-secret-weapon-byzantine-empire.html/2
  2. Cartwright, Mark. (2017). Ancient.eu. Greek Fire. https://www.ancient.eu/Greek_Fire/

Previous articleApa Itu Wormhole?
Next articleAdakah Sistem Pusaka Dalam Adat Pepatih Bercanggah Dengan Syarak?
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE