Aparteid – Bila Kaum Minoriti Menindas Majoriti

161

Isu aparteid atau pemisahan kaum bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah. Bagi sesetengah negara, ia merupakan satu babak hitam membabitkan hubungan kaum di negara berkenaan. Dan ia masih berlaku seperti yang berlaku di Palestin hari ini. Maka tidak hairanlah ia dianggap sebagai satu jenayah kemanusiaan dan mana-mana pelaku boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague. Bagi Afrika Selatan yang pernah dibelenggu polisi ini, ia merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara itu.

Walaupun doktrin aparteid hanya berkuatkuasa secara rasmi pada tahun 1948, isu penindasan ke atas golongan kulit hitam sudah berleluasa sejak abad ke-17 lagi. Pada pertengahan abad itu, peneroka-peneroka Eropah menghalau keluar orang Khoi dan San dari tanah asal mereka dengan kekuatan ketenteraan. Sesiapa yang menentang akan dibunuh dengan kejam dan mana yang masih kekal di tanah mereka akan ditawan dan dijual sebagai hamba.

“Beware of Natives”

Sebuah papan tanda yang memberi amaran kepada golongan minoriti berkulit putih supaya ‘berhati-hati’ dengan warga PRIBUMI berkulit hitam.

Pada awal abad ke-19, Britain menguasai Semenanjung Cape dan mengharamkan amalan perhambaan pada tahun 1830-an. Dan seperti disaksikan dalam lipatan sejarah Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, Britain turut mengamalkan dasar pecah dan perintah bagi mengekalkan dominasi pemerintahannya di sesebuah negara. Selepas tamat Perang Boer yang tercetus antara 1899 hingga 1902, kawasan tersebut diberi nama Persekutuan Afrika Selatan dan semua aspek pemerintahan diserahkan kepada populasi kulit putih tempatan. Perlembagaan Persekutuan Afrika Selatan turut mengekalkan semua bentuk diskriminasi dan penafian hak terhadap orang berwarna termasuk kulit hitam dalam bidang politik dan ekonomi.

Satu akta yang dianggap kontroversi dan dianggap permulaan kepada asas aparteid ialah Akta Tanah 1913 yang digubal tiga tahun selepas Johannesburg mencapai kemerdekaan. Menerusi akta ini, warga Afrika Selatan yang berkulit hitam dipaksa tinggal secara berasingan dan tidak dibenarkan bekerja sebagai penuai hasil tanaman. Akta ini menimbulkan kemarahan ramai hingga mendorong sesetengah menubuhkan organisasi politik anti-aparteid. Satu entiti yang dianggap signifikan ialah penubuhan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) di mana antara pemimpinnya yang terkenal ialah mendiang Nelson Mandela.

Selain itu, isu kemelesetan ekonomi (The Great Depression) dan Perang Dunia Kedua (WWII) turut mendorong Afrika Selatan semakin hampir ke arah aparteid. Semasa WWII, berikutan ketiadaan ramai orang kulit putih untuk bekerja dalam sektor perindustrian, ini memaksa pemilik-pemilik kilang mengambil pekerja-pekerja kulit hitam dari kawasan bandar dan luar bandar. Pada era ini juga, wujud satu undang-undang yang melarang orang kulit hitam dari memasuki kawasan bandar. Tetapi berikutan situasi perang, pihak berkuasa melonggarkan penguatkuasaan undang-undang ini.

Bilangan penduduk luar bandar yang berhijrah ke bandar semakin bertambah lebih-lebih lagi bila Afrika Selatan mengalami situasi kemarau paling buruk dalam sejarahnya. Ini mendorong lebih sejuta penduduk berhijrah ke bandar-bandar dan mereka terpaksa mencari tempat perlindungan di mana-mana walaupun ia tiada saluran longkang dan akses kepada air bersih. Salah satu dari petempatan mereka yang terkenal ialah sebuah kawasan setinggan berhampiran Johannesburg yang kini dikenali sebagai Soweto. Walaupun mereka diberi latihan dan kemahiran sama seperti rakan sekerja mereka yang berdarah Kaukasia, itu tidak diterjemahkan dalam bentuk gaji yang saksama dan setaraf dengan kemahiran mereka.

Isu ini menarik perhatian ANC walaupun ketika Afrika Selatan masih bergelut dengan WWII. Pada tahun 1943, ANC yang ketika itu diketuai Dr Alfred Xuma menyerahkan sehelai dokumen yang bertajuk Tuntutan-Tuntutan Orang Afrika di Afrika Selatan kepada Perdana Menteri ketika itu Jan Smuts. Dokumen tersebut mengandungi pelbagai tuntutan seperti hak kerakyatan penuh, pengagihan tanah yang lebih adil, bayaran gaji yang saksama dan pengharaman dasar pemisahan kaum. Setahun selepas itu, gerakan pemuda ANC diketuai Anton Lembede yang turut disertai Mandela menubuhkan Liga Pemuda ANC untuk menggerakkan lebih banyak protes terhadap pemisahan dan diskriminasi kaum. Kawasan setinggan pula bertindak menubuhkan majlis perbandaran dan sistem percukaian mereka sendiri serta menyertai pelbagai mogok untuk menuntut hak pekerjaan yang lebih baik. Ini mendorong pihak berkuasa bertindak balas termasuk menembak peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.

Agak lucu figura utama aparteid pada tahun WWII ini juga merupakan antara penulis piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Dalam piagam itu, semua orang di dunia berhak menerima hak yang saksama tetapi Smuts sengaja tidak menyelitkan kelompok berwarna dalam definisinya terhadap manusia. Ini menyebabkan Afrika Selatan memilih untuk bersikap berkecuali semasa sesi undian piagam diadakan. Dan ada satu lagi fakta aneh terhadap kelompok pro-aparteid ini. Tatkala Afrika Selatan menyertai perjuangan memerangi kezaliman rejim Nazi Jerman, sesetengah daripada mereka ini cenderung terhadap Nazisme dan mula menyokong gerakan berkenaan pada akhir tahun 30-an.

Terdapat tiga pendekatan yang didukung golongan pro-aparteid. Parti Bersatu (UP) pimpinan Smuts memilih meneruskan polisi sedia ada, menolak pemisahan kaum secara total kerana dianggap tidak praktikal tetapi pada masa sama menolak memberi hak politik terhadap orang kulit hitam. Sementara Parti Penyatuan Kebangsaan (HNP) pimpinan D.F Malan pula memilih dua kaedah iaitu pemisahan secara total dan aparteid praktikal.

Untuk pilihan pertama, hanya lelaki kulit hitam saja dibenarkan ke bandar dan mereka diberi pekerjaan yang bersifat remeh dan menjerihkan. Sementara pilihan kedua pula ialah menubuhkan sebuah agensi khas untuk menunjukkan buruh Afrika pekerjaan mana yang harus diisi dalam organisasi yang dikawal orang Afrikaan. Pemisahan secara total tidak ditolak tetapi itu akan memakan masa bertahun-tahun mengeluarkan mereka keluar dari bandar-bandar. Selain itu, mereka juga melihat penduduk imigran harus dihalau keluar dari Afrika Selatan dan dihantar pulang ke negara asal. Walaupun UP menang undi popular, HNP yang dipimpin Malan berjaya membentuk kerajaan majoriti dan memulakan proses aparteid praktikal pada tahun 1948, sekaligus memulakan mimpi ngeri selama 40 tahun.

Antara bentuk penindasan yang dikenakan ke atas penduduk Afrika Selatan termasuk golongan berwarna ialah larangan kahwin campur. Alasan di sebalik penggubalan Akta Larangan Kahwin Campur 1949 ini ialah untuk menjaga kesucian kelompok Afrikaan dari ‘dicemari’ oleh pasangan berbangsa asing. Perasan kan akta sebegini berbaur perkauman seperti mana dekri-dekri bersifat rasis dari Nazi Jerman? Tetapi akta sebegini dianggap tidak praktikal kerana menghina golongan wanita Afrikaan dan mencetuskan kemarahan gereja berikutan akta sebegini seolah-olah mengejek satu ikatan suci bernama perkahwinan. Dan akta sebegini hanyalah satu langkah politik untuk menjaga hati kelompok Kaukasia tempatan agar terus mengundi NP berbanding UP yang dianggap terlalu lemah menyokong hak mereka. Akta sebegini turut dilemahkan dengan fakta penurunan peratusan wanita yang berkahwin dengan pasangan berwarna dari 0.8% (1925) kepada 0.2% (1946).

Setahun selepas itu, kerajaan NP menggubal Akta Pendaftaran Populasi 1950 yang mengklasifikasikan rakyat mengikut bangsa mereka. Golongan berkulit hitam diberi gelaran Bantu, Berwarna (penduduk yang berdarah campur) dan kelompok Afrikaan. Kategori keempat iaitu penduduk Asia (orang India, Pakistan dan sebagainya) ditambah tidak lama selepas itu. Pengelasan sebegini dianggap kejam kerana ia bertindak memisahkan keluarga secara tidak langsung. Contoh ibu bapa boleh diklasifikasikan sebagai Afrikaan tetapi label itu tidak terpakai kepada anak-anak atau sanak-saudara. Persis elemen Nazisme di kem-kem tahanan mereka bukan tetapi dibuatnya secara halus.

Jika anda rasa ini pelik, babak ini sudah pasti akan meruntun hati sesiapa. Penggubalan Akta Promosi Berkerajaan Sendiri 1959 semasa era Hendrik Verwoerd dibuat bagi menghasilkan tanah air baru yang dikenali sebagai Bantustan. Ini dilakukan dengan memisahkan kelompok kulit hitam Afrika Selatan ke 10 kawasan Bantustan bagi memastikan mereka tidak membentuk majoriti, seterusnya bersatu dan menggerakkan protes besar-besaran terhadap kerajaan pro-aparteid. Kelompok ini bukan saja didiskriminasi dari segi soal kerakyatan dan hak politik bahkan melihat tanah mereka dirampas dan dijual kepada peladang-peladang kulit putih dengan harga murah. Ini berlaku antara tahun 1961 hingga 1994 di mana 3.5 juta penduduk kehilangan tanah mereka dan dipaksa berhijrah ke Bantustan. Setibanya mereka di situ, mereka mengalami masalah kemiskinan yang dahsyat dan sudah putus asa dengan situasi mereka.

Satu lagi undang-undang yang amat dibenci ramai di Afrika Selatan ialah Akta Dokumen Koordinasi dan Pas Penghapusan 1952. Akta ini dibuat bagi mengawal pergerakan orang kulit hitam di sana dan mereka diwajibkan membawa pas sebegini bila berada di luar kawasan simpanan atau Bantustan. Pas ini terpakai kepada kaum Adam saja kerana cubaan mengenakan pas sama terhadap kaum Hawa sebanyak dua kali pada tahun 1910 dan 1950-an ditentang ramai pihak. Pas ini dilihat sama seperti pasport di mana ia mengandungi maklumat individu seperti gambar, cap jari, alamat, nama majikan, tempoh bekerja dan maklumat tingkah laku lain. Maklumat tingkah laku ini boleh diisi oleh majikan di mana semua majikan ketika itu berdarah Afrikaan.

Jika mereka hendak ke luar kawasan, mereka perlu mendapat izin pihak kerajaan dan perlu menyatakan sebab munasabah perjalanan. Sekiranya mereka tidak berpuas hati, pemilik pas boleh kehilangan pas dan jika pas kemasukan didapati dengan cara tidak sah, ini boleh mengakibatkan individu itu dipenjarakan. Kelompok orang kulit hitam terpaksa mengambil risiko dengan undang-undang ini bagi membolehkan mereka mencari sesuap nasi dan menyara keluarga mereka. Apabila ia dibatalkan pada tahun 1986, lebih 17 juta penduduk Afrika Selatan berkulit hitam dipenjarakan akibat akta ini. Akta ini juga mencetuskan protes beramai-ramai pada 50-an dan 60-an di mana satu protes yang diadakan Sharpesville menyaksikan 69 penduduk yang membantah mati dibunuh pihak berkuasa. Selain itu, akta ini juga mengakibatkan mereka kehilangan hak kewarganegaraan dan dihantar ke Bantustan yang penuh dengan kemiskinan.

Insiden di Sharpesville menyedarkan kelompok anti-aparteid bahawa perjuangan ini sudah tidak boleh dimenangi dengan kaedah damai dan perlu digantikan dengan perjuangan bersenjata. Ini mendorong entiti politik seperti ANC menubuhkan sayap militia mereka. Tetapi sayap sebegini tidaklah dilihat memberi ancaman kepada pasukan keselamatan Afrika Selatan ketika itu. Namun, itu sudah cukup mendorong Johannesburg mengenakan hukuman penjara yang lama ke atas pemimpin-pemimpin anti-aparteid termasuk Mandela. Sesetengah daripada mereka berjaya melarikan diri ke negara-negara Afrika yang bersimpati dengan perjuangan mereka termasuk Guinea, Tanzania dan Zambia.

Namun, semua itu langsung tidak mematahkan semangat kelompok anti-aparteid kerana perjuangan mereka turut disokong oleh komuniti dunia. Tetapi ada satu negara yang dilihat masih tega menyokong rejim itu iaitu Amerika Syarikat. Bagi Washington semasa era Harry Truman, Afrika Selatan dianggap penting kerana menolak fahaman komunisme walaupun pada masa sama, mengamalkan dasar pro-aparteid yang kejam. Dasar yang diperkenalkan Truman ini kemudiannya diteruskan oleh presiden-presiden lain atas alasan Johannesburg merupakan sekutu utama Washington mengekang pengaruh komunisme di wilayah selatan Afrika.

Tetapi semua itu berubah semasa era Lyndon B. Johnson yang menyaksikan pelbagai akta dan visi yang bersifat inklusif termasuk Akta Hak Sivil dan visi ‘Masyarakat Hebat’ yang digerakkan semasa era pentadbirannya. Ramai ahli politik dan pemimpin berpengaruh Amerika terpengaruh dengan idea-idea ini dan perlahan-lahan menggerakkan kempen menolak aparteid. Semasa era Ronald Reagan, Kongres meluluskan sekatan ekonomi bersifat penting menerusi penggubalan Akta Anti-Aparteid pada tahun 1986.

Menerusi akta ini, Kongres menyatakan beberapa fasal iaitu:

  • mengharamkan pengimportan produk Afrika Selatan seperti besi dan uranium dari memasuki Afrika Selatan
  • melarang Johannesburg dari memiliki akaun-akaun bank Amerika Syarikat.
  • melarang pesawat South African Airways dari mendarat di mana-mana landasan terbang Amerika.
  • menghalang semua bentuk bantuan asing dari dihulurkan kepada kerajaan Afrika Selatan.
  • melarang semua bentuk pelaburan dan pinjaman kepada Afrika Selatan.

Sekiranya kerajaan Johannesburg bersedia menggugurkan semua polisi perkauman mereka, semua bentuk sekatan akan ditarik balik. Bagaimanapun, usul Kongres ditolak Reagan atas alasan ia merupakan satu bentuk perang ekonomi dan hanya menambah konflik sivil di Afrika Selatan. Beliau bersedia mengenakan sekatan yang berbentuk fleksibel menerusi arahan eksekutif presidennya. Namun, bimbang sekiranya sekatan Reagan bersifat terlalu ringan ditambah dengan isu Iran-Contra yang menghentam pentadbiran beliau ketika itu, Kongres terutama 81 wakil Republikan menyokong usul akta itu dan menolak cubaan veto Reagan. Beberapa hari selepas itu, Senat menolak usaha veto beliau dan meluluskan Akta Anti-Aparteid Sepenuhnya.

Sekatan yang berkuatkuasa pada tahun 1986 ini menyaksikan banyak syarikat multinasional menarik diri dari Johannesburg sekaligus mengakibatkan mereka kehilangan sumber pendapatan yang penting. Walaupun ia tidak dilaksanakan secara ketat semasa era Reagan, era George H.W Bush menyaksikan sekatan dikenakan sepenuhnya ke atas Johannesburg pada tahun 1989. Melihat situasi tidak lagi menyebelahi mereka, Perdana Menteri ketika itu P.W Botha meletak jawatan dan digantikan oleh F.W de Klerk. De Klerk mengejutkan semua dengan menarik balik semua sekatan ke atas parti-parti politik terutama parti orang kulit hitam, mengembalikan kebebasan media dan melepaskan semua banduan politik. Antara yang dibebaskan ialah Mandela yang dibebaskan pada tahun 1990.

Selepas dibebaskan, Mandela meneruskan usaha menolak aparteid tetapi memilih pendekatan damai yang diinspirasikan dari gerakan Mahatma Gandhi. Pada tahun 1993, de Klerk bersetuju mengadakan pilihan raya membabitkan semua kaum di Afrika Selatan sekaligus membolehkan Washington yang ditadbir Bill Clinton bersetuju menarik balik semua sekatan ekonomi ke atas Johannesburg.  Dan pada 9 Mei 1994, Parlimen Afrika Selatan yang memiliki komposisi kaum yang berlainan sebulat suara mengangkat Mandela sebagai presiden dengan de Klerk dan Thabo Mbeki (bakal presiden Afrika Selatan) sebagai timbalan presiden beliau.

SUMBER

1. Boddy-Evans, Alistair. (2018). ThoughtCo.com. Pass Laws During Apartheid. https://www.thoughtco.com/pass-laws-during-apartheid-43492

2. Boddy-Evans, Alistair. (2019). ThoughtCo.com. The Origins of Apartheid in South Africa. https://www.thoughtco.com/when-did-apartheid-start-south-africa-43460

3. Thompsell, Angela. (2018). ThoughtCo.com. The Prohibition of Mixed Marriages Act. https://www.thoughtco.com/prohibition-of-mixed-marriages-act-43464

4. Thompsell, Angela. (2018). ThoughtCo.com. What Was Apartheid in South Africa? https://www.thoughtco.com/apartheid-definition-4140415

5. History.com. (2010). Apartheid. https://www.history.com/topics/africa/apartheid

6. Longley, Robert. (2018). ThoughtCo.com. The End of South African Apartheid. https://www.thoughtco.com/when-did-apartheid-end-43456

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.