Saya pernah membaca buku tulisan Maszlee Malik (PhD), yang kini seorang Menteri Pendidikan, bertajuk Menuju Sejahtera Meraih Bahagia terbitan Karya Bestari. Apa yang menarik untuk saya kongsikan di sini ialah beliau memulakan bab pertama di dalam bukunya dengan mengetengahkan idea bahawa kita sebagai seorang “Homo-Islamicus”. Gelaran itu bermaksud, setiap dari kita ialah warga politik. Makhluk yang bersosial dan hidup bersama-sama menjadi sebuah masyarakat dan sebuah negara. Politik di sini bukanlah dalam konteks sempit seperti politik kepartian, tetapi politik di sini bermaksud menjayakan misi keadilan, membawa keamanan, memberi kesejahteraan dan memajukan satu sama lain. Ya, buku ini berkenaan politik. Apa yang dapat saya rumuskan ialah kita adalah makhluk sosial. Hidup kita bukanlah sendiri, malah saling memerlukan satu sama lain.

Adakah Benar Itu Cinta

Orang kata cinta itu buta. Sebenarnya bukan, yang buta ialah ‘infatuation’ (tarikan sementara). Cinta ialah apabila kita sudah mengenali hati budi dan perangai seseorang. Kita tahu cara seseorang menjalani hidup dan mengenali bagaimana dia melihat sesuatu perkara. Manakala perasaan suka dan tarikan sementara hanyalah persepsi kita terhadap orang tersebut. Kita mempunyai ‘bias’ (berat sebelah) terhadap individu itu. Sebagai contoh, kita akan mengatakan orang yang kita lihat cantik dan kemas sebagai orang baik dan berbudi pekerti. Manakala orang yang kita lihat selekeh dan serabut sebagai orang tidak berpelajaran dan kurang beradab. Dalam ilmu psikologi, stereotaip seperti ini adalah normal dan memang wujud dalam diri kita. Semasa saya mengambil kelas Organizational Behaviour, ada dibahaskan persoalan seperti persepsi, stereotaip, dan ‘bias’. Untuk mengelakkan stereotaip kita sempit dan jumud, kita digalakkan untuk banyak berkenalan dengan individu yang punyai latar belakang berbeza dan cara fikir berbeza dari kita dalam hidup ini.

Saya baru sahaja ditanya oleh seorang wanita yang tak dikenali semalam berkenaan cinta ini. Beliau mengatakan ada seorang lelaki yang inginkan beliau dan mahu bercinta dengannya. Tetapi hatinya hanya selesa sekadar berkawan dan tidak lebih dari itu. Beliau keliru apa yang patut dibuat, sama ada hentikan hubungan tersebut atau masih berhubungan. Dalam masa yang sama beliau tidak mahu memberi harapan kerana masih belum bersedia untuk buka hatinya pada sesiapa. Dan saya pun memberi nasihat sekadar yang mampu berdasarkan kefahaman saya. Bahawa cinta itu tidak boleh dipaksa. Ya, memang boleh dipupuk tetapi bukan dalam konteks “saya perlu terima dia perlahan-lahan” sebab perkara itu sendiri bercanggah dengan erti cinta itu sendiri.

 

لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً 

Agar kamu tenteram kepadanya, dan Dia telah menjadikan di antara kamu rasa saling cinta dan sayang

(Al-Rum 30: 21)

Sebagaimana satu kata-kata yang saya temui, “love is not about forcing the pieces to fit, it’s about falling into something that fits naturally”. Justeru itu, pastikan terlebih dahulu bahawa kita benar-benar jatuh cinta. Bukannya memaksa diri untuk menerima cinta, ataupun terburu-buru ingin bercinta. Kerana kebanyakan hubungan yang tak menjadi adalah disebabkan mereka tidak benar-benar saling mencintai.

Sabar Dalam Menemukan Cinta

Seorang kawan saya pernah berkata kepada saya bahawa dalam mencari cinta, ada pelbagai caranya. Ada orang sekali kenal, terus nikah apabila sudah sedia. Ada orang, kenal orang sana sini tetapi masih belum jumpa yang tepat rasa di hati. Begitulah setiap insan, punyai cerita dan kisah tersendiri. Namun, apa yang pasti ialah perlulah ikhlas mencari untuk menemukan cinta. Bukannya bebas memberi harapan pada orang lain tetapi tidak langsung berniat untuk bersama. Persoalan ini tiada siapa yang membahaskan halal atau haram, baik atau salah. Tetapi atas dasar ‘common sense’, hindarilah perbuatan ini. Kerana mempermainkan perasaan orang lain itu menyusahkan dan ada yang sampai ke tahap merobek hati insan lain.

مَنْ يُشَاقِقْ يَشْقُقْ اللَّهُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Barangsiapa menyusahkan (manusia), maka Allah juga akan menyusahkannya pada hari kiamat.”

(Riwayat Bukhari)

Dan bagi mereka yang pernah dikecewakan, nasihat yang boleh saya berikan ialah percayalah akan ada yang baik datang dalam hidup kita. Untuk menafikan dan takut terhadap cinta itu bakal memberikan kita trauma yang tidak kesudahan. Semua yang berlaku adalah disebabkan ketentuan Allah. Bukanlah Allah ingin menyusahkan hidup kita, sebaliknya mengajar kita erti sabar. Ya, sabar adalah istilah yang kedengaran agak klise. Tetapi itulah pengukur terhadap tahap keberjayaan seseorang dalam hidup dan juga di akhirat kelak.

وَالَّذِينَ صَبَرُوا ابْتِغَاءَ وَجْهِ رَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً وَيَدْرَءُونَ بِالْحَسَنَةِ السَّيِّئَةَ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عُقْبَى الدَّارِ

Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).

(Al-Ra’d 13: 22)

Dalam kajian terkenal yang disebut sebagai The Marshmallow Test pada lewat 1960an dan awal 1970an, sekumpulan saintis yang diketuai oleh Walter Mischel, telah menjalankan kajian terhadap kanak-kanak untuk menguji kaitan antara tahap kesabaran dan keberjayaan mereka dalam hidup. Ternyata hasil dari kajian ini mendapati mereka yang bersabar ataupun diberi istilah ‘delayed gratification’, terbukti menjadi lebih berjaya berbanding mereka yang tidak sabar. Kajian ini begitu terkenal sehingga disebut-sebut sampai ke hari ini. Pengajaran yang boleh kita ambil dari kajian ini ialah, hidup ini bukan seperti perlumbaan untuk mengejar garisan penamat. Meskipun kita jumpa orang-orang yang salah dalam hidup, janganlah sampai kita sendiri berputus asa. Tetapi apa yang boleh kita buat ialah menjadi lebih baik untuk kebaikan diri kita. Mendekatkan diri dengan Tuhan dan bersosial dengan baik terhadap sesama insan.

Sendiri Bukan Sunyi, Berpasangan Bukan Bahagia

Kalau diperhatikan konteks pada hari ini, kebanyakan di dalam media sosial kita gemar merendahkan orang-orang yang tidak berpasangan atau ‘single’. Seolah-olah tidak mempunyai pasangan adalah satu kekurangan dan bagi yang ada pasangan adalah satu kemenangan. Contoh paling mudah kita lihat, tunggu sahaja waktu hari raya Aidilfitri. Akan ada yang muat naik gambar seorang dan menulis seolah-olah menjadi single ini satu bentuk penyeksaan batin. Sabar dahulu, bukan itu yang sebenarnya kita sangka. Ya, nikah itu adalah sunnah Nabi kita dan sangat dianjurkan dalam Islam. Tetapi begitu ramai yang berpasangan bercinta bertahun-tahun tetapi tak nampak pun arah ke mana dan bila hendak bernikah, hidup bersama. Yang lebih dipandang, orang yang single yang akan ditanya “bila mahu kahwin”.

Persoalan ‘alone vs lonely’ telah lama dibahaskan di negara-negara luar. Pertama sekali saya terfikir tentang perkara ini ialah apabila menonton rakaman tazkirah daripada Aida Azlin, seorang blogger. Bersendirian adalah perkara normal dan sering kali dikaitkan dengan kesunyian. Kita boleh bersendirian tetapi tak semestinya kita berasa sunyi. Manakala kita boleh berada dalam pelukan seseorang, berada di stadium yang dipenuhi ribuan orang atau berada di dalam majlis keramaian keluarga tetapi masih berasa sunyi di dalam jiwa kita. Sunyi adalah disebabkan perasaan dan hati kita tiada hubungan yang mencukupi dengan orang lain. Boleh jadi kita berasa sunyi kerana ditimpa masalah yang tidak boleh diceritakan pada sesiapa. Atau kita baru sahaja putus cinta dan tidak tahu hendak diluahkan bagaimana perasaan itu. Menjadi sunyi biasanya agak sedih dan memilukan. Pada tahap yang ekstrem, kesunyian boleh menyebabkan depresi yang teruk dan kita sedia maklum depresi adalah bahaya bagi kesihatan rohani seseorang.

Ramai menganggap jika sudah punyai pasangan, seseorang tidak akan sunyi. Sebenarnya tidak. Ada antara kita yang mempunyai pasangan tetapi masih lagi berasa kosong dalam dirinya. Mereka merasa ‘emotionally unfulfilling’. Secara peribadi, saya pernah diluahkan perasaan seseorang terhadap pasangannya. Beliau merasakan pasangannya tidak memberi perhatian kepadanya dan asyik dengan dunia sendiri. Saya menganggap, mungkin ada beberapa faktor beliau rasa begitu. Antaranya mungkin bahasa cinta beliau dan pasangannya berlainan, jadi perkara itu boleh difahami seperti yang dibahaskan oleh Gary Chapman dalam bukunya bertajuk The Five Love Languages. Namun jika pasangannya benar-benar tidak boleh memenuhi keperluan emosinya, pada saya eloklah nilai kembali hubungan tersebut sebelum meleret ke arah lebih teruk.

ثَلَاثٌ لَا تُؤَخِّرْهَا الصَّلَاةُ إِذَا أَتَتْ وَالْجَنَازَةُ إِذَا حَضَرَتْ وَالْأَيِّمُ إِذَا وَجَدَتْ لَهَا كُفْؤًا

Tiga perkara jangan kamu tangguh iaitu menunaikan sembahyang apabila masuk waktu, menguruskan jenazah, dan (dikahwinkan) wanita sekiranya didapati ada jodoh yang sekufu dengannya.”

(Riwayat Tirmizi)

Sekufu adalah salah satu faktor memilih pasangan yang baik. Kerana tanpa pasangan yang sekufu, berkemungkinan besar kita akan merasa sunyi atau slanga moden disebut ‘tidak ngam’. Para ulama’ turut membicarakan kepentingan sekufu yang boleh membawa kebahagiaan dalam rumah tangga, seperti contoh Syeikh Dr. Abdullah Nasih `Ulwan yang mengarang kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam (Pendidikan Anak-Anak dalam Islam) turut mengetengahkan persoalan memilih pasangan yang baik dalam tulisan beliau. Justeru itu, dalam memilih pasangan, kita perlu tahu dan faham bagaimana sifat seseorang. Adakah mereka dapat memenuhi keperluan emosi dan perhatian kita. Atau adakah kita berpasangan hanyalah disebabkan orang lain pun ‘couple’, maka kita pun patut turut serta sebab sudah suka. Sebab bergantung pada perasaan suka pun tidak ke mana kerana ada orang dia boleh suka orang sana sini, menganggap cinta itu seperti permainan. Jika sudah bosan, dia suka orang lain tinggalkan pasangannya terkontang-kanting.

Di awal penulisan saya ada menyebutkan tentang konsep ‘Homo-Islamicus’ yang diketengahkan oleh Dr Maszlee Malik dalam buku beliau. Konsep itu jika benar-benar kita hayati, pastilah tiada berlaku kes-kes kecurangan yang banyak kali terjadi. Sebabnya konsep ini kita cinta pada seseorang kerana Allah. Bukan atas perasaan yang kita sendiri tidak boleh kawal. Di dalam hati kita wujud keimanan pada Allah dan kita tidak fikir untuk dapatkan seseorang semata-mata memenuhi nafsu tarikan pada mata kita terhadap orang lain.

Bacaan cadangan:

1. Menuju Sejahtera Meraih Bahagia tulisan Dr. Maszlee Malik

2. The Five Love Languages tulisan Gary Chapman

3. Tarbiyatul Aulad Fil Islam tulisan Dr. Abdullah Nasih ‘Ulwan

Artikel disumbangkan oleh Baha’ untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.