Bayangkan anda sedang bersantai di persisiran pantai Bahamas. Tatkala anda sedang asyik berjemur dibawah sinaran matahari jingga, anda membuka mata menatap kecantikan ufuk laut kebiruan, dengan lapisan horizon angkasa yang seakan indigo. Sesekali pandangan anda dikilas kilauan terang permukaan air turqoise dek biasan cahaya matahari terik, disajikan dengan bayangan redup pohon palma yang kehijauan serinya. Persisiran pantai perang dihentam buih-buih air lautan keputihan. Titisan air pada gelas cocktail merah disisi anda, dengan payung hiasan biru kecil ditepinya, mengalir lembut menyentuh permukaan meja besi perak berkilat. Segala keindahan isi dunia ini diibaratkan seperti suatu letusan warna warni yang menembusi retina mata anda.

Anda perlahan-lahan memejam mata, menikmati suasana indah ini. Penglihatan anda semakin lama menjadi semakin gelap, perlahan-lahan berubah menjadi hitam sepenuhnya.

Akan tetapi, disebalik keindahan alam dengan limpahan keserian warna ini, pernahkah anda bertanya kepada diri, apakah itu WARNA?

Hari ini saya tidak akan menukilkan artikel yang berbentuk penerangan sepertimana kebiasaannya, sebaliknya saya mahu mencetuskan daya pemikiran kritis daripada anda para pembaca, untuk mula berfikiran unik dan luar daripada kotak dan norma. Saya galakkan anda untuk fikirkan tentang penulisan ini dan aktif mencari jawapan anda tersendiri melalui pelbagai bahan bacaan.

Saya selitkan 5 jenis warna berbeza didalam gambar di atas. Saya minta anda para pembaca, untuk sebutkan warna bagi setiap satu gambar, bermula daripada kiri sekali dan seterusnya tamat pada paling kanan sekali.

Mereka yang mempunyai penglihatan warna yang normal sudah tentu akan menjawab :

Merah, hijau, kuning, jingga dan biru.

Saya yakin bahawa hampir semua pembaca setuju dengan jawapan diatas. Benar? Namun, adakah anda pasti itu jawapannya?

Warna, adalah suatu perkara yang sehingga kini sukar untuk kita perjelaskan. Ia bukanlah sesuatu perkara berbentuk fizikal yang mempunyai jasad, yang boleh kita sentuh, rasa, bau dan alami. Satu-satunya deria yang boleh kita gunakan untuk mengenalpasti kehadiran warna hanyalah melalui deria penglihatan semata-mata. Anda juga tidak mampu mengukur, memerhati mahupun mengira PENGALAMAN anda melihat warna.

Maka, adakah warna itu sebenarnya wujud? Adakah warna itu bersifat abstrak? Jika ya, apakah pula warna air? Apakah warna cermin? Apakah warna udara? Adakah tiada warna juga sebenarnya adalah salah satu jenis warna? Adakah warna itu sebenarnya ilusi?

Bagaimanakah kita mampu menghilangkan warna daripada sesuatu objek? Ya, kita boleh melapisi sesuatu objek yang berwarna A dengan lapisan cat atau semburan warna B. Akan tetapi bagaimana kita mampu merentap keseluruhan warna itu sendiri daripada sesuatu objek sehingga ia tidak lagi mempunyai warna?

Apakah itu merah, kuning, hijau, biru dan lain-lain warna? Apakah ciri dan karakter yang membezakan merah, kuning, hijau, biru, hitam dan lain-lain warna? Hampir 95.5% (1) mengakui bahawa merah adalah merah, kuning adalah kuning, hijau adalah hijau. Akan tetapi, pernahkah anda terfikir, apa itu sebenarnya merah? Hijau? Biru? Kuning?

Katakanlah saya meletakkan seikat pisang ini dihadapan anda, dan saya tanyakan kepada anda apakah warna pisang ini?

Sudah tentu anda menjawab kuning. Jika saya tanyakan kepada anda, apa itu kuning, bagaimana anda akan terangkan kepada saya? Bagaimana anda begitu pasti bahawa ia sememangnya kuning? Bagaimana anda yakin bahawa ia bukannya biru, merah atau lain-lain warna sedangkan tiada suatu bukti pun yang mengatakan ianya sememangnya kuning mahupun bukan?

Katakan jika saya juga mengakui bahawa pisang tersebut berwarna kuning, apakah anda yakin definisi kuning mengikut kefahaman anda adalah sama dengan definisi kuning mengikut kefahaman saya? Apakah mungkin jika kita, sejak dari awal lagi telah mempelajari dua warna yang sebenarnya berbeza, namun memanggilnya dengan nama yang sama selama ini? Malah kita mampu berinteraksi dengan efektif dengan menggunakan definisi KUNING kita sendiri sedangkan kita sendiri pun tak tahu “kuning” siapa yang benar? Sedangkan anda tak mampu melihat apa yang saya fikir, dan saya juga tak mampu melihat apa pemikiran anda, jadi, bagaimana kita begitu yakin bahawa objek yang dilihat itu adalah sama warnanya?

Bagaimana pula dengan mereka yang buta warna? Golongan orang buta warna adalah mereka yang mempunyai perbezaan penilaian warna berbanding orang lain. Terdapat 3 jenis buta warna yang dikenalpasti setakat ini. Buta warna merah-hijau, buta warna biru-kuning, dan buta warna sepenuhnya. Masing-masing mempunyai subset jenis buta warna tersendiri.

Aneh, bagaimana kita menilai orang yang melihat warna secara berbeza dianggap sebagai buta warna sedangkan bagaimana kita sendiri tidak tahu apakah warna yang kita lihat itu betul sebetul betulnya? Bagaimana kita begitu yakin bahawa bukan kita yang sebenarnya buta warna? Hanya berdasarkan majoriti? Sepertimana banyaknya orang menggunakan tangan kanan bererti orang yang menggunakan tangan kiri dianggap kidal dan berbeza?

Bagaimana pula dengan warga OKU cacat penglihatan? Orang buta sejak lahir, misalnya.

Orang buta sejak lahir langsung tidak pernah didedahkan dengan pengalaman warna. Apa itu warna? Apakah rasa warna? Apakah emosi yang ada dalam setiap warna?

Jika kita bertanya kepada orang buta apakah yang dia nampak disebalik kebutaannya, apakah dia akan menjawab hitam, gelap atau tiada warna langsung? Bagaimana dia tahu ia tiada warna sedangkan dia sendiri tidak tahu apa itu warna?

Apakah dia hanya sekadar melihat hitamnya persekitaran sepanjang masa? Bagaimana pula dia pasti apa yang dilihatnya itu benar-benar hitam sepertimana fahamnya kita terhadap definisi warna hitam?

Apakah dia akan menjawab gelap sedangkan dia tidak pernah alami suasana cerah untuk dapatkan pengalaman tentang apa itu kegelapan berbanding cerah? Jadi, gelap yang bagaimana yang dimaksudkan? Mungkin, sebenarnya disebalik kebutaan itu munculnya cahaya paling cerah sekali akan tetapi dia (si buta) mempelajari untuk menggelarkannya sebagai gelap berdasarkan penceritaan orang lain kepadanya. Mungkin?

Dan bagaimana kita sebagai orang yang celik, mampu menceritakan dan menggambarkan apa itu konsep warna (hitam, biru, merah, putih dsb) kepada orang buta yang langsung tidak punya pengalaman melihat warna? Melalui sentuhan? Deria rasa dan bau?

Manusia hanya mampu melihat beberapa jenis warna terhad yang jatuh pada 3 jenis photoreceptor mata kita, iaitu gabungan warna biru, merah dan hijau. Inilah yang menyebabkan manusia mampu melihat warna yang kita kenali kini. Warna yang kita mampu lihat dikenali sebagai visible spectrum of light atau spektrum cahaya yang boleh dilihat.

Kebanyakan haiwan mampu melihat spektrum warna melebihi dari kemampuan manusia, seperti melihat cahaya inframerah atau ultraviolet. Malah, haiwan peacock mantis shrimp, mempunyai kira-kira 16 jenis photoreceptor yang membuatkan ia mampu melihat mungkin ratusan jenis warna yang tak pernah kita ketahui mahupun alami. Maka, apakah mungkin sebenarnya warna sekadar ilusi bergantung pada keupayaan penglihatan seseorang?

Apakah merahku sama dengan merahmu? Jom fikir!

#AC #SNJOKER


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mengapa sistem huruf moden perlu disusun bermula dari A hingga Z walhal tiada satu pun syarat yang mewajibkan sedemikian?" Seorang jururawat lelaki yang gemar melihat hidup dari sisi dan perspektif tidak lazim dan janggal. Kadangkala sehingga mencabar kefahaman terhadap diri sendiri.

Leave A Reply