Apakah Itu Kitaran Batu?

226
views

Ilmu geologi adalah ilmu sains yang berfokus kepada aktiviti Bumi, kajian dan proses batu dihasilkan mengikuti perubahan masa. Ilmu ini juga terpakai bagi mengkaji mana-mana planet dan satelit semula jadi seperti Marikh atau Bulan. Selain kajian batu, sistem hidrologi, dan kajian atmosfera juga termasuk dalam ilmu geologi. Sebagai seorang penulis yang pernah belajar mengenai ilmu geologi ini, adalah penting untuk saya berkongsi ilmu ini bukan sekadar memandaikan masyarakat, ia juga sebagai usaha untuk masyarakat mengenali lebih dekat terhadap Bumi sekaligus meningkatkan kefahaman akan aktiviti Bumi tercinta ini.

GAMBAR 1: Kitaran Batu (Rock Cycle)

Baik. Untuk artikel ini, saya bentangkan tentang Kitaran Batu. Kitaran Batu adalah sebuah kitaran tentang pemprosesan dan penghasilan pelbagai jenis batu yang wujud di muka dan perut Bumi. Kitaran ini lambat tempoh masanya, bertahun-tahun lamanya bagi menghasilkan seketul batu yang terdiri daripada pelbagai mineral. Bagi memahami kitaran ini, ada 3 kelas batu yang harus kita kenali (boleh rujuk Gambar 1 bagi memahami lebih jelas):

  1. Batu Sedimen (Sediment Rocks)

Batu Sedimen adalah sejenis batu yang terhasil daripada pemampatan (compaction) dan pemendapan (deposition) sedimen. Sedimen pula adalah partikel-partikel batu dan mineral yang terhasil dari penghakisan (erosion) dan proses luluhawa (weathering) dari tanah tinggi, bukit, dan gunung.

Batu Sedimen biasanya hadir di persisiran pantai atau dasar laut kerana penghasilan batu tersebut memerlukan proses pemendapan yang mana proses tu hanya berlaku di kawasan berair.

Contoh batu: Batu Pasir (Sandstone). Batu Pasir adalah sejenis batu sedimen yang terdiri daripada partikel pasir dan serpihan batu seperti quartz.Qquartz atau feldspar (ia semacam partikel kaca atau silika) wujud dalam batu pasir kerana partikel ini adalah tahan dari sebarang proses luluhawa di muka Bumi. Warna batu ini kebanyakannya terdiri daripada perang, kuning, merah, kelabu, merah jambu, putih, dan hitam.

GAMBAR 2: Batu Pasir (Sandstone)
  1. Batu Metamorf (Metamorphic Rocks)

Batu Metamorf adalah batu yang terhasil di perut Bumi akibat proses tekanan dan perubahan suhu tinggi (heat and pressure) terhadap batuan asal seperti batu sedimen. Senang kata, penjelmaan batu dari batu asal kepada batu baru.

Contoh batu: Quartzite, batu metamorf yang terhasil dari batu pasir yang mengalami tekanan dan perubahan suhu. Beza antara quartzite dan batu pasir adalah quartzite kaya dengan partikel silica dan lebih keras berbanding batu pasir yang mudah rapuh. Warna kebiasaan batu ini adalah kelabu namun batu ini juga wujud dalam warna merah jambu dan merah kerana kehadiran jumlah elemen besi seperti iron oxide (Fe2O3).

GAMBAR 3: Quartzite
  1. Batu Igneus (Igneous Rocks)

Batu Igneous adalah batu yang terhasil dari penyejukan (cooling) magma. Magma yang disejukkan cepat akan menghasilkan batu igneus intrusif (intrusive igneous rocks) manakala magma yang disejukkan lambat akan menghasilkan batu igneus ekstrusif (extrusive igneous rocks).

Batu igneus ekstrusif atau batu volkanik biasa ditemui di kawasan gunung berapi di mana lava mengeras membentuk sejenis batu. Manakala batu igneus intrusif atau batu plutonik hanya ditemui di kawasan berdekatan kerak Bumi.

Contoh batu volkanik: Batu Basalt, sejenis batu volkanik yang kaya dengan unsur magnesium dan besi. Batu basalt ini juga wujud dalam satelit semula jadi seperti Bulan. Lebih 90% daripada batu volkanik di Bumi terdiri daripada batu basalt. Batu basalt kekurangan partikel silica yang membolehkan lava cepat menyejuk.

GAMBAR 4: Basalt

Contoh batu plutonik: Batu Granite. Batu Granite terdiri dari bermacam-macam warna bergantung kepada jenis mineral yan g wujud dalam batu tersebut. Kata ‘granite’ dari kata bahasa Latin iaitu granum, bermaksud biji-bijian, sesuatu dengan batu granite yang mempunyai partikel mineral yang berbentuk biji-bijian. Batu granite telah manusia gunakan dalam industry pembinaan sejak dahulu lagi kerana kekerasannya selain mempunyai rupa yang menarik dengan gabungan warna dan partikel mineral.

GAMBAR 5: Granite

Kitaran Batu berterusan apabila:

  1. Batu igneus dan batu metamorf boleh menjadi batu sedimen apabila kedua-dua batu tersebut terdedah kemudian mengalami proses luluhawa, penghakisan, pemendapan, dan pemampatan. Batu sedimen juga boleh menjadi batu sedimen baru jika melalui proses yang sama.
  2. Batu igneus boleh menjadi batu metamorf apabila batu tersebut mengalami tekanan dan perubahan suhu tinggi di perut bumi. Namun batu metamorf dan batu sedimen tidak boleh menjadi batu igneus kerana sebarang batu perlu dileburkan menjadi magma kemudian membentuk batu igneus melalui penyejukan.

RUJUKAN:

  1. Blasik, Miroslava; Hanika, Bogdashka, eds. (2012). Granite: Occurrence, Mineralogy and Origin. Hauppauge, New York: Nova Science.
  2. Blatt, Harvey & Robert J. Tracy (1996). Petrology; Igneous, Sedimentary, and Metamorphic, 2nd Ed. W. H. Freeman.
  3. Dorrik A. V. Stow (2005). Sedimentary Rocks in the Field: A Colour Guide. Manson Publishing.  Retrieved 27 October 2018.
  4. Gill, Robin (2010). Igneous rocks and processes : a practical guide. Chichester, West Sussex, UK: Wiley-Blackwell.
  5. Haldar, S.K.; Tišljar, J. (2014). Introduction to Mineralogy and Petrology. Elsevier. p. 116.
  6. Krukowski, Stanley T. (2006). “Specialty Silica Materials”. In Jessica Elzea Kogel; Nikhil C. Trivedi; James M. Barker; Stanley T. Krukowski. Industrial minerals & rocks: commodities, markets, and uses(7 ed.). Society for Mining, Metallurgy, and Exploration (U.S.). p. 842.