Menyebut perihal feminisme akan menimbulkan seribu satu persepsi dalam kalangan masyarakat. Ideologi feminisme dikaitkan dengan perjuangan untuk menyamatarafkan lelaki dan wanita dan ada juga yang turut melabelkan feminsme bersifat anti lelaki. Pun begitu, ada juga sesetengah pihak yang menyatakan perjuangan feminisme adalah tidak Islamik malah jauh tersasar daripada nilai-lnilai Islam. Idelogi feminisme sering dituduh disokong agenda liberalisme, pluralisme dan sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Namun, timbul persoalan dalam benak pemikiran kita, apakah sebenarnya yang dinamakan sebagai feminisme? Adakah feminis, iaitu mereka yang mendukung ideologi feminisme ini benar-benar anti lelaki? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu kembali melihat sejarah perkembangan feminisme.

Definisi feminisme

Memetik definisi literal daripada Oxford’s Dictionary feminism ditakrifkan sebagai suatu kepercayaan dan perjuangan yang bermatlamatkan hak dan peluang yang sama antara lelaki dan wanita, dan mereka berjuang untuk mencapai matlamat tersebut. Secara umum, dapatlah dikatakan bahawa feminisme adalah idelogi yang berjuang untuk mendapatkan hak-hak wanita. Mereka yang mendukung ideologi feminisme dan percaya kepada idea bahawa wanita berhak mendapatkan hak mereka digelar feminis.

Sejarah Perkembangan Feminisme

Perkembangan feminisme bolehlah dikatakan bermula sejak kurun ke 18 dimana kempen utama mereka adalah untuk menghapuskan undang-undang diskriminasi terhadap wanita. Sewaktu itu, golongan feminis memperjuang hak-hak kaum wanita untuk memasuki universiti, hak mereka mendapatkan pekerjaan dan juga hak mengundi. Di United Kingdom contohnya,  ia memakan masa selama 30 tahun untuk wanita mendapat hak mengundi yang dicapai pada tahun 1918. Perjuangan ini adalah dipelopori oleh pejuang-pejuang feminis diterajui oleh Millicent Garrett Facett. Garett merupakan isteri kepada Ahli Parlimen United Kingdom lazimnya akan duduk di Ladies Gallery House of Commons untuk melihat perbahasan parlimen. Hal ini yang memberi dia inspirasi untuk memperjuangkan hak mengundi untuk wanita.

Hillare Barnett dalam bukunya Introduction to Feminist Jurisprudence telah mengariskan beberapa fasa perkembangan feminisme. Fasa pertama, bermula sejak pertengahan zaman Victoria sehingga ke lewat 60an, yang bertumpukan kepada monopoli lelaki terhadap undang-undang iaitu undang-undang dikatakan bersifat patriaki. Selain itu turut menjadi perbahasan ialah berkenaan persoalan mengenai kesamarataan dalam profesion pekerjaan dan politik. Namun kepincangan pada fasa pertama ini adalah mereka bergerak di dalam sistem yang penuh dengan ketidakadilan dan tidak mempersoal sistem berkenaan.

Fasa kedua feminisme, yang didominasi sekitar lewat 70an sehingga 80an banyak menekankan  berkenaan kandungan undang-undang yang tidak saksama. Dalam fasa ini mereka lebih mementingkan pemahaman berkenaan akar masyarakat yang berpaksikan lelaki ataupun disebut ‘male orientation’ yang mempengaruhi segala praktis masyarakat.

Fasa ketiga lebih menumpukan bahawa undang-undang sememangnya melebihkan lelaki berbanding wanita. Mereka juga menolak ‘grand theories’ iaitu yang menjadikan lelaki sebagai asas perbandingan dengan wanita. Fasa ketiga merupakan fasa yang lebih radikal. Pergerakan feminisme bergerak daripada perbahasan soal lelaki dan wanita adalah sama atau sebaliknya, namun untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita, wanita perlu diberi kuasa.

Aliran Pemikiran Feminisme

Disebabkan peredaran zaman dan pengaruh latar perkembangan masyarakat pada zaman tertentu, fasa-fasa seperti yang disebutkan di atas telah menyebabkan feminisme berpecah kepada beberapa aliran pemikiran. Aliran-aliran pemikiran feminisme terbahagi kepada liberal feminism, cultural feminism dan radical feminism Setiap satu aliran pemikiran membawa pendekatan yang berbeza dari segi perjuangan menuntut keadilan dan penghapuskan diskriminasi terhadap wanita. Jadi, tidak tepat untuk kita memukul sama rata bahawa ideologi feminisme bertunjangkan idea menyamaratakan lelaki dan wanita semata-mata. Justeru, amat penting untuk kita mengetahui corak perjuangan setiap aliran pemikiran ini untuk mengenal lebih lanjut tentang feminisme.

  • Liberal Feminism

Liberal Feminism didasari idelogi liberalisme yang memuncak ketika kurun ke 18. Ideologi liberalisme yang memperjuang hak individu dengan kunci utamanya adalah rasionaliti, kesamaratan dan kebebasan. John Stuart Mill adalah antara yang mereka yang menyokong perjuangan liberal feminism. Bentuk perjuangan feminisme ketika era ini adalah undang-undang perlu memberikan layanan yang sama rata antara lelaki dan wanita. Pada ketika itu,  latar sosial masyarakat Eropah terbahagi kepada dua spera sosial iaitu spera awam dan spera peribadi. Spera awam merangkumi hal-hal berkaitan politik, ekonomi, pentadbiran dan hal ehwal negara. Manakala, spera peribadi lebih menumpukan perihal kekeluargaan dan berkaitan hal-hal rumah tangga.

Kewujudan dua sfera sosial ini telah menyebabkan golongan wanita hanya terperosok dalam spera peribadi dan dinafikan hak untuk menyertai spera awam. Dalam erti kata lain, wanita lebih tertumpu kepada kerja-kerja menguruskan hal rumah tangga dan lelaki menguasai bidang politik, ekonomi dan pentadbiran negara. Keadaan ini telah mewujudkan ketidakadilan sosial dan mendiskriminasi wanita. Maka, perjuangan liberal feminism adalah membawa wanita keluar daripada spera peribadi tersebut dan turut serta dalam spera awam. Untuk berbuat demikian, layanan sama rata perlu diberikan kepada wanita.

Hujah yang dibawa liberal feminism adalah lelaki dan wanita adalah sama rata sebagai seorang manusia. Maka, wanita perlu diberi layanan sama rata seperti lelaki. Wanita juga secara tradisi telah dinafikan hak untuk menyertai secara aktif dalam spera awam. Liberal feminism memperjuangkan hak wanita untuk mendapat bayaran gaji yang sama rata, hak untuk memiliki harta, hak untuk menyertai bidang profesional dan juga hak untuk bekerja. Wanita juga perlu dilindungi daripada masalah keganasan rumah tangga yang berlaku dalam spera peribadi.

Hasil perjuangan liberal feminism, pelbagai undang-undang telah diperkenalkan di United Kingdom. Antaranya Equal Pay Act 1970 dan Sexual Discrimination Act 1975. Reformasi juga turut berlaku dalam undang-undang keluarga yang memberikan hak sama rata tangunggjawab kedua ibu bapa terhadap anak-anak.

  • Cultural feminism

Jika liberal feminism bertunjangkan lelaki dan wanita adalah sama rata sebagai manusia, cultural feminism atau turut dikenali difference feminism beranggapan sebaliknya. Bagi culutural feminism, perjuangan menuntut hak sama rata perlu meraikan dan mengakui bahawa wanita adalah berbeza daripada lelaki dari aspek fizikal dan psikologi. Cultural feminism berpendapat kesan daripada persekitaran, lelaki dikenali sebagai seorang yang agresif, sukakan persaingan serta dominan. Manakala, wanita sedari kecil diasuh dengan sifat kasih sayang, feminin dan bekerjasama. Justeru, wanita sewajarnya mengekalkan sifat-sifat mereka dalam usaha mendapatkan hak mereka.

Dalam hal yang lain, cultural feminism juga menuntut supaya peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak perlu seimbang. Nancy Chodorow menulis di dalam The Reproduction of Mothering: Psychoanalysis and the Sociology of Gender, pergaulan sosial dalam keluarga yang mana ibu adalah pengasuh utama telah menyebabkan wanita dididik untuk mempunyai sifat keibuan dan menjadi ibu manakala lelaki dididik untuk menghadapi dunia luar. Dengan memecahkan struktur sosial ini, lelaki dan wanita boleh memainkan peranan yang sama baik dalam spera awam mahupun spera peribadi.

Seorang lagi pelopor cultural feminism iaitu Luce Irigaray menulis di dalam Speculum of the Other Women menjelaskan bahawa dengan memperjuangkan wanita harus menjadi sama rata seperti lelaki, ia secara tidak langsung mendesak wanita untuk menjadi lelaki. Dalam erti kata lain juga, perjuangan menyama ratakan hak wanita dengan lelaki menyebabkan wanita diasimilasi ke dalam masyarakat patriaki. Justeru, wanita perlu mencari identiti sendiri dengan meraikan keunikan dan perbezaan mereka. Dalam menghapuskan diskriminasi, wanita perlu mempunyai suara sendiri untuk menyuarakan kehendak mereka.

  • Radical feminism

Idea yang dibawa radical feminism adalah jauh sekali berbeza daripada cultural feminism dan liberal feminism. Radical feminism berpendapat, kewujudan perbezaan sosial, ekonomi serta undang-undang yang menjurus kepada diskriminasi adalah disebabkan dominasi lelaki. Masalah ini telah menjurus kepada lelaki adalah lebih berkuasa daripada wanita. Struktur masyarakat yang patriaki adalah punca kepada ketiadilan untuk wanita. Menurut radical feminism, diskriminasi terhadap wanita berlaku apabila lelaki berkuasa dan wanita tidak mempunyai kuasa. Jadi, untuk menghapuskan diskriminasi, mereka mencabar struktur masyarakat yang patriaki dan menuntut wanita juga diberi kuasa.

Hal ini jelas membuktikan, radical feminism tidak menumpukan soal kesamarataan atau perbezaan antara lelaki dan wanita sebagai punca masalah. Namun, punca masalah utama adalah bentuk masyarakat yang patriaki. Catherine Mackinnon, Profesor Undang-Undang Universiti Michigan yang merupakan antara pelopor kepada ideologi radical feminism. Dalam makalahnya yang bertajuk Difference and Dominance: on sex discrimination, Mackinnon menjelaskan bahawa kedua-dua idea yang menyatakan wanita adalah sama sebagai manusia seperti lelaki dan wanita adalah berbeza dengan lelaki sebenarnya meletakkan lelaki sebagai standard untuk mencapai kesamarataan. Mackinnon berpendapat, idea ini perlu ditolak kerana lelaki dijadikan kayu ukur untuk semua perkara.

Selain itu, idea-idea perjuangan radical feminism lebih menumpukan berkenaan isu-isu seksual atau lebih tepat isu pelacuran dan pornografi.  Bagi Mackinnon isu sebenar adalah kaum lelaki yang berkuasa dan dominan ke atas kaum perempuan. Kata beliau lagi, masalah kemiskinan, keganasan rumah tangga, pelacuran dan industri pornografi adalah manifestasi kekuasaan lelaki terhadap wanita. Wanita contohnya tidak memilih untuk menjadi pelacur atau menyertai industri pornografi untuk keseronokan mereka. Tetapi, mereka terpaksa melakukan itu semua kerana keadaan ekonomi mereka yang lemah.

Seorang lagi feminis yang menjadi pelopor kepada radical feminism ialah Andrea Dworkin dalam makalahnya yang bertajuk Power in Pornography: Men Possessing Women, menjelaskan lima punca kaum lelaki menguasai wanita. Pertama, yang disebut sebagai lelaki dikenali sebagai ‘metaphysical assertion of self ‘yang disokong adat dan undang-undang yang mana wanita dinafikan perihal ini.  Lelaki sememangnya dari kecil diasuh untuk mempunyai sifat menguasai. Sifat keyakinan terhadap diri ini telah sebati dengan lelaki.

Kedua, menurut Dworkin ialah lelaki mempunyai kekuatan fizikal. Menjelaskan hal ini lebih lanjut, Dworkin menyatakan “..kuasa kekuatan fizikal ditambah dengan kekuasaan diri sendiri menyebabkan lelaki bukan sahaja kuat, malah mereka boleh mengambil sesuatu secara paksaan.” Ketiga, kuasa untuk mendominasi, iaitu lelaki mempunyai kuasa untuk mendominasi mereka yang lebih lemah. Keempat, kuasa untuk melabelkan atau menamakan sesuatu perkara. Dworkin menjelaskan lelaki mempunyai kuasa untuk menamakan wanita dengan apa sahaja label yang mereka suka, contohnya melabelkan wanita sebagai simbol seks yang menjurus kepada permintaan terhadap pornografi.

Kelima, kuasa untuk memiliki. Contohnya, lelaki menjadikan wanita sebagai harta mereka. Jadi, lelaki bebas untuk melakukan hubungan seksual dengan wanita [dalam erti kata lain, dengan isteri mereka] tanpa perlu memikirkan kerelaan wanita tersebut. Keenam, lelaki mempunyai kuasa ekonomi. Dengan kemampuan dari segi kewangan, lelaki boleh membeli wanita. Tambah lagi, lelaki juga secara amnya mengawal sektor pekerjaan serta sektor profesional. Yang terahkir sekali ialah, kuasa seksual. Kuasa seksual lelaki membolehkan mereka mendefinisi wanita dan peranan mereka. Menurut Dworkin, dengan kuasa ini wanita menjadi objek seks untuk digunakan lelaki.

Setelah kita meneliti aliran-aliran pemikiran feminisme di atas, apa yang dapat disimpulkan bahawa perjuangan feminisme ini tidak tertakluk kepada satu bentuk pemikiran dan gerak kerja sahaja. Sejarah juga menunjukkan perjuangan feminisme bermula daripada ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat itu sendiri terhadap wanita. Layanan yang tidak adil serta diskriminasi terhadap wanita menyebabkan ideologi feminisme ini muncul dan menjadi wadah untuk memperjuangkan nasib dan hak wanita yang dinafikan. Luhur perjuangan feminisme adalah membebaskan wanita daripada dijadikan bahan diskriminasi lelaki dimana ini sangat jelas berlaku dalam sfera masyarakat Barat yang mana, hak wanita sebelum ini memang dinafikan sebagaimana yang dijelaskan dalam perenggan-perenggan sebelumnya yang mana wanita menuntut hak untuk mendapatkan pendidikan, hak untuk mengundi, dan hak untuk mendapatkan pekerjaan. Sejarah ketamadunan Barat sebelum gerakan feminism menunjukkan betapa wanita ditindas dan dipandang rendah oleh kaum lelaki. Justeru, terpulang kepada kita untuk menentukan sama ada feminisme anti lelaki atau anti penindasan yang dilakukan lelaki.

Rujukan:

  1. Barnett, H. (1998). Introduction to Feminist Jurisprudence. London: Cavendish Publishing Limited.
  2. Morrison, W. (1997). Chapter 17: Understanding Feminist Jurisprudence: Jurisprudence: from the Greeks to post-modernism. London: Cavendish Publishing Limited.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.