Pernah dengar mengenai ketupat sotong? Tidak, ia bukanlah ketupat yang berbentuk sotong. Makanan tradisi ini merupakan antara hidangan yang sangat terkenal di Kelantan dan Terengganu, dengan dua versi yang sangat berbeza, namun dengan keenakan yang sama mengikut citarasa masing-masing. Ketupat sotong, atau nama lainnya, sotong bersumbat pulut, adalah hidangan tradisional yang menggunakan sotong dan beras pulut sebagai bahan utamanya. Apa yang menarik mengenai hidangan ini ialah, ia merupakan hidangan asli masyarakat Melayu di pantai timur, yang tidak terdapat di negeri-negeri pantai barat yang lain.

Sejarah ketupat sotong

Jika ingin diceritakan kisah sejarah dan asal usul ketupat sotong ini, secara asasnya, ia tidak mempunyai sejarah yang spesifik seperti mana hidangan tradisional utama yang lain seperti nasi dagang, pulut kuning, rendang dan lain-lain lagi. Ketupat sotong ini pada asalnya adalah sajian yang sering menjadi pilihan bagi para penduduk di perkampungan nelayan di perairan Terengganu dan Kelantan. Suatu masa dahulu, apabila tiba musimnya, sotong boleh didapati dengan begitu banyak di laut Terengganu dan Kelantan ini. Malah, para nelayan juga menghadapi masalah lambakan sotong yang terlalu banyak dan tidak habis untuk dijual. Untuk mengelakkan lambakan sotong ini daripada menjadi busuk dan seterusnya dibuang begitu sahaja, masyarakat nelayan ini telah mencipta suatu hidangan berasaskan sotong dan beras pulut yang direbus dan dimasak di dalam kuah bersantan.

Uniknya hidangan ini adalah, bagaimana kreativiti masyarakat Melayu yang bukan sahaja menggunakan sotong untuk dimasak bersama santan, malah turut menggunakan beras pulut untuk disumbatkan sebagai isi di dalam sotong bertujuan bagi menjadikannya sebagai suatu hidangan lengkap yang lebih mengenyangkan. Beras pulut ini pula sebenarnya telah dimasak terlebih dahulu sebelum diisikan di dalam sotong berkenaan. Sesetengah pakar masakan menyatakan bahawa kaedah meletakkan atau menyumbatkan pulut yang telah dimasak ke dalam sotong ini adalah merupakan suatu kaedah bijak dalam memberi perubahan kepada cara masakan menggunakan flavored stuffing ini.

Sebenarnya, terdapat hidangan lain dalam rantau Asia Tenggara yang hampir menyamai ketupat sotong ini, namun bezanya, hidangan berkenaan langsung tidak menggunakan sebarang beras sebagai bahan di dalam sotong tersebut. Hidangan lain yang dimaksudkan ini ialah rellenong pusit, iaitu hidangan sotong sumbat dari Filipina serta muc nhoi thit, iaitu sajian sotong sumbat dari negara Vietnam. Kedua-dua hidangan sotong sumbat Filipina dan Vietnam ini hanya menggunakan campuran daging (pork) bersama bahan-bahan lain seperti cendawan, bawang dan lada hitam untuk dimasukkan ke dalam sotong. Oleh kerana itulah, masyarakat Melayu ini dianggap sebagai perintis dalam kaedah masakan sotong sumbat atau ketupat sotong yang mempunyai pulut sebagai bahan isian di dalamnya.

Perbezaan ketupat sotong Terengganu dan Kelantan

Pada asasnya, kedua-dua ketupat sotong dari Terengganu dan Kelantan ini mempunyai kaedah penyediaan dan bahan utama yang sama, namun perbezaan jelas antara keduanya ialah penggunaan gula melaka di dalam kuah santan bagi ketupat sotong versi Kelantan. Manakala, bagi ketupat sotong versi Terengganu, kuahnya hanyalah santan yang telah diperasakan dengan sedikit garam, gula, bawang dan rempah ratus lain iaitu halba dan halia.

Apa yang istimewanya dalam proses penyediaan ketupat sotong ini adalah kulit sotong yang berwarna kemerahan itu haruslah dibuang terlebih dahulu untuk mengelakkan bau hanyir dalam hidangan ini. Malah, beras pulut juga haruslah direndam buat seketika bersama sedikit santa dan garam sebelum dikukus dan dimasukkan ke dalam sotong. Sotong yang telah diisikan dengan pulut ini pula akan dicucuk dengan lidi kecil sebagai cara untuk mengetatkannya dan mengelakkan isi pulut tersebut terkeluar sewaktu dimasak di dalam kuah santan.

Proses pembuatan ketupat sotong ini, sepertimana hidangan tradisional Melayu yang lain, mempunyai langkah-langkah tertentu yang mungkin dianggap cerewet dan renyah, namun, setiap kaedah yang dilakukan inilah yang mengekalkan keaslian rasa dan melazatkan lagi hidangan ini.

Ketupat sotong Kelantan

Kesimpulan

Hidangan ketupat sotong yang asalnya dicipta hanyalah untuk mengelakkan pembaziran akibat lambakan sotong kini menjadi salah satu hidangan istimewa yang harus dinikmati terutamanya apabila berkunjung ke Terengganu dan Kelantan. Hidangan ini juga menjadi antara sajian mahal yang turut boleh didapati di sesetengah restoran di negeri-negeri tersebut. Namun, kebanyakan masyarakat di Terengganu dan Kelantan lebih gemar untuk memasak sendiri hidangan ketupat sotong ini bagi menjaga keaslian rasa dan menjamin keenakannya.  

Rujukan

Jasmine, A. (2017). Ketupat Sotong, Bagaimana Ketupat dan Sotong Bersatu? Retrieved December 19, 2018, from http://www.butterkicap.com/open-house/ketupat-sotong-ketupat-sotong-bersatu

Lena. (2012). Ketupat Sotong versi Terengganu – Stuffed Squid with Glutinous Rice. Retrieved December 18, 2018, from https://travelling-foodies.com/2012/10/12/ketupat-sotong-versi-terengganu-stuffed-squid-with-glutinous-rice/

Norzailina, N. (2005). Variasi Masakan Pantai timur. Shah Alam, Selangor: Alaf 21 Sendirian Berhad.

Shokri, M., Chui Hoong, G., Khairil, A., Hellen, F., & Ezekiel, A. (2014). Lost Recipes of Malaysia. Petaling Jaya, Selangor: MPH Group Publishing Sdn Bhd.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.