https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Apabila Nuklear Dilancarkan Serentak…

198

Menurut sumber daripada Bulletin of the Atomic Scientists, Federation of American Scientists; SIPRI; The Washington Post, dianggarkan terdapat lebih kurang 14, 995 senjata nuklear yang terdapat di seluruh dunia. Dengan Amerika Syarikat mempunyai 6800 nuklear, Rusia 7000 nuklear, Perancis 300 nuklear, United Kingdom 215 nuklear, China 270 nuklear, Pakistan 140 nuklear, India 130 nuklear, Israel 80 nuklear dan Korea Utara 60 nuklear.

Nuklear yang dimiliki oleh setiap negara pula mempunyai impak dan hasil yang berbeza-beza. Sebagai contoh, Amerika Syarikat dan Rusia mempunyai thermonuclear yang berkuasa hyper. Sedangkan Korea Utara masih tidak dapat melepasi peranti pembelahan plutonium yang boleh dikatakan sudah ketinggalan zaman.

Salah satu nuklear paling berkuasa yang dimiliki oleh Amerika ialah nuklear B83 yang mempunyai hasil letupan bersamaan dengan 1.2 megatons TNT. Bersamaan dengan 5 quadrillion joules tenaga, atau 5 petajoules. Menurut Alex Wellerstein, ahli sejarah nuklear. Sekiranya diletupkan di atas permukaan bumi, letupan itu akan meninggalkan kawah sebesar 420 meter (1378 kaki) dan 92 meter (300 meter) dalam.  Serentak dengan itu, bola api gergasi akan muncul mencapai 5.7 kilometer persegi dan mencapai suhu sehingga 83.3 juta darjah celcius (150 juta darjah Fahrenheit). Malahan turut disertai dengan gelombang tekanan yang besar di mana semua bangunan dalam kawasan seluas 16.8 kilometer persegi akan menjadi rata secara keseluruhannya.

Terima kasih kepada sinaran radiasi termal yang menggunakan 35 peratus daripada tenaga letupan. Manusia dalam kawasan 420 kilometer persegi akan menerima kecederaan third degree burn, di mana mereka hanya akan berasa sakit selama satu saat kerana selepas itu saraf mereka akan musnah sepenuhnya.  Tidak terhenti setakat itu, kemudian akan ada sinaran pengionan dan radiasi. Mengganggap tiada angin ketika itu, kita boleh mengandaikan bahawa kawasan seluas 20.6 kilometer persegi akan disinari radiasi yang sangat serius sehingga membunuh 50- 90 peratus manusia di dalamnya akibat penyakit radiasi.

Sekarang, apa yang akan berlaku jika kesemua nuklear di dunia dilancarkan pada masa yang sama?

Baik, untuk mendapatkan hasil letupan yang menakutkan. Kita akan menumpukan kepada nuklear yang berada di Amerika dan Rusia. Tetapi dengan tanggapan bahawa kesemua nuklear itu mempunyai kuasa pemusnah seperti B83. Semuanya 13, 800 bom thermonuclear!

Setiap satu akan menimpa permukaan dan tersebar sama rata ke seluruh bandar dan kampung di seluruh dunia. Hasilnya itu akan melenyapkan permukaan tanah dalam jarak 94 kilometer. Tetapi apa yang berlaku selepas itu jauh lebih menakutkan.

Bangunan dalam jarak 232,000 kilometer persegi akan hancur bersepai akibat tekanan udara. Itu kira-kira 295 bandar metropolis sebesar New York akan bertukar menjadi debu. Kemudian, bebola api sebesar 79, 000 kilometer persegi akan menelan secara literal apa sahaja yang disentuh olehnya. Sesiapa sahaja yang berada dalam lingkungan 5.8 juta kilometer persegi akan menerima third-degree burns. Maka semua orang dalam ruang yang sama dengan 3700 bandar bersaiz London akan dihancurkan. Kemudian, radiasi dan pengionan akan menjejaskan kawasan seluas kira-kira 284, 000 kilometer persegi dan memberikan sebahagian besar mangsa yang terselamat daripada nahas letupan dengan penyakit radiasi. Sekurang-kurangnya, ratusan juta atau mungkin berbilion-bilion manusia akan mata dalam tempoh masa satu jam yang pertama.

Kedatangan musim sejuk

Musim sejuk nuklear adalah fenomena hipotetikal yang menyerupai musim sejuk gunung berapi. Semasa letusan, banyak aerosol dan bahan zarah halus akan dihasilkan. Semua itu bertindak balas dalam bentuk pantulan dan jika berjaya menembusi atmosfera di lapisan atas, hasilnya mereka akan menyejukkan keseluruhan planet ini. Dalam sejarah, manusia telah banyak menyaksikan penyejukan gunung berapi selama beberapa tahun pada satu masa. Malah jutaan tahun sebelum manusia mendiami bumi, terdapat beberapa peristiwa kehancuran besar-besaran yang sebahagian besarnya dipacu oleh bencana gunung berapi yang bukan sahaja memanaskan dengan pengusiran karbon dioksida, pada masa yang sama turut menyejukkan dunia selama berates-ratus tahun atau mungkin lebih lama dari itu.

Pada dasarnya, musim sejuk nuklear adalah sama kecuali bahawa dunia hanya akan menjadi sejuk dan zarah-zarah seperti abu akan menjadi bahan radioaktif. Menghirup nafas dengan sedalamnya, dan anda akan mati dengan serta merta. Jadi berapa banyak bola api nuklear yang diperlukan untuk memulakan musim sejuk nuklear yang cukup kuat seperti ini?

Satu kajian menunjukkan bahawa, 100 letupan yang menyerupai peristiwa Hiroshima akan menghasilkan jelaga karbon hitam yang cukup untuk menyebabkan berlakukan musim sejuk nuklear ‘kecil’. Ini akan mengurangkan suhu purata global dengan kira-kira 1 darjah celcius, mengimbangi masalah pemanasan global yang berpunca daripada tangan manusia.

Jika setiap satu daripada nuklear di dunia menimpa bumi, maka akan ada pengurangan hampir 100 peratus sinaran matahari yang mencapai permukaan bumi selama beberapa tahun. Bermaksud, planet ini akan diselubungi kegelapan untuk tempoh masa yang amat panjang. Cukuplah dengan mengatakan bahawa, semua ini akan menghentikan proses fotosintesis dan mengakibatkan keruntuhan rantaian makanan di peringkat global.

Kepupusan besar-besaran akan melanda bumi, termasuklah menghapuskan spesis manusia itu sendiri. Dan yang hidup terpaksa menanggung beban dalam landskap radiasi yang begitu meluas. Tiada rantaian makanan. Serta tiada lagi alatan elektronik yang berfungsi, di mana itu akan melumpuhkan hospital, sistem pemprosesan air bersih, kemudahan penyimpanan makanan dan menghapuskan segala bentuk jaringan komunikasi elektronik.

Pendek kata. Semua orang akan mati.

Sumber:

  1. Independent (2017). 14,995 nukes: All the nations armed with nuclear weapons and how many they have. http://www.independent.co.uk/news/world/14995-nukes-all-the-nations-armed-with-nuclear-weapons-and-how-many-they-have-a7884256.html
  2. Zartat, Najas (2017) This is what happens if every nuclear weapon on Earth is launched. Indy100. https://www.indy100.com/article/all-nuclear-weapons-launched-end-of-civilization-what-if-7541641
  3. Earth Sky (2017) How nuclear war would affect Earth’s climate. http://earthsky.org/human-world/how-nuclear-war-would-affect-earths-climate
  4. O’callaghan, Jonathan (2014) Life after a nuclear war revealed: Computer models reveal Earth would suffer a 20-year-long winter and worldwide famine / Daily Mail. http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-2699854/Life-nuclear-war-revealed-Computer-models-reveal-Earth-suffer-20-year-long-winter-worldwide-famine.html
Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.