Apabila Manusia Menuju Ke Nilai Materialisme

664
views

Pada November tahun lepas, Credit Suisse mengeluarkan sebuah laporan tentang kekayaan global dimana golongan 1% terkaya dunia membolot hingga 50% kekayaan dunia, meningkat dari 42.5% sejak tahun 2008. Dan sejak dari tahun 2000, seramai 23.9 juta orang telah menjadi jutawan di seluruh dunia.

Apa makna disebalik pelebaran kesenjangan kekayaan ini? Selain melihat ia sebagai ketidaksama-rataan ekonomi, kita cuba juga melihat dari sudut alam sekitar. Apa kesan peningkatan bilangan ‘orang ada-ada’ ini kepada alam sekitar.

Golongan terkaya, yang selalunya memiliki pegangan saham majoriti atau syarikat itu sendiri, cenderung untuk mengepam modal atas nama pembangunan seperti membuka ladang sawit yang menjadi penyumbang terbesar deforestasi, kilang-kilang bagi produksi massa – dalam masa yang sama menyumbang kepada pencemaran udara dan air.

Pembangunan perumahan yang kebelakangan ini dikritik hebat kerana tidak memenuhi kehendak pasaran pula, antara lain meningkatkan aktiviti tebus guna tanah sama ada melalui reklamasi atau pembangunan lereng bukit.

Inilah peluang yang hanya wujud dan berlegar antara golongan terkaya dalam meningkatkan kapital mereka melalui penjarahan sumber alam.

Dan polisi kerajaan juga dilihat longgar dalam mengawal penggunaan sumber alam semulajadi bagi tujuan pembangunan komersial ini, selagi ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada tahun 2015 pula, Oxfam telah mengeluarkan statistik bahawa 10% golongan terkaya bertanggungjawab terhadap 49% pelepasan karbon dioksida global melalui gaya hidup mereka. Ini antaranya seperti penggunaan medium pengangkutan mereka seperti kereta mewah dan jet peribadi yang menjadi penyumbang utama.

Di Malaysia ia tidak hanya tertakluk kepada lawatan-lawatan golongan elit Menteri ke luar negara sahaja, aktiviti ‘The Rich Kids of Malaysia’, dan orang-orang kaya yang mengejar akhirat dengan menyertai pakej mengaji Al-Quran atas jet peribadi antara contoh gaya hidup yang menyumbang kepada mudarat lebih besar dari manfaat yang diterima.

Dan tuhan sajalah yang tahu, untuk beberapa tahun mendatang, berapa banyak lagi sumbangan golongan terkaya ini kepada kemusnahan alam sekitar.

George Monbiot, kolumnis The Guardian ada menulis tentang bagaimana kekayaan mendorong seseorang itu menjadi penting diri (self-centered) dan tidak peduli tentang kehidupan lain melalui sikap kepenggunaan (konsumerism). Beliau antara lain menyatakan, semakin banyak seseorang itu mengguna (sumber alam), semakin berkurang perasaannya – sama ada perasaan bersalah atau empati kepada hidupan lain.

Sebagai contoh, kita tidak peduli akan nasib Dorsen, seorang kanak-kanak Congo berumur 8 tahun, yang bekerja selama 12 jam sehari dengan tangan kosong di lombong kobalt – sejenis logam yang digunakan untuk menghasilkan bateri lithium-ion bagi majoriti jenama telefon pintar, apa lagi kepedulian kita tentang pencemaran sumber air di Congo kesan dari aktiviti perlombongan tersebut.

Dan kita di Malaysia tanpa rasa bersalah, berusaha mengemas kini milikan model telefon pintar yang terbaharu.

Inilah yang dimaksudkan dengan kehilangan rasa bersalah dan empati kita terhadap hidupan lain, pertautan kita terhadap manusia dan tempat itu diganti dengan pertautan terhadap objek/material.

Jadi, jawapan kepada persoalan tentang mengapa masyarakat itu tidak berminat dengan alam sekitar dan isunya adalah kerana, jalan masyarakat itu secara sistematiknya dibina menuju ke arah materialisma. Kita melihat nilai sebuah meja kopi Ikea pada harganya RM399, tidak pada berapa banyak pokok yang telah ditebang bagi menghasilkannya secara massa.

Dan masyarakat hari ini sedang mengejar-ngejar untuk meningkatkan nilai hidup mereka dengan ‘tanda harga’, memanjat piramid kelas harta untuk menyertai puncak kelompok terkaya!

Nota Editor: Artikel disumbangkan oleh Azim Mohammad daripada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) untuk The Patriots.