Apabila Makam Firaun Dijumpai…

0
3269
views

Pada tahun 1922, ahli arkeologi Mesir Purba, Howard Carter bersama-sama pasukan beliau menemui pintu masuk ke makam Firaun Tutankhamun yang terletak di Lembah Raja-Raja atau dalam Bahasa Inggerisnya Valley of the Kings.

Lembah Raja-Raja @ Valley of The Kings

Lembah Raja-Raja ini terletak berhadapan Sungai Nil di Bandar Luxor. Lembah ini merupakan tempat persemadian terakhir bagi firaun-firaun dan individu penting Mesir Purba.

Tetapi, kebanyakan makam telah pun dirompak sebelum ini oleh penjarah kubur. Hanya sebuah makam sahaja yang lokasinya kekal misteri, tidak terusik atau dirompak kekayaan nya dan makam itu adalah makam Firaun muda, Tutankhamun yang mati sekitar 1323-1324 SM.

Pakar pengkaji Mesir Purba berwarganegara British iaitu Howard Carter, bertungkus-lumus untuk mengesan makam ini dan memulakan operasi pencarian. Operasi ini bermula pada tahun 1914 dengan dana yang diterima daripada Lord Carnarvon. Selama 7 tahun pencarian tersebut menemui jalan buntu.

Dan apabila Lord Carnarvon hampir sahaja ingin menghentikan dana operasi pencarian tersebut, ibarat bulan jatuh ke riba, pasukan Howard Carter membuat salah satu penemuan arkeologi yang terhebat dalam sejarah.

Ia pada 4 November 1922, apabila seorang budak lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemberi air, menggali pasir menggunakan sebatang kayu dan secara tidak sengaja, membawa kepada penemuan tangga batu.

Kemudian, kru pencarian tersebut memulakan penggalian di kawasan penemuan tangga batu itu. Penggalian itu akhirnya membawa mereka kepada sebuah pintu yang tertutup rapat. Pasukan itu seterusnya memecahkan pintu, namun menjumpai sebuah lagi pintu dengan lambang (“insignia”) Tutankhamun. Pada ketika itu, barulah mereka yakin bahawa mereka telah menemukan makam Firaun Tutankhamun, yang telah tersembunyi sejak sekian lama.

Menjelang 26 November, setelah beberapa minggu usaha membersihkan ruang di hadapan pintu itu dari batu-batan, Carter membuat satu lubang bukaan kecil di pintu makam tersebut. Beliau dapat melihat ke dalam bahagian makam melalui lubang itu dengan bantuan cahaya lilin. Hasil pemerhatian Carter, beliau sedar bahawa makam ini belum lagi dijarah. Ini kerana harta-harta yang diperbuat daripada emas kelihatan seperti tidak pernah dialihkan.

Howard Carter dan Lord Carnarvon bersama pasukan penggali di pintu masuk makam.

Apabila ditanya oleh Lord Carnarvon;
“Can you see anything?”

Carter menjawab;
“Yes, Wonderful things.”

Howard Carter dan Lord Carnarvon seterusnya menjadi individu pertama yang masuk ke makam Firaun Tutankhamun dalam masa 3000 tahun.

Mereka kemudian merekod serta mengkatalog penemuan harta-harta karun itu. Ia hanya pada 27 Disember, barangan pertama dikeluarkan daripada makam tersebut.

Keadaan asal barangan di dalam ruang utama makam.

Antara barangan yang dikeluarkan adalah;

Topeng yang diperbuat daripada emas

– Takhta diperbuat daripada emas
– Pedati kuda diperbuat daripada emas
– Topeng diperbuat daripada emas (death mask)
– Model kapal
– Minyak wangi
– Barang kemas dan perhiasan
– Makanan dan wain
– Sandal
– Belati diperbuat daripada meteorit
– Dan banyak lagi…

Keranda emas Firaun Tutankhamun

Penemuan barangan-barangan ini merupakan antara yang penemuan terbesar barangan antikuiti Mesir Purba yang pernah direkodkan.

 

Lakaran ruang utama makam KV62 (Tutankhamun)
Ilustrasi makam menunjukkan beberapa ruang di dalam nya.

Pada 16 Februari 1923, barulah ruang yang paling dalam makam itu dibuka. Di ruang ini lah pasukan penggalian itu menjumpai sebuah keranda batu.

Dan apabila keranda batu itu dibuka, terdapat sebuah keranda lagi yang diperbuat daripada emas padu seberat 100 kilogram. Ianya di dalam keranda emas itu, terdapat mumia Firaun muda, Tutankhamun.

Howard Carter dan Lord Carnarvon memeriksa laluan masuk ke ruang utama makam
Keadaan barang serta harta yang dijumpai dipamerkan mengikut keadaan asal di Muzium Kaherah.

Susur Galur Tutankhamun

Mumia Firaun Tutankhamun

Sehingga tahun 2010, tiada apa yang diketahui tentang susur galur Tutankhamun. Ia hanya diketahui kemudian, apabila ujian DNA dilakukan ke atas mumia Tutankhamun beserta 9 mumia-mumia firaun yang lain telah dibenarkan oleh kerajaan Mesir.

Berdasarkan hasil ujian DNA tersebut, mumia Tutankhamun bersama-sama mumia firaun yang lain disyaki mempunyai hubungan darah (“saudara terdekat”). Sampel DNA yang diambil dari tulang Tutankhamun mendedahkan misteri yang menyelubungi “firaun muda” ini. Hasilnya susur galur keluarga selama 5 generasi dapat dibina melalui ujian DNA tersebut.

Waqaf Saham

Ujian DNA tersebut mendapati, bahawa Firaun Amenhotep III merupakan datuk kepada Tutankhamun. Di mana sewaktu pemerintahan Amenhotep III, Mesir Purba berada dalam keadaan aman damai. Manakala Tiye, permaisuri kepada Amenhotep III, merupakan nenek kepada Tutankhamun.

Amenhotep III dan Tiye ini mempunyai 3 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Di mana salah satu daripada anak lelaki mereka, iaitu Akhenaten menjadi pewaris dan Firaun seterusnya.

Akhenaten merupakan bapa kepada Tutankhamun. Manakala identiti ibu Tutankhamun masih kekal misteri. Terdapat ujian DNA ke atas mumia misteri yang dikatakan ibu kepada Tutankhamun. Pada masa yang sama mengesahkan bahawa individu tersebut merupakan salah seorang daripada 5 anak perempuan Amenhotep III dan Tiye itu tadi. Ini bermakna, Akhenaten mengahwini adik perempuannya sendiri !

Amalan pembiakbakaan-dalaman ini turut diamalkan Tutankhamun sendiri apabila mengahwini Ankhesenpaaten, yang merupakan adik perempuan tiri (1 bapa) kepada Tutankhamun. Mereka mempunyai 2 orang anak perempuan tetapi keduanya dilahirkan mati, atau telah gugur (stillbirth).

Kesan pembiakbakaan-dalaman.

Kesan amalan pembiakbakaan-dalaman dikalangan keluarga diraja Mesir Purba ini menyebabkan selalunya terjadi keguguran didalam kelahiran. Selain itu, penyakit yang disebabkan oleh kerosakan genetik turut terjadi kesan dari amalan ini.

Impaknya dialami oleh Tutankhamun sendiri apabila ujian DNA yang dibuat bagi mengenal pasti susur galur Tutankhamun turut mendedahkan bahawa firaun tersebut mempunyai beberapa masalah kesihatan.

Tutankhamun mempunyai kaki yang cacat, disebabkan oleh nekrosis tulang yang memaksa Tutankhamun berjalan menggunakan tongkat. Firaun itu juga mempunyai sumbing serta tulang belakang yang melengkung. Selain itu, beliau turut berdepan dengan masalah keradangan akibat mempunyai sistem imun yang lemah.

Keadaan kesihatan Tutankhamun yang terjejas ini bukanlah penyebab kematiannya diusia muda, tetapi ia menyumbang kepada kemerosotan taraf kesihatan beliau. Selain daripada masalah-masalah diatas, mumia Tutankhamun diperhatikan patah kaki kanannya serta turut dipercayai bahawa beliau mempunyai penyakit malaria yang teruk.

Segala gejala permasalahan kesihatan inilah yang akhirnya menyebabkan beliau mati berumur 19tahun. Nasib seperti Raja Charles II dari dinasti Habsburg di Sepanyol, akibat ketiadaan pewaris, Tutankhamun merupakan Firaun yang terakhir didalam dinastinya.

Malaria yang dihidapi Tutankhamun adalah disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum. Malaria disebabkan parasiti ini merupakan yang paling bahaya berbanding parasit malaria lain seperti Plasmodium vivax, Plasmodium ovale dan Plasmodium malariae.

Kebenaran Disebalik ‘Sumpahan’ Tutankhamun.

Gosip mengenai sumpahan maut Tutankhamun menjadi bualan orang ramai setelah kematian Lord Carnarvon, tidak lama selepas memasuki makam firaun muda itu.

Kemudian, muncul teori bahawa terdapat kemungkinan Lord Carnarvon terdedah kepada organisma seperti bakteria dan kulat berbahaya yang mendiami makam tersebut selama lebih 3000 tahun.

Menurut pendapat Jennifer Wegner, seorang ahli kaji mesir purba dari Muzium Universiti Pennsylvania yang terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat, bahawa sudah tentu makam tersebut mempunyai patogen yang mungkin berbahaya kepada manusia.

Oleh kerana selain daripada menyimpan mayat, makam itu juga turut menyimpan makanan seperti daging, sayur-sayuran yang akan menarik perhatian serangga, kulat dan bakteria.

*Funfact: Harta, makanan dan minuman serta sepersalinan pakaian dimakamkan bersama-sama firaun atau pegawai kerajaan penting Mesir Purba kerana tamadun mereka mempercayai bahawa terdapat alam kehidupan selepas mati.

Melalui kajian makmal terkini, saintis mendapati bahawa mumia purba sememangnya mempunyai kulat berbahaya kepada manusia. Antaranya ialah kulat dari spesies Aspergillus niger dan Aspergillus flavus.

Kedua-dua kulat ini boleh menyebabkan tindakbalas alergi seperti kesukaran pernafasan dan lebih kritikal, pendarahan di dalam paru-paru. Toksin-toksin yang dirembeskan kulat ini sangat berbahaya kepada individu yang lemah sistem imun nya.

Selain itu, dinding makam juga turut diketahui mempunyai bakteria yang menyerang sistem respiratori seperti bakteria genera Pseudomonas dan Staphylococcus.

Ujian makmal juga menunjukkan bahawa keranda yang menyimpan mumia purba turut mempunyai gas berbahaya seperti ammonia, formaldehid dan hidrogen sulfida. Yang mana dalam konsentrasi tinggi mampu memberi penghidu gas simptom seperti pneumonia, iritasi pada mata dan hidung malah berupaya membawa maut.

Akhir sekali, kehadiran kelawar yang menjadikan gua-gua pembukaan makam kediaman mereka juga mempunyai risiko tersendiri kepada manusia. Ini kerana najis kelawar mempunyai kulat yang mampu menyerang sistem pernafasan.

Tetapi pakar mendapati bahawa ‘toksin makam’ ini bukanlah punca kepada kematian Lord Carnarvon.

Ini kerana beliau diketahui mempunyai penyakit kronik sudah lama sebelum beliau menjejakkan kaki ke dalam makam. Selain itu, disokong dengan fakta bahawa kematian beliau berlaku berbulan lamanya selepas pendedahan awal kepada makam tersebut.

Jika kematian beliau disebabkan oleh bakteria atau kulat yang terkandung di dalam makam, sudah tentu Lord Carnarvon akan manifestasikan simptom penyakit lebih awal.

Rujukan:

Tutankhamen. Retrieved from: https://www.history.com/…/topics/ancient-history/tutankhamen

Tutankhamun’s tomb (innermost coffin and death mask). Retrieved from: https://www.khanacademy.org/…/ancient-e…/a/tutankhamuns-tomb

Egypt’s ‘King Tut Curse’ Caused by Tomb Toxins? Retrieved from:https://www.nationalgeographic.com/…/news-tutankhamun-carn…/