Apa Yang Sedang Berlaku Di Venezuela?

299

Akhirnya Venezulea meletup juga, selepas bertahun-tahun dilanda masalah hyperinflation yang menyebabkan kejatuhan nilai matawang, peningkatan melampau harga barangan, kekurangan makanan dan pelarian besar-besaran.

Hyperinflation ni inflasi yang sangat melampau. Kadar inflasi Venezuela pada tahun 2016 ialah 800%. Maksudnya kalau Januari harga roti $2, Disember dah jadi $16. Untuk tahun 2019, IMF forecast kadar inflasi 10,000,000%. Tak seteruk Zimbabwe (79,600,000,000% sebulan) tapi cukup buat kehidupan rakyat merana.

Kegagalan Presiden Nicolas Maduro untuk memperbaiki keadaan menyebabkan dia dikecam dalam dan luar. Tapi dia enggan turun dari jawatan, malah mendakwa masalah Venezuela berpunca daripada sabotaj ekonomi US. 

Macam-macam trick Maduro buat untuk kekal kuasa, termasuk pilihanraya 2018 yang dikatakan sangat tak bersih. Selepas Maduro mengangkat sumpah untuk penggal ke-2 pada 10 Januari 2019, orang mula protes terutamanya pembangkang yang menguasai parlimen.

Oleh itu, pada 24 jam yang lepas, Juan Guaido, ketua pembangkang yang berumur 35 tahun telah mengisytiharkan diri sebagai Presiden dengan restu parlimen, mencabar Maduro.

Jadi sekarang Venezuela ada 2 orang Presiden. US ialah antara negara terawal yang mengiktiraf Guaido, dan juga Canada, UK, negara-negara Amerika Latin macai US (Colombia, Peru, Costa Rica dan sebagainya). Manakala negara-negara seperti Rusia, China dan Turki mengecam langkah Guaido sebagai konspirasi US. Keadaan ni silap-silap boleh membawa kepada perang saudara.

Apabila mengulas masalah di Venezuela, ahli ekonomi cenderung untuk blame dasar ekonomi populis yang diamalkan sejak zaman Hugo Chavez (1999-2013). 

Chavez mengamal dasar sosialis yang menyediakan pelbagai kebajikan dan handout kepada rakyat, dan pada masa yang sama meningkatkan kebergantungan ekonomi Venezuela terhadap minyak (dari 65% daripada jumlah eksport pada tahun 1998 kepada 90% pada tahun 2011).

Dasar makan minyak macam ni, waktu harga minyak dunia tengah high tu memang syok lah, tapi kalau berlaku kejatuhan harga minyak seperti dari tahun 2014-2016, maka ekonomi Venezuela turut hancur. Chavez meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2013, tak sempat melihat kehancuran tersebut; tapi penggantinya Maduro terpaksa menanggung semua itu. 

Tapi itu hanya separuh daripada gambaran lengkap. Krisis Venezuela bukan masalah ekonomi semata-mata tetapi juga merupakan hasil pergelutan geopolitik dalam konteks “New Cold War” antara US dan Rusia-China. 

US menganggap seluruh benua Amerika, termasuk Venezuela, sebagai “backyard” dia. Dalam dasar luar US ada satu istilah bernama “Monroe Doctrine” yang bermaksud benua Amerika ialah hak eksklusif US, kuasa-kuasa asing tak boleh kacau. Jadi sebelum US muncul sebagai kuasa global pasca Perang Dunia Kedua, US dah lama jadi abang long di benua Amerika dengan mendominasi politik dan ekonomi negara-negara Amerika Latin.

Semasa Cold War (1948-1989), US dan Soviet (Rusia) masing-masing merebut jadi adikuasa dunia. Oleh itu, Soviet pergi kacau backyard US dengan memberi sokongan kepada gerakan komunis dan sosialis yang ingin menamatkan hegemoni US serantau. 

Contohnya seperti di Cuba, rejim Batista yang pro-US digulingkan oleh komunis pimpinan Fidel Castro dan Che Guevara pada tahun 1959. Pemimpin sosialis seperti Salvador Allende juga dinaikkan di Chile pada tahun 1970. 

Apa reaksi US? Gulingkan mereka melalui CIA. Di Chile, Allende dibunuh dan Augusto Pinochet dinaikkan sebagai diktator, begitu juga di Brazil, Argentina dan beberapa negara lain. Diktator-diktator ini juga melaksanakan dasar ekonomi yang memenuhi kepentingan US seperti liberalisasi pasaran, pengurangan subsidi dan pinjam dengan IMF – dasar-dasar yang dikenali sebagai dasar “neoliberal”.

Venezuela ialah antara negara yang mempunyai sejarah neoliberal. Namun pada tahun 1998, Chavez berjaya memenangi pilihanraya presiden dan dia melancarkan perubahan dasar yang bernama “Revolusi Bolivar” atau Bolivarismo. 

Bolivar merujuk kepada Simon Bolivar, pejuang kemerdekaan Amerika Latin pada awal abad ke-19 yang berjaya memerdekakan Gran Colombia (meliputi Venezuela, Colombia, Ecuador dan Panama) daripada penjajahan Sepanyol. Jadi, Chavez ingin “memerdekakan” Amerika Latin sekali lagi daripada penjajahan. Cuma kali ini bukan Sepanyol, tapi US. 

Selain memiliknegarakan syarikat-syarikat penting, Chavez juga guna hasil minyak untuk “membeli” kawan. Chavez mengajak negara-negara serantau untuk sama-sama menentang US. Antara sekutu ketat Chavez ialah Evo Morales (Bolivia), Daniel Ortega (Nicaragua) dan Rafael Correa (Ecuador). Malah kejayaan Chavez juga menginspirasikan negara-negara Amerika Latin untuk menukar haluan ekonomi ke kiri. Di Brazil, Chile, Argentina, satu per satu negara melantik pemimpin yang berhaluan sosialis.

Oleh kerana berkongsi cita-cita untuk menamatkan hegemoni US, maka Chavez menjadi rakan penting Rusia dan China untuk mereka penetrate ke backyard US. Gila US tak cemas. Ada percubaan untuk menggulingkan Chavez tapi Chavez ni bukan calang-calang. Hanya selepas Chavez meninggalkan dunia pada tahun 2013, maka mulalah Venezuela bergoyang.

Maduro bukan saja kekurangan “fortuna” (luck – harga minyak turun), malah dia juga kekurangan “virtu” (skill – kebolehan untuk melawan US). Nak menstabilkan keadaan domestik tak mampu, nak memelihara hubungan pakatan luar tak mampu. Malah satu per satu negara Amerika Latin kembali ke haluan kanan neoliberal, Brazil ialah contoh terkini. 

Kewibawaan Maduro semakin jatuh selepas Parti Sosialis Bersatu Venezuela (yang tak pernah kalah waktu Chavez) tewas dalam pilihanraya tahun 2015. Pada tahun 2015 juga, Guaido dilantik sebagai ahli parlimen buat kali pertama. 

Dan elit-elit Venezuela ada ramai yang pro-US, jadi US guna mereka sebagai “duri dalam daging” untuk mencucuk Maduro. Maduro tak ada cara lain, kecuali merapatkan diri dengan Rusia dan China, bergantung kepada dana China untuk memanjangkan hayat ekonomi yang dalam tenat. 

Tapi tak rasa mamat Guaido ni boleh berjaya, ada dua sebab:

Pertama, nak berjaya dalam apa-apa “coup”, tak kira kudeta ke “soft coup” ke, kau kena dapat sokongan daripada tentera. Setakat ini tentera masih setia kepada Maduro. Guaido ni background aktivis belia, jadi bab realpolitik lemah sikit. Setakat laung slogan tanpa backdoor deal, tak akan mampu jatuhkan Maduro.

Kedua, zaman sekarang zaman autoritarian. Negara macam Rusia, China mempunyai lebih banyak kredibiliti berbanding US. Trump sendiri punya shutdown pun tak boleh selesai, macam mana nak buat “regime change” di Venezuela?

Dari sebuah negara yang paling makmur di Amerika Latin, Venezuela jadi kucar kacir, rata-rata kerana mismanagement ekonomi dan pergelutan geopolitik kuasa besar. Maka kita jangan take for granted dengan kestabilan dan kemakmuran yang kita miliki.

Dalam konteks New Cold War, kita kena lebih berhati-hati, kerana permainan kuasa-kuasa asing semakin halus.

(Kalau artikel ni hilang, maksudnya CIA mesej mintak remove lah tu)

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.