Moving Forward As One

Apa Yang Membezakan Komunis Dengan Sosialis?

1,074

Komunisme dan Sosialisme — kedua-duanya adalah sejenis idea atau falsafah yang boleh diterapkan sama ada di dalam politik ataupun ekonomi atau kedua-duanya sekali. Walaupun dua istilah ini sering digunapakai secara silih berganti dan datang dari akar yang sama, tetapi idea yang dibawa oleh sosialisme dan komunisme berbeza berdasarkan falsafah utama. Tetapi, ramai orang kita adakalanya keliru, dan menganggap kedua-dua sistem ini adalah benda yang sama.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Pemikiran yang menganggap komunis dan sosialis ini sebagai benda yang sama, pada dasarnya boleh dianggap betul dan salah sekaligus. Sosialisme dan komunisme pada dasarnya adalah falsafah ekonomi yang menganjurkan pemilikan awam berbanding pemilikan persendirian, terutamanya dalam konteks pengeluaran, pengagihan dan pertukaran barang (iaitu, menjana wang) dalam masyarakat.

Kedua-duanya bertujuan untuk menyelesaikan masalah yang mereka anggap dicipta oleh sistem pasaran bebas kapitalis, ia termasuklah eksploitasi golongan kelas pekerja dan jurang besar antara orang kaya dan miskin. Tetapi walaupun sosialisme dan komunisme saling berkongsi beberapa persamaan asas, dua ideologi ini masih wujud perbezaan yang penting antara mereka.

Karl Marx dan Asal-usul Komunisme

Sosialisme muncul sebagai bentuk tindak balas terhadap perubahan ekonomi dan sosial yang melampau yang disebabkan oleh Re.vol.usi Perindustrian, terutamanya melibatkan golongan kelas pekerja yang bergelut untuk hidup. Ramai pekerja bertambah miskin walaupun para pemilik kilang dan industri lain meraih untung hingga semakin kaya.

Pada separuh pertama abad ke-19, pemikir sosialis awal seperti Henri de Saint-Simon, Robert Owen dan Charles Fourier mempersembahkan model mereka sendiri untuk menstruktur kembali masyarakat di sepanjang garis kerjasama dan komuniti, dan menolak budaya persaingan masyarakat yang wujud dalam sistem kapitalisme, di mana, pasaran bebas akan mengawal bekalan dan permintaan barang.

Karl Marx (kanan) dan Friedrich Engels

Kemudian muncullah Karl Marx, ahli falsafah politik dan ahli ekonomi Jerman yang akan menjadi salah seorang pemikir sosialis paling berpengaruh dalam sejarah. Berkolaborasi bersama dengan Friedrich Engels, Karl Marx menerbitkan buku The Communist Manifesto pada tahun 1848, yang merangkumi beberapa bab penulisan yang mengkritik model-model sosialis sebelum itu sebagai cita-cita utopia yang sama sekali tidak realistik langsung.

Marx berpendapat bahawa seluruh sejarah adalah sejarah pergelutan kelas masyarakat, dan kelas pekerja (atau proletariat) pasti akan mengatasi kelas kapital (borjuasi) dan akan memenangi kuasa kawalan terhadap semua asas pengeluaran, sekaligus akan menghapuskan perbezaan kelas masyarakat lalu meletakkan status semua rakyat sebagai sama rata.

Komunisme, adakalanya turut disebut sebagai revolutionary socialism, juga merupakan sebuah ideologi atau falsafah politik ekonomi yang berasal sebagai tindak balas terhadap Re.vol.usi Perindustrian, dan bentuknya kemudian digambarkan melalui definisi teori-teori Marx – yang lebih ekstrim.

Sebenarnya, golongan Marxis sering menganggap sosialisme sebagai fasa pertama yang diperlukan bagi melengkapkan fasa peralihan sistem dan pemikiran dari kapitalisme ke komunisme. Marx dan Engels sendiri tidak pernah secara konsisten atau dengan  jelas membezakan komunisme dari sosialisme, yang akhirnya menyumbang kepada kekeliruan kekal di antara kedua istilah politik tersebut.

Perbezaan Utama Antara Komunisme dan Sosialisme

Di bawah komunisme, tidak ada hak pemilikan harta persendirian. Semua harta dan tanah adalah dimiliki secara bersama (komunal), dan setiap individu haruslah mendapat bahagian berdasarkan apa yang mereka perlukan.

Terdapat lima negara-negara komunis di dunia

Kerajaan pusat yang kuat atau yang biasa mereka rujuk sebagai ‘negara’ akan mengendalikan segala aspek pengeluaran ekonomi, dan menyediakan keperluan asas kepada rakyat, termasuklah makanan, perumahan, rawatan perubatan dan pendidikan. Sebaliknya, di bawah sosialisme, individu masih diberikan hak memiliki harta persendirian. Tetapi, industri pengeluaran, atau alat / kaedah utama untuk menjana kekayaan, dimiliki dan diuruskan secara komunal oleh pihak kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Perbezaan utama yang lain dalam sosialisme dengan komunisme adalah kaedah untuk mencapainya. Dalam komunisme, re.vol.usi bersen.jata yang penuh kega.nasan dan sangat berda.rah, di mana golongan pekerja bangkit menentang kelas pertengahan dan kelas atasan dilihat sebagai satu babak yang tak dapat dielakkan demi merealisasikan pembentukan sebuah negara komunis yang sebenar (yang gagal dicapai oleh hampir semua negara-negara komunis kerana tidak relevan dengan zaman).

Re.vol.usi pertama yang dilaksanakan oleh pendokong ideologi berorientasikan rakyat kelas bawahan ini adalah Re.vol.usi Rusia pada tahun 1917. Di Malaysia, kita pernah menghadapi tempoh darurat sebanyak dua kali iaitu Darurat Malaya pada tahun 1948–1960 dan Insurgensi Insurgensi Komunis pada tahun 1968–1989 kerana penentangan Parti Komunis Malaya secara gerila bersen.jata namun gagal, menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang berjaya menundukkan kebangkitan idea komunisme secara militari dan politik.

Tentera Malayan’s People Anti-Japanese Army yang menentang penja.jahan Jepun, kemudian akan dijenamakan semula sebagai Parti Komunis Malaya

Sosialisme pula adalah ideologi yang kurang melahirkan pendokong yang bersifat taksub, dan ia lebih fleksibel. Pendokongnya lebih cenderung kepada mengusahakan perubahan dan pembaharuan sistem, tetapi sosialisme yang sebenar akan melaksanakan perubahan ini melalui proses demokrasi di dalam struktur sosial dan politik yang sedia ada, mereka tidak perlu menjatuhkan struktur itu sekiranya tiada keperluan.

Kerana itulah terdapat beberapa prinsip sosialisme boleh diterima untuk digunapakai oleh banyak negara walaupun negara tersebut berorientasikan sistem kapitalisme. Konsep sosialisme ini boleh dilihat di negara kita, contohnya semasa zaman pemerintahan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, di mana beliau terkenal dengan program-program ‘cash handout’ kepada rakyat dari golongan B40.

Kalau diikutkan, ini sebenarnya ‘fasa perjalanan menggantikan kapitalisme dengan komunisme’ seperti yang disimpulkan oleh pemikir sosialis terdahulu, tetapi di negara kita hanya melakukannya untuk menampung keperluan sebuah golongan tidak mampu, sistem kita belum berupaya mencapai tahap ‘menghapuskan peratusan golongan tidak mampu’, bahkan sistem komunis sendiri masih belum berjaya mencapai tahap itu.

Poster propaganda Parti Komunis China

Dalam penulisannya pada tahun 1875, Critique of the Gotha Program, Marx meringkaskan falsafah komunis melalui kaedah ini: “Dari semua orang mengikut kemampuan masing-masing, kepada semua orang mengikut keperluan masing-masing.”  Sebaliknya, sosialisme didasarkan kepada idea bahawa seseorang akan diberikan pampasan berdasarkan nilai sumbangan mereka secara individu terhadap ekonomi.

Tidak seperti komunisme, sistem ekonomi sosialis memberi penghargaan kepada setiap usaha dan inovasi oleh individu. Demokrasi sosial, salah satu struktur sosialisme moden yang paling lazim, lebih memberi tumpuan kepada mencapai reformasi sosial dan mengagihkan kembali kekayaan kepada rakyat melalui proses demokrasi. Kerana itulah sosialis demokratik mampu wujud bersama dengan ekonomi pasaran bebas yang kapitalis.

Sosialisme dan Komunisme Dalam Konteks Praktikal

Dipimpin oleh Vladimir Lenin, gerakan Bolshevik mempraktikkan teori Marxis dengan memulakan Re.vol.usi Rusia 1917, yang menggulingkan pemerintahan monarki Empayar Rusia, dan membawa kepada pembentukan sistem pemerintahan sosialis-komunis yang pertama di dunia. Komunisme wujud di negara Republik Sosialis Kesatuan Soviet sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1991.

Hari ini, komunisme masih wujud di Republik Rakyat China, Cuba, Korea Utara, Laos dan Vietnam — walaupun pada hakikatnya, sebuah negara komunis yang benar-benar menerapkan sistem komunisme yang sebenar adalah tidak pernah wujud. Negara-negara yang disebut itu diklasifikasikan sebagai negara komunis kerana di semua negara tersebut, kerajaan pusat mengawal seluruh aspek sistem ekonomi dan politik. (Korea Utara telah menukar istilah ideologi / sistem politik pemerintah negara mereka kepada nama ‘Juche’)

Salah satu carta spektrum ideologi sosialis-komunis

Tetapi semua negara ini tidak pernah berjaya mencapai matlamat yang mahu menghapuskan pemilikan harta secara persendirian, wang atau sistem kelas masyarakat yang diperlukan untuk mencapai ideologi komunis yang sebenar. Dalam erti kata lain, mereka gagal menghapuskan jurang antara orang kaya dan orang miskin.

Sama seperti komunis, tidak ada mana-mana negara dalam sejarah yang mencapai matlamat sosialisme yang asli. Bahkan, negara-negara yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai negara sosialis, seperti Norway, Sweden dan Denmark, mempunyai sektor kapitalis yang berjaya dan mengikut dasar-dasar yang sebahagian besarnya selaras dengan demokrasi sosial.

Kebanyakan negara-negara di Eropah dan Amerika Latin telah meraikan dan menganjurkan program-program sosialis (seperti pendidikan percuma, rawatan dan penjagaan kesihatan anak bersubsidi) dan bahkan mereka melahirkan para pemimpin sosialis yang dipilih melalui kertas undi, dengan tahap kejayaan yang berbeza-beza.

Di Amerika Syarikat, sosialisme dari segi sejarahnya tidak menikmati kejayaan ketara sebagai gerakan politik. Tahap kemuncak politik sosialis adalah pada tahun 1912, apabila pemimpin Parti Sosialis, Eugene Victor “Gene” Debs memenangi sebanyak 6% undi sebagai calon pemilihan Presiden Amerika Syarikat. Beliau telah menjadi calon presiden sebanyak lima kali.

Eugene Victor “Gene” Debs

Tetapi pada masa yang sama, program-program di Amerika Syarikat yang pernah dianggap sebagai program sosialis, seperti Medicare (program insurans kesihatan) dan Akta Jaminan Sosial, telah diserap sebagai sebahagian daripada kehidupan di Amerika hingga ke hari ini.

Sosialisme demokratik, sebuah gerakan politik Amerika Syarikat yang sedang berkembang, berada di antara titik tertentu yang memisahkan demokrasi sosial dengan komunisme. Seperti golongan komunis, golongan sosialis demokratik percaya bahawa golongan pekerja harus mengawal sebahagian besar alat pengeluaran, dan tidak tunduk pada kehendak pasaran bebas dan kelas kapitalis. Tetapi mereka tetap berpegang kepada falsafah bahawa halatuju idea sosialisme mereka mestilah dicapai melalui proses demokrasi, bukannya re.vol.usi.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Masih ada pelbagai lagi bentuk dan struktur politik ekonomi yang berorientasikan Sosialis-Komunis, tetapi jika hendak menerangkan kesemuanya sekaligus, mungkin perlu terbitkan buku baru.

RUJUKAN:

Brus, Wlodzimierz (2015). The Economics and Politics of Socialism. Routledge.

Chomsky, Noam. (1986). The Soviet Union Versus Socialism. Our Generation (Spring/Summer).

Ruangan komen telah ditutup.