Mahu cerita sikit tentang teknologi internet 5G apabila tiba-tiba naik macam-macam kisah mengenai 5G. Betul ke 5G boleh mengawal cuaca? Mari kita kenali dulu apa itu 5G.

5G merujuk pada generasi ke-5 teknologi rangkaian mudah alih yang lebih laju daripada sebelum ini. Setakat Januari 2020, 5G telah mencapai kelajuan setinggi 1.8 Gbps. 5G lebih laju kerana frekuensinya lebih tinggi berbanding dengan generasi rangkaian mudah alih sebelum ini.
1G mempunyai kelajuan sekitar 2 kbps, 2G mempunyai kelajuan sekitar 14.4 kbps – 64 kbps, 3G mempunyai kelajuan sekitar 2 Mbps dan 4G mempunyai kelajuan sekitar

200 Mbps – 1 Gbps.

Bagaimana kita dapat memahami konsep frekuensi dengan kelajuan 5G?

Analogi paling mudah ialah dengan menepuk tangan. Contohnya, 30 tepukan sesaat itu lebih laju daripada 5 tepukan sesaat. Kita dapat lebih banyak maklumat dalam masa sesaat yang dapat dianalogikan sebagai 30 tepukan berbanding 5 tepukan.

30 tepukan sesaat lebih tinggi frekuensinya berbanding 5 tepukan sesaat. Ini definisi kelajuan internet yang sebenar, iaitu kapasiti penghantaran atau penerimaan maklumat dalam satu tempoh masa – dalam rangkaian komunikasi biasanya dalam tempoh sesaat.

3G dan 4G lebih perlahan berbanding 5G kerana 3G dan 4G mempunyai frekuensi yang rendah. Apabila frekuensinya rendah, kapasitinya untuk menghantar dan menerima maklumat lebih rendah. Walaupun 5G lebih laju berbanding generasi sebelum ini kerana frekuensi yang tinggi, tetapi ada kontra iaitu gelombangnya pendek.

Sekiranya anda tertanya-tanya, mengapa kita tidak gunakan gelombang mikro ataupun gelombang yang lebih pendek daripada gelombang radio untuk mencapai kelajuan internet yang lebih tinggi?

Dalam pembangunan rangkaian 5G, terdapat juga usaha untuk membangunkan komunikasi berasaskan gelombang mikro. Tetapi kita tidak dapat pergi ke gelombang infra-merah sampailah ke gelombang sinaran gama.

Kelemahan gelombang infra-merah hinggalah gelombang sinaran gama ialah gelombang-gelombang ini tidak dapat melepasi objek pepejal. Teknologi rangkaian tanpa wayar yang membangun di bandar-bandar yang banyak bangunan, tentulah gelombang-gelombang ini tidak praktikal untuk digunakan.

Tambahan lagi, gelombang ultralembayung, sinaran-x dan sinaran gama amat berbahaya kepada manusia apabila sinarannya dipancarkan daripada pencawang kerana gelombang-gelombang ini ialah gelombang ter-ion (ionised).

Gelombang ter-ion boleh mengakibatkan kerosakan DNA dan mutasi yang tidak diingini pada tubuh manusia. Jadi, berbahaya dan tidak begitu praktikal.

Persoalan yang penting, adakah talian 5G boleh mengawal cuaca? Tentulah tidak.

Jenis gelombang untuk menghasilkan rangkaian 5G sama saja jenisnya untuk hasilkan rangkaian 1G hinggalah 4G. Malah, rangkaian radio dan televisyen pun gunakan jenis gelombang yang sama iaitu gelombang radio (salah satu spektrum dalam spektrum gelombang elektromagnet).

Kalau 5G boleh menganggu atau mengawal cuaca, tentulah 4G dan rangkaian komunikasi lain turut dapat mengawal cuaca.
Walaupun frekuensi 5G lebih tinggi, ia tetap masih dalam spektrum gelombang radio. Dalam spektrum elektromagnet, gelombang radio masih dalam frekuensi dan tenaga yang amat rendah.

Cahaya lampu kereta pun lebih tinggi frekuensinya. Kalau frekuensi tinggi dapat mengawal cuaca, tentulah lampu suluh dan lampu telefon lebih berpotensi untuk mengawal dan menganggu cuaca. Tetapi hakikatnya tidak.

HAARP yang digembar-gemburkan kononnya boleh mencetuskan pelbagai bencana alam pun masih menggunakan teknologi komunikasi yang tidak mampu pun sebenarnya mengawal dan menganggu cuaca di Bumi. Apatah lagi mengakibatkan bencana alam.

Untuk pengetahuan anda, manusia mampu mengawal cuaca, tetapi bukan menggunakan gelombang elektromagnet. Kita menggunakan teknologi pembenihan awan. Itu pun masih sangat terhad, kita cuma mampu turunkan hujan dalam skala kecil sahaja. Kita tidak mampu hasilkan gempa, taufan, banjir dan sebagainya.
Itu pun bukan gunakan gelombang elektromagnet ataupun segala jenis teknologi komunikasi. Jauh sekali. Kita cerita teknologi ini lain kali.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.