Apa Yang Kita Harus Tahu Tentang Rumah Api Iskandariah?

0
1905
views

1. Rumah api Alexandria dibina di atas sebuah pulau kecil, Pharos yang berhadapan dengan pelabuhan utama Alexandria.

Ianya dikenali sebagai Pharos of Alexandria kerana ianya dibina di atas pulau Pharos dan perkataan Pharos lama-kelamaan menjadi kosakata yang bermaksud ‘Rumah Api’ di dalam pelbagai bahasa seperti:

a. Perancis: Phare.
b. Sepanyol: Faro.
c. Romawi: Far.
d. Itali: Faro.
e. Portugal: Farol.

2. Setiap ilmuwan mencatatkan tentang ciri-ciri yang ada pada bangunan ini besertakan ketinggian empat bahagian utama menara ini, termasuk tapaknya. Kesemua binaan rumah api moden menjadikan rumah api Alexandria sebagai model, tetapi binaan Pharos of Alexandria lebih menyerupai bangunan pencakar langit abad ke-20. Rumah api Alexandria dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu:

a. Tapak:

Mempunyai banyak bilik untuk penyimpanan barang. Dibina berbentuk segi empat yang mengelilingi binaan bangunan ini.

b. Bahagian pertama bawah ( Tinggi : 115 kaki ).

Berbentuk oktagon (lapan segi) dengan mempunyai lapan sisi ruangan balkoni untuk penziarah menikmati pemandangan kota Alexandria. Mempunyai sebuah bazar yang menjual makanan untuk para penziarah. Pada aras ini, dibina sebuah balkoni empat penjuru di mana setiap penjuru ini diletakkan sebuah tugu dewa laut Triton, pada zaman pemerintahan empayar Rom. Dari balkoni ini, penziarah dapat menikmati hanya separuh pemandangan lautan dan pelabuhan yang sibuk dipenuhi dengan pelbagai kapal dagang dari luar.
Dari catatan Ibnu Jubair, pada aras ini terdapat banyak ruangan bilik yang boleh menyebabkan tersesat dan tangga berpusing yang besar menuju ke tingkat paling atas.

c. Bahagian kedua tengah ( Tinggi: 60 kaki ).

Bagi penziarah yang ingin menikmati suasana sebenar bentuk muka bumi Mesir, ataupun lebih tepatnya pemandangan kota pelabuhan Alexandria tanpa halangan, mereka akan mendaki tangga ke aras ini. Pada aras ini, penziarah sudah berada 300 kaki dari paras laut.

d. Bahagian ketiga dibahagikan kepada dua bahagian kecil iaitu:

• Pertama.

Pada aras ini, hanya penjaga rumah api ini sahaja yang dibenarkan melewatinya. Bahagian ketiga ini, binaannya berbentuk menara bulat dan di sini diletakkan sebuah cermin melengkung yang besar diperbuat daripada gangsa yang digilap kemas. Cermin ini berfungsi untuk memantulkan cahaya api yang dibakar pada siang hari. Legenda menceritakan, cermin ini juga digunakan sebagai senjata oleh tentera Firaun membakar kapal musuh pada siang hari apabila cahaya matahari yang dipantulkan oleh cermin ini diarahkan ke kapal musuh. Selain pantulan cermin, sinaran api juga digunakan sebagai isyarat untuk panduan kepada pelayar pada waktu malam. Dicatatkan, asap dari pembakaran api dan pantulan sinaran api ini mampu dilihat oleh pelayar kapal sejauh 100 batu mil pada siang hari dari laut.

Dari catatan Pliny the Elder (23 M-79 M), cahaya pantulan rumah api Alexandria dapat dilihat sejauh 465 mil dari laut.

Publius Papinus Statius (45 M-96 M) melaporkan, cahaya pantulan dari bangunan ini umpama cahaya bulan yang menyinari pada malam hari.

Flavius Josephus (37 M-100 M) mencatatkan, pantulan cahaya rumah api ini dapat dilihat dalam jarak 50 km dari darat.

• Kedua.

Seterusnya bumbung berbentuk kon melengkapi keindahan bangunan ini. Pada zaman pemerintahan empayar Rom, mereka telah meletakkan sebuah tugu besar dewa laut, Poseidon di puncak bumbung ini. Fakta ini dikemukakan setelah ahli sejarah menemui sekeping duit syiling kuno dari empayar Rom yang menunjukkan ukiran dewa Poseidon yang wujud di atas ukiran bentuk bangunan rumah api Alexandria. Catatan lain menyebutkan, tugu dewa langit Zeus mungkin diletakkan di puncak bangunan ini.

Pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad bin Tulun, baginda menggantikan tugu Poseidon dengan sebuah kubah dan mengubah sedikit bentuk binaan rumah api ini.

Pada tahun 875 M, dicatatkan, bahagian ruangan pembakaran api ini digantikan dengan ruangan kayu dan fungsinya ditukarkan serta-merta kepada menara pemantau.

Struktur lukisan pelan bangunan rumah api Alexandria dilakar oleh salah seorang ilmuwan Jerman, Hermann Thiersch dalam bukunya yang bertajuk Pharos: Antike Islam Und Occident (1909) yang kebanyakkan sumber untuk lakarannya dikutip daripada beberapa penelitian catatan dan laporan ilmuwan pada zaman dahulu.

Dalam lukisan hasil Hermaan, beliau melakar rumah api Alexandria yang berbentuk asal, perubahan binaan yang berlaku pada zaman Sultan Ahmad bin Tulun dan perubahan binaan yang juga berlaku pada zaman pemerintahan Dinasti Fatimiyyah.

KETINGGIAN

1. Mengikut penjelasan seorang ahli arkeologi Greco-Roman, Profesor Fathy Khourshid, ketinggian keseluruhan bangunan ini adalah setinggi 400 kaki termasuk tapak, tiga aras sehingga ke puncak bangunan.

2. Pliny the Elder dan Strabo (64 SM-24 M) melaporkan, yang bangunan yang dibina dari batu marmar putih ini setinggi antara 393 kaki (120 m) dan 450 kaki (137 m).

3. Dua orang ilmuwan Islam, al-Idrisi dan Yusuf ibn al-Sheikh mencatatkan ketinggian bangunan ini adalah ‘300 cubit’ iaitu sekitar 140 m atau 183 m.

4. Ibnu Rusta mencatatkan pada tahun 903 M, ketinggian rumah api ini mencapai 450 kaki.

DETIK-DETIK KEHANCURAN PHAROS OF ALEXANDRIA.

Rumah api ini bertahan lamanya selama 1500 tahun di bawah pemerintah kedua Mesir Kuno, Ptolemy II sehingga pemerintah terakhir, Firaun Cleopatra ke empayar Rom, kekuasaan Khulafa ar-Rasyidin, Bani Umayyah, Fatimiyyah, Ayyubiyah serta akhirnya ia hancur rebah menyembah bumi. Berikut dikumpulkan beberapa catatan dan laporan yang telah direkodkan berkaitan sekitar waktu kehancuran Pharos of Alexandria.

1. Pada tahun 356 M, terjadi gegaran gempa bumi dan Mesir dilanda tsunami, tetapi hanya berlaku keretakkan yang kecil pada bangunan ini. Keretakkan dibaiki semula.

2. Pada abad ke-10, rumah api Alexandria diperbaiki dan dikurangkan ketinggian sebanyak 70 kaki kerana berlaku keretakkan yang dikhuatiri bangunan tidak stabil dan roboh.

3. Pada tahun 1303 M, suatu gempa bumi yang kuat melanda kawasan Mediterranean dan kesan dari gegaran kuat, bangunan ini hancur sepenuhnya.

Tetapi laporan ini diragukan kerana dari catatan lama Mesir, kehancuran bangunan ini berlaku pada tahun 1375 M dan bangunan ini dipercayai masih teguh berdiri (walaupun sudah tidak digunakan lagi) sehingga tahun 1480 M.

4. Dalam catatan seorang pengembara Moor dari Andalusia, al-Idrisi yang melawat bangunan ini pada tahun 1115 M yang kagum dengan binaan bangunan ini, menceritakan dengan lengkap tentang rumah api Alexandria dengan mengira kesemua anak tangga yang menuju ke ruangan balkoni aras pertama dan kedua serta mengukur ketinggian menara ini.

5. Selepas 15 tahun kemudian, seorang pengembara Yusuf ibn al-Sheikh, memeriksa struktur bangunan ini dengan lengkap pula dan mencatatkan tentang bahan binaan yang digunakan sehingga bangunan ini mampu bertahan dengan hempasan ombak laut dalam jangka waktu yang sungguh lama.

Dinyatakan dari hasil penelitian, cairan timah digunakan dalam pembinaan bangunan ini.

6. Pada tahun 1183 M, Ibnu Jubair dari Andalusia yang melawat kota Iskandariah (Alexandria) pada masa itu mencatatkan strukturnya dalam keadaan yang masih baik dan di atas menara ini dibina sebuah ruangan masjid yang dikenalpasti telah dibangunkan di bawah arahan Sultan Ahmad bin Tulun ketika zaman pemerintahannya iaitu sekitar 868 M sehingga 884 M.

7. Pada tahun 1272 M, Sultan Salahuddin al-Ayyubi mengarahkan perbaikan semula ke atas rumah api Alexandria setelah didapati terdapat retakkan kecil pada struktur bangunan. Atas keprihatinan baginda, rumah api Alexandria dapat diselamatkan sehingga ke abad ke-14.

8. Gempa bumi yang melanda Mesir pada tahun 956 M dahulu, telah meninggalkan retakkan pada struktur bangunan ini dan dibaiki semula. Susulan itu Mesir dilanda gempa bumi buat kali kedua pada tanggal 8 Ogos 1303 M yang menyebabkan sebahagian rumah api ini hancur. Kesan gegaran gempa bumi kali ini dirasakan sehingga ke Greek.

9. Pada tahun 1323 M gempa bumi kali ketiga melanda bumi Mesir lalu menyebabkan sebahagian rumah api ini hancur.

10. Ibnu Battuta juga ada melaporkan tentang bangunan ini di dalam kitabnya, Rihlah dan menyebutkan pada masa ini beliau tidak dibenarkan untuk melawat kawasan rumah api Alexandria kerana bimbang dengan sisa struktur bangunan yang boleh roboh pada bila-bila masa.

Catatan Ibnu Battuta tahun 1326 M yang pertama kali datang ke kota Iskandariah, melaporkan yang dia tidak dibenarkan masuk melalui pintu pertama di aras pertama bangunan ini.

Catatan kedua Ibnu Battuta pada tahun 1349 M, kali kedua menziarahi kota Iskandariah, melaporkan tiada akses masuk ke pintu pertama dan semuanya (atau sebahagian) di sini telah hancur.

11. Pada tahun 1375 M, Mesir dilanda gempa bumi lagi dan menyebabkan sisa bekas runtuhan yang masih berdiri roboh sepenuhnya dan hanya meninggalkan tapak sahaja.

12. Pada tahun 1480 M, Sultan al-Ashraf Sayf ad-Din Qaitbay (pemerintah Dinasti Burji di Mesir) mengarahkan pembinaan sebuah benteng pertahanan Qaitbay di atas tapak runtuhan rumah api Alexandria. Dicatatkan dalam sejarah, benteng Qaitbay dibangunkan daripada beberapa bekas batu/struktur binaan milik rumah api Alexandria yang masih tersisa pada waktu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here