Apa Yang Kita Boleh Belajar Dengan Aliff Satar?

1,952

Pagi tadi, aku bangun seperti biasanya. Selepas selesai menunaikan solat fardu Subuh, aku bersimpuh sebentar di atas hamparan sejadah. Ku gapai telefon pintar yang terletak di atas meja bulat di sebelah tempat solat. Terasa agak berat pagi itu untuk melangkah pergi ke kuliah. Malas, berat, badan rasanya seperti lenguh-lenguh dan pelbagai lagi perasaan serta fikiran negatif yang berperang memenagi diri aku. Semuanya meracuni supaya aku tidak pergi ke kelas pagi itu. “Tak boleh! Aku kena juga pergi kuliah sebab hari ini ada patient yang harus diselesaikan rawatannya”, getusku dalam hati.

Mataku melirik jam tangan G-shock yang tergeletak di atas meja bulatku. Sudah jam 6.00 pagi. Kakiku masih terasa berat untuk melangkah seolah-olah diikat dengan sebuah batu besar yang berat. Ku mula membuka kekunci Xiaomi Redmi Mi 9T yang ada pada tanganku. Buka Facebook, ah bosan! Beralih pula kepada Twitter, hmm masih belum ku temui perkara yang menambat hati. Pilihan terakhir adalah; Instagram. Terus aku pergi ke bahagian explore dan ada sesuatu yang tertarik pada anak mataku. Video Alif Satar menyertai cabaran Ironman 2019 di Langkawi telah berjaya menyebabkan ngantukku hilang serta merta.

Tanpa berfikir panjang, aku terus mencari video penuhnya di Youtube. Ku tonton episod 1 sehingga habis. Dilanjutkan lagi dengan episod 2 sambil mencelup biskut Hup Sen cap Ping Pong ke dalam teh susu hangat. Tidak cukup sekadar itu, aku sanggup habiskan menonton episod 3 dokumentari abang Alif menyertai cabaran Ironman 2019 di dalam tandas! Ya kalian tidak salah baca. Sambil mandi, aku habiskan menonton video tersebut. Tiba-tiba tanpa sedar, bulu romaku meremang. Dari belakang tengkuk sehinggalah kedua-dua tangan, berdiri tegak bulu romaku. Bukan kerana dinginnya air pada pagi itu, tapi ada satu perasaan yang menerjah ke dalam sanubariku. Tanpa sedar, aku telah menjatuhkan air mataku waktu itu; lantaran perasaan yang begitu terharu dan terinspirasi.

Selesai saja mandi, maka aku selesai menonton ketiga-tiga episod video abang Alif tersebut. Tidak cukup setakat itu, aktiviti dilanjutkan lagi dengan menonton segala persiapan abang Alif sebelum menyertai acara tersebut. Persiapan di sini maksudku adalah latiha. Latihan berbasikal, berenang, lari dan sebagainya. Memang aku habiskan cukup-cukup menonton video abang Alif, tapi video untuk Ironman 2019 sahaja.

What can I say here is; if you’re thinking of quitting (in anything you’re doing right now) please watch abang Alif Satar’s Ironman 2019 video because it is freaking inspiring! No doubt!

Daripada video abang Alif saja, banyak ibrah dan pengajaran yang mampu aku ekstrak. Untuk berjaya dalam setiap perkara yang kita lakukan, sebenarnya ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang begitu tinggi. Banyak nilai murni daripada video tersebut yang ingin aku kongsikan kepada para pembaca sekalian. Justeru, dalam artikel ini aku akan cuba kongsikan kepada kalian berkenaan nilai-nilai murni yang ada dalam video abang Alif Satar sewaktu menyertai Ironman 2019.

  • PENGURUSAN MASA.

Kita tahu bahawa abang Alif ini ialah seorang artis; seorang penyanyi. Tapi, bagaimana seorang artis yang sibuk dengan persembahan dan rakaman mampu untuk menyertai dan menghabiskan cabaran Ironman ini? Adakah beliau terus sertai saja tanpa ada apa-apa latihan dan persiapan? Jawapannya adalah, pengurusan masa. Ya, perkara ini ada disebut sendiri oleh abang Alif dalam videonya sewaktu sedang menjalani latihan berbasikal. Semunya bergantung kepada pengurusan dan pengendalian masa seseorang itu. Macam abang Alif, beliau kena bahagikan masa untuk latihan nyanyian, persembahan, rakaman dan juga latihan untuk Ironman beliau.

Begitu juga dengan kita semua. Dalam setiap yang kita lakukan haruslah ada pengurusan masa yang baik. Dalam konteks mahasiswa/wi misalnya, berapa ramai yang masih menyalahkan bahawa terlibat aktif dalam persatuan dan kokurikulum akan menyebabkan kegagalan dalam belajar? Berapa ramai yang masih tidak mempunyai kemahiran komunikasi dan kemahiran berorganisasi yang baik dek kerana mereka tidak sudi untuk melibatkan diri dengan aktif dalam kegiatan universiti? Hakikatnya, merekalah penyebab kepada kegagalan mereka sendiri kerana gagal untuk mengurusakan masa dengan baik.

Kalau dalam Islam, perkara ini dikenali dengan nama fiqh aulawiyat yang bermaksud keutamaan dalam melakukan sesuatu dan meletakkan sesuatu pada tangga serta peringkat yang sebenar dengan pertimbangan keadilan, sama ada mengenai perbuatan, pemikiran, hukum-hakam dan nilai-nilai murni. Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula, fiqh aulawiyat bermaksud menentukan keutamaan masing-masing berasaskan kepada pertimbangan syarak yang betul dengan berpandukan kepada bimbingan wahyu dan akal. Semua perkara diletakkan pada tempatnya berpandukan ukuran keadilan tanpa prejudis atau berat sebelah.

Aku tidak berhasrat untuk mengulas dengan lebih panjang berkaitan fiqh aulawiyat ini kerana ia memerlukan kepada satu penulisan khusus kerana perkara ini merupakan satu perbahasan yang panjang. Mesej paling penting yang ingin disampaikan adalah, susunlah jadual dan masa kalian dengan sebaiknya. Bermula dari bangun tidur sehinggalah hendak tidur kembali. Tulislah to-do-list supaya hari kalian tidak berlalu dengan sia-sia dan tidak keruan. Akhir sekali, perlu juga diingat bahawa dalam kita menjaga masa dan hak-hak diri sendiri, terdapat juga hak-hak awam (orang sekeliling) yang perlu ditunaikan.

  • PERANCANGAN DAN PERSIAPAN.

Setiap perkara yang kita lakukan perlulah kepada perancangan dan persiapan yang rapi. Selari dengan ungkapan, gagal merancang bermakna kita merancang untuk gagal kerana tanpa sebarang perancangan, pastinya sukar untuk kita tiba pada puncak impian. Abang Alif telah kongsikan dalam videonya bahawa beliau telah menjalani latihan selama hampir satu tahun untuk menyertai Ironman 2019 di Langkawi. Satu tahun tau! Bukan satu minggu, bukan satu bulan. Bukan setakat latihan, malahan beliau juga turut serta dalam beberapa acara sebagai ‘ujian’ untuknya seperti CIMB Cycle 160km untuk memastikan sama ada beliau bersedia atau belum.

Untuk pengetahuan kalian, sebelum menyertai acara Ironman 2019 di Langkawi, abang Alif juga telah menyertai Half Ironman 70.3km pada tahun 2018. Dalam videonya, beliau mengatakan bahawa setelah mengambil bahagian dalam acara Ironman pada tahun lepas, abang Alif telah bersedia untuk menempuhi cabaran dalam acara Ironman pada tahun ini. Beliau bersedia dengan kelengkapan berbasikal yang lebih baik berbanding tahun lepas, bersedia dari sudut latihan fizikalnya, bersedia dengan persiapan. Sehari sebelum Ironman bermula, beliau telah menyiapkan segala kelengkapan bermulalah daripada makanan (nasi tomato yang koyak tu hehehehe) sehinggalah persiapan yang paling penting, iaitu solat.

Abang Alif dah rancang awal-awal jadual solat beliau pada Ironman 2019 ini dan inilah yang membuatkan aku terharu serta terinspirasi dengan beliau. “Race, race juga. Ironman, ironman juga. Nanti dekat ‘sana’ Dia tak tanya; Habis ke race Ironman haritu?” Dengar sekali macam kelakar, tapi sebenarnya memang bullseye! Kerana solat itulah tiang agama dan fundamental sebagai seorang hamba Allah. Itulah perkara pertama yang bakal dihisab oleh Allah SWT di Mahsyar kelak. Bahkan, Allah SWT tidak menjanjikan, barangsiapa yang menghabiskan Ironman maka dia telah berjaya. Barangsiapa yang bekerja dia akan kaya dan berjaya. Tapi Dia kata apa? Barangsiapa yang menjaga solat fardunya maka dialah orang yang berjaya. Berjaya yang macam mana? Sudah tentulah syurga! Kerana syurga adalah kejayaan hakiki yang kita semua cari, betul? Paling penting adalah kita berjaya meraih reda Allah SWT. Kerana apa? Reda Allah SWT adalah kunci kepada kejayaan kita iaitu syurga. Mudah kan formulanya?

Begitulah yang berlaku dalam kehidupan kita. Tidak kiralah dalam apa-apa bidang sekalipun, tidak kiralah apa jua matlamat yang ingin kita inginkan, semuanya bermula daripada langkah pertama. Justeru, untuk memulakan langkah pertama tersebut kita harus mempunyai perancangan yang baik supaya langkah kita tidak salah dan mampu membawa kita dengan lebih jauh. Lantas, seiring dengan usaha yang kita lakukan perlu juga kepada pengharapan dan pergantungan kepada Sang Pencipta Yang Maha Esa. Kerana hidup ini penuh dengan misteri dan kejutan. Sekiranya kita yakin kepada-Nya dan sentiasa bersedia, insya-Allah perjalanan kita akan terasa ringan.

  • HENDAK SERIBU DAYA, TAK HENDAK SERIBU DALIH.

He that is good for making excuses is seldom good for anything else.” Ungkapan ini telah diucapkan oleh Benjamin Franklyn yang merupakan seorang pemimpin revolusi Amerika Syarikat, ahli falsafah, penulis dan filantrofis. Ini bermaksud sekiranya seseorang itu memang benar-benar menginginkan sesuatu perkara, maka dia dengan bersungguh-sungguh akan berusaha untuk menggapai perkara tersebut dan menjadikannya sebuah realiti. Apabila wujudnya alasan, sesungguhnya masih terdapat cebisan keraguan terhadap perkara yang diimpikan tersebut; tidak yakin dan tidak bersungguh-sungguh.

Aku ambil contoh abang Alif ini lah misalnya, sebelum beliau mengambil bahagian dalam Ironman 2019, beliau pergi bercuti ke Jepun bersama-sama keluarga. Sungguh malang itu tidak berbau. Dalam percutian tersebut, abang Alif mengalami kecederaan dimana bahunya telah dislocate dan beliau terpaksa berehat selama beberapa bulan sebelum dapat melanjutkan latihannya kembali. Setelah selesai tempoh rehabilitasi dan recovery, beliau terus melanjutkan latihan Ironman-nya.

Boleh saja kalau abang Alif tanam dan kubur saja impiannya untuk mengambil bahagian dalan Ironman 2019 dengan menggunakan alasan kecederaannya di Jepun tempoh hari. Selepas itu, bolehlah beliau rehat di rumah bersama keluarga, pergi sambung bercuti di luar negara atau menyanyi saja di depan orang ramai. Tak usah berpenat lelah untuk menjalani latihan yang memakan masa sehingga hampir 12 bulan untuk membentuk ketahanan fizikal dan mendapatkan stamina yang baik. Beliau boleh saja gunakan alasan kecederannya itu untuk tidak berlari sejauh 10 kilometer atau berbasikal sejauh 150 kilometer.

Namun, perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Setelah beberapa bulan, abang Alif terus menjalani latihannya walaupun bahunya belum pulih sepenuhnya. Bukan setakat itu saja, abang Alif telah menghabiskan sebanyak RM40 ribu dalam kelengkapan basikalnya! Beb banyak tu! Bukan sikit duit, boleh keluar sebiji Myvi tau! Tapi disebabkan beliau minat dan memang betul-betul nak sertai (dan tamatkan) cabaran Ironman 2019, dikorbankan banyak perkara untuk cita-citanya itu. Kalau aku lah kan dapat duit sebanyak itu, memang banyak benda yang akan aku beli. Gold Yamaha Saxophone, Mini Cooper yang Mr Bean pakai itu dan banyak lagi lah!

Hakikatnya, itulah yang sebenarnya berlaku dalam kehidupan setiap seorang daripada kita. Sekiranya kita mempunyai matlamat dan cita-cita, mahu tak mahu memang perlu berkorban, berpenat lelah, sedih dan terkadang rasa putus asa. Sekiranya perjalanan menuju cita-cita itu tidak ‘dihiasi’ dengan tangis dan lelah, tidak ‘dijamah’ oleh liku dan duri, itu bukanlah dinamakan sebuah kecintaan kepada kejayaan.

https://www.thepatriots.store/store/pra-tempah/

Lihat saja keadaan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam mewariskan risalah agama Allah SWT kepada kita. Mereka ditohmah dan dicaci, Baginda Nabi Muhammad SAW dilemparkan usus binatang dan tahi, para sahabat gugur syahid dan mengalir darah di tanah bumi malah ramai golongan wanita menjadi balu dan anak-anak kecil menjadi yatim piatu. Sekiranya umat terdahulu tidak bersungguh-sungguh dalam menyebarkan dan memelihara agama Islam, nescaya warisan tersebut tidak akan sampai kepada kita pada hari ini. Mereka bukan sahaja berkorban harta, malah nyawa turut menjadi taruhan.

Konklusinya, untuk meraih mimpi dan cita-cita kita haruslan melangkah dengan keyakinan dan kesungguhan. Malah, kita juga harus tahu matlamat serta halatuju supaya perjalanan kita nanti tidaklah menyimpang jauh. Usah cipta bermacam alasan kerana alasan itu menandakan kita tidak bersungguh-sungguh dan hanya hangat-hangat tahi ayam. Orang sekarang kata apa? Sembang kencang!

  • REST BUT NOT QUIT.

Dalam hidup kita ini, tak semuanya manis. Bukan semuanya berjalan mengikut pada keinginan dan perancangan kita. Seperti lautan, adakalanya tenang menggamit hati. Lantas pada satu hari yang lain bergelora sehingga menghadirkan rasa gentar kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Dalam hidup akan ada satu fasa kita akan rasa sangat penat. Seolah-olah hidup ini tak adil. Perasaan putus asa membuak-buak sehingga menyebabkan kita merasakan sudah tidak ada lagi jalan kejayaan yang dapat ditempuh. Ya! Fasa itu memang wujud dan memang ada. Hatta aku sendiri banyak kali mengalaminya. Kalau dalam Bahasa Arab dipanggil sebagai futur.

Habis, kalau dia datang, nak buat apa?” Duduk sebentar, kalian rehatlah. Minum air dan tarik nafas. Kepada yang ingin menangis, silakan berbuat demikian. Janganlah rasa malu dan ragu. Kerana tangisan itu bukan sebuah tanda kelemahan, melainkan sebagai tanda kekuatan kerana kalian telah mampu bertahan menempuh mehnah kehidupan dengan begitu lama sekali. Carilah orang-orang terdekat sekeliling kalian. Ibu, ayah, adik-beradik atau sahabat. Pegang tangan mereka dan usah biarkan diri kalian lemas sendirian.

Waktu inilah saat paling tepat untuk kita refleksi diri. Kita muhasabah diri sebaiknya. Minta nasihat daripada orang sekeliling. Perkara paling penting adalah, jangan sesekali kita jauhkan diri daripada Allah SWT. Berzikirlah, baca al-Quran. Kita boleh dapatkan segala macam bantuan yang ada di dunia seperti kaunselor, doktor pakar kesihatan mental, tapi mengapa tiba saja bab ketuhanan kita menolak? Bukankah hati makhluk itu dipegang oleh-Nya? Dan sebaik-baik tempat permohonan serta pergantungan adalah kepada Allah SWT semata-mata. Berehatlah sebaik-baiknya. Ingat, fasa ini bukanlah saatnya berhenti! Setelah kita selesai beristirehat, maka perjalanan harus diteruskan. Kalau bak kata-kata ibu aku, “Kesabaran itu memang pahit pada awalnya. Namun buahnya nanti akan menjadi manis.

Dalam setiap perjuangan pasti akan ada sesuatu yang menjadi batu penghalangnya. Kawan yang tikam belakang, keluarga yang tidak memberi sokongan, kekurangan wang ringgit dan banyak lagi faktor penghalang. Hatta dalam perjuangan Nabi Muhammad SAW sendiri sekalipun, Abdullah bin Ubai menjadi batu penghalang yang selalu menyusahkan Baginda dan para sahabat. Adapun batu penghalang yang paling dekat dan utama adalah, diri kita sendiri. Adakalanya kita merasa begitu penat dan ingin sekali rasanya untuk berhenti. Fikiran negatif mula menguasai diri menyebabkan kaki lemah untuk berlari.

Remember, resting but not quitting. Yes it is hard and not easy. Because if it easy, everybody will do it. This is not the end, you just have to keep walking. Anything is impossible until it is done! Remember, you’re not alone in this journey. Have faith and keep going.

  • UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI.

Ya, ini juga antara ibrah yang aku dapati semasa menonton video abang Alif. Dalam hidup, usahlah membandingkan diri kita dengan orang lain. Kerana setiap orang itu berbeza. Sebiji epal merah dan sebiji epal hijau mempunyai rasa yang berbeza; padahal kedua-duanya adalah sama. Begitu juga manusia. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Berbicara dalam konteks diri kita sendiri, dalam mengejar impian dan cita-cita kita haruslah kenal dahulu diri sendiri. Apakah kekuatan kita? Di mana kurangnya kita?

Di gimnasium misalnya, setiap orang yang berada di sana mempunyai matlamat tersendiri. Ada yang ingin melakukan senaman kardio, ada yang memang ingin menjadi ahli bina badan, ada juga orang yang pergi ke gimnasium hanya untuk menurunkan berat badan. Berbeza matlamat maka berbeza juga perbuatannya. Kerana setiap orang mempunyai kekuatan yang berbeza. Orang yang pertama kali menjejakkan kaki ke gimnasium tidak boleh melakukan 40 kilogram bench press sama seperti orang yang sudah tiga tahun bersenam di situ.

Jadi, untuk mengejar impian kita haruslah tahu kapasiti diri sendiri. Sekiranya kita masih belum atau tidak mampu melakukannya, tidak salah untuk mengatakan ‘tidak’. Kerana boleh jadi sekiranya ada paksaan yang berlaku terhadap diri kita, maka akan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini. Abang Alif berani menyertai Ironman 2019 di Langkawi kerana beliau sudah pernah menyertai Half Ironman 2018 dan daripada situ, beliau dapat mengukur keboleh stamina serta ketahanan fizikalnya.

Kepada pembaca di luar sana, sekiranya anda tidak ada rezeki dalam satu-satu perkara, usahlah resah dan gusar. Rezeki Allah SWT itu luas kerana Dia Maha Pemberi Rezeki dan Maha Pemurah. Adakalanya Allah SWT akan memperkenankan doa kita serta merta. Adakalanya Allah SWT melambat sedikit permohonan kita. Atau mungkin Dia tidak memberikan keinginan kita itu di dunia, namun dikabulkannya di akhirat kelak. Tetaplah berusaha dan bersangka baik, kerana Allah SWT Maha Mengetahui perkara yang kita perlukan, bukan yang kita inginkan. Kerana boleh saja terjadi perkara yang diinginkan itu akan mendatangkan kemudaratan kepada diri kita sendiri.

  • TERIMA KASIH!

Kenapa terima kasih? Nak habis tulis dah ke? Belum lagi hehehe. Ini juga antara nilai yang membuat aku terharu apabila abang Alif lakukannya dalam video beliau. 800 meter terakhir, beliau tidak lari melainkan berterima kasih kepada semua orang yang ada di sepanjang jalan, terutama kepada sukarelawan acara Ironman 2019. Dalam era milennium ini, bagi aku etika berterima kasih ini sudah semakin pudar. Kadang-kadang, kawan sendiri yang kita tolong pun tak ucapkan terima kasih, betul? Kalau kita lihat juara Ironman 2019 di Kona, Jan Frodeno pun melakukan hal sama; berterima kasih kepada semua penonton dan orang-orang yang menyokongnya.

Terlalu ramai yang harus kita ucapkan terima kasih kerana kita tak akan mampu berjuang dengan sendiri. Berterima kasih kepada ibu dan ayah, kepada pemandu bas sekolah, tukang sapu di pejabat, berterima kasih kepada pramugari yang menjaga makan minum di dalam kapal terbang, kepada adik-beradik, jiran tetangga dan ramai lagi. Tak usah kita ulas soal berterima kasih kepada Allah kerana itu semestinya satu kewajipan yang tak perlu disuruh dan jikalau kita tidak pernah sekali pun berterima kasih (bersyukur), adakah layak kita mendiami syurga-Nya?

Sehingga akhirnya, janganlah lupa untuk berterima kasih dan menghargai diri sendiri kerana bersusah payah dan bertungkus lumus untuk berjuang serta menghadapi segala kesukaran. Hargai dan sayangilah diri sebaik mungkin kerana sanggup berkeringat mencapai impian. Jagalah hak-hak diri kita sebaik mungkin. Berikan rehat yang secukupnya dan jagalah kesihatan. Semoga dengan kesihatan tubuh badan, kiti diizinkan oleh Allah SWT untuk terus menggapai kejayaan demi kejayaan.

PENUTUP.

Rasanya, setakat ini sahaja yang mampu aku kongsikan kepada kalian. Mudah cerita, video abang Alif Satar ini memang penuh dengan nilai murni dan inspirasi. Banyak lagi yang ingin aku tuliskan di sini tapi tak apa-apa, cukup dulu setakat ini. Kalau ada lagi mesej dan nilai murni lain yang kalian boleh nampak, haa cubalah kongsikan sekali. Moga-moga dengan tulisan itu mampu menyelamatkan orang lain daripada keputus asaan dan kesusahan. Bak kata Sayyid Qutb, “Satu peluru hanya mampu menembusi satu kepala. Namun, satu tulisan mampu menembusi beribu kepala, malah jutaan.

To abang Alif Satar, this is the least I can do. Spread the positiveness to others (through my writing) and I hope everyone can grasp the messages. Thanks to you (and your crews) that have inspired me (like a lot) from your videos and I hope other people can see the good things too; from your videos.

Wallahu Ta’ala A’lam.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.