Apa Yang Kita Boleh Belajar Dari Dumbledore Army?

0
994
views

Apa khabar Potterhead? Dah lama rasanya artikel mengenai Harry Potter tidak dinaikkan di portal The Patriots. Kali ini, saya ingin menulis mengenai Dumbledore Army, salah kumpulan penentang yang melawan opresi ke atas para pelajar di Hogwarts dalam novel Harry Potter yang kelima, dan akhirnya pada tahun ketujuh mereka, kumpulan ini menjadi pejuang kebebasan melawan kerajaan fasis yang dikawal sendiri oleh Dumbledore. Ini ialah artikel yang membahaskan bagaimana untuk mewujudkan sebuah gerakan penentang melawan para opresi, yang kita boleh pelajari daripada karya Harry Potter sendiri.

Harry Potter ini sendiri bermula sebagai sebuah karya kanak-kanak yang bersifat fantasi. Namun, karya ini tidak kekal untuk kanak-kanak sahaja apabila sekuelnya yang berjumlah 6 buah lagi ditulis pada tahun-tahun kemudiannya. Kanak-kanak yang membacanya sudah pasti meningkat remaja, sebelum akhirnya menjadi dewasa bersama karya ini.

Makanya, kedewasaan itu juga harus dicapai oleh Harry Potter untuk kekal relevan dibaca. Semakin karya ini meningkat usianya, semakin plot jalan ceritanya menjadi semakin “dark”. Salah satu sisi “dark” yang cuba dipaparkan ialah membina sebuah kumpulan penentang yang efisyen, tidak lain dan tidak bukan, yang cuba dimaksudkan oleh saya ialah Dumbledore Army itu sendiri. Jadi, apa yang kita boleh belajar daripada penggerakkan penentangan ini? Saya gariskan enam perkara:

1.) Setiap revolusi, gerakan penentangan atau pemberontakan harus dimulakan dengan perancangan.

Untuk melawan sebuah rejim yang zalim, fasis dan seumpama dengannya, kuasa seorang diri tidak akan cukup. Jadi, seseorang itu harus mencari sekutu mereka dan bersama dalam sebuah kumpulan. Rancang setiap perancangan anda dengan teliti, kerana gerakkan revolusi dan penentangan harus dimulakan dengan rancangan, bukannya membabi buta.

Hermione Granger, pengasas kepada gerakan Dumbledore Army melawan penindasan Kementerian Sihir ke atas pelajar dan kebebasan mereka menuntut ilmu sungguh geliga dalam menyusuh penggerakkan mereka. Daripada merekruit mereka yang sefikirah dengan watak utama, sehinggalah kepada bagaimana gerakan mereka akan bergerak, berkomunikasi, tempat pertemuan, dan untuk menjaga kerahsian mereka. Sebuah gerakan pemberontakan, penentangan atau bersifat revolusi harus bermula dengan perancangan yang terperinci.

Pertemuan pertama ahli-ahli kumpulan DA selepas direkruit oleh Hermione. Dari sini, perancangan pertama kumpulan penentangan pada dasar kementerian ke atas sekolah mereka bermula…

Bahkan rancangan Hermione adalah melibatkan untuk mengenalpasti pengkhianat antara mereka. Dalam berorganisasi, kemunculan pengkhianat antara satu sama lain tentunya akan menghancurkan organisasi dari dalam. Jadi, para pelajar yang berhasrat untuk menyertai DA harus menurunkan tandatangan mereka di atas sebuah kertas yang sebenarnya sudah disihir secara diam. Pada sesiapa yang membocorkan rahsia gerakan penentangan mereka, akan timbul jerawat yang besar memenuhi wajah sebagai tanda pengkhianat! Kononnya jerawat dan jeragat itu sifatnya kekal. Nah, rasakanlah wahai pengkhianat sebuah perjuangan!

Tandatangan para ahli Dumbledore Army itu sendiri.

2.) Belajarlah Dari Sejarah

Ada sebab kenapa walaupun The Patriots ialah sebuah portal ilmu, kami menjadikan sejarah sebagai core kepada ilmu dan falsafah kami. Kenapa? Kerana pada sejarah itu sendiri, ada 1001 pengajaran untuk yang mengambil iktibar daripadanya. Pada setiap gerakan pemberontakan, penentangan atau revolusi yang mahu dimulakan, moleknya dikaji bagaimana gerakan revolusi dalam sejarah berlaku. Banyak sejarah-sejarah revolusi yang berjaya seperti Revolusi Perancis dan Revolusi Russia. Ada rahsia pada penggerakkan kumpulan yang lebih awal daripada kalian.

Dalam filem Harry Potter, kita dapat melihat bagaimana Dumbledore Army belajar daripada penggerakkan penentangan lebih awal seperti Kumpulan Phoenix yang diketuai oleh Dumbledore. Lagipun model kumpulan penentangan DA adalah berinspirasikan Kumpulan Phoenix sehinggakan nama kumpulan penentangan para pelajar ini pun diambil atas nama pengasas Kumpulan Phoenix iaitu Dumbledore.

Potret kumpulan Phoenix yang awal yang turut merangkumi ayah dan ibunya Harry.

3.) Setiap gerakan harus berasaskan ilmu

Adalah penting untuk melengkapkan setiap ahli gerakan penentangan dengan ilmu. Ilmu mampu mencipta ahli yang berkualiti yang mampu menyumbang kepada perjuangan gerakan kelak di masa hadapan. Apatah lagi anda berada dalam sebuah sistem yang mungkin untuk membodohkan anda, tidak mahu anda menjadi orang bijak. Fakta penting, setiap rejim dalam dunia tidak mahu rakyatnya menjadi orang yang bijak, kritikal agar tidak terpengaruh pada setiap propaganda yang mereka laungkan.

Ini dapat dilihat dalam novel dan filem Harry Potter itu sendiri. Gerakan Dumbledore Army untuk melawan totalitarian kementerian ke atas sekolah mereka adalah diasaskan oleh gerakan ilmu itu sendiri. Dumbledore Army adalah gerakan yang mahu meletakkan Harry Potter sebagai pengajar dan guru kepada sahabat-sahabatnya dalam subjek Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam yang di mana pihak kementerian cuba untuk menghalang para pelajar mempelajari Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam semata-mata takut ia akan membina para askar untuk menggulingkan kementerian kelak.

Waqaf Saham

Nanti pada novel ketujuh Harry Potter, kita dapat melihat bagaimana ilmu yang mereka pelajari ketika di novel kelima akan menjadi sangat berguna melawan rejim pemerintah fasis yang diketuai oleh Lord Voldermort dari balik kelambu, melawan para Death Eater.

4.) Alat Komunikasi

Antara salah satu cara kerajaan untuk mematahkan pengerakkan gerakan penentang adalah dengan memintas sumber komunikasi mereka. Jadi, sebuah gerakan penentang harus mempunyai cara komunikasi yang terbaik, yang mestilah dalam keadaan terahsia, dan agak sukar untuk dipecahkan oleh musuh. Contohnya, menggunakan bahasa kod yang hanya difahami oleh ahli, atau cara komunikasi yang langsung tidak dibayangkan dek musuh.

Dalam novel Harry Potter yang ke-5, kita dapat melihat bagaimana Hermione mencipta kaedah komunikasi menggunakan duit syiling Galleon (mata wang emas dalam dunia Harry Potter). Bezanya syiling palsu mereka dengan syiling sebenar ialah pada sisi syiling ini, akan mengandungi maklumat tarikh perjumpaan mereka. Nombor siri pembuatan syiling Galleon Setiap ahli akan merasa syiling mereka panas sekiranya ada maklumat baru yang sampai ke tangan mereka. Ia hanya memerlukan Harry Potter menukarkan maklumat pada syilingnya, maka syiling keseluruhan ahli akan mendapat maklumat itu.

Genius bukan cara komunikasi mereka dalam mengelakkan daripada ketahuan? Tiada siapa menyangka merenung duit syiling lama-lama sebagai tanda-tanda sebuah pemberontakan melainkan seseorang itu seorang miskin yang sangat menghargai wang ringgit atau si gila yang berilusi yang bukan-bukan!

Mungkin beginilah bentuk syiling Galleon yang menjadi alat komunikasi Harry Potter.

5.) Teguh Melawan Propaganda

Biasanya apabila melawan rejim kerajaan seperti yang digambarkan dalam filem Harry Potter, propaganda adalah perkara biasa. Sebab itu ilmu sangat penting kerana hanya dengan ilmu sahaja melawan propaganda. Biasanya propaganda boleh jadi sesuatu yang menakutkan ahli untuk meneruskan perjuangan, atau membuatkan mereka hilang percaya pada perjuangan mereka.

Dalam novel dan filem Harry Potter, kita dapat melihat bagaimana pelbagai akta dan undang-undang diimplementasikan untuk menundukkan gerakkan DA diketuai oleh Harry Potter.

Akta-akta yang membolehkan mereka dibuang sekolah ditambah dari sehari ke sehari untuk menimbulkan gerun kepada ahli DA untuk meninggalkan perjuangan mereka. Dalam masa yang sama, orang kuat dalam organisasi seperti Dumbledore dan Harry Potter terus dimainkan dengan pelbagai kisah yang entah benar atau tidak, persepsi, dan half-truth. Kata orang, untuk menundukkan seekor ular, maka cantaslah kepalanya. Untuk menundukkan sebuah organisasi, cantaslash ketuanya. Jadi, propaganda disasarkan kepada ketua-ketua untuk menjatuhkan kredibiliti dan karisma mereka.

Bentuk-bentuk propaganda.
Lagi propaganda yang digerakkan.
Dumbledore pun jadi mangsa.

6.) Prinsip

Selepas segala-galanya langkah berjaga-jaga diambil untuk mengerakkan sebuah penentangan, akhirnya tetap prinsip menjadi harga mati. Buatlah perancangan apa-apa pun, sematkanlah di dada apa jenis ilmu pun, akhirnya prinsip yang memainkan peranan. Untuk kekal menjadi hero dan wira, walau ditindas, diugut, dizalimi, prinsip juga memainkan peranan. Dalam masa yang sama, prinsip boleh tergadai kerana pelbagai perkara.

Dalam novel ini menjelaskan betapa walau selepas segala-galanya mereka menghadapi cubaan untuk menundukkan kumpulan mereka, namun hanya kerana seorang gadis bernama Marietta yang takutkan ibu dan ayahnya. Namun, prinsip kental ahli lain juga harus dijulang. Betapa Harry Potter tidak pernah sesekali tunduk pada setiap deraan emosi dan fizikal (seperti dipaksa menulis menggunakan pena yang dakwatnya adalah darah yang terukir pada tangan penulisnya) yang dilontarkan ke atas Umbridge ke atasnya.

Terkadang, perjuangan memerlukan kita menentang orang yang kita sendiri sayang seperti Cho Cang yang mengalami perbezaan pendapat dengan ibu dan ayahnya yang tidak bersetuju dengan Cho Cang yang menyertai gerakan penentangan yang dimulakan oleh Harry ini.

Kesimpulan 

Saya juga berpendapat bahawa sesungguhnya adalah satu idea yang bijak apabila episod pemberontakan para pelajar Hogwart menentang kementerian ini dimulakan pada usia 15 tahun watak utama ketika novel kelima ini memasuki pasaran. Lagipun tema ini adalah sangat sesuai dengan jiwa anak muda yang sememangnya memberontak.

Tetapi apa-apa pun, kita juga dapat belajar satu perkara dari soal ini. Karya-karya luar negara tidak pernah gagal membawa pespektif menarik berbanding negara kita. Bahkan tanpa kita sedar, mereka sedang mengajar atau membedah gerakan penentangan yang efisyen dan apa yang menghancurkannya dari dalam.

Apa-apa pun, tentu menggelegak jiwa pemberontakan anak muda dalam diri kita selepas membaca artikel ini kan? Nasihat saya kepada adik-adik yang masih bersekolah, janganlah pula artikel ini dijadikan bahan untuk kalian memberontak di sekolah melawan pihak berautoriti seperti pengawas dan guru pula nanti!

 

Previous articleTitanic Versi Nazi Jerman
Next articleKaum Khmer: Pembina Kuil-Kuil Hindu-Buddha di Asia Tenggara
Graduan Diploma dalam bidang Mass Com ini meminati bidang sejarah sejak bangku sekolah lagi. Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 12 buah buku (setakat April 2017). Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!
SHARE