Sungguh nenek moyang bangsa Melayu merupakan pelaut yang hebat, menjadi pelaut memerlukan ketahanan mental yang kuat. Di sini saya senaraikan beberapa perkara yang perlu diharungi oleh seseorang pelaut berdasarkan pengalaman saya yang sudah lama bermain ombak dan laut dan juga melalui pembacaan pengalaman orang lain dan buku-buku.

Menjadi pelaut tidaklah semudah menjadi seorang blogger ataupun keyboard warrior yang berada di dalam bilik yang berhawa dingin, tetapi seorang pelaut terpaksa berhadapan dengan pelbagai situasi dan cabaran yang dahsyat sepanjang pelayaran.

– Pelaut berlayar jauh, berbulan-bulan lamanya di laut lepas, jauh dari keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan masyarakatnya sendiri. Jauh, tersangat jauh sehinggakan ada satu ‘perasaan’ kesunyian.

Kesunyian ini jika tidak ditangani dengan baik pasti akan membawa kesan kepada mental dan boleh menyebabkan perasaan ‘homesick’. Lebih-lebih lagi mereka yang ada anak-anak kecil, isteri, kekasih, ibu bapa yang kurang sihat dan pelbagai lagi.

Biasanya, seorang pelaut yang kuat mentalnya akan melupakan semua itu dengan menumpukan kepada kerja-kerjanya di atas kapal seratus peratus, bergaul, bercampur dan berborak-borak dengan setiap anak-anak kapal bagaikan keluarga sendiri, sungguh, cara ini berjaya mengurangkan rasa stress dan produktiviti kerja meningkat.

Saya berpendapat, nenek moyang bangsa Melayu dahulukala berlayar jauh sudah pasti adalah terdiri daripada mereka yang tinggi ilmunya dan berani jiwanya. Dan, yang pasti keyboard warrior tidak mampu bertahan lebih dari 3 hari sebab tak dapat berjumpa dengan aweknya sendiri.

– Keadaan cuaca di laut yang tidak menentu lebih-lebih lagi kepada yang berlayar ‘foreign going’. Ada suatu kawasan cuacanya panas melampau, ada satu kawasan cuacanya sejuk melampau dan ada pula keadaan laut bergelora berhari-hari mengakibatkan anak-anak kapal yang kurang ketahanan akan mengalami mabuk laut. Mabuk laut merupakan sejenis penyakit dalam bahasa perubatannya ialah ‘motion sickness’ dan penawar untuk penyakit ini adalah MENTAL YANG KUAT.

Ya, itulah penawarnya, bukannya ubat-ubatan seperti pil kerana kesannya hanya jangka pendek sahaja. Rata-rata pelaut yang saya temui yang tidak mabuk laut adalah berjiwa kuat, mental kuat dan berbadan kuat. Saya juga mendapati bahawa penyakit akibat rasukan hantu juga konsepnya sama seperti mabuk laut dimana jiwa tauhid yang teguh sahaja adalah penawarnya.

– Cuaca sejuk, saya paling tak suka dengan cuaca sejuk kerana struktur tubuh Asia dan ‘setting’ cuaca tropika pada tubuh badan saya menyebabkan rasa tidak selesa dengan cuaca sejuk di luar negara. Bibir akan menjadi kering, pecah-pecah dan kurang selera makan. Sampai satu ketika, badan-badan akan rasa gatal-gatal disebabkan cuaca sejuk. Untuk menangani masalah ini, biasanya saya akan makan dengan banyak kerana cuaca sejuk boleh mengakibatkan rasa lapar.

– Ancaman penyakit berjangkit, saya masih ingat lagi pada suatu ketika dahulu, virus SARS menular dengan hebatnya di Asia. Kesannya, fuh, saya tak pernah lupa. Selepas keluar dari Hong Kong, Kapten mengarahkan agar dicuci satu persatu pemegang tangga, alleyway, lantai bridge dan apa jua yang disentuh oleh Pilot Hong Kong. Lap dengan antiseptik.

Betapa bimbangnya anak-anak kapal dengan penularan wabak SARS pada ketika itu sehinggakan kami sikit pun tak percaya kepada sesiapa yang datang ke kapal terutamanya dari Hong Kong, Taiwan, China dan Singapura. Ini pengalaman ‘real’ saya Ini baru satu contoh SARS. Belum lagi lain-lain contoh.

– Ancaman serangan lanun, pengganas, kumpulan nelayan dan tentera asing. Ya, sepanjang pengalaman saya, ancaman ini sebenarnya hanya ‘keras’ di beberapa tempat di dunia. Dan, saya boleh senaraikan nama-nama tempat tersebut.

a) Socotra Island, kawasan pantai dari Somalia, terus ke Laut Merah. Ini kawasan lanun paling merbahaya di dunia.

b) Kepulauan Anambas, Indonesia, saya kerap menerima mesej mengenai aktiviti perlanunan kawasan ini.

c) Mediterranean yang berhampiran dengan negara haram jadah Israel, senantiasa ada kumpulan Tentera Laut Israel dan negara-negara bersekutu mengawal laluan ini.

d) Laut China Timur dan Laut Kuning, bot-bot nelayan China, Taiwan dan Korea berlambak-lambak dan cara mereka ‘navigate’ kapal sangat-sangat merbahayakan lebih-lebih lagi jika penglihatan mencapai ‘zero visibility’. Satu situasi yang menakutkan bagi sesetengah pelaut. Sebab, ‘zero visibility’ adalah pemandangan KOSONG. Anda BUTA di tengah-tengah laut yang sarat dengan bot-bot nelayan China yang agresif. Ia biasa berlaku ketika musim sejuk dan suhu di laut jatuh.

– Kalau terjatuh dari kapal, mayat anda tidak akan ditemui. Jika lokasi anda jatuh di tengah-tengah lautan luas dan masa terjatuh pula pada waktu malam, tidak ada orang yang perasan. Maka, bersendirilah anda menghembuskan nafas terakhir di sana.

Saya kongsikan sedikit sebanyak pengalaman lalu untuk anda bahawa hidup sebagai pelaut sangat mencabar. Tidak kiralah dari cabang tentera laut, polis marin, kapal dagang, oil rig platform, coast guard dan nelayan. Pelaut adalah kerjaya yang menuntut KESABARAN yang tinggi. Hati yang cekal, mental yang kuat dan badan yang benar-benar sihat.

Cuba bayangkan pelaut-pelaut Melayu zaman dahulu kala berlayar mengelilingi dunia tanpa bantuan GPS, GLONASS, Radar, GMDSS, radio VHF, HF dan DSC. Dengan hanya kapal kayu yang dipasang layar ditolak angin, mereka mampu membelah lautan yang ganas timur dan barat. Sungguh, lautan adalah suatu tempat yang adakalanya tenang dan adakalanya ganas.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Leave A Reply