Moving Forward As One

Apa Yang Berlaku Di Tiananmen Square?

2,697

PayLater by Grab

5 Jun mungkin dianggap tarikh biasa bagi sesetengah orang. Tetapi bagi warga China, ia merupakan tarikh terjadinya Peristiwa Pembu.nu.han Beramai-Ramai Dataran Tiananmen pada tahun 1989. Dan sehingga hari ini, China masih enggan mengakui apa yang berlaku dan memohon maaf atas apa yang berlaku.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Protes peserta pro-demokrasi terutama pelajar ini bermula sebagai cara mengenang pemimpin Parti Ko.mu.nis China (CCP), Hu Yaobang yang meninggal dunia pada April 1989. Yaobang dikenali sebagai seorang pemimpin pro-reformasi dan berkongsi pandangan bersifat kontroversi yang membuatkan CCP cacing kepanasan. Akibatnya, parti memaksanya meletak jawatan dan ramai menganggap itu sebagai punca beliau dise.ra.ng sakit jantung sekaligus membawa kepada kema.ti.annya.

Pada awalnya, perkumpulan peserta di Dataran Tiananmen bertujuan untuk memberi penghormatan kepada anak kelahiran Beijing itu. Bagaimanapun, lama-kelamaan, ia menjadi cara melahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap CCP dalam banyak isu seperti kemiskinan, pengangguran, penguasaan CCP sebagai kerajaan satu parti dan masalah ekonomi. (Pan, 2008)

Bagi mereka, apa yang dilakukan CCP masih tidak mencukupi. Benar, CCP melaksanakan pelbagai reformasi pada tahun 80-an tetapi ia masih gagal membantu golongan kelas pekerja mengatasi cabaran kemiskinan dan pengangguran. Bagi para pelajar pula, mereka merasakan sistem pendidikan China ketika itu tidak menyiapkan mereka mendepani sistem ekonomi dengan elemen-elemen kapitalisme. (Dingxin, 2001)

Tetapi tidak ramai tahu, apabila diuji dengan krisis sebegini, CCP terbahagi kepada dua pihak. Bagi kelompok sederhana yang diketuai Zhao Ziyang, mereka mahukan perhimpunan ini diselesaikan secara aman dengan semua perkara dibangkitkan diubah melalui polisi kerajaan. Tetapi bagi Perdana Menteri Li Peng yang mengetuai kelompok berpendirian tegas, perhimpunan sebegini dianggap mencabar kedudukan CCP. Dan satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah melalui cara kekerasan. (Vogel, 2011)

Rajah 1: Protes Tiananmen mendedahkan perpecahan dalam CCP membabitkan kelompok sederhana dipimpin Ziyang (kiri) dan kelompok keras yang diketuai Li Peng.

Pendirian kelompok ini tidak dibantu dengan tindakan pelajar-pelajar yang mengadakan mogok lapar pada 13 Mei 1989. Mogok ini memberi inspirasi kepada warga China lain untuk bangkit berhimpun dan mengadakan protes di seluruh negara. Mereka tahu dengan mengadakan mogok sebegini, ia akan menarik perhatian dunia terutama sekutu China, Kesatuan Soviet dengan Mikhail Gorbachev dijangka mengadakan lawatan ke Beijing dua hari kemudian.

Rajah 2: Lawatan Mikhail Gorbachev ke China pada Mei 1989 digugat oleh protes Tiananmen yang berterusan. Sumber: AFP/Getty Images.

Dan seperti dijangka, walaupun lawatan Gorbachev berjalan lancar, ia masih dibayangi oleh protes rakyat di seluruh negara. Lawatan ini yang membuka jalan kepada Persidangan China-Soviet seharusnya diingati kerana membantu menormalisasikan hubungan luar kedua-dua negara dalam tempoh 30 tahun. Tetapi angkara protes terutama keengganan peserta untuk berkompromi memaksa kelompok sederhana memikirkan semula sokongan dan simpati terhadap mereka. (Dingxin, 2001)

Dan apa yang dibimbangi kelompok sederhana akhirnya berlaku pada 20 Mei. Selepas mendapat lampu hijau untuk mengembalikan ketenteraman di ibu kota China, undang-undang darurat dilaksanakan dengan 30 divisyen ten.te.ra berjumlah 250,000 orang digerakkan. Pada awalnya, pergerakan mereka cuba dihalang peserta protes dan orang ramai dengan harapan ia memberi tekanan kepada Beijing untuk tidak menggunakan taktik kekerasan terhadap mereka.

Hakikatnya, mereka tersilap sama sekali. Dengan imej protes tersebar ke seluruh dunia termasuk dunia Barat, kepimpinan CCP mahukan ia diakhiri dengan segera. Sekiranya ia terus berlarutan, ia boleh menjadi pencetus kepada pemberontakan sekaligus mengakhiri kedudukan mereka sebagai pemerintah China.

Kebimbangan CCP ada asasnya. Ini kerana Pintu Gerbang Tiananmen merupakan pintu masuk Kota Larangan iaitu kediaman rasmi para maharaja China sehingga awal abad ke-20. Dengan dinasti Qing disingkirkan menerusi Revolusi Xinhai 1911-1912, Republik China yang baru ditubuhkan tetapi berdepan pelbagai halangan termasuk kekacauan politik dan Pe.ra.ng China-Jepun.

Pe.ra.ng China-Jepun merupakan antara teater Pe.ra.ng Dunia Kedua (WWII) paling lama yang menyaksikan 20 juta warga China terbunuh. Selepas Jepun diusir dari China, negara itu menyaksikan pe.ra.ng saudara antara CCP dengan kelompok Kuomintang yang dipimpin Chiang Kai-shek sehingga 1949. Selepas Kuomintang berundur ke Taiwan, CCP yang dipimpin Mao Zedong membentuk Republik Rakyat China yang kita ketahui hari ini.

Semua bentuk sambutan pengisytiharan pada 1 Oktober 1949 itu dibuat di Dataran Tiananmen. Sebelum era pandemik Covid-19, jutaan orang membanjiri dataran ii setiap tahun untuk meraikan tarikh tersebut. Dan ia turut menjadi lokasi makam Zedong yang meninggal dunia pada 1976.

Bagi CCP, dengan menjadikan Tiananmen sebagai lokasi protes, ia seolah-olah menunjukkan peserta protes bersedia menggerakkan revolusi ke seluruh negara berlatarbelakangkan makam Zedong. Justeru, dengan merampas semula dataran berkenaan, ia diharap dapat mengembalikan semula kemuliaan dataran berkenaan.

Pada 3, 4 dan 5 Jun, polis dan ten.te.ra memasuki Dataran Tiananmen dengan melepaskan tem.ba.kan pe.lu.ru hidup terhadap peserta protes. Di sebalik cubaan untuk meleraikan perhimpunan secara aman membabitkan pemimpin protes dan komisar-komisar rejimen, masih ramai yang enggan tunduk kepada usaha berkenaan. Sebaliknya, ramai yang cuba bertahan dengan harapan ia akan mengubah situasi mereka.

Jika anda mencari Tiananmen dalam enjin carian internet, anda akan melihat perkataan ‘Tank Man’. Ini merujuk kepada tindakan seorang individu menghalang pergerakan beberapa buah kereta kebal semasa hendak meninggalkan Dataran Tiananmen. Lelaki itu berbual dengan seorang komander unit berkenaan berkemungkinan menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku.

Rajah 3: Tank Man menghalang kereta-kereta kebal dari meninggalkan Dataran Tiananmen.

Apabila kereta-kereta kebal ini cuba bergerak buat kali kedua, lelaki itu sekali lagi cuba menghalang mereka. Melihat unit-unit ini bersedia melanggar lelaki berkenaan, beberapa orang awam menariknya dari laluan mereka dan membawanya ke tepi. (Makinen, 2014) Gambar ini dianggap gambar ikonik untuk insiden Tiananmen 1989 dan dipilih sebagai sebahagian daripada 100 Imej Paling Berpengaruh Sepanjang Zaman oleh majalah Time pada 2016.

Begitupun, itu tidak berlaku dan akibat sikap keras kepala sesetengah daripada mereka baik dari kepimpinan CCP mahupun pemimpin protes, ribuan nyawa melayang pada dua hari berkenaan. Angka rasmi menyatakan 300 orang awam dan ten.te.ra terbu.n.uh dengan 7,000 lagi termasuk polis dan ten.te.ra cedera. Bagaimanapun, ramai percaya angka sebenar ko.rb.an pada dua hari itu sebenarnya jauh lebih tinggi antara 2,000 hingga 3,000 orang.

Operasi ‘membersihkan’ Dataran Tiananmen tidak sekadar tertumpu kepada peserta-peserta protes sahaja. Mana-mana individu yang terlibat, menyokong atau bersimpati dengan protes mereka akan disiasat dan ditahan di seluruh negara. Hatta sesetengah pemimpin CCP yang enggan menyokong pendekatan keras pada 3, 4 dan 5 Jun juga dianggap bersubahat dan berdepan prospek menakutkan daripada parti mereka sendiri.

Bagi Ziyang, harga kerana menunjukkan keinginan berkompromi ialah disingkirkan daripada jawatankuasa kepimpinan tinggi parti dan tahanan rumah sehingga beliau kembali ke negeri cacing pada Januari 2004. Bagi pemimpin-pemimpin lain seperti Hu Qili dan Wan Li, mereka dikenakan tahanan rumah untuk satu tempoh tertentu untuk memaksa mereka mengubah pandangan tentang apa yang berlaku di Tiananmen. Sekiranya mereka mengubah fikiran, keahlian parti mereka dikekalkan dan diberi jawatan tidak penting dalam kerajaan. (Bernstein, 1989)

Rajah 4: Wan Li merupakan antara pemimpin CCP yang dikenakan tahanan rumah bagi memaksa mereka menyokong pendekatan keras terhadap peserta protes Tiananmen.

Bagi sejuta pegawai kerajaan di peringkat wilayah, mereka akan dinilai oleh 30,000 orang pegawai parti yang dihantar dari Beijing bagi menilai sama ada mereka boleh diharap atau tidak. Mereka merupakan sebahagian daripada empat juta individu yang disiasat pihak berkuasa kerana disyaki ada kaitan dengan protes Tiananmen atau protes di seluruh negara. (Miles, 1997)

Kebiasaannya, mereka ditahan secara terang-terangan di siang hari atau malam sebelum dibawa ke kem-kem buruh di seluruh negara. Mereka dinafikan hak bertemu dengan ahli-ahli keluarga mereka dan dipaksa bersesak-sesak dalam satu sel. Memandangkan mereka berkongsi dengan kelompok penje.na.yah seperti pembu.n.uh atau pero.g.ol, bukan satu rahsia sesetengah daripada mereka dise.k.sa semasa dalam tahanan. (Miles, 1997)

Reformasi yang dilancarkan pada tahun 80-an terhenti seketika akibat insiden di Tiananmen. Ia hanya bersambung semula pada tahun 1992 hasil campur tangan Deng Xiaoping selepas mengadakan jelajah ke kota-kota utama di selatan China seperti Shenzhen dan Shanghai. Semasa jelajah tersebut, beliau menegaskan reformasi yang terhenti sebelum ini perlu diteruskan bagi memastikan ekonomi China kekal berada di landasan tepat. (Chen, 2014)

Rajah 5: Jelajah Deng Xiaoping ke bandar-bandar selatan China pada 1992 berjaya mengembalikan semula reformasi ekonomi China yang tergendala akibat peristiwa Tiananmen 1989.Sumber: Foreign Language Press

Jelajah yang dibuat beliau bukan saja menyelamatkan kestabilan China, malah ia memastikan reformasi ekonomi yang dijalankan sebelum ini diperkukuhkan. Bagaimanapun, ia masih gagal menangani isu ketidakseimbangan ekonomi, rasuah dan reformasi politik yang terhenti selepas Tiananmen pada 1989.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Sejak peristiwa itu, acara peringatan peristiwa berda.r.ah di Tiananmen merupakan acara tahunan bagi penduduk Hong Kong. Bagaimanapun, untuk tahun 2020 dan 2021, ia dibatalkan atas alasan mencegah penularan Covid-19. Bagaimanapun, ramai percaya sebab sebenar pembatalan ialah mencegah lebih banyak demonstrasi pro-demokrasi dilakukan di Hong Kong. Bagi mana-mana individu yang menghadiri acara sedemikian, ia dianggap satu protes senyap kepada Beijing.

Jika anda cuba mencari sebarang artikel tentang peristiwa Tiananmen di China, lupakanlah. Ia masih dianggap satu isu sensitif dan tabu terutama dalam dunia internet China. Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan pada 2019 oleh Universiti Toronto dan Universiti Hong Kong, lebih 3,000 perkataan yang merujuk kepada peristiwa berkenaan telah diharamkan.

Nota kaki

  1. Hu Yaobang – pegawai tinggi parti dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung CCP dari 1982 hingga 1987. Bertanggungjawab memperkenalkan reformasi politik, ekonomi dan sosial di bawah bimbingan Deng Xiaoping pada tahun 80-an tetapi dilabel musuh oleh kelompok berkepentingan. Disingkirkan daripada CCP selepas dipersalahkan akibat insiden protes pelajar pada 1987.
  2. Deng Xiaoping – negarawan yang dilabel sebagai arkitek China moden hari ini. Walaupun dianggap pro-reformasi, pendirian tersebut kurang disukai Mao Zedong sehingga dua kali diketepikan oleh CCP semasa era pemerintahan beliau. Merupakan pemimpin tertinggi pertama China yang melawat Amerika Syarikat pada 1980. Bertanggungjawab memperkenalkan pelbagai polisi seperti Satu Negara, Dua Sistem, Program 863 dan polisi satu keluarga satu anak.
  3. Zhao Ziyang – pemimpin pro-reformasi China. Bertanggungjawab memperkenalkan polisi pro-pasaran bebas di Sichuan sebelum dibawa ke seluruh negara selepas dilantik ke jawatan tertinggi kerajaan. Dimusuhi oleh ramai pemimpin konservatif CCP termasuk Li Peng kerana mengancam kepentingan mereka.
  4. Li Peng – Perdana Menteri keempat China dari 1988 hingga 1998. Bertanggungjawab melaksanakan projek kontroversi Empangan Three Gorges dengan keluarganya merupakan pemilik monopoli syarikat tenaga China. Selepas berundur pada 1998, Beijing memecahkan monopoli syarikat tersebut. Meninggal dunia pada Julai 2019 semasa berusia 90 tahun.
  5. Revolusi Xinhai – nama lain untuk Revolusi 1911. Revolusi yang bertanggungjawab menamatkan pemerintahan monarki China selama 2,000 tahun dan diganti oleh Republik China. Dr Sun Yat-sen dipilih sebagai presiden pertama republik sebelum menyerahkan jawatan itu kepada Yuan Shikai sebagai cara menyatukan pihak utara dan selatan China.

RUJUKAN:

Chen, A. (2014). ‘How my father’s speeches saved Chinese economic reform’: Deng Xiaoping’s daughter pays tribute. South China Morning Post.

Vogel, E. F. (2011). Deng Xiaoping and the Transformation of China. Belknap Press, University of Harvard Press. Halaman 608.

History. (2021). Tiananmen Square Protests.

Miles, J. A. R. (1997). The Legacy of Tiananmen: China in Disarray. University of Michigan Press. Halaman 28.

Makinen, J. (2014). Tiananmen Square mystery: Who was ‘Tank Man’?. Los Angeles Times.

Pan, P. (2008). Out of Mao’s Shadow: The Struggle for the Soul of a New China. Simon & Schuster. Halaman 274.

Bernstein, R. (1989). Beijing Orders Its Ambassadors Home for a Meeting. The New York Times.

Dingxin, Z. (2001). The Power of Tiananmen: State-Society Relations and the 1989 Beijing Student Movement. University of Chicago Press. Halaman 84, 165-167.

Ruangan komen telah ditutup.