Apa Yang Aku Belajar Daripada Raden Wijaya, Genghis Khan Dan Napoleon?

0
854
views

Pemimpin-pemimpin agung dalam sejarah dunia tidak menjadi hebat secara tidak sengaja atau ‘by default’. Mereka mempunyai satu sisi yang sama tidak kiralah sama ada mereka itu bangsa Mongol, Melayu, Jawa atau Eropah.

Jika kalian benar-benar meneliti kisah sejarah dan penaklukan Napoleon Bonaparte, sudah pasti kalian pernah terbaca tentang Marèchal d’Empire atau Marshals of the Empire. Nama-nama seperti Eugène de Beaurharnais, Jean-Baptiste Bernadotte, Louis Alexander Berthier, Jean Lannes, Louis-Nicolas Davout and Louis-Gabriel Suchet serta ramai lagi merupakan panglima perang Napoleon yang berkebolehan.

Antara jeneral perang terhebat Napoleon yang penuh warna warni ialah Joachim Murat yang mengetuai pelbagai ketumbukan tentera Napoleon. Beliau juga turut terlibat dalam beberapa siri peperangan bersama Napoleon di Austria, Mesir dan Russia. Joachin Murat juga pernah menjadi King of Naples pada tahun 1808. Itu baru seorang, ada lagi yang hebat-hebat.

Genghis Khan mungkin dilabel sebagai seorang nomad yang gila darah walaupun aku tak berapa setuju sepenuhnya dengan pernyataan ini. Beliau adalah pemimpin bangsa Mongol yang amat berkebolehan, punya aura yang ditakuti oleh orang sekelilingnya dan yang paling penting, Genghis Khan mampu beradaptasi dengan teknologi peperangan yang diperkenalkan oleh bangsa Cina, Arab dan Eropah.

Genghis Khan tidaklah senomad mana. Lagi jauh ke barat penaklukannya, strategi dan taktik peperangannya juga berubah mengikut keperluan. Sebagai contoh, Genghis Khan banyak menggunakan taktik perang China dalam serangan terhadap kota berkubu; menggunakan meriam yang besar, bukan hanya kuda, panah dan pedang.

Lebih daripada itu, nama-nama panglima perang Genghis Khan yang dikenali sebagai Noyan seperti Subutai, Jebe, Sali, Chormakan, Karik, Ogedei dan lain-lain lagi merupakan tangan kanan Genghis Khan yang amat ampuh dalam misi ‘blitzkrieg’ berkuda pada zaman itu.

Lihat pula kisah Raden Wijaya dalam misi pembentukan kerajaan Majapahit. Tahukah kalian yang Raja Kertarajasa Jayawardhana ini hampir mati ketika diburu oleh tentera Jayakatwang ketika lari meninggalkan Tumapel dan menuju ke Madura. Daripada ribuan pengikutnya, hanya 12 yang bersama beliau ketika tiba di Madura menghadap Bupati Sumenep, Wiraraja untuk meminta belas ihsan.

Tetapi ‘core’ atau asas kekuatan Raden Wijaya tetap kekal bersama beliau. Nama-nama besar zaman itu seperi Kebo Anabrang, Ronggo Lawe, Lembu Sora, Nambi, Wiraraja, Lembu Peteng, Ikal Ikalan Bang dan ramai lagi memainkan peranan penting dalam menewaskan Jayakatwang dan tentera Mongol serta membuka tanah baru Wilwatikta (Majapahit) di daerah Tarik, Mojokerto.

Apakah persamaan pemimpin besar bertiga ini?

Mereka bukan sahaja berkebolehan, tetapi mereka juga dikelilingi oleh pembesar dan pahlawan yang hebat. Persoalannya, kenapakah pahlawan-pahlawan hebat ini mahu menurut perintah pemimpin besar bertiga itu?

Ambisi, kuasa dan rasa bangga kepada bangsa dan ‘negara’ menyebabkan orang-orang berkebolehan ini sanggup mati untuk raja-raja tadi. Kena pula raja-raja ini mahu mendengar kata nasihat mereka walaupun keputusan akhir dibuat oleh raja itu sendiri.

Bagaimana pula seseorang pemimpin itu mampu menarik pengikut yang hebat-hebat?

Sebelum raja-raja ini dapat mengenalpasti orang-orang kanannya yang berkebolehan, raja itu sendiri hendaklah menjadi seorang individu yang berkebolehan terlebih dahulu. Hanya dengan menjadi seorang pemimpin yang adil, berambisi, berani dan berpengetahuan barulah raja itu mendapat sokongan dan dokongan daripada mereka yang berprinsip dan berkemampuan sepertinya.

Bak kata pepatah Inggeris,

“Birds of same feather, flock together”, maksudnya;

Mereka yang punya kualiti yang sama akan bersekutu dalam suatu ambisi yang sama.

Aku ada mendengar rintihan teman yang selalu berkeluh kesah kerana tidak punya ‘orang’ yang boleh diharapkan, dan aku selalu mengingatkan mereka akan pepatah di atas.

Oleh itu, jika kalian kini dikelilingi oleh biri-biri, lihatlah pada diri kalian sendiri, renung tajam-tajam pada cermin di hadapan kalian dan tanyakan soalan ini;

“Adakah aku singa yang mengaum garang, atau aku hanya si kambing yang mengembek lesu?”

Jadilah singa yang gagah dan dengan izin Tuhan, tanpa susah yang terlalu payah, singa, beruang dan garuda bakal menuruti jejakmu.

*Gambar Ihsan Google

Previous articlePuisi: Bahasa Kita Sedang Membisu
Next articleBangkit Dan Tumbangnya Tamadun Rom
Seorang pengembara warisan yang fokus kepada tinggalan sejarah dan budaya setempat. Gemar membaca dan menulis itu cara beliau mengekspresi diri dan dunia marcapada
SHARE