Apa Yang Akan Berlaku Kalau Sebuah Negara Tak Memiliki Tentera?

1,750

Ada saja negara yang tidak melengkapkan prasarana ketenteraan demi keselamatan kedaulatan. Liechtenstein dan Vatican City merupakan antara negara yang boleh dibuat contoh. Namun kedua-dua negara ini (serta negara-negara lain) tetap menerima sumbangan atas ihsan negara lain.

Liechtenstein mendapat bantuan pertahanan daripada Austria dan Switzerland, berdasarkan sebuah perjanjian tiga-hala yang dibuat. Vatican City pula mempunyai kedudukan strategik dalam Itali, yang mana jika diserang sekalipun – seluruh dunia Eropah akan bangkit membantu kota suci agama Kristian.

Maka Malaysia yang bukan negara paling kaya di dunia mahupun mercu tanda Islam paling suci tidak boleh melakarkan contoh daripada dua negara tersebut. Malaysia tetap perlukan angkatan ketenteraan untuk memelihara kedaulatan daripada ancaman jiran. Walaupun pentadbiran Putrajaya mempunyai hubungan matang dan strategik bersama Indonesia, Singapura dan Thailand, kadangkala bukan kerajaan-kerajaan sekeliling itu yang perlu dirisaukan.

Secara semulajadi, Singapura pun boleh mengancam kedaulatan negara walaupun statusnya sebagai pulau. Timbal-balas daripada Malaysia pun boleh mencetuskan masalah kepada negara tersebut. Namun ancaman daripada Filipina suatu masa dahulu pernah memulakan detik-detik genting di Sabah. Bukan kerajaan Manila yang mendatangkan masalah – sebaliknya cabang Kesultanan Sulu dibawah Jamalul Kiram III pula yang tiba dengan serangan yang meragut 16 anak Malaysia.

Dan apa yang diperkatakan ketika itu?

“Agenda Barisan Nasional” merupakan antara tohmahan yang dibuat terhadap kerajaan ketika itu. Kebetulan pula serangan tersebut dibuat pada ambang Pilihanraya Umum Ke-13. Ada juga individu yang mengecam pihak polis kerana “tidak memakai baju Kevlar” dan kemudian mengharapkan simpati rakyat apabila terbunuh.

Maka apabila angkatan keselamatan diperlukan, mereka dihina. Tatkala negara aman dan tiada konflik, mereka dihina sebagai “makan tidur dan tidak pernah menembak”. Siap disarankan pula supaya bekerja dengan FELDA.

Konflik Rusia-Chechnya 1999

Pada hujung Ogos 1999, Kremlin meluluskan serangan udara besar-besaran di Chechnya. Keputusan ini dinokhtahkan apabila militan-militan Chechnya mencerobohi Dagestan, Rusia. Dalam masa setahun, konfl*k ini melahirkan kejayaan besar buat Kremlin. Chechnya kembali ke pangkuan Rusia tetapi setelah ranapnya negeri tersebut. Ibu kota Grozny sendiri dimusn*hkan. Ekonomi Chechnya yang sudahpun lingkup telah terburai.

Perkara ini berlaku apabila Chechnya yang sudahpun merdeka melalui Perjanjian Khasavyurt 1996 tidak mengambil peduli tentang keselamatan. Pampasan kewangan daripada Moscow pada asalnya telah disalurkan ke poket panglima-panglima tentera dalam suatu krisis korupsi besar-besaran melibatkan kerajaan tempatan. Kompleks kesihatan tidak dibaiki. Sekolah tidak dibina. Jalanraya pun dibiarkan rosak. Dan barisan ketenteraan langsung tidak dibentuk secara rasmi, kerana mereka mengharapkan sistem per*ng yang primitif iaitu berjeniskan suku.

Kerajaan tempatan pun dilihat tidak berupaya untuk mengawal kawasan-kawasan di luar Grozny. Kerajaan sendiri dipelopori nama-nama seperti Arbi Barayev dan Salman Raduyev, yang mempunyai rekod keganasan melampau. Maka kumpulan-kumpulan milit*n berkembang begitu pesat sampai undang-undang tidak langsung diamalkan. Peluang pekerjaan pun tidak boleh dicetuskan dan apa-apa pelaburan (jika ada) tidak mendapat keuntungan sepatutnya.

Kes-kes culik dan serbuan sudah menjadi perkara biasa. Malah kedua-dua jenayah inilah sumber pendapatan utama. 1,300 orang diculik antara 1996-1999, termasuk empat orang Barat yang dibunuh dengan kejam.

Dibawah Vladimir Putin, Rusia telah dibentukkan semula. Ketenteraan Rusia pun berkelengkapan walaupun baru beberapa tahun. Dan Rusia tidak beri muka langsung. Kerana musuh tetap musuh. Walaupun ada suara-suara sumbang yang mengecam tindakan Rusia, Putin terus mengasak bertubi-tubi.

Maka jelaslah disini – apabila tiada sistem ketenteraan yang ampuh, kedaulatan mudah saja dirobek. Kadangkala ketenteraan bukannya untuk memelihara kedaulatan daripada musuh luar. Sebaliknya musuh-musuh dalam negara pun boleh melingkupkan kestabilan yang penat diraih.

Untuk mengatakan angkatan ketenteraan “makan tidur dan tidak pernah menembak” ialah suatu kemunafikan yang besar. Kerana itu juga merupakan pujian bahawasanya dasar diplomasi negara tidak memerlukan korban yang besar.

Wajah-wajah yang sama juga akan menempelak para tentera sewaktu konflik. Bayangkan jika Malaysia menghantarkan barisan ketenteraan untuk menyertai misi War On Terror secara besar-besaran seperti UK dan USA. Bayangkan juga jika Malaysia membelanjakan dengan besar demi kestabilan di Syria atau Yaman – apa pula kata-kata sumbang mereka?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.