Apa Yang Akan Berlaku Kalau Manusia Pupus?

2,550
Pernah kita bayangkan bagaimana Bumi nanti kalau kita, spesis manusia diisytiharkan sebagai pupus?

Kita bukan bincang tentang Hari Pengakhiran atau Kiamat. Kalau kita berbincang hal ini bermaksud segala isi alam semesta akan masuk hayat akhir dan akhirnya lenyap mengikut takdir Tuhan.

Bayangkan jika Koronavirus ini tidak terkawal, kemudian melenyapkan seluruh umat manusia, sekaligus mengisytiharkan manusia sebagai spesis pupus (haraplah tak menjadi), apakah akan terjadi kepada Bumi?

Untuk artikel ini, kita membincangkan apakah spesis yang mendominasi dunia selepas ketiadaan manusia. Jangan salah faham. Saya tidak bermaksud untuk meramal masa depan. Saya hanya berkongsi kebarangkalian ini mengikut sudut sains alam yang telah saya pelajari.

Rata-rata kita mungkin menyatakan Bumi kembali hijau dengan meliar kembali tumbuh-tumbuhan dan haiwan tidak lagi mengalami kepupusan di tangan manusia. Ini andaian yang baik untuk memperlihatkan Bumi selepas ketiadaan manusia. Namun, para saintis masih tertanya-tanya, apakah yang menguasai dunia selepas manusia?

Manusia adalah satu-satunya spesis dalam dunia organisma yang tidak mengalami krisis ancaman, lebih-lebih lagi kepupusan kerana manusia-lah spesis yang paling maju beradaptasi di Bumi dengan pembinaan ketamadunan. Dalam sudut sains alam, manusia adalah spesis dominan dari seluruh flora dan fauna.

Apakah spesis dominan itu? Spesis dominan adalah gelaran kepada mana-mana spesis yang mendominasi ekologi dunia. Senang kata, spesis yang menguasai dunia.

Di awal pembentukan Bumi hingga sekarang, Bumi mempunyai fasa-fasa tertentu yang dibahagikan oleh para saintis untuk mengkaji lebih lanjut akan perubahan Bumi. Setiap fasa tersebut, ada satu atau dua spesis yang mendominasi dunia.

Contohnya, Era Cambria iaitu sekitar 541 juta tahun dulu, Bumi mengalami ‘letupan Cambria’ iaitu perkembangan pesat spesis invertebrata (haiwan tidak bertulang) sehingga serangga menjadi haiwan dominan ketika itu. Satu lagi contoh paling popular adalah Era Triassic (251 juta tahun dulu) dan Jurassic (201 juta tahun dulu). Tahu haiwan apa yang kuasai dunia? Ya, dinosaur adalah rajanya. Masuk era Cenozoic iaitu 66 juta tahun, haiwan mamalia menjadi raja dunia, kemudian manusia mengambil tempat sejak manusia pertama menjejaki Bumi.

Setiap spesis atau haiwan dominan mesti ada hayat akhirnya. Buat masa sekarang manusialah spesis dominan, tiada apa yang mampu mengganggu populasi manusia melainkan bencana alam. Telah banyak kali bencana alam mengancam populasi manusia, namun manusia tetap kekal teruskan hidup dari kesengsaraan itu. Walau bagaimanapun, penguasaan manusia tetap ada hayat akhirnya. Bencana alam apakah yang mampu melenyapkan populasi manusia? Biar masa tentukan.

Promosi Buku DTT

Sudah pasti, jika manusia telah tiada di saat Bumi masih berpusing mengelilingi matahari, apakah haiwan seterusnya memegang gelaran spesis dominan? Ramai para saintis berpandangan bahawa saudara biologi terdekat kita adalah calon sesuai untuk menjadi spesis dominan seterusnya. Siapakah dia? Sudah semestinya haiwan primat (monyet, beruk, dan gorilla)!

Secara biologi, primat mempunyai persamaan dengan manusia. Dalam banyak kajian terhadap haiwan ini, mereka mampu berfikir, melakukan kerja, dan menggunakan teknologi dengan mudah. Tapi untuk memahirkan primat ini menguasai apa yang manusia lakukan, ia perlukan masa dan ruang untuk menjayakan. Tengok saja wayang Planet of the Apes, begitulah bayangannya jika primat menguasai dunia menggantikan manusia.

Walau bagaimanapun, bagaimana jika primat bukanlah spesis dominan seterusnya yang kita harapkan? Bayangkan jika primat pupus lebih awal dari manusia, haiwan apakah lagi yang mampu menggantikan manusia? Di sini kita kena berfikir mendalam bahawa memanusiakan sesebuah spesis haiwan bukanlah caranya untuk menggantikan manusia.

Kepintaran untuk mengurus tamadun dan dunia ciptaan manusia cumalah ciri khas yang hanya terdapat dalam diri manusia untuk meneruskan hidup sebagai spesis dominan. Kita perlu kembali kepada teori evolusi. Evolusi terjadi apabila sesebuah spesis harus menempuh hidup di sesuatu persekitaran yang sukar untuk populasinya berkembang. Untuk manusia meneruskan hidup, evolusi pemikiran diperlukan untuk merubah gaya hidup nomad. Evolusi ini berlaku sehingga manusia mencapai tahap teratas, iaitu sebagai spesis yang paling gah beradaptasi.

Begitu juga dinosaur di zaman Jurassic. Untuk dinosaur teruskan hidup, ia perlu menjadi ganas bagi dinosaur karnivor dan menjadi lebih defensif bagi dinosaur herbivor. Kedua-dua tindakan ini melahirkan ciri khas kedua-dua jenis dinosaur. Begitu juga dengan haiwan invertebrata apabila berada di fasa agung mereka, ia mesti membiak secara merebak dan pantas untuk kelangsungan hidup mereka, sehingga kini serangga masih bertahan kerana ciri pembiakannya.

Maka, pemilihan spesis dominan bergantung kepada evolusi pada setiap haiwan. Jika evolusi sesetengah haiwan mampu beradaptasi di Bumi melebihi evolusi haiwan lain, ternyata haiwan itu terpilih sebagai spesis dominan.

Mungkin selepas manusia, semut-lah spesis dominan yang dinanti-nantikan? Ataupun harimau yang sekian lama bertahan populasi mereka, kan?

RUJUKAN:

Bussiere Luc (12 July 2019). If Humans Were Wiped Out, Which Species Would Dominate Our Planet? Science Alert. Retrieved from 30 January 2020. https://www.sciencealert.com/if-humans-were-wiped-out-which-species-would-become-most-dominant

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.