1. Rundingan Baling merupakan pertemuan empat mata pertama dan yang terakhir di antara Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Tanah Melayu selaku wakil kerajaan dengan Chin Peng, ketua dan wakil Parti Komunis Malaya (PKM).

2. Rundingan bertempat di Sekolah Inggeris Baling, kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tunku Putra di Baling. Ia turut mendapat jolokan ‘Panmunjom Kechil’ oleh media tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan tentang pertemuan bersejarah tersebut.

3. Sekalipun tempat rundingan adalah di Baling, Kedah, kumpulan Chin Peng dijemput dari hutan Kelian Intan, di mana jaraknya ke Baling, Kedah adalah kira-kira 30 minit.

4. British menghantar John Davis bertemu Chin Peng di dalam hutan ketika itu merupakan seorang rakan lama Chin Peng ketika mereka sama-sama berada di dalam pasukan gerila Force 136 melawan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Selepas perang tamat, mereka berpisah pada 1947.

5. Di dalam Rundingan Baling, kerajaan diketuai Ketua Menteri Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman, Ketua MCA Tun Tan Cheng Lock, Ketua Menteri Singapura En. David Marshall dan Timbalan Menteri Pelajaran En. Too Joon Hin, manakala wakil PKM pula diketuai oleh Chin Peng sendiri dan disertai oleh Rashid Mydin dan Ketua Propaganda PKM, Chen Tien bersama 30 orang komunis lain sebagai pengawal.

6. Tunku Abdul Rahman asalnya memang berharap agar Rundingan Baling berjaya, Chin Peng menyerah diri dan PKM dibubarkan menjelang kemerdekaan Tanah Melayu. Ringkasnya, beliau mengharapkan Chin Peng dan PKM untuk menyerah diri tanpa syarat.

7. Tunku juga sedar bahawa dengan kejayaan itu kelak, ia merupakan senjata paling ampuh untuk dibawa berjumpa dengan Lennox-Boyd, Setiausaha Kerajaan bagi Koloni British yang pernah secara terbuka merundingkan kebebasan British Malaya malah menjemput Tunku sendiri ke London untuk membincangkan tentang tarikh kemerdekaan Tanah Melayu pada 1 Januari 1956, hanya beberapa hari selepas Rundingan Baling tersebut.

8. Jadi sekalipun Tunku bersedia berjumpa Chin Peng, malah memberikan jaminan keselamatan kepada kumpulan komunis ketika itu untuk datang berunding dan pulang semula ke dalam hutan, Tunku tidak berhasrat mahu rundingan bersama PKM berlangsung lama dan mengheret banyak masa, kerana beliau perlu ke London, selain tidak mahu memberikan lebih ruang buat PKM untuk terus wujud di Tanah Melayu.

9. Di awal pertemuan lagi, Tunku telah memberi gambaran awal prinsip kerajaan iaitu dengan perubahan-perubahan politik yang berlaku di Tanah Melayu, kemenangan Parti Perikatan di dalam pilihanraya sebelum itu adalah disebabkan janji beliau bahawa “sebarang penjajahan asing akan dihapuskan dan Tanah Melayu mesti diberikan kemerdekaan”

10. Tunku juga memberitahu Chin Peng bahawa keadaan darurat yang berlaku di dalam negara ini tidak lagi akan dilihat sebagai halangan ke arah kemajuan politik, dan British akan menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan bagi membawa Tanah Melayu ke arah kemerdekaan.

11. Keadaannya ketika rundingan tersebut sudah jauh berbeza berbanding kenyataan Templer pada tahun 1952 bahawa baginda Queen tidak akan menyerahkan naungan mereka ke atas Tanah Melayu selagi baginda tidak berpuas hati bahawa keganasan komunis di Tanah Melayu dapat dihapuskan.

12. Tunku malah tanpa ragu-ragu menyatakan bahawa Tanah Melayu akan merdeka selewat-lewatnya 31 Ogos 1957, dan menyatakan bahawa janji membawa keamanan kepada Tanah Melayu merupakan cita-cita beliau sebelum Perikatan menguasai kerajaan.

13. Sebelum menyerahkan kepada Chin peng untuk memulakan bicara, Tunku dengan tegas menyatakan bahawa beliau dan kumpulan kerajaannya bukan hadir sebagai patung atau alat penjajahan, sebaliknya merupakan hamba rakyat dan wakil kepada rakyat yang telah melantik beliau sebagai pemegang tanggungjawab tampuk pemerintahan Tanah Melayu.

14. Chin Peng bersetuju kemudiannya bahawa dia dan PKM sedar bahawa Tunku Abdul Rahman memang bukan alat, perkakas atau patung British, maka kerana itulah mereka tidak risau akan keselamatan, bersedia dan terbuka untuk memulakan rundingan dengan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman.

15. Bagaimanapun, di peringkat awal lagi, Chin Peng menyatakan keberatannya untuk bersetuju dengan syarat damai kerajaan kerana ia hanya akan menghalang orang komunis untuk berdiri sama tinggi dengan rakyat Tanah Melayu yang lain untuk mengecapi jalan kemerdekaan secara aman.

16. Tunku kemudian membidas bahawa ahli komunis yang menyerah kelak mulanya akan diberikan pemantauan dan hanya apabila kerajaan berpuas hati bahawa mereka telah menumpahkan taat setia kepada kerajaan persekutuan Tanah Melayu, maka mereka akan diberikan peluang dan dibantu untuk menyesuaikan diri dengan rakyat biasa yang lain.

17. Tunku begitu tegas menyatakan bahawa penentangan terhadap British semata-mata bukan bermaksud komunis telah atau akan taat kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu kelak.

18. Tuntutan Chin Peng supaya PKM dibenarkan meneruskan aktiviti mereka sebagai parti politik turut ditentang Tunku Abdul Rahman yang menyatakan bahawa “Meninggalkan PKM bererti pembubaran PKM;”

19. Chin Peng bagaimanapun tetap berkeras untuk tidak bersetuju dengan syarat pembubaran PKM kerana pegangan mereka tetap kepada ideologi tersebut. Dia menggambarkan kekesalannya kerana kerajaan mahu ahli PKM meninggalkan ideologi yang telah mereka anuti sejak sekian lama, bahkan turut menambah bahawa kerajaan tidak memberi rakyat kebebasan berfikir dan memilih kecenderungan politik, namun Tunku tetap menolak bahawa kewujudan PKM bukan lagi satu pilihan di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka kelak.

20. Tunku menyatakan pilihan kerajaan itu adalah muktamad kerana gerakan PKM selama ini adalah bersandarkan pembunuhan, kezaliman dan melakukan pelbagai cara kekerasan, demi menakutkan dan memaksa rakyat menerima ideologi mereka.

21. Jadi memberi perakuan keatas kewujudan PKM secara sah di dalam Persekutuan Tanah Melayu hanyalah merupakan satu perakuan bahawa kerajaan hari ini mengiktiraf perlakuan PKM sepanjang darurat yang mengancam keselamatan tanahair dan rakyat jelata sebelumnya.

22. Apabila ditanya oleh David Marshall Ketua Menteri Singapura tentang apakah yang diperjuangkan sebenarnya oleh PKM, Chin Peng menjawab bahawa mereka berjuang demi maruah manusia. Marshall kemudian terus mempersoalkan semula jawapan Chin Peng dengan menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh PKM ke atas Persekutuan Tanah Melayu selama ini tidaklah sama sekali boleh dianggap menjaga maruah manusia.

23. Maka apabila perbincangan buntu sehingga itu, Chin Peng sendiri menyatakan bahawa mereka dan kerajaan mempunyai pandangan dan pendapat yang sangat berbeza.

24. Pertemuan hari pertama tamat apabila ia hanya berkisar tentang pengiktirafan kerajaan terhadap PKM, layanan terhadap ahli PKM yang menyerah diri dan sekatan kebebasan kepada ahli mereka yang setuju untuk keluar dari hutan.

25. Rundingan hari pertama seakan menemui jalan buntu, bahkan Tunku telah sedar bahawa rundingan ini bakal gagal, namun beliau tetap enggan bersikap defensif dan kasar terhadap Chin Peng, memandangkan dia sendiri bersetuju untuk keluar mengadakan pertemuan tersebut. Tunku bersetuju untuk terus berunding keesokan harinya. Ia juga memberi gambaran kesediaan Tunku menerima pendapat, sesuai dengan pegangan demokrasi yang dibawa kerajaan pimpinannya ke atas Tanah Melayu.

26. Chin Peng kemudian mengejutkan pengikutnya yang hadir di dalam rundingan hari kedua apabila bersetuju menamatkan konflik bersenjata sekiranya Tunku memberi jaminan bahawa urusan menjaga keselamatan dan pertahanan negara diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

27. Namun Chin Peng menambah bahawa meletakkan senjata bukan bermakna mereka akan menyerahkan senjata kepada kerajaan selagi PKM tidak diiktiraf dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.

28. Tunku kemudiannya menegaskan bahawa syarat meletakkan senjata adalah sememangnya dengan menyerahkan senjata kepada kerajaan kerana jika tidak, senjata yang mereka miliki masih lagi boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.

29. Marshall yang sekali lagi selepas mencatat butiran rundingan ini mahukan kepastian tentang syarat Chin Peng meletak senjata tersebut telah mengulangi apa yang diperkatakan oleh Chin Peng, namun Chin Peng terus membalas bahawa apa yang bakal dipersetujuinya itu bukan bermakna dia bersetuju dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan.

30. Chin Peng terus berdegil untuk tidak akan menyerah diri, membubarkan PKM atau meletakkan senjata. Tunku yang sedar bahawa rundingan ini tidak akan menemui kemajuan lagi seterusnya menyatakan bahawa kerajaan juga tidak mahu menerima Chin Peng dan ahli PKM sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu.

31. Begitulah berakhirnya Rundingan Baling atau nama kodnya “Operation Pink Gin” yang telah berlangsung pada 28 dan 29 Disember 1955 di Baling, Kedah.

32. Namun kegagalan rundingan tersebut tidaklah pula menghalang Tunku meneruskan usahanya untuk merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Ia bahkan terus mendorong Tunku untuk memperhebatkan gerakan kerajaan memusnahkan kegiatan komunis dan PKM dari terus bergiat dan wujud di Tanah Melayu dengan mempertingkatkan operasi oleh anggota keselamatan dan pasukan tentera.

33. Tunku yang selepas itu ditanya pendapatnya tentang Chin Peng menyatakan bahawa pertemuan beliau dengan Chin Peng membuka matanya sendiri tentang apa yang beliau sangka cerita-cerita tentang komunis hanyalah momokan British semata-mata. Ia memberikan beliau satu pemahaman baharu tentang apa itu komunis.

34. Tegarnya Chin Peng yang enggan menukar warnanya memberi perspektif segar kepada Tunku malah Rundingan Baling telah mengesahkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu dan komunis seperti beliau sendiri katakan; “Tidak mungkin hidup berdua dan mati bersama” sampai bila-bila.

RUJUKAN:
1. “Prince and Premier; A biography of Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, first Prime Minister of the Federation of Malaya” oleh Harry Miller (1959)
2. Breakdown Is Likely Result; m/s 2, The Straits Times, 29 Disember 1955
3. Reds Given Noon Deadline For Talks; m/s 2, The Straits Times, 29 Disember 1955
4. Pink Gin – And It’s Very Hospitable Too; m/s 7, The Straits Times, 29 Disember 1955
5. Chin Peng On The Spot Story Of How He Came Out; m/s 7, The Straits Times, 29 Disember 1955
6. The Reds Will Not Give Up Arms; m/s 1, The Straits Times, 12 Februari 1956

*Gambar adalah Rashid Mydin seorang pimpinan kanan PKM dan anggota komunis Melayu, diberitakan bertembung dan bertemu dengan adik kandungnya semasa rundingan bersejarah tersebut berlangsung. Adik Rashid Mydin ialah Shahrudin Mydin, seorang Inspektor Home Guard ketika itu. Begitulah bagaimana ideologi dan politik memisahkan hubungan darah dan persaudaraan, sama seperti apa yang berlaku antara Korea Selatan dan Korea Utara hari ini. (Keratan dari The Straits Times, 29 Disember 1955)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.