Bila kita fikirkan tentang internet, kita membayangkan
aktiviti harian seperti menonton video, membaca berita dan melayari laman media
sosial. Tetapi di sebalik semua itu, tersembunyi satu sudut di mana pemberi
maklumat, penjenayah dan pengganas bersembunyi dan menawarkan khidmat mereka.
Sudut inilah yang dipanggil Dark Web yang turut menyimpan maklumat-maklumat
bersifat ngeri dan lucah serta tempat bagi mereka yang mahu melindungi privasi
mereka. Tetapi masih ada menyangka Deep Web dan Dark Web merupakan rangkaian
laman sesawang yang sama padahal kedua-duanya amat berbeza.
Deep Web
Deep Web merujuk kepada mana-mana laman sesawang yang
tidak boleh diakses melalui enjin carian konvensional seperti Google, Yahoo dan
Bing. Sebab perkara ini berlaku kerana kandungan laman tersebut tidak termasuk
dalam indeks enjin carian yang dimaksudkan. Bahasa mudahnya, Deep Web merupakan
satu lagi lapisan internet dan merupakan peringkat paling dalam bagi internet.
Bagi sesebuah maklumat dimasukkan dalam senarai indeks,
enjin carian bergantung kepada satu proses bernama ‘crawling’ di mana ia
menyemak ratusan atau ribuan laman sesawang agar ia dapat diakses menerusi
pautan yang boleh diklik. Dari situ, ia akan meletakkan pengimbas sepintas lalu
sekaligus menterjemah kandungannya dalam satu format yang akan dihantar ke
server-server enjin carian. Di situ, ia akan disusun mengikut konteks kandungan
dan dimasukkan dalam satu siri algorithm yang membentuk enjin carian. Sekiranya
sesebuah laman sesawang tidak dalam senarai indeks enjin carian, ia hanya boleh
diakses dengan menaip alamat laman sesawang benar pada pelayar web atau pergi
terus ke URL melalui pautan.
Terdapat beberapa kelompok yang mendapat faedah daripada
keupayaan Deep Web yang membenarkan komunikasi secara rahsia dan tanpa
nama/identiti. Berikut kelompok yang beruntung dengan Deep Web:
1. Wartawan dan pemberi maklumat. Bukanlah sesuatu yang
asing bagi bekas pegawai kerajaan, tentera atau syarikat korporat mendedahkan
salah laku atau rasuah yang berlaku dalam bidang mereka. Mereka bekerjasama
dengan wartawan-wartawan penyiasatan untuk menyiarkan perkara sedemikian kepada
orang ramai. Mereka tidak perlu bimbang bila melakukannya kerana apa saja bentuk
komunikasi terutama membabitkan perkara sulit dan rahsia dilindungi lebih-lebih
lagi jika menggunakan Deep Web.
2. Aktivis politik dan kumpulan penyokong anti-penapisan.
Mereka menggunakan Deep Web untuk berkomunikasi secara rahsia dan selamat
kerana identiti tanpa nama ini amat penting bagi mereka terutama yang
menggunakan Dark Web.
3. Golongan tertindas akibat tekanan rejim. Deep Web
memberi peluang kepada rakyat sesebuah negara yang tertindas mendapatkan
maklumat sebenar yang bersifat benar, kritikal dan penting demi kemaslahatan
komuniti mereka. Deep Web menawarkan cara selamat untuk mereka mengumpul
maklumat untuk keperluan mereka dan mendedahkan perkara tersebut di luar
negara.
Maklumat yang terkandung dalam Deep Web:
- laman dalaman syarikat-syarikat,
persatuan-persatuan dan pertubuhan perdagangan.
- sistem intranet sekolah-sekolah, kolej-kolej
dan universiti-universiti. - akses kepada pangkalan data dalam talian.
- laman sesawang yang dilindungi oleh kata
laluan dan hanya boleh diakses ahli. - laman-laman yang dilindungi oleh langganan
berbayar. - laman di mana akses masanya terhad seperti
laman kaji selidik. - memintas akses langganan berbayar bagi
mendapatkan kandungan digital terhad. - akaun peribadi individu untuk laman media
sosial, e-mel, perbankan dalam talian dan seumpamanya.
Jadi mengapa sesetengah pihak memilih Deep Web? Bagi
pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat atau pertubuhan, sebarang maklumat
yang disimpan bukan untuk tatapan orang awam. Ini menyebabkan pihak-pihak ini
berusaha untuk memastikan kandungan sebegitu tidak keluar pada mana-mana carian
enjin carian. Perlu diingat, tak semua aktiviti dalam Deep Web yang menyalahi
undang-undang kerana banyak aktiviti yang dianggap sah di sisi undang-undang.
Antara aktiviti yang sah dalam Deep Web:
- media sosial, blog, perbualan secara teks dan
suara. - permainan mengikut kejohanan antarabangsa
seperti catur. - kelab peminat hobi atau selebriti.
- pertandingan menyanyi dan karaoke.
- kumpulan teori konspirasi.
- kursus dan kelas kemahiran teknologi dan
komputer.
Dark Web
Ia dikenali dengan pelbagai nama seperti Dark Net atau
Dark Intranet tetapi dalam jurang internet, inilah tempat yang paling dalam dan
tidak sepatutnya dimasuki oleh sesiapa. Ini kerana untuk mengakses laman
sebegini memerlukan kepakaran internet yang hebat. Ini bagi memastikan privasi
sang pengguna tidak terdedah tatkala memasuki laman yang penuh dengan misteri
dan keanehan. Itu sebab bagi mengekalkan privasi, pengunjung Dark World memilih
perisian tanpa nama istimewa dikenali sebagai Tor untuk melindungi identiti
mereka. Ini kerana dengan Tor, ia dapat menjadikan sesebuah komputer tidak
dikenali sementara melindungi identiti pengguna, lokasi, alamat IP dan
sebagainya.
Pengguna Dark Web boleh dianggap minoriti dan berdasarkan
peratusan dari bilangan pengguna internet yang mencecah jutaan orang, ia hanya
mencecah 3%. Walaupun penggunaan laman sebegini kecil saja, rangkaian individu,
syarikat dan pertubuhan lain yang menggunakannya menarik minat lebih ramai
pengguna yang terdesak mendapatkan akses Dark Web dan menjadi sebahagian
daripada pangkalan pengguna yang tidak dikenali.
Apa yang boleh diambil dari Dark Web:
- Nombor kad kredit boleh didapati dalam satu
pukal, boleh dibeli dengan harga murah dan sedia digunakan bagi tujuan-tujuan
haram. Dan ia merupakan antara bisnes yang aktif dalam Dark Web. - Laman sesawang Fake Documents mempunyai
kepakaran menghasilkan dan menjual replika pasport dari mana-mana negara dunia.
Satu pasport Amerika Syarikat boleh dibeli dengan harga $1,000. - Ganja boleh didapati dari laman Dark Web dan
boleh didapati dalam pelbagai jenis dan kemujarabannya. Dan jika dibandingkan
harga yang dijual di luar, ia jauh lebih berpatutan di Dark Web. - Akaun yang digodam atau dicuri mudah didapati di Dark Web. Ia membabitkan banyak laman sesawang seperti Paypal, Netflix, Spotify dan Uber. Dan ia boleh dibeli dengan harga serendah satu dolar.
- Kupon palsu boleh diambil dari Dark Web dan
boleh digunakan untuk membeli barang di kedai-kedai dengan diskaun tidak masuk
akal. Peruncit-peruncit mengalami kerugian bukan sedikit akibat aktiviti
pemalsuan ini dengan satu dalang aktiviti ini ditahan dan didakwa di mahkamah
atas tuduhan mencuri lebih sejuta dolar melalui kupon palsu. - Sijil ijazah atau diploma sentiasa mencetuskan
kekecohan lebih-lebih lagi bila ia digunakan oleh tokoh-tokoh terkenal. Ia
boleh diperoleh dalam Dark Web dengan harga murah. - Racun seperti ricin boleh didapati dengan
mudah sepanjang Dark Web dan boleh dibeli dengan kuantiti besar. - Perkhidmatan percetakan tiga dimensi (3D)
terutama membabitkan mencetak wang palsu, alat pengimbas kad dan senjata api
yang dibuat dari lukisan 3D. - Tidak diketahui sama ada ini mitos, gurauan
atau sememangnya wujud tetapi khidmat pembunuh upahan memang wujud dalam Dark
Web. Namun, ada menganggap ia satu mitos kerana ia berkemungkinan perangkap
bagi menahan individu atas kesalahan konspirasi membunuh. - Penjana denyut elektromagnet (EMP) bersaiz
poket boleh digunakan untuk menjejaskan peralatan elektronik. Di China,
sesetengah pelakunya menggunakan ia untuk menipu semasa berjudi terutama bila
menggunakan mesin slot. - Bahan letupan plastik seperti C4.
- Nombor sekuriti sosial yang boleh didapati
dengan harga murah dan tiada caj dikenakan bagi penghantaran. - Aktiviti pengedaran dadah di mana ia meliputi semua jenis dadah termasuk ganja, kokain dan ekstasi. Ubat-ubatan farmasi turut dijual dengan menukar ubat-ubat tersebut dalam bentuk wang tunai.
- Satu laman sesawang Dark Web bernama The
Armory bersedia menyediakan pengguna pelbagai jenis senjata api seperti replika
AK-47, pelancar roket grenad (RPG) dan peluru berpandu IED. Walaupun menjual
produk-produk yang dianggap menakutkan, mereka bertegas tidak menjual senjata
mereka kepada kumpulan pengganas. Selain senjata api, Armory turut menjual set
pelindung badan termasuk pelindung badan pasukan SWAT. - Uranium yang boleh dijadikan sebagai bahan
utama bagi pembuatan senjata nuklear. - Satu lagi bisnes besar dalam Dark Web ialah
menjual data-data syarikat atau kerajaan yang digodam dan sensitif. - Penjualan barang berjenama palsu dan replika merupakan satu lagi bisnes besar laman itu dan boleh didapati dengan harga murah.
Masa depan
Walaupun mendakwa ia sudah melakukan kemajuan dari segi
perkembangan dan pertumbuhan, sesetengah mendakwa Dark Web sebenarnya dipenuhi
dengan sampah dan bakal menemui kepupusan. Dakwaan ini berdasarkan satu
pencarian menyeluruh yang dibuat oleh Onionscan untuk melihat pangkalan data
membabitkan lebih 30,000 laman sesawang Tor. Berdasarkan carian, mereka
mendapati hanya 15% laman sesawang saja yang masih beroperasi dan aktif dalam
talian. Menurut Brian Menegus, penulis artikel ‘The Dark Web Is Disappearing’,
ini berlaku disebabkan ramai pengguna memilih meninggalkan Tor berikutan banyak
masalah yang dihadapi semasa menggunakannya.
Dengan melihat kejatuhan dua gergasi laman Dark Web iaitu
Freedom Hosting II dan SIGAINT, Tor boleh juga jatuh dan mengalami nasib sama
seperti dua gergasi itu. Freedom Hosting II jatuh akibat dikatakan menjadi
tempat menyiarkan laman-laman pornografi kanak-kanak. Selepas ia digodam oleh
aktivis atau sekumpulan aktivis, laman tersebut jatuh dalam masa singkat dan
mereka mengambil alih lebih 10,000 laman sesawang yang dihoskan oleh Freedom
Hosting II. Sementara SIGAINT pula jatuh kerana prestasinya yang tidak
memuaskan yang berlarutan selama berbulan-bulan yang berakhir dengan
kehilangannya dari Dark Web. Sejak kejatuhan SIGAINT, peranannya diambil alih
oleh syarikat-syarikat lain dan mendapat pujian ramai kerana menyediakan
perkhidmatan yang bersifat konsisten dan boleh dipercayai berbanding SIGAINT.
Hari ini, masih ramai yang cuba mendapatkan akses ke Deep
Web dan Dark Web. Ada sesetengah mencari sesuatu yang tidak boleh didapati pada
laman sesawang biasa, ada sekadar merasa ingin tahu. Deep Web dan Dark Web
terus menarik perhatian berikutan sifatnya yang berahsia. Walaupun dianggap
baru tetapi tarikan yang dimiliki sama tua dengan masa itu sendiri. Ia
sebenarnya menjadi sebahagian daripada naluri manusia yang tertarik dengan apa
yang kita tidak faham atau yang tidak boleh diakses dnegan mudah.
RUJUKAN:
Sheils, Conor. (2018). Digital.com. Deep Web, Dark Web,
Tor and More: The Hidden Internet Uncovered. https://digital.com/blog/deep-dark-web/




No comments yet