Apa Masalah Turki-Kurdish-Syria Ni Sebenarnya?

2,477

Ramai juga tanya pasal perkembangan terkini di Turki dan Syria. Bagi aku isu lama je, aku dah pernah ulas tahun lepas dan dalam DTT2. Aku nak tulis pasal benda lain malam ni sebenarnya, tapi aku buat quick update sikit je lah.

Isu dia simple je: kerajaan Turki risau dengan potensi ancaman Kurd yang menguasai sempadan Syria-Turki, jadi dari dulu lagi Turki melancarkan kempen ketenteraan untuk “push” orang Kurd keluar dari sempadan dan propose untuk mewujudkan “safe zone” seluas 30 km dari sempadan Turki-Syria.

Sebab di tenggara Turki ada separatis Kurd, jadi Turki takut kalau dibiarkan Kurd di Syria ni, diorang akan komplot dengan separatis Kurd dan mengugat keselamatan Turki. Dan Turki dah lama menuduh parti orang Kurd di Syria (PYD) dan sayap tenteranya YPG sebagai “offshoot” Parti Pekerja Kurdish (PKK) yang sudah melancarkan pemberontakan terhadap Turki sejak 1984.

Kurd di Syria lebih sedikit berbanding dengan Kurd di Turki, Iraq dan Iran. Selepas Perang Syria meletus pada tahun 2011, orang Kurd pun ambil kesempatan memberontak dan menubuhkan kerajaan sendiri. Mula-mula diorang hanya menguasai Afrin (kawasan berwarna merah), Kobani dan Jazeera (kawasan berwarna kuning). Dan diorang pun diancam oleh ISIS yang bermaharajalela bermula tahun 2014.

Tapi US pada waktu tu memberi sokongan kepada Kurd untuk melawan ISIS. Jadi lama-kelamaan PYD/YPG jadi semakin kuat dan diorang dapat menguasai seluruh tebing timur Sungai Euphrates dan seluruh sempadan Turki-Syria.

Bila Turki lihat macam tu, tak leh biarkan lah. Maka Erdogan melancarkan Operation Euphrates Shield dan Operation Olive Branch untuk merampas kawasan tebing barat Sungai Euphrates. Isu Kurd ni yang membuat hubungan Turki dan US jadi semakin teruk. Turki menuduh US guna Kurd untuk sabotaj dia, US pulak blah blah blah macam macam alasan.

Yang kelakarnya, datangnya Donald Trump yang langsung tak ambil kisah pasal Kurd ni. Sebab Trump ni cara fikir lain sikit. Dia tau untung rugi je. Bagi dia Kurd ni business merugikan, jadi dari awal lagi dia ada niat untuk mengundurkan tentera US dari Syria yang selama ni support Kurd. Tapi tentera US pun tak ramai, dalam 2000 je.

Selepas Kurd menawan kubu terakhir ISIS pada Mac lalu, Trump lagi tak nampak apa keperluan nak stay. Dan pada 9 Ogos lepas, Trump dan Erdogan capai deal untuk membina “safe zone” secara bersama. Kurd tengok ada US, okay lah boleh lega. Tapi sekali Trump pada 2 hari lepas kata dia dah call Erdogan bagitau dia (1) US tak akan terlibat dalam operasi menubuhkan “safe zone”, (2) jemput datang White House bulan depan kita buat makan-makan.

Dengan kata lain, Trump cuci tangan dan biar Turki buat apa yang mereka nak. Safe zone ni selain dijadikan sebagai “buffer” antara Kurd di Syria dan Kurd di Turki, ia juga berfungsi untuk memindahkan seramai 1 juta pelarian Syria ke situ. Takut kalau duk kat Turki lama-lama jadi masalah. Trump bagi amaran kat Erdogan hang jangan lebih-lebih (off limits), kalau hang menyakitkan tentera US nanti aku menghancurkan (obliterate) ekonomi hang. Tapi sembang Trump ni dengar je, tak yah serius sangat.

Kat US pun orang duk maki Trump. Sebab dalam propaganda US selama ni Kurd ialah bangsa tertekan, jadi US ada tanggungjawab melindungi Kurd dan membantu diorang membina negara sendiri. Demokrat maki, Republikan pun maki. Orang query lah apa deal antara Trump dan Erdogan sebenarnya. Yang bantah kata Trump tak bijak, tak berpandangan jauh, menghilangkan buah catur US di Timur Tengah. Yang sokong kata sampai bila US nak campur tangan kat urusan negara lain, tak ada untung pun US cari gaduh dengan Turki.

Jadi sekarang Turki dah ready nak melancarkan operasinya. Sama ada ia akan menimbulkan krisis kemanusiaan seperti ramai yang risaukan, atau Erdogan cuma melaksanakan apa yang hak, kita akan ketahui nanti.

Kurd macam biasa, kata ini semua betrayal. Kalau baca balik sejarah, Kurd dah dikhianati kuasa-kuasa besar ever since 1919. Dah kena 100 tahun pun belum jadi bijak, padanlah kena betray lagi.

Nak cerita lebih lanjut pasal geopolitik Turki, Syria, Iraq, Kurd semua ni, nanti belilah DTT3.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.