Apa Khabar Keturunan Uthmaniyyah Hari Ini?

3,675

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sultanzade Yavuz Alpan, cicit kepada Sultan Abdülmecid I dan anggota kerabat dinasti Uthmaniyah yang paling tua, telah meninggal dunia di Beirut pada usia 92 tahun beberapa hari yang lepas.

Gelaran sultanzade dianugerahkan kepada para putera Sultana/puteri Kesultanan Uthmaniyah. Alpan adalah salah seorang daripada 21 ‘Sultan’ Uthmaniyah yang masih hidup sebelum kematiannya pada 15 Disember yang lalu.

Alpan meninggal dunia akibat masalah jantung di American University Medical Center di Beirut, Lubnan.

Kakak sulung Alpan, Bilun Alpan yang merupakan saksi terakhir pengasingan anggota kerabat Uthmaniyah juga telah meninggal dunia tahun lalu pada usia 101 tahun, juga di Beirut.

Berdasarkan keterangan dan rekod anggota kerabat Uthmaniyah yang tinggal di Beirut pada masa itu, Bilun baru berusia 6 tahun ketika kerajaan baru Republik Turki mengisytiharkan undang-undang yang memaksa seluruh anggota keluarga dinasti Uthmaniyah diasingkan keluar dari Turki.

Bilun, bersama ibunya Fatma Zehra Sultan, yang merupakan anak perempuan kepada putera Uthmaniyah, Shahzade Ibrahim Tevfik, dan ayahnya, Selami Süleyman Alpan, pada awalnya memulakan hidup yang baru di Perancis, mereka tinggal di Paris selama satu tahun dan kemudian satu setengah tahun di Nice, tempat yang sama di mana Khalifah terakhir Uthmaniyah, Abdülmecid II, diasingkan.

Mereka kemudian berhijrah ke Baitulmaqdis, sebelum akhirnya menetap di Beirut pada tahun 1929. Sultanzade Yavuz Alpan dilahirkan pada tahun 1928 di bandar Haifa, Israel utara.

Seluruh anggota kerabat dinasti Uthmaniyah terpaksa hidup dalam buangan bermula dari tahun 1924. Anggota kerabat dari kalangan wanita sahaja yang dibenarkan untuk kembali ke tanah Turki pada tahun 1952 sementara yang lelaki diizinkan kembali secara berperingkat pada tahun 1974.

Tetapi hari ini tak semuanya memilih untuk kembali ke Turki, ramai di kalangan mereka termasuk yang berpangkat ‘Shahzade’ (Putera Raja) sudah berasimilasi dengan budaya asing, bahkan mereka sudah tidak tahu bertutur dalam bahasa Uthmaniyah mahupun bahasa Turki moden.

Dalam kerabat Uthmaniyyah, gelaran Sultanzade digunakan oleh putera kepada seorang puteri Uthmaniyyah, mereka datang dari keturunan wanita yang berdaulat dari susur galur lelaki. Sultanzade berbeza dengan Shahzade.

Seorang Shahzade layak untuk mewarisi takhta Kesultanan tetapi Sultanzade dikecualikan dari pewarisan takhta Uthmaniyyah walaupun mereka tetap dirujuk dengan panggilan “Sultan”.

Gelaran feminin untuk wanita yang setara dengan Sultanzade adalah Hanımsultan. Gelaran Hanım ni adalah berasal dari gelaran bangsawan wanita Mongol iaitu Khanum, yang merupakan gelaran yang setara dengan gelaran Khan. Sesiapa yang bernama Hanim tu boleh lah berbangga. Kekeke.

Oh yer, lelaki yang kat tengah-tengah dalam gambar tu adalah sejarawan Uthmaniyah yang terkenal, Ibrahim Pazan.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.