Apa Itu G-Force?

361

Daya G, atau yang lebih dikenali sebagai G-Force merupakan satu jenis ukuran daya keberatan seseorang itu relatif kepada daya tarikan graviti. Sekiranya anda mempelajari subjek Fizik di sekolah menengah, anda pasti pernah terbaca mengenai daya tarikan graviti iaitu 9.8 meter per saat kuasa dua (m/s2).

Pelabelan ‘daya’ kepada G-force ini kurang tepat memandangkan unit yang digunakan lebih kepada pecutan iaitu m/s2. Namun, untuk memudahkan anda untuk memahami G-force ini, anda hanya menganggap dalam keadaan biasa, daya yang dikenakan kepada tubuh anda adalah sebanyak 1G.

Dalam latihan untuk seseorang itu bergelar sebagai juruterbang pesawat pejuang mahupun angkasawan NASA, mereka perlu melalui beberapa siri ujian yang berkait rapat dengan G-Force ini. Sebelum itu, mari kita lihat jenis-jenis G-Force yang wujud di dunia ini.

1. Positive G-Force.

Pernahkah anda menaiki rollercoaster dan dalam landasan yang tiba-tiba mendaki pada kelajuan tinggi, anda akan berasa bahawa terdapat satu daya yang menekan anda kepada tempat duduk. Sekiranya kelajuan pendakian roller-coaster itu mencapai 9.8 m/s2, anda akan mengalami pecutan sebanyak 2G.

Hal ini boleh berganda-ganda, di mana semakin laju roller-coaster cart itu mendaki, semakin tinggilah G-Force yang menekan anda ke bawah. Secara purata, manusia biasa hanya akan dapat menahan daya sebanyak 5G sahaja, namun, lain kisahnya kepada juruterbang pesawat pejuang ini.

Untuk juruterbang pesawat pejuang, sekiranya pesawat mereka berada dalam keadaan mendatar (horizontal) dan juruterbang tersebut tak semena-mena menarik control-stick ke belakang, pesawat tersebut akan mulai mendaki ke atas secara secara vertical, dan hal ini akan menyebabkan juruterbang tersebut merasai G-Force yang dikenakan terhadapnya. Gambar di atas menunjukkan satu alat yang digunakan untuk tujuan latihan yang dipanggil sebagai G-Force simulator.

Sekiranya seseorang itu mempunyai berat sebanyak 70 kilogram, daya 2G akan menyebabkan dia merasai berat badannya meningkat sebanyak 2 kali ganda. Itulah sebabnya mengapa anda lihat dalam sketsa-sketsa dogfight di industri filem, pasti akan ada adegan di mana juruterbang itu akan berusaha sedaya-upaya untuk mengawal pesawatnya. Anda boleh bayangkan tangannya kini menjadi lebih berat berganda-ganda daripada normal.

Selain daripada anggota badan anda di luar, darah yang berada di dalam badan anda akan mulai berkumpul di bahagian kaki dan hal ini menyebabkan satu kondisi yang dipanggil sebagai brain hypoxia, iaitu kegagalan penghantaran darah yang mengandungi oksigen dan nutrien ke otak. Kebanyakkan gejala yang akan dialami seseorang itu adalah kesan langsung daripada bahagian otak dan beberapa organ lain yang tidak mendapat bekalan darah secukupnya.

Antara gejala dan tanda seseorang itu mengalami G-Force positive ini adalah:

– Grey out – pandangan mata seseorang itu bertuka menjadi bewarna hitam putih. Hal ini biasa hanya berlaku seketika sahaja dan pandangan mata menjadi normal setelah G-Force dialihkan.

– Tunnel Vision – iaitu satu keadaan di mana seseorang itu mendapati pada kawasan tepi pandangan matanya (peripheral vision) menjadi gelap dan hanya bahagian tengah sahaja yang dapat dilihat, sama seperti sekiranya anda memandu di dalam terowong yang gelap.

– Pengsan (G-LOC – G-Force Induced Loss of Consciousness) merupakan satu gejala yang jika tidak diatasi serta merta, peluang untuk seseorang itu mengalami kerosakkan kekal pada otak adalah tinggi.

2. Negative G-Force

Daya negative G-Force adalah merupakan satu daya yang berlawanan daripada positive G-Force. Balik kepada roller-coaster itu tadi, negative G-Force ini dialami apabila landasannya berada daripada mendatar kepada jatuh secara tiba-tiba pada kecerunan yang amat tinggi. Daya ini akan menyebabkan para penumpang akan berasa terapung dan tertolak ke atas pada safety-bar/belt.

Berlawanan kepada positive G-Force, tahap maksimum seseorang itu untuk menahan daya ini adalah sekitar 2 – 3G sahaja. Hal ini adalah kerana darah akan berkumpul ke atas, di bahagian otak dan disebabkan itu, tekanan darah di dalam tengkorak akan meningkat secara mendadak, menambah risiko mereka untuk terkena serangan angin ahmar akibat salur darah yang berada di otak itu pecah.

Gejala negative G-Force ini dipanggil sebagai Red-Out di mana pengumpulan darah pada salur darah di retina menjadikan penglihatan seseotang itu menjadi merah.

3. Lateral/Horizontal G-Force

Daya yang berada pada paksi-X ini sering dialami oleh pelumba-pelumba kereta profesional, seperti funny car drag race dan juga Nascar. Lateral G-Force ini selalunya berlaku dengan pantas tanpa sempat meninggalkan apa-apa kesan kepada seseorang itu.

Pada 12 Oktober 2003 di Texas Motor Speedway, seorang pemandu nascar bernama Kenny Brack mengalami kemalangan dan kenderaannya menghentam dinding pada daya yang paling tinggi direkodkan untuk lateral G-Force ini iaitu 214 G.

Jadi, untuk para juruterbang pesawat pejuang mahupun angkasawan, sudah tentu mereka mempunyai cara bagi menangani masalah ini. Justeru, setelah berpuluh tahun dalam kajian, para saintis berjaya mereka satu jenis pakaian yang dipanggil sebagai G-Suit (Terminologi yang betul adalah Anti-G-Suit). Pakaian ini sedikit ketat di bahagian kaki dan paha disamping dengan sejenis belon getah (bladder) yang boleh mengembang dan menghimpit salur darah di kaki.

Pengembangan bladder getah tersebut dikawal oleh satu injap yang boleh mengesan perubahan G-Force yang dialami oleh juruterbang, dan bahagian bladder akan mengembang sekiranya daya Positive G-Force dikesan. Himpitan kaki ini akan menghimpit salur darah, dan mengelakkan pengumpulan darah di bahagian kaki.

Walau bagaimanapun kesannya dikatakan boleh menolak daya sebanyak 1G, iaitu seperti contoh, sekiranya seseorang juruterbang itu mengalami daya positve 7G, maka pemakaian G-suit ini mampu menurunkan kesan daya tersebut kepada 6G sahaja.

Jadi, setakat ini sahajalah penulisan saya kali ini. Saya rasakan penulisan ini amat panjang untuk dibaca, tetapi, saya berharap anda dapat beberapa pengetahuan yang baru  mengenai tajuk G-Force ini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.