Apa Itu DIL dan DNR?

577

Penulisan kali ini saya menyentuh tentang isu yang amat penting dan adakalanya sensitif untuk sesetengah pihak, iaitu DIL (Death in Line), atau bahasa kasarnya “menunggu masa untuk maut”, DNR (Do Not Resuscitate), bermaksud sekiranya jantung pesakit berhenti, kami tidak akan melakukan CPR kepada pesakit mahupun meletakkan tiub ke dalam mulut pesakit untuk disambung ke alat bantuan pernafasan. Terminolgi yang lain adalah NAR (no active resuscitation) sama dengan DNR.

Medical officer berhak mengeluarkan DIL kepada seseorang pesakit sekiranya beliau memikirkan tiada harapan untuk seseorang pesakit untuk diselamatkan, namun, jangan salah faham, walaupun seseorang itu dikategorikan sebagai DIL, rawatan antibiotik, ubat-ubatan masih diteruskan sebaiknya.

Gunanya DIL bagi masyarakat islam adalah untuk mereka bersedia dengan apa yang patut ketika waktu ajal seseorang pesakit itu tiba. Bacaan Yassin, mengajar pesakit mengucap serta menjemput mana-mana ahli keluarga yang masih belum berjumpa pesakit untuk berjumpa sementara pesakit masih hidup dan masoh bernafas.

Ada juga beberapa pesakit yang setelah diisukan DIL, berjaya sihat semula, setelah para perawat berusaha sedaya upaya mengambil darah, memonitor nadi dan mengoptimumkan ubat mereka. Inilah sebabnya saya katakan bahawa walaupun DIL telah diisukan oleh pesakit, pelan rawatan masih dilaksanakan seperti biasa.

Jadi, sekiranya anda diberitahu bahawa saudara terdekat anda telah diisukan DIL, harap anda memahami apakah maksudnya dan anda boleh mula untuk memanggil mana-mana saudara-mara yang masih belum melihat pesakit sementara mereka masih hidup walaupun kebanyakkan masanya, pesakit tidak sedarkan diri.

Ada beberapa kajian menunjukkan bahawa walaupun pesakit sedang koma, deria pendengaran mereka masih berfungsi hasil pengimejan menggunakan FMRI, itulah sebabnya agak baik sekiranya saudara-mara yang datang boleh bercakap dengan pesakit, memberi semangat, nasihat dan dorongan untuk terus kuat.

DNR pula ialah satu kenyataan yang juga hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai perubatan. Ini bermaksud apabila pesakit collapse atau berhenti bernafas, tiada apa yang akan kami lakukan kecuali memberi si mati untuk pergi dengan selesa (walau bagaimanapun, kita tidak boleh menilai adakah seseorang itu mati dengan selesa atau tidak melalui pemerhatian secara klinikal). Kami juga akan memberi ubat tahan sakit dan miningkatkan kadar aliran oksigen paling tinggi taktala pesakit bertarung dengan sakaratulmaut.

Kami hanya mengisukan DNR kepada beberapa jenis pesakit sahaja, seperti contoh, pesakit berumur 84 tahun, yang sudah menghidapi angin ahmar beberapa kali sehingga tidak boleh bergerak, dan kali ini datang dengan kegagalan buah pinggang serta jantung. Cuba anda fikirkan, sekiranya pesakit tersebut adalah ibu anda, mahukah anda melihat kami me”resuscitate” beliau?.

Perlu anda fahami resuscitation termasuk CPR (Cardioplumonary resuscitation) yang mana doktor akan naik ke atas katil dan menekan dada pesakit sehingga kedalaman 2 inci pada kadar 100-120 kali seminit. Bukan itu sahaja, tiub akan dimasukkan ke dalam kerongkong dan disambungkan kepada mesin pernafasan, itu pun jika mesin pernafasan mencukupi. Dan sekiranya pesakit masih hidup, dia akan dihantar ke ICU untuk pemerhatian selanjutnya.

Adakah anda mahu melihat pesakit yang sudah tua, tidak bermaya dan kebanyakkan organ sudahpun gagal melalui CPR, yang mana peratusan untuk menghidupkan kembali jantung adalah amat tipis. Itu belum cerita ada yang patah beberapa tulang rusuk akibat CPR dan lain-lain, dalam erti kata lain, menyeksa mereka yang sudahpun tiada harapan untuk hidup lagi.

Saya pernah melakukan CPR kepada seorang pesakit berumur 78 tahun kerana keluarga mereka berkeras dan bertegas untuk tidak menerima DNR. Hujungnya, saya dapat rasa bahawa banyak tulang rusuk pesakit patah taktala sedang melakukan CPR. Tulang sternum pesakit pula ibarat tenggelam dan berlekuk di bahagian dada pesakit.

Pasti anda tertanya-tanya, mengapakah seseorang staf kesihatan itu tidak berhenti sahaja apabila merasakan tulang rusuk pesakit sudah pun patah? Hal ini adalah kerana kepatahan tulang rusuk itu hanyalah komplikasi dan collateral damage daripada CPR, kerana anda harus faham, kepatahan tulang rusuk itu adalah sedikit sahaja nak dibandingkan dengan nyawa pesakit.

Masyarakat perlu tahu, anda sebagai pesakit berhak untuk memilih sama ada anda mahukan active resuscitation (seperti yang saya terangkan di atas) atau DNR. Sekiranya pesakit berumur 50 tahun, yang sebelum ini sihat tiba-tiba jantungnya berhenti, sudah pasti kami akan membuat CPR, memasukkan tiub dan lain-lain. Apapun, bergantung kepada keadaan pesakit dan juga assessment yang dilakukan oleh pegawai perubatan

ANDA TIDAK BOLEH MENGHALANG KAMI DARIPADA MELAKUKAN RESUSCITATION SEKIRANYA PADA AWALNYA ANDA BERSETUJU UNTUK ACTIVE RESUSCITATION.

Pengalaman saya, sedang saya keletihan mengCPR pesakit ketiga malam tersebut, baru lima minit si anak datang dan memarahi saya dengan nada yang sangat kasar dan kurang hajar “Sudahlah doktor dan misi bodoh, jangan seksa bapak saya!!!”

Jawapan saya “Kau ingat aku suka tekan-tekan dada bapak kau waktu petang-petang ni, tadi kata nak active resuscitation, sekarang tak nak pulak, jangan cakap sekejap macam tu sekejap macam ni!, pergi duduk sana!! Jangan masuk sini sampai aku bagi kau masuk!” Dan kemudiannya pesakit membuat aduan namun aduannya tidak dilayan kerana mereka sekeluarga telahpun dimaklumkan beberapa kali sebelum ini dan bersetuju untuk active resuscitation.

Anda kena faham, sekali resuscitation dilakukan, ia perlu berterusan sehingga 30-45 minit bergantung kepada keadaan. DNR juga tidak boleh diisukan secara “on the spot”, di mana ketika pesakit collapse dan baru 5 minit doktor memulakan resuscitation, tiba-tiba anda menukar fikiran kata tidak perlu membuat sedemikian pula. Ini adalah kerana faktor emosi akan bukan sahaja menjadikan keadaan semakin rumit, bahkan mengganggu perawat melaksanakan tugas mereka.

Pendek kata, fahamilah beberapa perkara ini. Jangan pula ada yang kata jantung bapak saya berhenti, tapi staf hospital tak buat apa-apa pun, walhal DNR telah pun diisukan seminggu lalu dan yang lebih memeranjatkan, orang yang membuat aduan adalah orang yang sama menandatangani borang DIL/DNR.

Tanyalah sebanyak mana yang perlu anda tanya ketika doktor menerangkan keadaan pesakit supaya anda betul-betul faham dan jelas tentang perkara yang diterangkan. Sepanjang beberapa tahun saya berkhidmat dengan hospital kerajaan, saya tak pernah lihat situasi “doktor terlalu sibuk, tak sempat nak tanya”, kerana dalam soal DIL/DNR ini melibatkan nyawa dan impaknya terhadap keluarga amatlah besar.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.