Moving Forward As One

Apa Itu Black Economy?

558

Sebarang bentuk aktiviti ekonomi yang berada di luar kawalan pihak berautoriti, khususnya dalam aspek perundangan, regulatori dan pengenaan cukai; ianya akan ditakrifkan sebagai Ekonomi Gelap atau ‘Black Economy’. Selain itu, ianya turut digelar sebagai ‘Shadow Economy’ ataupun ‘Informal Economy’.

Secara asasnya, sebahagian besar transaksi ekonomi gelap melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan, perkhidmatan serta perdagangan yang haram. Antaranya; penjualan d.ada.h, senjata, per.dagan.gan manusia, aktiviti pe.lacur.an, termasuk penjualan rokok seludup dan barangan tiruan (counterfeiting).

Pada tahun 2020, mantan Menteri Kewangan; Lim Guan Eng telah mendedahkan angka keseluruhan aktiviti ‘Black Economy’ di seluruh Malaysia yang mewakili 21 peratus daripada jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2019, iaitu kira-kira RM300 Bilion.

Jumlah ini adalah amat besar. Hal ini memberikan petanda bahawasanya; kewujudan aktiviti ekonomi seumpama ini bukan hanya mampu merencatkan prestasi ekonomi negara, bahkan ianya dapat mendedahkan rakyat negara ini kepada gejala-gejala yang tidak bermoral, seperti gejala lari daripada cukai (dibaca; menipu).

Menurut kajian terbitan International Monetary Fund (IMF), Malaysia merekodkan penurunan peratusan ‘Black Economy’ yang agak signifikan. Malaysia mencatatkan penurunan lebih daripada 5%, iaitu daripada 37.5% pada tahun 1991 kepada 31.1% memasuki tahun 2000.

Peratusan itu terus menunjukkan tren penurunan, iaitu pada kadar 30.2% bagi tahun kewangan 2010 dan menurun kepada 26.1% pada tahun 2015, seterusnya 21% pada tahun 2019. Walau bagaimanapun, secara purata, saiz aktiviti ekonomi gelap di Malaysia sepanjang tahun 1991 hingga 2015 adalah sebanyak 31.5%.
Peratusan ini adalah jauh mengatasi purata ekonomi gelap negara-negara lain dalam tempoh yang sama (1991-2015), khasnya Singapura (11.9%), Australia (12.1%), China (14.7%), Hong Kong (14.7%), Vietnam (18.7%), India (23.9%), Indonesia (24.1%), dan Korea Selatan (25.7%).

Dari segi nisbah kutipan cukai kepada KDNK pula atau lebih dikenali sebagai ‘tax-to-GDP ratio’, menurut data keluaran Bank Dunia; Malaysia merekodkan peratusan nisbah antara yang terendah di dunia, iaitu sebanyak 11.953% daripada jumlah keseluruhan KDNK tahun 2019; RM1.41 Trilion.

Jika dibandingkan kedudukan kita dengan negara-negara komuniti ASEAN yang lain, Malaysia berada di hadapan Myanmar (5.8%) dan Indonesia (9.8%). Dalam pada itu, kadar ‘tax-to-GDP’ Singapura (13.3%), Filipina (14.5%), Thailand (14.7%), dan Kemboja (19.7%) mendahului kita.

Peratusan ‘tax-to-GDP ratio’ adalah amat penting memandangkan peratusan ini boleh dijadikan sebagai salah satu kayu ukur yang menentukan tahap efisiensi pengurusan ekonomi sesebuah kerajaan berdaulat. Hipotesis mudahnya; semakin efisien sesebuah kerajaan, semakin rendah kadar ‘tax evasion’ yang direkod.

Badan pemikir (think tank) terkemuka dunia seperti Global Financial Integrity (GFI) menerusi laporannya yang berjudul; ‘Transnational Crime and the Developing World’ terbitan tahun 2020, telah menggariskan beberapa sektor terbesar yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi gelap di seluruh dunia.

Antaranya; perdagangan barangan tiruan ($1.13 Trilion), d.ad.h ($652 Bilion), pembalakan haram ($157 Bilion), perlombongan haram ($48 Bilion), perikanan haram ($36.4 Bilion), perdagangan haiwan liar ($23 Bilion), pencurian minyak mentah ($11.9 Bilion), penyeludupan senjata ringan ($3.5 Bilion), dan penyeludupan organ manusia ($1.7 Bilion).

Justeru, adalah amat penting untuk setiap negara anggota dunia memastikan aktiviti ekonomi gelap dapat dibanteras sepenuhnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, setiap komponen ekonomi gelap itu mampu mengakibatkan keruntuhan moralilti peradaban manusia.

Ruangan komen telah ditutup.